Ads

“Tak Mahu Susahkan Mak Ayah…” Duit Pernah Tinggal RM5, Akhirnya Anak Ini Raih Anugerah Pelajaran Diraja

Pernah hanya berbaki RM5 dalam dompet, malah terpaksa mengikat perut demi meneruskan pengajian. Namun, segala kesusahan itu tidak pernah mematahkan semangat Ahmad Jazmi Samsuddin, 27, untuk mengejar kejayaan.

Lebih menyentuh hati, anak muda ini sanggup melakukan pelbagai kerja sambilan kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya yang turut berdepan kesempitan hidup.

Segala pengorbanan akhirnya membuahkan hasil apabila Ahmad Jazmi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

Kejayaan ini cukup bermakna kerana di sebalik pengiktirafan tertinggi yang diterimanya, tersimpan kisah perjuangan seorang anak muda yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran sepanjang bergelar mahasiswa.

Ahmad Jazmi Samsuddin Pernah Duit Tinggal RM5, Sanggup Ikat Perut Demi Belajar

Graduan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM itu mengakui bukan mudah untuk meneruskan pengajian dalam keadaan kewangan yang terbatas.

“Tak Mahu Susahkan Mak Ayah…” Duit Pernah Tinggal RM5, Akhirnya Anak Ini Raih Anugerah Pelajaran Diraja
Ahmad Jazmi (kanan) dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-24 USIM di Nilai, Seremban baru-baru ini.

Anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Selangor dan dibesarkan di Merlimau, Melaka itu terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan sambilan bagi menampung perbelanjaan hariannya.

Antara pekerjaan yang pernah dilakukannya termasuk menjadi promoter makanan, melakukan kerja pertukangan, mengimpal besi dan mengambil upah katering.

Ads

“Selalu juga saya terpaksa ikat perut, malah pernah duit dalam dompet tinggal RM5 sahaja, tetapi sebab sudah biasa dengan keadaan begitu, saya okey sahaja.

“Saya buat macam-macam kerja sambilan kerana tidak mahu susahkan ibu bapa dan membuatkan mereka risau mengenai keadaan saya di universiti,” katanya.

Ayah Berkerusi Roda, Tak Mahu Bebankan Keluarga

Di sebalik perjuangannya, Ahmad Jazmi turut berdepan ujian apabila bapanya kini menggunakan kerusi roda akibat penyakit gout yang serius.

Bapanya juga pernah mengalami patah kaki selain berdepan masalah jantung.

Keadaan kesihatan bapa serta kekangan kewangan keluarga menjadikan Ahmad Jazmi lebih nekad untuk berdikari dan memastikan pengajiannya dapat diselesaikan dengan cemerlang.

Menurutnya, pesanan ibu bapa yang sentiasa menitikberatkan kepentingan ilmu agama menjadi kekuatan untuk terus melangkah walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

Ads

“Ibu bapa selalu mendidik saya bahawa belajar agama ini mungkin kita dapat sedikit sahaja di dunia tetapi lebih banyak ganjarannya di akhirat.

“Jadi, saya pegang nasihat itu dan tidak mahu jadikan kekurangan alasan untuk berhenti belajar,” katanya.

Ahmad Jazmi turut menghargai bantuan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM yang menyediakan kemudahan makanan menerusi program bank makanan kepada pelajar yang menghadapi masalah kewangan.

Bukan Sekadar Raih Ijazah, Turut Cipta Kejayaan Di Luar Negara

Walaupun terpaksa membahagikan masa antara belajar dan bekerja, Ahmad Jazmi tetap berjaya membuktikan kemampuan dirinya di peringkat antarabangsa.

Dia pernah menjadi pengajar utama program pendedahan tulisan Braille kepada kanak-kanak di Islamisches Zentrum Graz, Austria.

Selain itu, dia turut mewakili FPQS menjalani latihan industri di Universitas Islam Sultan Sharif Ali, Brunei.

Ads

Lebih membanggakan, Ahmad Jazmi turut menerima pengiktirafan ‘Best Paper’ dalam Regional Islamic Media Conference (RIMEC) di Brunei.

Kisah perjuangan Ahmad Jazmi membuktikan bahawa kesempitan hidup bukan penghalang untuk seseorang mencapai kejayaan.

Daripada hanya memiliki RM5 dalam dompet sehingga menerima Anugerah Pelajaran Diraja, kejayaannya menjadi bukti bahawa usaha, kesabaran dan semangat untuk membahagiakan ibu bapa mampu membawa seseorang melangkah jauh.

Semoga kisah anak muda ini menjadi inspirasi buat mereka yang sedang berjuang menuntut ilmu agar tidak mudah berputus asa meskipun diuji dengan pelbagai kesusahan.

BACA LAGI : Haroqs Terima Anugerah Khas UPSI, Titip Pesanan Jangan Pernah Berhenti Belajar

Sumber : Kosmo Online

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Keluarga Lain

BINGKAS 3.0 Dibuka! Berita Gembira Bantuan RM300 Sebulan

BINGKAS 3.0 dibuka 10 November 2026! Semak syarat kelayakan, cara mohon bantuan RM300 sebulan, dokumen diperlukan dan senarai kedai panel Selangor.