Adrian Adam anak kedua Amyza Adnan dipuji kuat dan tabah harungi kanser serta kehilangan abang tersayang dalam satu tempoh yang begitu menguji emosi sebuah keluarga. Di saat ramai mungkin rebah dengan satu ujian, Adrian atau mesra disapa Ian berdepan dua dugaan besar dengan penuh ketenangan.
Kisah ketabahan anak kepada pelakon Amyza Adnan ini mula meraih perhatian apabila satu perkongsian dimuat naik di Threads yang memperlihatkan Adrian berada di sebuah masjid dalam keadaan duduk di atas kerusi. Walaupun fizikalnya tidak lagi sekuat dulu, semangatnya jelas tidak pernah luntur untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Adrian Adam Pejuang Kanser Yang Tidak Pernah Merungut
Dalam hantaran tersebut, kapsyen yang ditulis cukup menyentuh hati ramai.
“Ian kuat. Dalam melawat sakit, awak tak pernah merungut sedikit pun.”
Sebagai seorang pejuang kanser, Adrian Adam dilihat sangat tenang melalui rawatan dan ujian kesihatan yang dihadapinya. Tiada keluhan, tiada rungutan, sebaliknya memilih untuk menerima takdir dengan sabar.
Bagi seorang ibu, melihat anak yang sedang sakit namun tetap tersenyum dan tidak mengeluh adalah satu kekuatan luar biasa. Ketabahan inilah yang membuatkan ramai warganet tersentuh dan tidak putus-putus menitipkan doa.
Ads
Dalam situasi yang amat mencabar ini, kekuatan mental dan spiritual memainkan peranan besar. Berdepan rawatan berterusan bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap sesi rawatan memerlukan keberanian, kesabaran dan keyakinan yang tinggi. Namun Adrian terus melangkah dengan hati yang reda.
Adrian Adam, 18, anak kepada Amyza Azman ditemui media selepas seleasai pengebumian Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang. FOTO AZIAH AZMEE
Ujian Berganda Buat Adrian Adam: Kehilangan Abang Tersayang
Lebih memilukan, Adrian turut diuji dengan kehilangan abang tersayang, Allahyarham Andre Mikhail yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada jam 10.15 malam Isnin sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada jam 10.40 pagi selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah, Keramat AU3, Kuala Lumpur.
Kehilangan seorang abang bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi dalam keadaan diri sendiri sedang berjuang melawan penyakit. Namun Adrian memilih untuk terus kuat dan tidak membiarkan kesedihan menguasai dirinya.
Ads
Ujian berganda ini benar-benar menguji kekuatan emosi sebuah keluarga. Dalam masa yang hampir serentak, mereka perlu menerima hakikat kehilangan insan tersayang dan dalam masa yang sama terus memberi sokongan kepada ahli keluarga yang sedang bertarung dengan penyakit.
Namun di sebalik kesedihan itu, terserlah nilai kasih sayang yang begitu mendalam. Setiap detik yang dilalui menjadi bukti bahawa kekuatan sebuah keluarga terletak pada sokongan dan doa yang tidak pernah putus.
Doa & Sokongan Warganet Buat Adrian Adam dan Keluarga
Di ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa kagum terhadap kekuatan Adrian Adam. Tidak kurang juga yang mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan sepenuhnya serta dipermudahkan segala urusan rawatan.
Ramai menyifatkan ketabahan ini sebagai satu inspirasi buat mereka yang sedang melalui ujian kehidupan. Dalam dunia yang sering kali penuh dengan keluhan, melihat seorang anak muda memilih untuk diam dan bersabar memberi kesan mendalam kepada masyarakat.
Ads
Kisah ini bukan sekadar cerita tentang seorang anak selebriti, tetapi tentang kasih sayang, reda dan kekuatan sebuah keluarga menghadapi ujian Allah SWT. Dalam setiap dugaan, pasti ada hikmah yang tersembunyi.
Sebagai ibu, Amyza Adnan pastinya melalui detik paling sukar dalam hidupnya. Namun doa seorang ibu tidak pernah terhenti, dan kekuatan seorang anak pula menjadi sumber semangat untuk terus berdiri.
Semoga Adrian Adam terus diberikan kesembuhan, dipanjangkan usia dalam keberkatan dan sentiasa berada dalam lindungan-Nya. Buat keluarga ini, semoga terus tabah dan dikelilingi kasih sayang yang tidak pernah putus. Aamiin.
Kita sering bercakap tentang betapa besarnya pengorbanan ibu dan ayah dalam membesarkan anak-anak. Siang malam memerah keringat mencari rezeki, demi menjanjikan hidup yang lebih sempurna untuk anak-anak. Ya, melakukan pengorbanan ini setiap ibu ayah akan lakukan dengan sepenuh hati.
Pun begitu, kita juga sering terdengar kisah-kisah menyentuh bilamana ada anak yang telah besar panjang, berkira-kira untuk menguruskan ibu dan ayah yang telah uzur dikampung. Begitu banyak alasan diberikan, namun tidak bagi Mohamad Adam Nasrudin, yang merupakan anak ke lapan daripadan sembilan adik beradik ini.
Baginya, biarlah tugas itu digalas dibahunya untuk memberikan khidmat buat ibu Puan Haizan Che Mohamed yang tidak mampu lagi mengurus diri dek kerana serangan penyakit angin ahmar.
Memetik laporan daripada Harian Metro, anak lelaki ini bila mendapat tahu tahap kesihatan ibunya, terus mengambil keputusan pantas bertindak memberi notis berhenti kerja 24 jam untuk balik ke kampung demi menjaga ibu.
“Adik beradik yang lain sudah berumah tangga dan menetap di luar Kelantan, jadi atas sebab itu saya mengambil tanggungjawab menguruskan emak sepenuh masa.
“Setiap hari, rutin saya bermula dengan menyuap emak makan kerana dia seorang kidal dan tidak dapat menyuap menggunakan tangan kanan.
“Untuk mandi pula, saya perlu mengangkat emak dan meletaknya atas kerusi roda sebelum dimandikan dalam bilik air.”
Anak kelapan daripada sembilan adik beradik ini, secara bergilir-gilir dengan abangnya menguruskan ibu yang terlantar dek kerana lumpuh sebelah badan. Tanggungjawab ini dipikul kerana ayahnya juga telah uzur dan tidak mampu mengurus isterinya.
Menurut laporan Harian Metro lagi, Ketika ditanya sama ada timbul atau tidak perasaan menyesal kerana melepaskan kerjaya di syarikat tempatnya bekerja sebelum ini, Mohamad Adam berkata, keputusan itu diambil selepas memikirkan semasak-masaknya malah tidak kesal demi membalas jasa ibunya.
“Saya turut berdoa semoga emak akan sembuh suatu hari nanti dan saya mampu kembali bekerja demi masa depan.
“Buat sementara ini, biarlah saya terus berkorban bagi memastikan emak tidak terabai dan sudah semestinya sebagai anak wajib menjalankan tanggungjawab menjaganya,” katanya.
Jangan risau mak-mak, bila anak nak peperiksaan kita pula yang risau lebih kan. Suami pula rilekas je. Memang setiap ibu bapa inginkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Sebab itu apabila tiba peperiksaan, ibu yang akan stres dulu. Anak yang stres lagi akan bertambah stres.
Perkongsian oleh Saudara Ammar Kamilin boleh menjadi panduan bersama terutama anak yang hendak menghadapi peperiksaan.
.
Lama dah menerima mesej seorang rakan yang mengadu anaknya ‘blur’ ketika menjalani peperiksaan.
Entah macam mana, akibat kesibukan, terlepas memberi respon kepada pertanyaan si ibu. Sampailah dia sendiri lalu di kubikal sambil mengintai dan ‘mengusik’, “Tak sudi ke nak jawab soalan saya.”
Aduhai. Maaf ya kawan.
Baik, saya tulis isu ini untuk umum, supaya lebih ramai mendapat manfaat.
Banyak sebenarnya kajian telah dilakukan mengenai kesan peperiksaan kepada anak-anak kita. Terutama pada anak-anak di sekolah menengah dan universiti.
Tetapi, akhir-akhir ini, kesan yang seakan serupa mula menjangkiti anak-anak di sekolah rendah.
Peperiksaan awam (standard exam) dalam banyak kajian dikatakan menyebabkan ‘stress’ melampau kepada anak-anak.
Mungkin kerana aktiviti ‘membanding’ sudah lebih mudah diaktifkan di media sosial.
Anak-anak bukan saja dibandingkan keputusan dengan sepupu sepapat di kampung, tetapi kawan-kawan facebook yang jumpa pun tak pernah! (kenal sebab sama-sama masuk group memasak)
Keinginan sendiri dan kehendak ibu bapa untuk mendapatkan keputusan terbaik nyata memburukkan keadaan bagi sesetengah pelajar.
‘Stress’ itu sendiri memang diperlukan untuk menolak seseorang melakukan usaha lebih daripada biasa bagi mencapai keputusan diinginkan.
Tetapi perlu ada ‘balance’ antara ‘stress’ dan ‘rest’.
Belakang tengkuk mula tegang, mata mulai kabur, tapak tangan mudah berpeluh, itu adalah tanda fizikal, ‘test anxiety’.
Dari segi emosi, anak tiba-tiba mahu menangis, di saat akhir, dia berhenti belajar dan termenung, jadi mudah marah-marah.
Kognitif (fikiran), juga mula kacau, tiba-tiba lupa apa yang dibaca, hilang fokus pada guru yang mengajar dan khayal dalam kelas.
Semua yang disebut, adalah simptom ‘risau nak periksa’.
Ibu bapa, kena ‘alert’ keadaan ini pada anak-anak.
Pada masa sama, kita sendiri, mungkin alami perkara yang sama, jadi langkah seterusnya ini adalah untuk anak-anak dan kita sendiri lakukan.
(selepas ini, apabila saya tulis ‘kita’, bermaksud anak-anak dan diri kita sebagai ibu bapa)
1. Fikir dan Cakap-Cakap Positif
Memang, semakin hampir hari peperiksaan, semakin tak cukup nafas rasanya. Macam ikan, tak dapat oksigen.
Mulalah otak fikir segala macam benda negatif. Banyak lagi tak cover. Banyak lagi belum buat. Tak cukup tuisyen lagi. Macam-macam.
Lepas tu, mulalah terbayang slip peperiksaan anak ada C, ada D dan paling gigil tahap tahan kencing, ada F!
Fuh, ngilu.
Relaks mak-mak!
(ayah tak payah sebut, dari darjah 1 memang relaks manjang. Heh, marahlah tu!)
Fikir yang baik-baik. Cakap dengan anak yang baik-baik.
Mereka dah usaha sehabis baik. Segala kerja rumah dah buat. Segala kelas tambahan hadir. Segala tuisyen pergi. Semua tip dalam tangan. Tidur beralas nota. So, apa lagi nak risau?
Keputusan tak bagus?
Belum penamat lagi. Peperiksaan hanya mengukur satu cabang pengetahuan yang mereka perlu tahu. Mungkin ada banyak lagi perkara yang mereka lebih tahu.
Dapat keputusan bagus, kita positif. Galakkan anak terus belajar.
Dapat keputusan kurang bagus, positif juga. Cakap pada anak, kita akan teroka bidang baharu yang sesuai dengan diri dia.
Pendek kata, jangan diratib, ‘kalau gagal, kalau teruk, kalau dapat F, dan semua kalau-kalau itu, hentikan. Permainan syaitan semua tu.
Apa saja keputusan, di sisi Tuhan, baik semuanya. Sudah disusun aturannya. Kita saja belum nampak.
Yakin saja, anak kita akan ambil peperiksaan sebaiknya. Tak perlu risau keputusan akhirnya.
Keputusan peperiksaan itu penting, tetapi tak mungkin satu peperiksaan boleh memusnahkan hidup mereka. Ada pilihan lain. Insya-Allah.
2. Bercakap dengan cikgu.
Anak kita tidak semestinya lemah semua subjek. Mungkin subjek tertentu saja. Jadi, banyakkan komunikasi dengan guru subjek itu. Pantau perkembangan anak dari semasa ke semasa.
Jika makin baik, Alhamdulillah.
Jika tak berubah, sudah sampai masa kita terima hakikat, anak kita perlu masa lebih daripada orang lain untuk memahami subjek itu. Mungkin bukan sekarang. Akan datang.
Kerap berkomunikasi dengan guru boleh mengurangkan tekanan ibu bapa, kerana apa yang terpendam diluahkan pada orang yang tepat.
3. Turunkan Palang Jangkaan
Syukur anak kita diberikan kelebihan lain oleh Allah.
Dia ada kesihatan yang baik.
Dia ada bakat bersukan mungkin. Dia banyak menghasilkan lukisan.
Dia banyak menulis puisi yang puitis dan mendalam.
Dia suka membantu kita tanpa disuruh.
Dia datang memicit kepala kita apabila pening balik bekerja.
Anak kita ada kelebihan lain. Bukan akademik semata-mata.
Akademik penting, tetapi kemahiran dan sikap juga sama penting.
Jika kita dapat mengawal ‘expectation’ kita pada anak-anak, mereka juga akan lebih tenang.
Tanpa kita sedar, pengharapan terlalu tinggi itu yang menekan anak-anak. Kita sendiri mengalami ‘test anxiety’.
Apabila tak sampai apa yang diidam, kita mula tegang dan marah-marah. Kita mahu perubahan keputusan yang cepat pada anak-anak. Kita tak dapat sabar menunggu.
Akhirnya, anak-anak belajar dalam ‘pace’ yang berterabur. Tiada rentak yang menyeronokkan. Semuanya bercelaru.
Hasilnya, bukan lebih baik. Malah merudum dan menakutkan.
Belajar seharusnya menyeronokkan dan meraikan ‘daya inkuiri’ anak-anak. Tidak terarah pada keputusan akhir semata-mata.
Parents,
Kawal kerisauan kita. Bagaimana?
Sentiasa syukur apa yang sudah kita miliki dan rasai.
Redha dengan apa saja yang akan dihadapi.
Yang berlaku, pasti susunan terbaik Allah.
Risau kita boleh berjangkit pada anak-anak. Kasihan mereka.
Percayalah, apa pun keputusan yang keluar nanti, anak kita masih anak yang pandai. Pandai dalam pengetahuan yang Allah tetapkan untuk dia.
Dia mungkin bukan jurutera yang membina pencakar langit megah, tetapi dia seorang chef yang masakannya sanggup orang beratur melimpah-limpah.
Dua-dua membanggakan, kan.
4. Asah Kemahiran Menjawab
Peperiksaan memang ada ‘trick’. Tak semestinya pandai konten subjek baru boleh skor.
Ada anak yang dapat keputusan baik kerana punyai kemahiran menjawab yang bagus.
Soalan karangan, dia pandai membuat rangka.
Soalan objektif, dia pandai menyisih jawapan sehingga tinggal 2 pilihan untuk ditembak.
Soalan subjektif, dia tahu memetik isi.
Teknik menjawab sama penting dengan pengetahuan tentang subjek.
Minit akhir ni, tak perlu tekan pada konten. Asah teknik menjawab. Biar anak betul-betul mahir ‘helah’ peperiksaan.
Insya-Allah, boleh elakkan ‘blur’ dalam peperiksaan.
5. Elakkan Makanan Berat.
Pagi peperiksaan, elok ambil makanan yang cepat dicerna. Roti, kurma, buah-buahan.
Kita tak mahu oksigen yang diperlukan untuk ke otak berlumba-lumba dengan proses pencernaan nasi lemak. Sambal pula, tak mahu tiba-tiba sakit perut disebabkan tak tahan pedas.
Kesihatan penting. Bukan saja kita nak anak fit badannya (tak demam) untuk hadap peperiksaan, kita juga nak perut mereka nyaman.
6. Berpakaian selesa dan bersiap selengkapnya.
Pakaian yang selesa sangat membantu kesediaan anak dalam dewan peperiksaan. Kita tak mahu semasa beratur masuk dewan, seluar anak terlucut disebabkan tali pinggang terputus! Jika mampu, berikan mereka pakaian baru. Biar sampai kawan sebelah bisik, “Psst, bau kedai!”
Segala pensil, pemadam, pembaris, sediakan juga yang baru dan lengkap. Tanda sokongan penuh kita pada anak. Pembaris gigi-gigi yang dah boleh buat sikat tak perlu bawa!
7. Abaikan Provokasi
Pesan pada anak, jangan tengok kiri kanan dalam dewan peperiksaan. Fokus pada diri sendiri.
Masa exam ni memang banyak kelakuan provokasi.
Orang sebelah kanan, baru tulis 30 minit, dah hantar kertas.
Dia mula goyang!
Padahal budak tu memang tak boleh jawab dah. Bendera putih terus. Anak kita yang panik.
Jeling kiri, budak tu dah tulis 10 muka surat, yang anak kita baru 2 muka surat, panik lagi!
Abaikan! Budak tu mungkin tulis novel lepaskan geram sebab bengang dengan soalan spot yang cikgu bagi tak keluar.
Paling best, kawan tidur berdengkur. Siap sedut leleh.
Ini lagilah kena abaikan.
Sah tidur lewat, study last minute. Penyudahnya waktu exam, barai!
8. Ambil masa tenang dan rehat.
Jangan takut untuk berhenti sebentar. Menulis terus menerus akan memenatkan. Tunjuk anak cara urutan sekeliling mata dan picitan tengkuk. Ajar regangan jari, tangan dan bahu, supaya mereka sedikit tenang dan segar untuk menulis semula.
Secara tak langsung, tekanan dapat diredakan.
9. Senyum dan Ceria
Setiap pagi peperiksaan, pastikan mood seluruh ahli keluarga dalam keadaan ceria. Semua digalakkan untuk senyum dan elak dari bercerita masalah-masalah atau mengumpat orang lain.
Parents,
Sepanjang tempoh ini. Elak pergaduhan suami isteri dan bermasam muka.
Sediakan ‘positive vibes’.
Sebaiknya guru di sekolah juga ‘happy’ untuk sokong anak-anak mengambil peperiksaan. Tiada lagi unsur menakut-nakutkan mereka dengan kegagalan. Masa motivasi ‘takut’ sudah tamat.
Ajak pelajar berdoa supaya Allah lancarkan urusan, alirkan ilham jawapan dan tenang seperti kapal besar di lautan.
***
10. Doa
Doa sepatutnya langkah yang pertama, tetapi diletak sebagai pengakhiran supaya kuat melekat di ingatan.
Saya percaya, ibu bapa sudah berdoa untuk kebaikan anak-anak sejak mereka dalam perut lagi. Hingga hari ini, kita tak berhenti mendoakan anak-anak.
Teruskan berdoa.
Percayalah ibu, bapa, apa saja keputusannya nanti, ada hikmah yang kita belum nampak.
Apa yang kita impi, Allah telah susun laluannya untuk sampai. Tetapi jalannya mungkin tidak terjangkau akal kita.
Gred yang diperoleh tidak membayangkan harga diri mereka. Anak-anak lebih bernilai dari keputusan itu.
Anak itu yang kita mundar-mandir menunggu kelahirannya dan menangis ketika mengazankannya.
Anak yang sama.
Tidak harus berbeza kasihnya, walau apa keputusannya. Dia tetap anugerah paling bernilai untuk kita.
*****
Selamat bertenang dan ‘enjoy’ menjawab peperiksaan!
Malang tidak berbau. Seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar maut selepas terkena kipas siling ketika bermain bersama bapa saudaranya dalam kejadian di sebuah rumah di Tasik Tambahan Ampang.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam Ahad itu, bapa saudara mangsa dipercayai telah melambung kanak-kanak berusia dua tahun berkenaan menyebabkan kepalanya terkena kipas siling dan cedera.
Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Noor Azmi Yusof memberitahu pemberita, perintah reman bermula hari ini sehingga 25 Jun ini bagi meneruskan siasatan ke atas lelaki berusia 25 tahun itu yang ditahan semalam.
Menurutnya kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas bapa mangsa membuat laporan polis susulan insiden yang juga warga Myanmar berhubung kejadian menimpa anaknya.
“Pengadu berada di Butterworth atas urusan kerja sejak tiga bulan lalu manakala kejadian berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat di Tasik Tambahan, di sini, kelmarin,” ujarnya.
Noor Azmi berkata hasil temubual polis bersama isteri pengadu memaklumkan anak saudara lelakinya yang juga warganegara Myanmar bermain dengan mangsa telah melambung mangsa yang sedang menangis.
“Mangsa terkena kipas siling menyebabkan kecederaan di bahagian kepala mangsa.
Ibu mangsa bersama abangnya telah membawa mangsa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan namun keesokannya pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat,” jelasnya.
Tambah beliau hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa mengalami ‘severe head injury due to blunt trauma.
Noor Azmi berkata siasatan telah dijalankan oleh pihak polis di tempat kejadian iaitu bahagian dapur sebuah rumah teres dua tingkat di Tasik Tambahan Ampang, Ampang, Selangor.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di