
Hanya dua negeri iaitu Selangor dan Kedah telah meminda undang-undang bagi menetapkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi orang Islam, manakala negeri-negeri lain masih tertakluk kepada pertimbangan dan proses perundangan masing-masing.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu (11 November 2026).
Menurut beliau, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus berusaha menyelaraskan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di seluruh negara secara berperingkat.

Kerajaan Usaha Selaraskan Umur Minimum Perkahwinan 18 Tahun
Nancy menjelaskan, usaha menyeragamkan had umur perkahwinan memerlukan kerjasama rapat dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa agama serta agensi berkaitan.
Ini kerana urusan undang-undang keluarga Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita cuba nak selaraskan seluruh negara, tetapi oleh kerana hal perkahwinan ini di bawah kuasa kerajaan negeri, kita akan melakukan yang terbaik untuk memastikan semua negeri akan bersama dengan Persekutuan dan bersetuju cara yang kita nak menyelesaikannya (perkahwinan bawah umur),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai usaha kerajaan menyeragamkan had umur minimum perkahwinan.
Menurut Nancy, kementeriannya turut mengetengahkan risiko perkahwinan bawah umur terhadap pendidikan, kesihatan, keselamatan dan masa depan kanak-kanak dalam sesi libat urus bersama kerajaan negeri.
1,361 Kes Perkahwinan Bawah Umur Direkodkan
Dalam perkembangan sama, Nancy mendedahkan sebanyak 1,361 kes perkahwinan melibatkan individu bawah umur 18 tahun direkodkan sepanjang 2024, berbanding 923 kes pada 2023.
Sementara itu, sebanyak 1,467 kes direkodkan pada 2019.
Statistik tersebut merangkumi perkahwinan yang didaftarkan mengikut undang-undang sivil, syariah dan adat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa peningkatan jumlah kes yang direkodkan pada 2024 antara lain dipengaruhi ketersediaan data yang lebih teratur di Sarawak.
Dua Kajian Dijangka Siap Awal 2027
Nancy turut memaklumkan bahawa dua kajian berkaitan isu perkahwinan bawah umur dijangka selesai pada awal 2027.
Kajian berkenaan melibatkan keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020–2025 serta faktor risiko dan strategi pencegahannya.
Hasil kajian itu akan digunakan bagi mengenal pasti jurang pelaksanaan dan merangka tindakan susulan yang lebih berfokus serta berasaskan bukti.
Perkahwinan bukan sekadar soal usia, sebaliknya melibatkan tanggungjawab besar dari segi emosi, kewangan dan kehidupan berkeluarga.
Bagi anak-anak yang masih dalam proses membesar, peluang mendapatkan pendidikan, perlindungan dan kehidupan yang selamat amat penting sebelum mereka memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
Justeru, usaha menangani isu perkahwinan bawah umur perlu diberi perhatian demi menjaga kebajikan serta masa depan generasi muda.
BACA LAGI : 54 Tahun Berkahwin, Pasangan Warga Emas Ini Masih Romantik Macam Pengantin Baru
Sumber: Astro Awani

