Gaya Hidup

7 Asas Didikan Anak Yang Sangat Penting, Semuanya Bermula Dari Rumah

Share

Anggapan bahawa tugas mendidik dan mengajar anak-anak terletak 100 peratus di bahu guru dan pihak sekolah merupakan tanggapan yang kurang tepat dan perlu diubah oleh golongan ibu bapa.

Demikian pandangan yang diketengahkan oleh seorang bapa yang juga merupakan guru sekolah rendah.

Menurut pendidik dan Penolong Kanan Kokurikulum yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Binjai Jaya, Ahmad Zhafri Md Noor, beliau menegaskan bahawa institusi keluarga dan rumah merupakan medan pendidikan pertama yang paling penting sebelum anak-anak melangkah ke alam persekolahan.

Menurut beliau, terdapat segelintir ibu bapa yang tersilap langkah apabila hanya menumpukan usaha mencari rezeki sehingga soal didikan asas anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Berikut tujuh teras utama pendidikan asas di rumah yang ditekankan sebagai panduan bersama:

  1. Asas Agama dan Kerohanian

Ibu bapa dinasihatkan agar tidak menyerahkan urusan pendidikan agama sepenuhnya kepada ustaz atau ustazah di sekolah.

Sebaliknya, asas ibadah seperti solat, berpuasa dan mengaji al-Quran perlu dididik serta diterapkan oleh ibu bapa sendiri di rumah.

2. Adab dan Kebersihan Diri

Kemahiran asas menguruskan diri seperti adab menggunakan tandas, mengepam tandas selepas digunakan, menutup pintu dan membasuh tangan sepatutnya sudah dikuasai oleh anak-anak sejak di rumah, bukannya mengharapkan guru di sekolah mengajar perkara asas tersebut.

3. Kebersihan dan Kekemasan

Sikap menjaga kebersihan seperti membuang sampah ke dalam tong sampah, mengemas barang permainan serta mengambil berat tentang kebersihan persekitaran perlu dipupuk oleh ibu bapa dalam kehidupan seharian.

4. Menghormati Orang Tua dan Guru

Rasa hormat terhadap orang tua dan golongan pendidik perlu disemai sejak kecil.

Tindakan agresif sesetengah pihak terhadap pihak sekolah hanya kerana isu kecil boleh mencerminkan kelemahan dalam penerapan nilai hormat dan adab di peringkat keluarga.

5. Keyakinan Diri (Self-Esteem)

Ibu bapa juga diingatkan agar menjauhi sikap menghina atau merendahkan kebolehan anak-anak.

Sebaliknya, berikan kasih sayang, kata-kata semangat dan dorongan supaya mereka membesar dengan keyakinan diri yang baik serta tidak mudah memberontak atau berasa rendah diri, sama ada di rumah mahupun di sekolah.

6. Pendedahan Awal Literasi

Kanak-kanak wajar didedahkan kepada pengenalan huruf sejak usia awal, misalnya sekitar empat tahun.

Latihan membaca di rumah bukan sahaja dapat membantu proses pembelajaran di sekolah, malah merangsang perkembangan minda serta memupuk minat anak-anak terhadap bahan bacaan.

7. Semangat Patriotisme

Nilai cintakan negara juga perlu dipupuk dari rumah. Apabila lagu Negaraku dimainkan, termasuk di luar kawasan sekolah, ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik dengan berdiri tegak serta membimbing anak-anak untuk melakukan perkara yang sama.

Beliau turut mengingatkan bahawa guru-guru di sekolah mempunyai pelbagai tanggungjawab dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kerjasama erat antara ibu bapa dan guru dalam melengkapkan asas didikan anak-anak merupakan antara kunci utama dalam melahirkan generasi yang beradab, berilmu dan cemerlang.

 

BACA LAGI: “Mama Hanya Ada SPM, Tapi Berjaya Didik Kami” Anak Raja Azura Pertahan Ibu

Sumber: Ahmad Zhafri Md Noor