
Pernah memuji Datuk Seri Vida (DSV) sebagai wanita yang memiliki ciri-ciri isteri sempurna, penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob akhirnya membuktikan keseriusan hubungan mereka apabila melamar usahawan terkenal itu dalam sebuah majlis penuh kejutan.
Lamaran romantis Fazley Yaakob terhadap Vida itu berlangsung di Konsert Live 11.11 Mega Shock di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada malam Selasa (10 November 2026), disaksikan anak-anak daripada kedua-dua keluarga.
Lebih manis, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 56, menerima lamaran Fazley, 48, dengan penuh rasa sebak dan terharu.
“Jawapan saya yes, yes dan yes (ya), terima kasih sayang. Adakah ini permulaan kepada semua benda besar termasuk doa untuk berbahagia dengan pasangan.
“Ini semua pembuka pintu kepada kebahagiaan itu,” katanya.

Fazley Yaakob Pernah Puji Vida Ada Ciri Isteri Sempurna
Sebelum ini, Fazley pernah mengakui kagum dengan keperibadian Vida, terutama cara usahawan itu membesarkan dua anaknya, Cik B dan Kacak.
“Sebagai seorang lelaki, pada saya Vida ada ciri-ciri isteri yang sempurna. Saya lihat cara dia menjaga Cik B dan Kacak, saya sangat kagum kerana dia sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.
“Saya juga kagum dengan kelebihannya. Dari sudut agama, dia bagus, begitu juga dalam membesarkan anak-anak dan menguruskan perniagaan,” katanya seperti dilaporkan BH Online sebelum ini.
Malah, Fazley pernah menegaskan bahawa penerimaan anak-anak menjadi perkara penting sekiranya dia mahu membina rumah tangga sekali lagi.
Lamar Vida Dengan Cincin RM7,000
Dalam majlis penuh kejutan itu, Fazley menghadiahkan sebentuk cincin bernilai RM7,000 ciptaan Habib Jewel yang direka khas menyerupai tiara, diinspirasikan daripada kegemaran Vida memakai mahkota.
Lamaran tersebut turut diserikan dengan persembahan 1,200 dron membentuk mesej ‘Nak Duduk Ipoh ke KL?’, selain persembahan lagu Di Alam Fana Cinta.
Menurut Fazley, kejutan itu dirancang sejak dua hingga tiga minggu lebih awal, dengan anggaran kos keseluruhan acara termasuk tajaan mencecah RM500,000.
Bagaimanapun, Fazley menjelaskan cincin tersebut bukan cincin pertunangan, sebaliknya simbolik lamaran bagi membuktikan hubungan mereka benar-benar serius dan bukan sekadar gimik media sosial.
Terdahulu, hubungan mereka mula menjadi perhatian selepas sama-sama terlibat dalam program realiti Talk To My Manager musim kedua sekitar Mei lalu.
Daripada sekadar berkawan, kini Fazley dan Vida melangkah ke fasa lebih serius. Semoga segala perancangan pasangan ini dipermudahkan dan mendapat restu keluarga tersayang.
BACA LAGI : Fazley Yaakob & Azrene Soraya Kekal Rutin Makan Bersama Anak-anak Walaupun Sudah Berpisah
Sumber: BH Online

