
13 remaja didapati bersalah sebabkan kematian pelajar Kolej Vokasional. Mahkamah Tinggi Tawau hari ini memutuskan bahawa seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun bersalah atas pertuduhan membunuh pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dalam kejadian pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika menyampaikan alasan penghakiman ringkasnya berkata, kesemua tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Katanya, selepas menilai bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan, mahkamah mendapati 13 remaja terbabit bertindak secara bersama dengan niat yang membawa kepada kematian mangsa.
Beliau menegaskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah. Sementara itu, pembelaan tertuduh yang cuba mengemukakan penafian penuh, alibi, pengakuan separa mahupun menyalahkan pelajar lain didapati bercanggah dengan keterangan saksi bebas dan tidak dapat diterima.
Dalam penghakimannya, Duncan turut menyatakan bahawa alasan pihak pembelaan kononnya remaja hanya mahu “memberi pengajaran kepada mangsa” tidak boleh diguna pakai kerana kecederaan yang dialami terlalu parah sehingga secara semula jadi membawa kepada kematian.
“Isunya bukan sama ada tertuduh berniat untuk membunuh, sebaliknya sama ada kecederaan yang disengajakan itu sudah memadai dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.
“Bukti perubatan jelas menunjukkan ia memang membawa maut,” katanya.
Menurut beliau, alasan provokasi juga tidak boleh diterima kerana kejadian itu bukanlah tindak balas spontan, sebaliknya merupakan serangan berulang kali. Mahkamah juga menolak hujah bahawa mangsa mungkin dapat diselamatkan jika rawatan segera diberikan, kerana keterangan pakar hanya menyatakan ia sebagai kemungkinan semata-mata.
Dengan itu, tarikh 28 Ogos ini ditetapkan untuk prosiding hukuman selepas laporan akhlak daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat diperoleh, selaras dengan Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.
Difahamkan, kejadian pembunuhan itu berlaku di bilik asrama kolej berkenaan antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu. Pada 15 April lalu, pihak pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi ketika perbicaraan peringkat bela diri. Semua 13 remaja terbabit turut memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Lapan daripada tertuduh diwakili oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye. Sementara itu, lima lagi diwakili oleh Abdul Ghani Zelika bersama peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Sumber: Harian Metro dan Sinar Harian
Baca artikel terbaru yang lain: Engku Emran Terharu Aleesya Cemerlang IGCSE -Tahniah 7A Anak Ayah, 11 Tahun Teman Ulang Kaji & Kelas Tambahan
Lagu “Justice For Zara Ada Yang Mula Benci, Lebih Baik Sedekah Al-Fatihah Saja
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my