
Bukan harga makanan yang menjadi ukuran, tetapi kegembiraan melihat ibu dan keluarga tersayang tersenyum. Itulah kepuasan yang dirasai seorang pemuda apabila berpeluang berkongsi rezeki hasil titik peluh sendiri.
Kisah Aiman Hakim belanja keluarga menggunakan hasil kerja sampingannya mencuri perhatian warganet selepas pemuda berusia 23 tahun itu membeli sembilan ketul ayam goreng dan enam burger ayam krispi untuk dinikmati bersama insan tersayang.
Lebih menyentuh hati, enam burger yang dibeli sengaja dipotong kepada tujuh bahagian supaya semua ahli keluarga dapat merasa.
Aiman Hakim Belanja Keluarga, Tak Tahu Nak Gambarkan Kepuasan
Menurut laporan Harian Metro, Aiman Hakim Abdul Mokhtar yang berasal dari Kampung Sri Langkas Tambahan berkata, dia tidak menyangka perkongsian sederhana mengenai kegembiraannya menjamu keluarga mendapat perhatian ramai.
“Tak tahu nak gambarkan macam mana kepuasan itu, saya bersyukur sangat kerana dapat berkongsi rezeki dengan keluarga walaupun ia tak seberapa,” katanya.
Aiman yang bekerja sebagai kakitangan kontrak bahagian pemprosesan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebenarnya belum menerima gaji pertama ketika itu.

Sebaliknya, dia menggunakan bayaran hasil kerja sampingan sebagai pengiring pengantin bagi istiadat silang pedang (sword bearer) untuk membelanja keluarganya.
Walaupun belum menerima gaji pertama daripada pekerjaan tetapnya, Aiman tetap berusaha mencari rezeki tambahan bagi menggembirakan ibu dan ahli keluarganya.
Baginya, peluang untuk berkongsi rezeki dengan keluarga memberikan kepuasan tersendiri, lebih-lebih lagi apabila melihat mereka menikmati makanan yang dibeli menggunakan hasil titik peluhnya.
Tunaikan Keinginan Ibu Nak Makan Ayam Goreng
Pada awalnya, Aiman merancang membawa keluarga makan di luar. Namun, apabila ibunya menyuarakan keinginan menikmati ayam goreng daripada sebuah restoran makanan segera, dia terus menunaikan permintaan tersebut.
“Jadi, saya beli sembilan ketul ayam dan burger ayam krispy kerana sudah niat.
“Waktu pulang ke rumah, nampak wajah teruja ibu dan adik malah saya pun seronok kerana jarang dapat makan satu keluarga memandangkan kerap juga bekerja lebih masa tapi Allah SWT izinkan kami berkumpul hari berkenaan,” katanya.
Lebih manis, Aiman sengaja membahagikan enam burger kepada tujuh bahagian agar semua ahli keluarganya dapat menikmati hidangan itu bersama-sama.
“Saya nak semua merasa kerana kami bertujuh… apa pun saya gembira dan percaya akan dimurahkan rezeki jika belanja keluarga,” ujarnya.
Mahu Terus Berbakti Kepada Ibu Ayah
Anak kedua daripada lima beradik itu mengakui sentiasa berusaha membantu keluarga mengikut kemampuan, termasuk membeli beras, makanan kucing dan memenuhi keperluan adik-adiknya.
Aiman yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) percaya bahawa pencapaiannya hari ini tidak terlepas daripada doa kedua-dua ibu bapanya, Siti Marlina Saman, 49, dan Abdul Mokhtar Abdul Azis, 50.
“Sebagai anak, saya mahu terus berbakti kepada mereka dan berharap perkongsian saya itu mengajak orang lain melakukan yang sama mengikut kemampuan mereka,” katanya.
Sesungguhnya, kisah Aiman membuktikan bahawa untuk membahagiakan keluarga, kita tidak perlu menunggu sehingga hidup mewah.
Kadangkala, sekadar sebungkus makanan yang dibeli dengan penuh keikhlasan sudah cukup untuk mencipta kenangan paling bermakna bersama insan tersayang.
BACA LAGI : Tak Kisah Berbelanja Besar Sambut Anak Pertama, Fila Amir & Suami Dipuji!
Sumber: Harian Metro

