
Kasih seorang ibu tidak semestinya terjalin melalui pertalian darah. Itulah yang dibuktikan seniwati terkenal, Ogy Ahmad Daud atau Fauziah Ahmad Daud, yang meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang membesarkan anak angkat kesayangannya, Nuraminah Aishah.
Biarpun tidak dikurniakan cahaya mata kandung, kehadiran Nuraminah dalam hidupnya menjadi anugerah paling bermakna, sekali gus membolehkan pelakon veteran itu merasai nikmat bergelar seorang ibu.
Terbaharu, Ogy berkongsi ucapan penuh kasih sayang sempena ulang tahun kelahiran Nuraminah yang kini genap berusia 19 tahun.
Ucapan tersebut bukan sekadar meraikan hari istimewa anak kesayangannya, malah menggambarkan betapa besar rasa syukur seorang ibu yang diberi peluang menjaga dan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang.
Ogy Ahmad Daud Syukur Diberi Peluang Menjadi Ummi
Menerusi perkongsian di media sosial, Ogy menzahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan menjaga, mendidik dan melihat anak kesayangannya membesar menjadi seorang gadis yang baik.
Malah, Ogy turut menyifatkan Nuraminah sebagai anak yang tidak banyak kerenah, tidak suka meminta-minta dan sentiasa mendengar kata.
“19 tahun anak dara saya hari ni. Doakan yang baik-baik buat anak yang tidak pernah meminta-minta dan dengar kata. Alhamdulillah.
“Terima kasih Allah mengizinkan saya menjaga dan mendidik Nuraminah Aishah.
“Dapat merasa nikmat ada anak dan menjadi seorang ummi. Ummi sayang Aminah sangat tau,” luahnya penuh kasih sayang.
Kasih Ibu Tidak Mengenal Pertalian Darah
Untuk rekod, Ogy telah menjaga Nuraminah sejak kecil dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang serta perhatian.
Sepanjang membesarkan anak tunggal kesayangannya itu, Ogy turut menitikberatkan aspek pendidikan dan pembentukan sahsiah agar Nuraminah membesar menjadi insan yang berilmu serta berdikari.
Lebih menyentuh hati, Nuraminah turut membalas kasih sayang ibunya dengan ucapan ringkas, “Terima kasih Ummi,” ketika meraikan hari kelahirannya.
Sesungguhnya, kisah dua beranak ini membuktikan bahawa kasih seorang ibu bukan hanya diukur melalui pertalian darah, tetapi melalui pengorbanan, didikan dan cinta yang dicurahkan tanpa berbelah bahagi.
Semoga Nuraminah terus membesar menjadi anak yang solehah, berjaya dan sentiasa membahagiakan ummi tersayang.
Sumber: SinarPlus / Sinar Harian

