Amalan sunat yang tak asing lagi dilakukan setelah meraikan 1 Syawal adalah dengan berpuasa enam di bulan Syawal. Kelebihan melaksanakan tuntutan tersebut cukup besar ganjarannya umpama berpuasa sepanjang masa.

Pun begitu dalam melaksanakan puasa sunat ini, sering juga ada yang masih keliru sama ada boleh disatukan puasa qadha dan puasa sunat enam tersebut. Adakah perlu di dahulukan puasa wajib menggantikan puasa atau boleh disekalikan.

Menjawab soalan ini, jom kita fahami penerangan daripada.ustaz ini. Jom semak.


TWO IN ONE : PUASA SUNAT SYAWAL + PUASA QADHA

Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu persoalan. Dalam bulan Syawal lepas, syukur saya telah selesaikan membayar ‘hutang’ puasa Ramadan lepas, sekali gus berpuasa sunat bulan Syawal sebanyak enam hari. Tapi saya keliru. Apakah saya boleh ‘gabungkan’ dengan puasa ganti atau bagaimana? Jika digabungkan, apakah sah puasa saya itu? Ada yang kata boleh dan ada yang kata kena selesaikan dahulu ‘hutang’ puasa wajib. Tapi, yang sebenarnya, mana yang lebih afdal untuk diikuti. Terima kasih.

Wa’alaikumussalaam Warahmatullahi Wabarakatuh

Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan umat Islam untuk menggiatkan aktiviti ibadah pada sepanjang bulan Ramadan. Ini adalah kerana pada bulan yang penuh berkat ini Allah ‘Azza wa Jalla membuka pintu langit dengan seluas-luasnya untuk menurunkan limpahan rahmat-Nya kepada sekalian hamba-hamba-Nya. Pada bulan yang mulia ini juga segala amalan-amalan berbentukketaatan kepada-Nya akan naik secara terus kepada-Nya.Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila masuk bulan Ramadan, maka pintu-pintu langit dibuka…” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

IKLAN

Namun demikian apabila Syawal menjelma terdapat ramai umat Islam yang mula lalai serta alpa dalam mengerjakan ibadah. Syawal di lihat seperti bulan untuk berehat dari melakukan amal-amal soleh dan digantikan dengan pesta pembaziran, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita, memakai pakain yang tidak mengikut spesifikasi syari’at, temasya menonton rancangan televisyen yang berunsur hedonis dan lain-lain lagi.

Ini tidak sepatutnya berlaku kerana pada bulan Ramadan umat Islam seolah-olah berada di dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan yang bertaqwa dan setelah tamat latihan tersebut ia sepatutnya dapat membantu seseorang untuk mengekalkan ketaqwaan tersebut pada baki sebelas bulan lagi.

Justeru itu seluruh umat Islam sewajarnya mengekalkan peningkatan dalam tahap mengerjakan amal ibadah pada bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain.

Di antara bukti bahawa Ramadan telah berjaya membentuk keperibadian yang tinggi terhadap seseorang dalam menjadi insan yang bertakwa adalah dengan mengerjakan puasa sunat Syawal atau lebih dikenali dengan puasa enam bagi masyarakat kita.

IKLAN

Dalil disyari’atkan ibadah puasa sunat Syawal adalah sabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal,maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis ini dapat kita fahami bahawa keutamaan puasa sunat pada bulan Syawal adalah seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam di dalam Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam: “Barangsiapa berpuasa enam hari pada bulan Syawal setelah Ramadan maka seakan-akan dia berpuasa fardu setahun. Ini adalah kerana satu kebaikan di balas dengan sepuluh kali ganda sepertinya. Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah dan nikmat ke atashamba-Nya.

Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulamak. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi’i.

Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah.

IKLAN

Adalah lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan firman Allah s.w.t.: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa.” (Surah Ali Imraan : 133) Sekadar untuk memberi peringatan, 1 Syawal adalah hari yang dilarang berpuasa. Abu Hurairah berkata: “Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)Justeru itu jangan memulakan puasa sunat enam ini pada 1 Syawal.

Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qadha dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bidaah yang tiada dalilnya dari al-Qur’an atau mana-mana hadis Nabi s.a.w. yang sabit.

Justeru itu hendaklah puasa qadha dan puasa sunat enam ini dilakukan secara terpisah kerana sebagai hamba yang tunduk kepada perintah Allah, memperbanyakan amalan yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah dengan memisahkan di antara yang ibadat wajib dengan sunat lebih menunjukkan sikap bersungguh-sungguh untuk mencapai keredaan-Nya.

Janganlah kita berkira-kira dalam melakukan ibadat atau menjadi si bakhil dengan melakukan ibadat dengan formula dua dalam satu ini agar kualiti ibadat kita terjamin.

Apa yang lebih utama adalah menyempurnakan puasa bulan Ramadan terlebih dahulu iaitu dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian baru dikerjakan puasa sunat Syawal. Ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaanya iaitu seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Apa pun dibenarkan untuk berpuasa sunat enam Syawal terlebih dahulu walaupun mempunyai hutang puasa Ramadan yang belum diqadha. Pandangan ini adalah berdasarkan dalil bahawa Aisyah r.a pernah melewatkan mengqadha puasa Ramadan hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Semoga persoalan yang dibangkitkan oleh saudari telah terjawab. WAllahua’lam

sumber : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI