Ads

“Anak Pertama Autisme, Anak Kedua Pun Berisiko?” Pakar Dedah Faktor Genetik Main Peranan

Memiliki anak autistik bukanlah sesuatu yang mudah bagi sesetengah ibu ayah, apatah lagi apabila timbul persoalan mengenai risiko autisme anak kedua dan sama ada anak seterusnya turut berkemungkinan mengalami keadaan sama.

Hakikatnya, faktor genetik memainkan peranan penting dalam autisme, malah pasangan yang sudah mempunyai seorang anak autistik mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat anak seterusnya dengan keadaan sama.

Menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak Hospital Islam Az-Zahrah, Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi, kajian menunjukkan pasangan yang mempunyai seorang anak autistik berdepan risiko sekitar 10 hingga 20 peratus untuk mendapat seorang lagi anak dalam kategori sama.

“Anak Pertama Autisme, Anak Kedua Pun Berisiko?” Pakar Dedah Faktor Genetik Main Peranan
Pakar Perunding Kanak-Kanak Hospital Islam Az-Zahrah, Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi

Faktor Genetik Antara Punca Utama Autisme

Jelas beliau, autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan keadaan perkembangan neurologi yang mempunyai asas genetik kuat.

Keadaan ini menjelaskan mengapa sesetengah keluarga mempunyai lebih daripada seorang anak autistik, malah ada pasangan yang kesemua anak mereka mengalami autisme.

“Autisme bukan semestinya disebabkan oleh satu gen sahaja, tetapi boleh membabitkan gabungan banyak variasi genetik diwarisi daripada ibu bapa, serta perubahan genetik baharu yang berlaku secara spontan (mutasi),” jelasnya.

Ini bermakna autisme tidak semestinya diwarisi secara langsung daripada ibu atau bapa, sebaliknya boleh melibatkan gabungan pelbagai faktor genetik.

Ads

Anak Kedua Tidak Semestinya Autisme

Walaupun risiko mendapat anak autistik seterusnya lebih tinggi, ia tidak bermakna setiap anak yang dilahirkan pasti mengalami keadaan sama.

Malah, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Pediatrics pada 2024 mendapati kira-kira 20 peratus adik-beradik kepada kanak-kanak autistik dalam kumpulan kajian turut dikenal pasti mengalami autisme.

Bagaimanapun, angka tersebut merupakan anggaran berdasarkan kajian dan bukan kepastian bagi setiap keluarga.

Risiko sebenar boleh berbeza bergantung pada sejarah keluarga serta faktor genetik yang terlibat.

Ads

Ibu Ayah Jangan Salahkan Diri Sendiri

Perkara penting yang perlu difahami ialah autisme bukan berpunca daripada kesilapan ibu ayah dalam mendidik anak atau kurangnya kasih sayang.

Sebaliknya, autisme merupakan keadaan perkembangan saraf yang kompleks dan melibatkan pelbagai faktor biologi.

Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak autistik, pemantauan perkembangan anak seterusnya amat digalakkan, terutama dari aspek pertuturan, komunikasi dan interaksi sosial.

Ads

Sekiranya terdapat tanda kelewatan perkembangan, ibu ayah disarankan mendapatkan pemeriksaan dan penilaian daripada pakar kanak-kanak.

Setiap anak mempunyai keistimewaan dan potensi tersendiri. Apa yang paling penting ialah penerimaan, kasih sayang serta sokongan berterusan supaya anak autistik dapat membesar dan berkembang mengikut kemampuan mereka.

BACA LAGI : “Lima Anak, Semuanya Autisme…” Ibu Tabah Anggap Anak Anugerah Terindah Allah

Sumber: Harian Metro

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Keluarga Lain

Pasangan TTC

“Bila Nak Ada Anak?” Soalan Biasa Bagi Orang Lain, Tapi Boleh...

Pasangan TTC sering berdepan tekanan emosi akibat soalan bila nak ada anak. Fahami perjuangan mereka dan pentingnya sokongan orang sekeliling.