
Tragedi kepala air Sungai Pertak di Kuala Kubu Bharu, Selangor terus mengundang pilu apabila lima daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus ditemukan lemas, manakala tiga lagi masih hilang.
Empat mangsa terbaharu ditemukan pagi Selasa (10 November 2026), selepas seorang lelaki tempatan ditemukan meninggal dunia lebih awal pada jam 1.30 pagi.
Kejadian yang berlaku petang Isnin itu turut menyebabkan beberapa kumpulan pengunjung terkandas di kawasan rekreasi berhampiran.
Empat Lagi Mangsa Kepala Air Sungai Pertak Ditemukan Lemas
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, tiga mangsa ditemukan tersekat di kawasan Jambatan Senget berhampiran tapak perkhemahan Sungai Luit kira-kira jam 9.20 pagi.

Seorang lagi mangsa ditemukan pada jam 10.20 pagi berhampiran kawasan sama, kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian.
“Semua mangsa kini dalam usaha dikeluarkan oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.
Terdahulu, mangsa pertama dikenali sebagai V. Vijayan, 36 tahun, ditemukan meninggal dunia di kawasan Jambatan Pertak kira-kira jam 1.30 pagi.
Penemuan empat lagi mangsa itu menjadikan jumlah keseluruhan korban yang dilaporkan setakat pagi Selasa meningkat kepada lima orang.
Bagaimanapun, operasi pencarian masih belum berakhir kerana tiga lagi individu yang turut dihanyutkan arus masih belum ditemukan.
Tiga Lagi Mangsa Masih Dicari
Dalam kejadian petang Isnin (9 November), lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus susulan kejadian kepala air di beberapa lokasi sekitar Sungai Pertak.
Mangsa terdiri daripada seorang warga Yaman, empat warga India, seorang warga Nepal, seorang warga Sri Lanka dan seorang lelaki tempatan.
Bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang, operasi mencari dan menyelamat diteruskan dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor:
- Sektor A: Lata Jebus hingga Lubuk Pertak.
- Sektor B: Lubuk Pertak hingga Jambatan Dam.
- Sektor C: Kawasan Jambatan Dam.
- Sektor D: Kawasan empangan.
Selain mangsa yang dihanyutkan arus, beberapa kumpulan pengunjung turut dilaporkan terkandas di Lata Jebus, Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah.
Operasi SAR dijalankan oleh JBPM bersama beberapa agensi penyelamat lain.
Tragedi ini menjadi peringatan buat orang ramai, khususnya ibu bapa yang membawa keluarga beriadah di kawasan sungai dan air terjun, supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko kepala air yang boleh berlaku secara tiba-tiba.
Tanda Awal Kepala Air Yang Perlu Diberi Perhatian
Antara tanda awal yang perlu diperhatikan termasuk perubahan warna air sungai menjadi semakin keruh, peningkatan paras air secara mendadak serta kemunculan ranting atau kayu yang dihanyutkan arus.
- Bunyi deruan air yang semakin kuat dari arah hulu juga boleh menjadi petanda perubahan aliran sungai yang berbahaya.
Pengunjung yang menyedari tanda-tanda tersebut dinasihatkan supaya segera meninggalkan kawasan sungai dan bergerak ke tempat yang lebih tinggi serta selamat.
Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak sentiasa berada dalam pengawasan ketika melakukan aktiviti rekreasi berhampiran sungai atau air terjun.
Selain itu, orang ramai disarankan menyemak keadaan cuaca dan mematuhi sebarang arahan keselamatan atau penutupan kawasan rekreasi yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Semoga urusan pencarian tiga lagi mangsa dipermudahkan dan seluruh keluarga yang terlibat diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian berat ini.
BACA LAGI : Fenomena Kepala Air Musnahkan ‘Kundasang’ Kelantan, Dihanyutkan Arus Deras
Sumber: Sinar Harian

