
Hanya kerana bertengkar dengan adik, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun berdepan detik mencemaskan apabila bapanya bertindak meninggalkan anak di Tol Nilai, Negeri Sembilan.
Lebih menyayat hati, kanak-kanak berkenaan dilihat berpaut pada pintu belakang sebuah kereta sebelum terjatuh ke atas jalan raya. Kejadian yang dirakam menerusi video berdurasi kira-kira seminit itu turut tular di media sosial dan mengundang perhatian ramai.
Susulan kejadian tersebut, polis menahan bapa kanak-kanak terbabit, seorang lelaki warga China berusia 45 tahun, bagi membantu siasatan.
Insiden yang berlaku berhampiran Plaza Tol Nilai itu turut menjadi perhatian kerana melibatkan keselamatan seorang kanak-kanak yang terdedah kepada risiko bahaya di kawasan jalan raya.

Bapa Tinggalkan Anak Di Tol Nilai Selepas Bergaduh Dengan Adik
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya, lelaki berkenaan ditahan di sebuah kediaman di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira jam 12.15 tengah hari pada Selasa (10 November 2026).
Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan yang berlaku pada Isnin (9 November 2026).
Ketika kejadian, dia bersama ahli keluarga sedang dalam perjalanan dari Cheras menuju ke Pantai Bagan Lalang, Selangor, untuk beriadah melalui Lebuh Raya Utara-Selatan kira-kira jam 1 tengah hari.
Bagaimanapun, perjalanan keluarga itu bertukar tegang apabila anak sulungnya yang berusia 12 tahun bertengkar dengan adiknya.
Pertengkaran tersebut menyebabkan si bapa berang sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan, mengarahkan anak sulungnya keluar dan memarahinya di lokasi berkenaan.

Dakwa Mahu Beri Pengajaran, Anak Terjatuh Di Jalan Raya
Lebih mengejutkan, lelaki terbabit mengaku sengaja meninggalkan anak sulungnya di tepi jalan kerana mahu memberikan pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
Namun, tindakan itu mengundang bahaya apabila kanak-kanak berkenaan dilihat berpaut pada pintu belakang kereta yang sedang bergerak sebelum terjatuh ke atas jalan raya.
Lelaki itu mendakwa menyedari anaknya terjatuh lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik dan mengambilnya semula.
Kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Nilai bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Terdahulu, polis menerima laporan berhubung penularan video yang memaparkan kejadian berkenaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Marah Sekalipun, Keselamatan Anak Jangan Diabaikan
Kejadian ini menjadi peringatan buat semua ibu bapa bahawa kemarahan tidak seharusnya mengatasi pertimbangan, terutama ketika mendidik anak-anak.
Tidak dinafikan, pertengkaran antara adik-beradik boleh menguji kesabaran mak ayah. Namun, meninggalkan anak di kawasan berbahaya bukanlah cara yang selamat untuk memberikan pengajaran.
Anak mungkin melakukan kesilapan, tetapi keselamatan dan nyawa mereka tetap menjadi tanggungjawab ibu bapa.
Teguran boleh diberikan dengan tegas tanpa perlu membuatkan anak berasa terancam atau terdedah kepada bahaya.
Semoga kejadian ini menjadi iktibar buat semua mak ayah agar lebih berhati-hati dalam mengawal emosi ketika berdepan kerenah anak-anak.
BACA LAGI : Ibu Bapa Digesa Berwaspada: Lebih 1,000 Van Sekolah Tanpa Permit dan Insurans Dikesan di Kelantan
Sumber: Sinar Harian

