
Berita gembira buat ibu ayah! Zoo Negara menawarkan kemasukan percuma kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun pada 21 dan 22 November 2026 sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia.
Inilah peluang untuk membawa anak-anak melihat pelbagai haiwan secara dekat sambil menikmati masa berkualiti bersama keluarga. Lebih menarik, pelbagai aktiviti, permainan dan hadiah turut disediakan sepanjang sambutan tersebut.
Zoo Negara Masuk Percuma, Ini Syaratnya!

Menerusi pengumuman di Facebook rasmi Zoo Negara, berikut maklumat penting yang ibu ayah perlu tahu:
- Tarikh: 21 & 22 November 2026 (Sabtu dan Ahad)
- Lokasi: Zoo Negara, Hulu Kelang, Selangor
- Kelayakan: Kanak-kanak warganegara Malaysia berusia 3 hingga 12 tahun
- Tiket: Percuma untuk kanak-kanak yang layak
- Dokumen wajib: MyKid atau sijil kelahiran asal anak
- Penebusan: Secara walk-in di kaunter Zoo Negara sahaja
Bagaimanapun, ibu ayah atau penjaga yang menemani anak-anak perlu membeli tiket dewasa seperti biasa, sama ada secara dalam talian atau di kaunter.

Lahir Bulan November Pun Boleh Dapat Tiket Percuma!
Selain promosi Hari Kanak-Kanak Sedunia, Zoo Negara turut menawarkan tiket percuma sempena hari lahir kepada warganegara Malaysia yang layak.
Tiket tersebut boleh ditebus pada tarikh kelahiran atau dalam tempoh 30 hari selepasnya, tertakluk kepada syarat promosi.
Jadi, buat ibu ayah yang belum merancang aktiviti hujung minggu, bolehlah simpan tarikh ini!
Bukan sahaja anak-anak dapat berseronok, malah mereka berpeluang mengenali pelbagai haiwan dan belajar tentang kepentingan menjaga hidupan liar.
Jangan lupa bawa dokumen asal anak dan semak syarat terkini sebelum berkunjung!
FT Image: Zoo Negara

