Kita biasanya disarankan agar minum sekurang-kurangnya 8 gelas air masak setiap hari. Namun bergantung kepada keadaan dan situasi juga.
Namun kini kita semua sedang menjalani ibadah berpuada di bulan Ramadan. Sudah tentu kita tidak dapat minum air pada waktu siang sehingga waktu berbuka puasa. Tentu risau kerana tidak dapat minum air yang secukupnya untuk keperluan badan. 60% ke 70% daripada badan kita adalah air. Tubuh badan kita amat memerlukan air untuk menyelaraskan suhu badan.
Akibat kekurangan air, badan akan mengalami hidrasi dan mengakibatkan badan kita lemah, letih, tidak bertenaga, pening, pitam, sakit tekak, demam, kulit akan menjadi kering, gatal-gatal, mengelupas dan yang lebih teruk lagi bila stroke haba terjadi.
Malah jika kurang minum air, ia akan meningkatkan risiko terkena penyakit seperti batu karang, sakit kepala, sakit sendi dan otot, lesu pada wajah dan kehausan. Air kencing juga akan berbau kuat dan berwarna kuning pekat yang menandakan seseorang itu mengalami hidrasi.
Berikut jadual yang boleh kita ikuti sepanjang bulan puasa atau untuk hari-hari lain ketika kita berpuasa ganti atau sunat.
Tips yang disyorkan :
Cadangan minum air ketika puasa:
Minum air :
1 gelas – Selepas bangun dari tidur untuk bersahur
1 gelas – Selepas sahur
1 gelas – Selepas azan maghrib
1 gelas – Selepas solat maghrib
1 gelas – Selepas makan
1 gelas – Selepas solat isyak
1 gelas – Selepas solat tarawih
1 gelas – Sebelum tidur
Semoga kita menjaga kesihatan dan memastikan tubuh sentiasa sihat dan segar walaupun menjalani ibadah puasa.
Dr Ni Kata Sesiapa Pun Berisiko Dapat Apendiks & Bukannya Sebab Termakan Biji Cili Atau Biji Jambu. Sila Takenote!
Sejak kecil lagi kita selalu dimomokkan kesan biji cili atau biji jambu sebagai penyebab apendiks. Dek kerana itu menyebabkan ada yang takut makan pedas, bimbang kesannya pada kesihatan.
Pun begitu, sebenarnya betulkah atau sekadar mitos sahaja?
Mengetahui jawpan yang lebih tepat, jom kita baca perkongsian daripada seorang doktor ini diakaun facebook. Menurut Dr Zubaidi, “Sebenarnya tiada kajian saintifik membuktikan apendiks disebabkan pemakanan apatah lagi dikaitkan dengan cili dan jambu batu. Mungkin ia hanya petua masyarakat terdahulu yang melarang pengambilan cili dan jambu batu kerana boleh menyebabkan sakit perut. Namun dari sudut perubatan ia tidak dapat dibuktikan.”
Untuk lebih detail lagi jom baca perkongsian penuh daripadanya di bawah ini.
BENARKAH BIJI CILI BOLEH JADI PUNCA APENDIKS?
Kita sering dimomokkan dengan kata-kata jangan makan cili atau biji jambu batu kerana boleh menyebabkan apendiks. Larangan ini sering bermain dalam fikiran sehingga wujud rasa takut setiap kali ingin mengambil makanan pedas.
Sebenarnya tiada kajian saintifik membuktikan apendiks disebabkan pemakanan apatah lagi dikaitkan dengan cili dan jambu batu. Mungkin ia hanya petua masyarakat terdahulu yang melarang pengambilan cili dan jambu batu kerana boleh menyebabkan sakit perut. Namun dari sudut perubatan ia tidak dapat dibuktikan. Malah sesiapa saja berisiko mengalaminya walaupun tidak makan biji makanan seperti yang dinyatakan.
Hakikatnya, segala makanan yang keras seperti biji cili dan sebagainya akan hancur di dalam perut disebabkan oleh asid perut. Selepas hancur sepenuhnya, barulah ia akan masuk ke usus untuk proses pembuangan najis.
Jadi, pemakanan bukanlah punca radang apendiks. Tetapi, apakah punca sebenar ia berlaku?
Radang apendiks (appendicitis) bukanlah sejenis penyakit tetapi satu keadaan di mana pundi apendiks (vermiform apendiks) tersumbat. Untuk anda yang belum tahu, ia adalah satu struktur berbentuk tiub yang terletak pada bahagian pemulaan usus besar. Walaupun begitu, fungsi sebenar organ ini masih belum dapat diketahui dengan tepat.
Mengapa ia boleh tersumbat jika bukan sebab pemakanan? Ia adalah disebabkan oleh bukaan apendiks menuju ke tiub besar atau sekum tersekat. Sekatan ini mungkin berlaku akibat lendir tebal dalam apendiks atau serpihan najis keras daripada tiub besar termasuk ke pundi apendiks. Inilah punca sebenar radang apendiks berlaku.
Selain itu, keadaan ini juga boleh berlaku berpunca daripada jangkitan bakteria. Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun. Jadi, jangan sesekali beranggapan bahawa orang yang masih mudah tidak boleh mengalaminya.
Untuk merawatnya, doktor hanya akan beri pesakit antibitiotik untuk melegakannya. Jika masih tidak pulih, cara terbaik untuk menghilangkannya adalah melalui pembedahan membuang pundi apendiks (apendektomi).
Sekiranya kita telah terkena radang apendiks, cara yang terbaik untuk menghilangkan kesakitan yang dialami adalah dengan melakukan pembedahan apendiks kerana ia juga adalah satu-satunya teknik yang telah diperakui oleh kebanyakan pakar kesihatan.
Untuk pengetahuan anda, pembedahan ini turut dikenali sebagai appendectomy. Caranya, doktor boleh melakukannya dengan dua cara iaitu pembedahan membelah perut secara terbuka dan laparoskopi (membelah perut dengan ukuran yang kecil dan memasukkan kamera untuk melihat ke dalam). Namun, ia bergantung kepada saiz tumor pada bahagian apendiks itu sendiri. Sekiranya ia terlalu besar, pembedahan major terpaksa dilakukan dalam usaha untuk membuangnya.
Kesimpulannya, punca sebenar radang apendiks ini adalah penyumbatan di dalam saluran apendiks seperti yang dinyatakan. Walaupun begitu, pemakanan tidak boleh dianggap sebagai antara punca utamanya kerana masih tidak ada kajian kukuh yang mengatakan sedemikian
Sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad
Sedar tak sedar, bulan depan dah masuk bulan Ogos tau, bulan Kemerdekaan Malaysia!
Sebagai rakyat yang cintakan tanah air, mesti anda ada cara tersendiri nak eskpresikan rasa cinta dan bangga menjadi Anak Malaysia kan? Betul tak?!
Ehhh jangan cakap kat sini, simpan idea anda tu dan hantarkan kepada kami dengan menyertai Virtual Himpunan Saya Anak Malaysia!
Nak tahu caranya? Senang je! Layari je laman web https://toko.ideaktiv.com/product/virtual-himpunan-saya-anak-malaysia/ , baca syarat kelayakan dan jangan lupa untuk berdaftar di sana ya!
Sebarang soalan boleh di http://www.wasap.my/60169647520
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Santan Kelapa Baik Untuk Kesihatan. Dr Ni Senaraikan Faktanya!
Lazimnya kita sering mendengar makanan yang berlemak dan dimasak menggunakan santan akan mengandungi kolestrol yang tinggi.
Hal ini juga telah menjadi stigma bahawa santan hanya mendatangkan keburukan dan sayangnya fakta sebenar santan mengandungi manfaat dan khasiat yang diperlukan tubuh. Ini sebagaimana fakta yang dikongsikan oleh doktor ini.
Jom fahami perkongsian ini.
Antara beberapa khasiat lain santan kelapa untuk kesihatan adalah ia baik untuk tulang kita supaya menjadi sihat dan kuat.
Seringkali kita mempercayai bahawa kalsium saja sudah cukup untuk membuat tulang kita sihat dan kuat. Tetapi ianya tidak tepat. badan kita memerlukan Fosforus bersama kalsium untuk memiliki tulang sihat, kuat dan kukuh.
Santan merupakan sumber dari fosforus yang tinggi didalamnya. Santan juga kaya dengan zat besi. Penyebab anemia adalah kerana kekurangan zat besi.
Menakala itu, fakta lain turut dikongsikan oleh Dr Zubadii diakaun fbnya bersumberkan perkongsian daripada Dr Norman Mohd Norawi.
BENARKAH SANTAN MENINGKATKAN KOLESTEROL?
Santan kelapa adalah satu bahan masakan yang digunakan oleh masyarakat di Malaysia sejak dari dahulu lagi. Masakan seperti rendang dan lemang yang popular semasa sambutan hariraya menggunakan santan dalam penyediaannya. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, masak lemak cili api diamalkan hampir setiap hari juga menggunakan santan. Bukan hanya masyarakat melayu, masyarakat India juga banyak menggunakan santan dalam masakan mereka. Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik adalah pengguna santan dalam masakan harian mereka.
Santan selalu dikatakan sebagai lemak yang tidak sihat dan boleh menyebabkan masalah kolesterol tinggi. Adakah pendapat ini benar dan bersandarkan kajian saintifik yang betul?
Kita selalu dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan santan dalam masakan seharian kita kerana ia mengandungi lemak tepu yang tinggi dan dikatakan boleh menyebabkan masalah peningkatan paras kolesterol dalam darah. Ada juga pakar pemakanan yang mencadangkan penggunaan susu sebagai ganti kepada santan dalam makanan.
Dahulu, saya juga selalu menasihati pesakit saya yang mempunyai masalah kolesterol untuk meninggalkan makan santan kerana dahulu saya berpendapat lemak tepu dalam santan boleh menjadi punca meningkatnya paras kolesterol dalam darah. Setelah membaca pelbagai kajian terkini dalam jurnal-jurnal perubatan saya mendapati kajian-kajian berkenaan penggunaan santan atau minyak kelapa merumuskan fakta yang agak berlainan.
Ironinya terdapat kajian sains mendapati masyarakat yang mengambil santan selalu dalam makanan mereka mempunyai kadar penyakit jantung yang rendah dan paras kolesterol yang rendah juga.
Diantara kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan Asia Pasific pada tahun 2011, yang dijalankan di Filipina mendapati pengambilan minyak kelapa dalam makanan seharian dikalangan wanita pra menopaus meningkatkan kolesterol baik HDL-c dan menurunkan kolesterol ‘jahat’ jenis LDL dan Trigliserida. Oleh itu ia mempunyai faedah kesihatan yang baik menurunkan risiko sakit jantung.
Yang lebih menarik lagi adalah, data dari negara Filipina yang dilaporkan oleh Philipine National Nutrition Survey (PNNS) pada 2003 juga mendapati relatif insiden yang rendah untuk masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi (hypertension), angin ahmar (stroke) dan sakit jantung (angina) dikalangan penduduk di Daerah Bicol yang mengambil santan dan minyak kelapa yang tinggi berbanding daerah lain di Filipina dalam makanan seharian mereka.
Prof Philippe Legrand dari Peranchis yang merupakan seorang pakar biokimia dari Makmal Biokimia dan Pemakanan Manusia di Universiti Agronomidi, Rennes, Peranchis mempunyai pendapat yang sama berkenaan santan dan kesannya kepada paras kolesterol. Beliau menyatakan bahawa bahan didalam santan atau minyak kelapa iaitu asid laurik dan asid miristik iaitu asid lemak dalam kumpulan asid lemak rantaian sederhana (MCFA) lebih cepat dimetabolismakan dalam hati manusia dan menurunkan paras kolesterol oleh itu ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Disamping itu juga santan atau minyak kelapa ini mempunyai kesan positif yang lain seperti anti fungal, anti virus, anti mikrobial dan anti protozoa. Menurut beliau , santan boleh menjadi sebahagian dari diet yang sihat jika diambil secara sederhana dan tidak menyebabkan peningkatan kolesterol dalam darah.
Terdapat juga satu kajian yang dijalankan di Kerala , India yang dilaporkan dalam Indian Journal of Biochemistry pada tahun 2009 yang memberikan kesimpulan yang positif kepada kesihatan dengan pengambilan santan dalam makanan. Kajian ini membandingkan pengambilan minyak kelapa dengan pengambilan minyak bunga matahari dalam pemakanan seharian dan perbezaannya dengan paras kolesterol diantara keduanya. Hasil kajian ini merumuskan bahawa tiada perbezaan diantara pengambilan diantara kedua-dua jenis minyak masak ini dengan paras kolestrol dalam darah. Oleh itu , pendapat yang menyatakan pengambilan santan menyebabkan peningkatan paras kolestrol dalam darah adalah suatu pendapat yang kurang tepat.
Terdapat banyak juga kajian lain yang merumuskan fakta yang bertentangan, tetapi kajian-kajian yang menunjukkan santan bukanlah faktor utama yang menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Kajian juga mendapati penduduk dunia yang makan santan setiap hari mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding dengan masyarakat moden yang mengambil makanan segera dan makanan proses seperti kajian di Kepulauan Puka-Puka dan Tokelau.
Didalam buku ‘The Coconut Oil Miracle’ tulisan Dr Bruce Fife secara jelas memberikan banyak bukti-bukti kajian saintifik tentang kelebihan minyak kelapa dan santan kepada kesihatan terutama kesihatan kardiovaskular. Anda boleh merujuk buku ini untuk maklumat yang lebih mendalam tentang kelebihan minyak kelapa dan santan.
Kajian-kajian terkini mendapati pengambilan karbohidrat dan gula yang tinggi adalah lebih berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular dan peningkatan paras kolesterol berbanding pengambilan lemak atau minyak dalam makanan. Kajian juga mendapati pesakit kencing manis selalunya mempunyai paras kolesterol yang lebih tinggi kerana paras gula yang tinggi dalam darah walaupun tidak makan santan setiap hari.
Ambillah santan dalam pemakanan sebagaimana yang biasa tanpa kita perlu bimbang tentang kesan kepada kesihatan jantung tetapi yang perlu kita kawal adalah pengambilan GULA pasir dan makanan proses kerana kandungan lemak TRANS nya yang merbahaya kepada kesihatan jantung.
Insyaallah.
Wassalam
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS (Man), MSc(UCSI), FAGE
sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Bila Usus Sihat, Nutrien Makanan Mudah Serap. Ikuti Tip Doktor Ini.
Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan, sudah tentu antara kita kerap menjamah hidangan. Namun dalam tempoh ini janga lupa menjaga kesihatan diri supaya badan kekal sihat.
Sebagaimana perkongsian Doktor Zubaidi Hj Ahmad yang menyentuh mengenai kepentingan menjaga kesihatan usus agar nutrien penting mudah diserap daripada makanan yang kita makan.
Ikuti perkongsian ini.
KEKALKAN USUS SIHAT
.
Tahukah anda usus kita terutama usus besar penuh dengan bakteria dan organisma lain? Beberapa bakteria berkenaan sebenarnya sangat penting untuk kesejahteraan kita.
.
Kajian terkini menunjukkan mengekalkan usus yang sihat membantu memastikan nutrien penting diserap daripada makanan yang kita makan. Usus sihat juga menjamin sistem imun yang sihat dan mencegah beberapa penyakit serius seperti kanser kolon.
.
Kebanyakan orang sekali-sekala mengalami masalah penghadaman kecil seperti sembelit, cirit-birit dan kembung atau keadaan yang lebih serius seperti gastritis dan kesakitan abdomen yang berkaitan dengan ulser peptik. Namun begitu, penting untuk memberi perhatian kepada sebarang tanda atau simptom berkaitan masalah usus seperti pendarahan, kesakitan dan sebarang kesukaran atau perubahan corak pembuangan air besar serta penurunan berat badan.
.
Dapatkan rawatan awal walaupun sesetengah tanda atau simptom boleh dirawat tanpa penggunaan ubat-ubatan atau rawatan. Jangan abaikan masalah ini dan membiarkannya melarat.
.
Gaya hidup dan tabiat makan boleh menjejaskan kesihatan sistem penghadaman anda. Ada enam langkah mudah yang anda boleh lakukan setiap hari untuk menjaga kesihatan usus:
.
1. Makan lebih serat
.
Anda perlu mengambil lebih banyak makanan yang kaya dengan serat. Kehadiran serat membantu melembutkan najis dan mencegah sembelit serta mengurangkan simptom beberapa gangguan penghadaman contohnya, buasir dan sindrom iritasi usus.
Untuk mengekalkan usus yang sihat, anda memerlukan serat daripada pelbagai jenis sumber makanan seperti roti mil penuh, beras perang, buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang dan oat.
Panduan Diet Malaysia menyarankan kita mengambil sekurang-kurangnya 25 gram serat setiap hari. Separuh daripada bijian yang diambil haruslah terdiri daripada bijirin penuh. Anda digalak meningkatkan pengambilan serat secara beransur-ansur untuk mencegah masalah kembung dan ketidakselesaan perut terutama jika anda tidak biasa dengan pengambilan makanan tinggi serat.
.
2. Banyak minum air
.
Air membantu melembutkan najis dan menggalakkan peredaran melalui sistem penghadaman anda. Serat bertindak seperti span dan menyerap air. Tanpa cecair, serat tidak boleh melakukan tugasnya dan akan menyebabkan sembelit. Air juga memberi faedah kesihatan lain – tiada kalori! Secara purata, anda harus mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari (kira-kira dua liter) dan pada bila-bila masa apabila anda rasa dahaga!
.
3. Hadkan pengambilan kafein
.
Minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, kola dan minuman ringan boleh meningkatkan asid di dalam perut, seterusnya menyebabkan pedih ulu hati bagi sesetengah orang. Jika anda tidak boleh berhenti minum kopi atau teh, hadkan pengambilan kepada satu atau dua cawan sehari.
.
4. Dapatkan pro dan prebiotik secukupnya
.
Terdapat ribuan bakteria yang hidup di dalam usus anda. Sesetengahnya bakteria baik yang memberi faedah kepada kesihatan dan pada masa sama usus kita juga ada bakteria yang memudaratkan. Mengekalkan keseimbangan bakteria baik dan bakteria tidak baik adalah penting.
Bagaimanakah anda boleh mencapai keseimbangan ini? Salah satu cara mudah dengan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik (yang mengandungi bakteria baik) dan juga mengambil prebiotik (‘makanan’ untuk bakteria baik) secukupnya.
Probiotik yang juga dipanggil ‘bakteria baik’ terdapat secara semula jadi di dalam usus dan dalam beberapa jenis makanan seperti yogurt, minuman susu berkultur, keju dan tempe.
Prebiotik ialah bahan yang menggalak pertumbuhan atau aktiviti mikro organisma seperti probiotik yang menyumbang kepada kesihatan usus. Prebiotik terdapat dalam makanan yang tinggi serat seperti pisang, bijirin penuh dan beberapa jenis sayuran (lik dan bawang).
Sesetengah produk komersial mengandungi serat khas yang dipanggil inulin dan oligofruktosa (frukto-oligosakarida) yang juga prebiotik.
.
5. Makan diet berkhasiat yang rendah lemak
.
Makanan berlemak tinggi seperti makanan bergoreng, burger, sosej dan hidangan berminyak melambatkan penghadaman dan boleh menyebabkan sakit perut serta pedih ulu hati. Beberapa kajian juga menunjukkan pengambilan lemak yang tinggi juga boleh mempengaruhi komposisi bakteria usus.
.
6. Banyak bersenam
.
Hadkan aktiviti sedentari seperti bermain permainan komputer atau menonton televisyen. Sebaliknya lakukan lebih banyak aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari atau menari. Sebarang senaman yang meningkatkan kadar pernafasan dan denyutan jantung juga memberi faedah kepada penghadaman anda. Ini merangsang otot usus, sekali gus menyebabkan makanan diedarkan dengan lebih cekap melalui usus anda.
.
Pastikan anda memupuk tabiat membuang air besar yang baik seperti pergi ke tandas sekali sehari dan elakkan daripada menahan keinginan untuk membuang air besar. Satu lagi tabiat yang perlu dipupuk adalah mendapatkan saringan kesihatan tetap untuk mengesan sebarang masalah seawal mungkin. Mengabaikan kesihatan usus anda boleh mengakibatkan masalah yang serius.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
#HealthDrZubaidi