
Kredit foto Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad: Berita RTM
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 semakin hampir. Pastinya ketika ini ramai ibu bapa sedang memberikan sokongan dan semangat kepada anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan penting dalam hidup mereka.
Namun, dalam kesibukan membuat persediaan, musim hujan dan risiko banjir turut menjadi kebimbangan, terutama bagi keluarga yang tinggal di kawasan berisiko.
Menurut laporan Berita RTM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah awal bagi memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan dengan lancar dan selamat sepanjang Monsun Timur Laut.
Calon SPM Berisiko Banjir Boleh Ditempatkan Di Asrama
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, KPM telah mengenal pasti kawasan berisiko banjir, termasuk lokasi yang sebelum ini tidak pernah terjejas.
Antara langkah yang diteruskan ialah menempatkan calon SPM yang dikenal pasti tinggal di kawasan berisiko banjir di asrama bagi mengelakkan mereka terputus laluan ke pusat peperiksaan.
KPM turut mengarahkan pembukaan bilik gerakan banjir dan bekerjasama dengan agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan kebajikan serta keselamatan calon terpelihara.
Lakukan Persediaan Awal Hadapi Banjir Demi Keluarga Anda
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak bakal menduduki SPM, persediaan awal amat penting.
Pastikan segala dokumen peperiksaan anak disimpan di tempat selamat, sentiasa mengikuti makluman pihak sekolah dan mendapatkan penjelasan awal sekiranya kediaman berada di kawasan berisiko banjir.
Jika laluan ke pusat peperiksaan berpotensi terjejas, ibu bapa disarankan segera berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui aturan yang disediakan.
Dalam masa sama, jangan abaikan emosi anak-anak. Mereka bukan sahaja sedang berdepan tekanan peperiksaan, malah mungkin turut risau memikirkan keadaan rumah dan keselamatan keluarga.
Apa yang paling penting, jangan biarkan anak-anak menanggung kebimbangan itu sendirian. Berikan sokongan dan yakinkan mereka bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Semoga segala persediaan yang dilakukan dapat membantu calon SPM 2026 menghadapi peperiksaan dengan lebih tenang, selamat dan lancar.
BACA LAGI: “Mama Hanya Ada SPM, Tapi Berjaya Didik Kami” Anak Raja Azura Pertahan Ibu
Sumber: Berita RTM

