Ibu ayah merupakan insan yang paling mulia dan berjasa dalam kehidupan seorang anak. Belaian kasih sayang dan perhatian yang diberikan kepada anak-anak tidak pernah pudar dalam hidup mereka.
Pun begitu, sama ada sedar atau tidak setiap kasih sayang dan keprihatinan yang ditunjukan oleh seorang ibu dan ayah seringkali berbeza caranya. Sebagai anak, kita juga perlu tahu untuk memahami cara mereka menyayangi anak-anak.
Ini turut dijelaskan melalui perkongsian daripada Imam Muda Hassan dan semoga bermanfaat.
Golongan Ayah Selalu Ambil Berat Pasal Anak Secara Diam-Diam
Jika nak dibandingkan antara mak dan ayah, anak-anak biasanya akan lebih rapat dengan mak berbanding ayah. Ya lah, sebab mak yang mengandungkan, melahirkan, menyusukan, mengasuh, merawat, memujuk, memasak, dan macam-macam lagi.
Ads
Gambar hiasan
Dalam hadith pun memang ibu darjatnya lebih tinggi daripada ayah. Tapi ianya tidak menafikan kewajiban anak terhadap ayah, wajib menghormatinya sebagaimana hormatnya kita pada mak.
Cuma, ramai anak-anak yang tak perasan sebenarnya ayah selalu ambil berat pasal anak-anak dalam diam. Waktu anak-anak sedang tidur, ayah akan tanya hal ehwal anak-anak dengan mak.
Dia tanya duit belanja, macamana hal sekolahnya, kesihatan anak dan kerenah seharian anak-anak di rumah. Itu menunjukkan yang dia sangat mengambil berat tentang anak-anaknya.
Ads
Ayah kadang-kadang dia tak tanya direct dengan anak, bukan sebab ayah tak ambil berat, tapi sebab dia lelaki, tak banyak ayat yang boleh dia karang macam mak.
Cuba call ayah, kadang-kadang anak tanya soalan, dia jawab sepatah. Lepas tu masing-masing mati akal tak tahu nak cakap apa dah. Last-last, ayah pass handphone kat mak. Panjang pula ceritanya bila bercakap dengan mak, habis 1 story, tambah story baru lagi. Lepas habis bersembang, ayah akan tanya dekat mak semula apa cerita anaknya, dia nak tau sebab dia sayang anaknya.
Jadi, anak-anak kena faham, ayah sebenarnya memang ambil berat dan sayangkan kita anak-anaknya, cuma cara dia present kan sayangnya tak sama macam mak kita.
Ads
Teman pun suami merangkap ayah. Harap anak-anak teman dah besar nanti fahamlah kalau-kalau abinya tak banyak soalan nak tanya macam uminya.
Buang bunga tahi ayam atau ros, tukar dengan pohon serai atau rumpun pandan! Bunyinya memang macam kelakar, tetapi kalau dibuat sungguh-sungguh hasilnya akan menakjubkan seisi keluarga. Saya bercakap mengenai kegunaan laman depan rumah.
Terus terang saya mengakui, menjaga laman bukan tugas saya. Sebenarnya saya tidak berminat pun. Sejak mula pindah ke kediaman ini kira-kira 25 tahun lalu, saya tidak kisah pun tentang halaman depan yang sekangkang kera itu.
Orang perempuan memang lebih teliti dan berseni dalam bab menghias laman, sama seninya ketika menghias ruang dalam rumah. Maaf cakap, oleh sebab terlampau berseni, suami-suami yang buta seni seperti saya selalu pening, malah separuh sewel.
Ini contoh pening dalam rumah: Dia kerap sangat menukar kedudukan perabot, boleh kata dua tiga bulan sekali. Benda yang pada saya sudah elok dan ‘ngam’ di satu sudut, tiba-tiba esok atau lusa ditukar ke sudut lain.
Biasanya sebaik tiba di rumah selepas waktu pejabat, saya menanggalkan kasut dan terus meletakkannya di rak sebelah kanan pintu masuk. Tetapi, tiba-tiba kasut terjatuh di atas lantai, dan tangan saya tersenggol payung. Rupa-rupanya tempat rak kasut telah digantikan dengan tempayan bekas payung!
Satu lagi kejutan terjadi sebaik masuk ke bilik utama. Selepas mandi, seperti biasa saya menarik laci almari pakaian untuk mengambil seluar dalam. Saya terpegang coli! Rupa-rupanya laci yang sebelum ini tempat seluar dan pakaian dalam saya telah menjadi tempat pakaian dalam dia, adusss!
Dia tahu saya tidak suka dengan seni dan inovasinya yang kerap menukar kedudukan semua benda. Sebelum saya membebel dan mencampakkan semula coli, dia sudah berkata: “Bosan saya kalau benda hanya pada satu tempat, kenalah selalu tukar-tukar barulah terasa lain…” Dalam hati saya merungut: “Jangan engkau tukar aku pulak!”
Itu antara pertukaran posisi dalam rumah. Kalau hendak cerita semua betapa bingung saya tentang tukar-tukar barang dalam rumah, saya boleh tulis sebuah buku tebal. Mungkin judul yang paling sesuai ialah ‘Aku Tukar Kau Kang, Baru Kau Tau!’
Tetapi, seninya di laman rumah boleh saya puji. Mula-mula pindah suku abad dulu, laman itu ialah pasir gersang yang tidak ditumbuhi walau sehelai rumput. Almaklumlah tanah bekas lombong yang dijadikan kawasan perumahan dengan iklan ‘Resort Living Within the City’. Jangankan rumput, semut dan lipas pun tidak sudi memijak tapak kering kontang itu.
Entah berapa guni tanah hitam dan tanah merah saya beli dan taburkan di atas pasir kontang itu, semua atas arahan dan kreativiti dia. Setiap hujung minggu saya menjadi drebarnya ke Sungai Buluh untuk mencari benih bunga, baja dan entah apa-apa peralatan berkebun. Kata saya: “Beli saya boleh bayar, jadi drebar pun tak apa, tapi jangan suruh saya berkebun.” Memang saya tidak ambil kisah.
Terkejut saya dalam beberapa minggu laman kontang dan gersang itu mula ditumbuhi macam-macam. Dan, dalam masa kurang tiga bulan sudah ada rimbunan sana-sini. Malah sudah nampak bunga-bungaan beraneka warna.
Saya ingat selama ini dia hanya pandai menghias rak kasut dan laci bekas coli, rupanya dia ada kelebihan lain. Tidak disangka tangannya sejuk dan apa sahaja yang ditanam boleh tumbuh subur. Dia menyebut macam-macam nama bunga, yang saya ingat hanya bunga tahi ayam. Kelakar, bunga yang mekar secantik itu diberi nama tahi ayam!
Kini, laman sekangkang kera yang dulu bekas lombong, sudah menjadi hijau. Pohon cempaka sudah tinggi mencecah bumbung, bunganya putih bagai mutiara. Harumnya menusuk rongga hidung, terus ke jantung hati. Kenanga, ros dan pelbagai bunga lagi juga harum semerbak, terutama menjelang larut malam.
Ada orang kata haruman seperti itu boleh mengundang hantu. Saya tidak pasti. Tetapi sudah suku abad menetap di situ tidak pernah sekali saya nampak puntianak harum sundal malam atau lain-lain spesies hantu bergayut di dahan cempaka atau kenanga.
Lagi pun pada hemat dan logik saya yang suka lepak pada pokok cempaka adalah hantu kampung zaman dulu-dulu. Hantu di bandar lain caranya, kalau teringin bau haruman lebih baik menyelusup dan ronda-ronda kedai minyak wangi di pusat-pusat membeli-belah moden, tidak perlu mengendeng di laman saya.
Apa yang pasti taman mini itu menjadi semacam terapi minda buat isteri. Dia menghabiskan sejam pagi, sejam petang, setiap hari termasuk cuti umum. Katanya, setiap hari ada sahaja kerja di halaman. Menukar tanah dalam pasu, mengganti benih baharu, mencantas dahan dan daun, merumput, membaja, menyiram, mengalihkan pasu, bla, bla, bla.
Malah, dia mengakui masa lapangnya banyak dihabiskan memelihara laman. Sebelah pagi, pokok dan bunga dimandikan dulu, kemudian baru dia sendiri mandi. Sebelah petang, laman dimandikan sekali lagi. Hatta, sekiranya petang keluar rumah, balik tengah malam pun dia menyiram pokok dan bunga di laman. Demikianlah asyiknya si dia dengan bunga taik ayam.
Kadang-kadang naik cemburu saya sebab dia macam lebih sayangkan dan begitu mesra dengan cempaka dan bunga-bunga lain, macam buat ‘dhek’ apabila saya balik dari pejabat. Pelik lagi kelakar apabila dia memberitahu dia boleh bercakap berjam-jam dengan pokok dan bunga-bungaan itu. Kerap juga dia menembak: “Nak cakap dengan awak sepuluh minit pun susah!”
Selalu saya mendengar dia bercakap dengan pokok cempaka: “Dahan awak dah tinggi, petang esok saya cantas, bagi awak lagi cantik yerrr?” Tetapi, saya nampak daun dan ranting-ranting cempaka macam selamba dan buat ‘dhek’. Saya pula menyindirnya: “Agaknya pokok tu tak faham cakap Melayu, cer awak cakap orang putih, maklumlah itu pokok bandar…”
Selain cempaka, kenanga, tahi ayam, dan lain-lain bunga, laman yang sekangkang kera itu juga dihias dengan pelbagai tumbuhan keperluan dapur. Pasu-pasu dengan bunga beraneka warna itu diselang seli dengan pasu daun pandan, serai, kunyit, ulam raja, dan lain-lain tumbuhan keperluan belanga dan kuali.
Ditanam juga pokok tenggek burung untuk ulam, pokok limau purut yang daunnya dijadikan perencah pelbagai masakan, termasuk tomyam. Ada juga daun kari, rumpun selasih, daun bawang, rumpun kesum, kencur, pengaga.
Selama ini saya tidak ambil kisah pun tentang pohon dan daun-daun yang selalu menjadikan gulai dan masakan lebih sedap. Baru-baru ini saya menemani dia ke pasar raya, dan mengetahui benda-benda yang ada di laman itu rupanya ada harga.
Terkejut saya lima batang serai yang diikat kemas harganya RM1, daun kunyit sehelai 50 sen, dua tiga helai daun pandan, 50 sen. Daun kari, ulam raja, kesum, kencur, semua ada harga. Hatta daun limau purut pun lima enam helai harganya 50 sen. Fikir punya fikir banyak juga duit pasar dapat diselamatkan dengan tanaman tersebut.
Dia bercadang untuk menanam cili dan tomato dalam pasu, sambil menegaskan: “Awak tau tak, cili hidup sekilo RM15, kalau kita tanam tiga pasu berapa banyak duit pasar boleh selamat. Durian belanda sekilo RM12, labu manis yang awak suka tu sebiji paling tidak pun RM10. Kalau kita tanam semua tu, banyak kita boleh selamat…”
Setakat dua tiga pohon cili saya ingat okey untuk tanaman di halaman. Tetapi saya tidak berapa berkenan sekiranya dia berhasrat menanam durian belanda, labu manis, terung dan lain-lain. Susah juga sekiranya taman yang cantik itu ditukar menjadi kebun sayur.
Lagi pun ada bahayanya sekiranya labu manis merayap di halaman, takut-takut keluar dari kereta ketika pulang waktu malam saya tersungkur dan terantuk simen gara-gara tersepak buah labu atau durian belanda.
Dan, lebih penting lagi, saya lebih suka dia kekal sebagai suri rumah dan penjaga taman. Pengsan saya sekiranya setiap petang balik kerja melihat dia bertopi besar dan bersarung tangan, seperti nyonya atau apek kebun sayur di Cameron Highland.
Saya memberitahu dia biarlah taman tetap taman, cukup setakat serai, daun pandan dan kesum. Durian belanda, labu air, labu manis, terung dan lain-lain sayur kegemaran saya lebih baik beli di pasar. Tidak mengapa mahal sedikit, asalkan dia tidak menjadi nyonya kebun sayur.
Tetapi, dia berpendapat, lebih banyak sayur-sayuran ditanam di halaman, lebih banyak pula duit pasar boleh dijimatkan. Katanya: “Duit pasar yang dijimatkan itu boleh beli tudung bawal…” Ayat akhir itu saya buat-buat tidak dengar, aduss!
sumber : Abd Jalil Ali, Majalah Keluarga
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Lebih 10 tahun menantikan zuriat – “Welcome baby Amanda yang telah sekian lama ditunggu.” Sudah lebih 10 tahun Norasniah dan suaminya, Syed Shamsul, mendirikan rumah tangga. Pasangan ini tetap sabar menantikan kehadiran si kecil sebagai penyambung keturunan.
Kesabaran dan kecekalan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila pada tahun ke-20 usia perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan melalui rawatan In Vitro Fertilization (IVF) di sebuah klinik kesuburan swasta.
Perkongsian menggembirakan ini dimuat naik menerusi satu video pendek di akaun TikTok milik Pakar Fertiliti dan Ginekologi, Dr Salleha Khalid. Norasniah meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana impian yang dinantikan sekian lama akhirnya menjadi kenyataan. Syawal kali ini amat istimewa buat mereka kerana dapat menyambut hari lebaran bersama permata hati yang dinanti bertahun lamanya.
“Syukur Alhamdulillah, tahun 2024 saya dan suami menjalani rawatan IVF. Ini merupakan tahun ke-19 kami berusaha mendapatkan zuriat. Dan akhirnya, pada 16 Januari 2025, lahirlah puteri kami yang sangat dinanti-nantikan, Sharifah Amanda Raudhah,” katanya dalam nada sebak.
Norasniah turut berkongsi bahawa dia sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika ini. Namun, dia ingin menyampaikan pesan kepada pasangan lain yang sedang berjuang untuk mendapatkan anak agar tidak berputus asa.
Katanya, rezeki itu sudah ditentukan oleh Allah dan akan datang pada waktu yang paling sesuai. Walaupun perjalanan mereka memakan masa dua dekad, dia percaya inilah detik paling tepat untuk menerima anugerah ini.
Pada usia 43 tahun, Norasniah masih merasa seolah-olah bermimpi dengan kehadiran si kecil yang kini berada dalam pelukannya. Hanya mereka yang melalui pengalaman yang sama mampu memahami perasaan tersebut. Dia juga menzahirkan rasa syukur kerana memiliki seorang suami yang sentiasa setia menemani sepanjang tempoh mencabar itu.
Benarlah anggapan yang mengatakan kesetian seorang isteri diuji ketika tidak memiliki apa-apa. Manakala si suami pula diuji bila mana mempunyai segalanya.
Kesetiaan dan kepercayaan adalah kunci kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Demi melihat orang yang disayangi hidup bahagia dan selesa, seorang isteri sanggup berkorban segalanya. Pengorbanan seorang wanita yang bernama isteri dan ibu ini tidak terhitung nilainya. Mengandung, melahirkan, membesarkan dan mendidik anak-anak segalanya dilakukan tanpa berkeluh kesah sedikit pun.
Jadi sebagai suami, jangan asyik kondem isteri sahaja, lebih lebih lagi jika mereka sudah tidak selangsing atau secantik dulu. Kena baca apa pesanan Intan Dzulkefli kongsikan di sini. Moga jadi panduan dan pedoman untuk semua pasangan suami isteri.
Isteri Tak Lagi Secantik Bidadari
Semakin bertambah waktu, isteri semakin pudar kelebihannya di mata suami, manakala, suami tiada apa yang kurang melainkan bertambah stabil dari pelbagai sudut.
Apabila isteri tak lagi cantik seperti bidadari yang baru dikahwini, di sinilah keimanan, kesetiaan & nafsu suami teruji.
Tak susah nak mencari wanita berwajah cantik, buka instagram berlambak gambar wanita cantik selfie, ootd, posing menyerlahkan kecantikan masing-masing, beribu likes. Tidak kiralah samada free hair, seksi, pakai tudung labuh, pakai purdah, semua ada.
Kita tengok gambar ini cantik, kejap lagi naik satu lagi gambar wanita parasnya lebih cantik, gebu & flawless. Realitinya memang akan ada ramai sangat wanita lebih cantik dari isteri kita di rumah.
Sememangnya isteri kita tidak akan mampu memenuhi semua kehendak imaginasi nafsu, tetapi kita sentiasa boleh mengubah cara pandang itu, agar menjadikan keadaan berbeza.
Mata isterimu memang sudah tidak bercahaya, bawah matanya lebam, eyebagnya jelas.. mengapa? Kerana ia tidak pernah cukup tidur semenjak melahirkan zuriatmu ke muka bumi ini. Kadang hanya mampu lelap seminit dua, tambahan jika anakmu tidak sihat, sakit.
Tubuh badan isterimu sudah tidak seramping dulu, bahkan kadang sudah melebihi pemelukmu. Itulah dia kerana nafsu makannya membuak-buak apabila selesai menyusui anak-anakmu, memasakkan juadah yang enak untuk santapanmu saban waktu.
Memang panjang senarai kekurangan & perubahan isteri jika hendak ditulis, tambah apabila bilangan anak & umurnya makin membanyak. Tetapi didiklah mata & hati agar sentiasa membesarkan pengorbanan isteri agar kekurangannya itu nampak lebih kecil.
Tundukkan Nafsu Jahat
Jika para suami bermuhasabah & meletakkan dirinya sebagai antara punca isterinya jadi sebegitu, tentulah hatinya akan merasa lebih lapang & luas untuk lebih menghargai.
Apa pesan Nabi SAW kepada para suami, “Jika engkau melihat seorang wanita, lalu ia memikat hatimu, maka segeralah datangi isterimu. Sesungguhnya, isterimu memiliki seluruh hal seperti yang dimiliki oleh wanita itu.” (HR. Tirmidzi)
Selebihnya, tundukkanlah pandanganmu. Itu lebih baik untuk memelihara keimanan.
Lebih payah kita meninggalkan hal yang nafsu jahat kita sukai, lebih besar kemanisan yang melimpahi hati. Satu kemenangan apabila kita berjaya menundukkan nafsu jahat itu.
Sesungguhnya perhiasan dunia itu adalah isteri yang solehah, maka renungilah betapa beratnya tugasmu untuk mendidik & menuntunnya agar menjadi isteri solehah.
Tuntunlah tangan isterimu, didiklah dia sebaiknya, doakan & redhailah dia agar dia menjadi ketua bidadarimu di syurga nanti, yang akan muda & cantik selamanya.
Jauh lagi perjalanan kita, kerana kita belum lagi di syurgaNya, wahai saudaraku.
Apa sahaja yang telah kita korbankan untuk memastikan anak isteri kita akan sama-sama masuk ke syurgaNya nanti?
Semoga Allah merahmati semua pasangan suami isteri yang mentaati Allah di dalam dunia ini.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di