
Kasih sayang seorang abang tiada batasnya. Sanggup berkorban apa sahaja asalkan adik tersayang kembali sihat, termasuk mendermakan sebelah buah pinggang sendiri.
Itulah kisah abang derma buah pinggang kepada adik kembar sendiri yang cukup menyentuh hati. Muhammad Ammar Fawwaz Azizan, 22, nekad mendermakan buah pinggang kirinya kepada adik kembar, Muhammad Amir Fawwaz Azizan, 22, selepas dua tahun menderita penyakit buah pinggang tahap akhir.
Pembedahan pemindahan buah pinggang itu berjaya dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.
Pengorbanan Ammar bukan sahaja membuktikan kasih sayang yang mendalam terhadap adiknya, malah memperlihatkan betapa kuatnya ikatan antara pasangan kembar yang sentiasa bersama sejak kecil.
“Abang Mana Sanggup Tengok Adik Sakit?”
Memetik laporan Harian Metro, Ammar yang berasal dari Kuala Terengganu mengakui terlalu menyayangi adik kembarnya kerana mereka sentiasa bersama sejak kecil.
“Saya sangat sayangkannya kerana dia kembar saya sehidup semati.
“Hanya ajal dapat memisahkan kami dan apa pun yang terjadi, saya akan bersamanya dalam senang mahupun susah.”
Menurut anak kelima daripada lapan beradik itu, hatinya cukup sedih apabila mengetahui Amir menghidap penyakit buah pinggang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan untuk menyambung pengajian.
“Kami bersama sejak dalam perut (kandungan) lagi, jadi tak sanggup melihatnya terus menanggung kesakitan. Abang mana nak tengok adiknya sakit?” katanya.
Tanpa rasa takut atau ragu-ragu, Ammar sudah menyuarakan hasrat untuk menjadi penderma kepada ibunya sejak adiknya mula sakit.
Sedar Daripada Pembedahan, Terus Tanya Keadaan Adik
Lebih menyentuh hati, Ammar mengakui dirinya tenang sebelum menjalani pembedahan, malah sempat bergurau dengan adik kembarnya.
Sebaik tersedar, perkara pertama yang ingin diketahuinya bukanlah keadaan diri sendiri, sebaliknya keselamatan adiknya.
“Lega bila doktor kata adik selamat kerana itu yang saya nak dengar,” katanya penuh syukur.
Ammar turut menghargai pengorbanan ibu mereka, Siti Mariam Yusof, 54, seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan demi menjaga kedua-dua anaknya.
“Tak Mampu Balas Jasa Abang Dengan Wang Ringgit”
Sementara itu, Amir yang merupakan penuntut Diploma Kejuruteraan Elektrik di Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut mengakui terharu dengan pengorbanan abang kembarnya.
Walaupun bersyukur menerima buah pinggang daripada Ammar, dia turut berasa sedih mengenangkan abangnya kini perlu menjalani kehidupan dengan sebelah buah pinggang.
“Saya tak boleh membalas jasa abang dengan wang ringgit tetapi akan ingat pengorbanan besarnya itu sampai akhir hayat,” luahnya.
Amir turut mendoakan agar abangnya diberikan ganjaran pahala dan ditempatkan dalam syurga.
Ketika ditemu bual, kedua-duanya masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan dijangka menetap di Kuala Lumpur selama tiga bulan bagi memudahkan pemantauan berkala di HKL.
Sesungguhnya, kisah dua beradik ini cukup menyentuh hati. Dahulu berkongsi rahim ibu yang sama, kini seorang abang sanggup berkongsi buah pinggang demi melihat adik kembarnya kembali sihat.
Semoga kedua-duanya terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan.
BACA LAGI : Kasih Ayah Tiada Penghujung, Berhenti Merokok Derma Buah Pinggang Untuk Anak
Sumber : Harian Metro


