
Amanah terakhir Yob Abd Karim cukup menyentuh hati apabila warga emas berusia 93 tahun itu menyediakan lebih 100 sampul berisi wang untuk diberikan kepada mereka yang membantu menguruskan jenazahnya.
Seakan sudah bersedia menanti waktu untuk pergi, apa yang dilakukan arwah hanya diketahui ahli keluarganya selepas pemergiannya.
Arwah Yob Abd Karim, 93, meninggal dunia pada 5 September lalu akibat sakit tua di rumahnya di Segari, Manjung, Perak.
Cucunya, Siti Mahirah Azemi, 30, berkata keluarganya hanya mengetahui mengenai sampul berkenaan selepas pemergian arwah.
Menurutnya, arwah datuknya yang juga bapa kepada enam anak memang kelihatan sangat bersedia menghadapi kematian, malah sering memberitahu keluarga bahawa dirinya sudah tidak larat dan merasakan ajal semakin hampir.
“Arwah tok wan selalu cakap dia sudah tak larat dan tak lama, cuma kami tidak sangka dia sudah menyediakan sampul berisi wang untuk diinfaqkan kepada mereka yang membantu menguruskan jenazahnya.
“Jumlahnya lebih daripada 100 sampul dan kami sendiri tidak tahu bila semuanya disediakan kerana keadaan sampulnya sudah lama,” katanya.

Amanah Terakhir Yob Abd Karim, Pesan Beri Kepada Yang Urus Jenazah
Siti Mahirah berkata, bapanya, Azemi Yob memaklumkan bahawa arwah pernah memberitahu isterinya, Selmiah Said, 85, mengenai wang tersebut.
Arwah turut berpesan supaya sampul berkenaan diberikan kepada mereka yang membantu menguruskan jenazahnya apabila tiba masanya.
Menunaikan amanah terakhir Yob Abd Karim itu, keluarga kemudian menyerahkan sampul kepada mereka yang terlibat dalam pengurusan jenazah.
Namun, kebanyakan penerima memilih untuk tidak mengambil wang berkenaan dan menyerahkannya semula kepada keluarga untuk diinfaqkan atas nama arwah.
“Jadi kami gunakan ia untuk mengadakan tahlil dan disedekahkan kepada masjid sebagai amal jariah untuk arwah,” katanya.
Kesihatan Mula Merosot Selepas Terjatuh
Menurut Siti Mahirah, arwah datuknya tidak menghidap penyakit kronik, namun keadaan kesihatannya mula merosot selepas terjatuh di bilik air kira-kira dua bulan lalu sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas.
Dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum meninggal dunia, arwah sudah tidak mampu bangun dan hanya terbaring.
Ketika itu, keluarga melihat keadaannya semakin lemah.
Apa yang paling menyentuh hati, dalam keadaan begitu arwah masih sempat memikirkan orang lain.
“Arwah tok wan juga selalu cakap dia sudah tidak larat dan seperti sudah sangat bersedia sekiranya tiba masanya untuk pergi.
“Namun tidak sangka tok wan masih memikirkan orang lain walaupun selepas ketiadaannya dengan menyediakan sampul itu,” katanya.
Persediaan tersebut akhirnya menjadi antara kenangan yang cukup bermakna buat keluarga kerana amanah terakhir Yob Abd Karim bukan sahaja dapat ditunaikan, malah wang berkenaan akhirnya digunakan untuk amal jariah atas namanya.
Kenangan Tok Wan Terus Terpahat
Bagi keluarga, pemergian Yob pastinya meninggalkan kekosongan yang sukar diganti.
Lebih terasa apabila mengenangkan sambutan Aidilfitri tahun hadapan tidak lagi diserikan dengan kehadiran insan tersayang itu.
“Tahun depan kami sudah tidak dapat beraya bersama arwah, namun segala ajaran dan kebaikannya akan terus kami ingat.
“Doa kami supaya rohnya ditempatkan dalam rahmat dan lindungan Allah SWT,” katanya.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa kasih sayang dan kebaikan seseorang tidak semestinya terhenti selepas pemergiannya.
Ada insan yang pergi meninggalkan harta, namun ada juga yang meninggalkan teladan, amanah dan amal baik yang terus dikenang keluarga hingga ke akhir hayat.
Teladan Di Sebalik Amanah Terakhir Yob Abd Karim
Kisah amanah terakhir Yob Abd Karim meninggalkan teladan mengenai pemberian dan amal baik yang boleh diteruskan walaupun seseorang sudah tiada.
Lebih menyentuh hati apabila mereka yang sepatutnya menerima wang berkenaan turut memilih untuk mengembalikannya supaya ia dapat digunakan sebagai sedekah dan amal jariah buat arwah.
Daripada satu amanah, lahir pula kebaikan daripada insan lain. Bagi keluarga Yob, itulah antara kenangan terakhir yang akan terus terpahat mengenai seorang tok wan yang sudah bersedia untuk pergi, tetapi masih sempat memikirkan orang lain.
BACA LAGI : “Berbakti Jauh Dari Tanah Kelahiran” Dr Ainul, Anak Kelantan Yang ‘Gugur’ Ketika Jalankan Amanah
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

