Ads

“Lima Anak, Semuanya Autisme…” Ibu Tabah Anggap Anak Anugerah Terindah Allah

MOHD Afif (kiri) dan isteri, Nor Idah (dua dari kanan) meraikan kejayaan anak sulung, Muhammad Danish Arif (dua dari kiri) bersama anak lain. FOTO Ihsan Nor Idah Wagimin

Bukan mudah membesarkan lima anak autisme yang kesemuanya memerlukan perhatian, sokongan dan bimbingan tersendiri. Namun, bagi Nor Idah Wagimin, 45, setiap anak adalah anugerah terindah daripada Allah SWT yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, ibu kepada lima anak ini tetap reda dengan ketentuan Ilahi, malah menganggap kehadiran mereka sebagai rezeki paling berharga dalam hidupnya.

“Saya percaya Allah SWT uji sebab sayang. Saya juga anggap anak sebagai anugerah terindah buat kami suami isteri.

“Ini takdir terbaik buat saya, jadi sebagai hamba-Nya, saya kena terima dengan lapang dada serta kuat menghadapi ujian ini,” katanya.

“Lima Anak, Semuanya Autisme…” Ibu Tabah Anggap Anak Anugerah Terindah Allah

Lima Anak Autisme, Semuanya Mempunyai Keistimewaan Tersendiri

Nor Idah dan suaminya, Mohd Afif Md Nasir, 43, dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Danish Arif, 18, Ainul Mardhiah, 16, Abdurrahman, 14, Aishah, 13, dan Umar, lapan tahun.

Menurut Nor Idah, dia pada awalnya tidak menyedari anak sulungnya mempunyai autisme sehinggalah melihat perkembangan anak yang agak lambat, terutama dari segi pertuturan.

Malah, anak sulungnya hanya mendapat pengesahan doktor ketika berusia 12 tahun.

Pada mulanya, dia menyangka hanya anak sulungnya mempunyai autisme, namun anak-anak yang lain turut disahkan mengalami keadaan sama.

Pengalaman membesarkan anak-anak dengan keadaan perkembangan yang sama memberikan cabaran tersendiri kepada pasangan ini. Setiap anak mempunyai keperluan, tingkah laku dan cara berkomunikasi yang berbeza, sekali gus menuntut kesabaran serta pemahaman daripada ibu bapa.

Ads

“Pernah Terluah Kenapa Aku…”

Nor Idah mengakui pernah berasa sedih dan mempersoalkan ujian yang dilaluinya, terutama selepas melahirkan anak ketiga yang mempunyai cabaran tingkah laku seperti hiperaktif, mudah meragam dan suka menggigit.

“Waktu dapat anak kedua, saya boleh terima lagi tetapi selepas melahirkan anak ketiga, terkeluar ungkapan di mulut saya ‘kenapa aku’,” katanya.

Bagaimanapun, selepas bermuhasabah, dia kembali menguatkan hati dan menerima bahawa setiap anak adalah amanah Allah SWT.

“Mereka pun tak minta dilahirkan begitu, jadi saya cuba positif dan banyakkan bersabar,” luahnya.

Perjalanan membesarkan lima anak autisme bukan sekadar memerlukan kekuatan fizikal, malah turut menguji emosi seorang ibu. Namun, Nor Idah memilih untuk terus belajar menerima keadaan dan memberikan yang terbaik kepada setiap anaknya.

Baginya, kasih sayang dan kesabaran menjadi pegangan utama dalam memastikan anak-anak membesar dalam suasana keluarga yang penuh penerimaan.

“Lima Anak, Semuanya Autisme…” Ibu Tabah Anggap Anak Anugerah Terindah Allah
MOHD Afif (kiri) dan isteri, Nor Idah (dua dari kanan) meraikan kejayaan anak sulung, Muhammad Danish Arif (dua dari kiri) bersama anak lain. FOTO Ihsan Nor Idah Wagimin

Suami Jadi Kekuatan, Anak-Anak Hebat Bermain Catur

Di sebalik cabaran membesarkan lima anak autisme, Nor Idah bersyukur kerana suaminya sentiasa berada di sisi dan banyak membantu menguruskan anak-anak.

Ads

Menariknya, Mohd Afif yang merupakan jurulatih serta penganjur pertandingan catur turut mengajar kelima-lima anak mereka bermain permainan tersebut.

Hasil kesungguhan pasangan ini, ada antara anak-anak mereka yang berjaya mewakili pertandingan catur di peringkat daerah, negeri dan negara.

Kejayaan itu membuktikan bahawa anak-anak autisme juga mempunyai potensi dan bakat tersendiri apabila diberikan peluang, sokongan serta bimbingan yang sesuai.

Menangis Dalam Hati Bila Anak Dihina

Namun, Nor Idah tidak terlepas daripada menerima pandangan sinis segelintir masyarakat yang kurang memahami keadaan anak-anaknya.

Ada yang mengeluarkan kata-kata menyakitkan hati apabila melihat tingkah laku mereka yang berbeza daripada kanak-kanak lain.

“Ada yang kata anak saya tak betul dan macam orang gila hingga tanya bila nak bawa pergi berubat.

“Jujurnya kata-kata itu membuatkan saya menangis dalam hati dan tak bercampur sangat dengan orang,” katanya.

Ads

Bagaimanapun, lama-kelamaan Nor Idah belajar untuk tidak terlalu mempedulikan pandangan negatif dan memilih untuk terus memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak.

“Saya Tak Tahu Sampai Bila Akan Ada Dengan Mereka…”

Sebagai seorang ibu, harapan terbesar Nor Idah adalah untuk melihat kelima-lima anaknya mampu berdikari, bergaul dan membawa diri dalam masyarakat apabila dewasa kelak.

Dia juga berjanji akan terus menjaga dan membimbing mereka selagi hayat dikandung badan.

“Saya pun tak tahu sampai bila akan ada dengan mereka, tetapi saya berdoa semoga mereka sentiasa dalam lindungan Allah SWT serta berjaya di dunia juga akhirat,” katanya.

Sesungguhnya, kisah Nor Idah dan suami menjadi inspirasi tentang kasih sayang ibu bapa yang tidak mengenal batas.

Perjalanan keluarga ini juga mengingatkan masyarakat bahawa setiap individu autisme mempunyai keupayaan, minat dan potensi yang berbeza. Mereka wajar diberikan ruang untuk belajar, berkembang dan menjalani kehidupan dengan sokongan yang bersesuaian.

Setiap anak adalah anugerah yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Apa yang mereka perlukan bukan pandangan sinis masyarakat, sebaliknya penerimaan, kasih sayang dan peluang untuk menyerlahkan potensi diri.

BACA LAGI : MySejahtera Kini Ada Saringan Autisme Anak Seawal 18 Bulan, Ini Cara Nak Semak

Sumber : Harian Metro 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Keluarga Lain

“Vida Ada Ciri Isteri Sempurna…” Fazley Yaakob Dedah Sifat DSV Yang...

Fazley Yaakob Lamar Vida dalam kejutan romantis bernilai RM500,000, lengkap dengan cincin RM7,000 dan persembahan 1,200 dron di Kuala Lumpur.