Bila memikirkan untuk membawa anak kecil menunaikan ibadah umrah di musim cuti sekolah ini ada yang masih teragak-agak untuk membuat keputusan. Apatah lagi memikirkan bila berada di tempat asing, ragam anak tidak dapat dijangka. Jadi apa kata anda baca perkongsian daripada seorang ayah ini tentang tujuan utamanya membawa anak-anak menunaikan umrah ketika mereka masih kanak-kanak. Ada benarnya apa yang dikatakan malah perkongsian daripadanya ini juga membuatkan kita tersentuh hati.

Nak tahu apakah kisahnya itu, ayuh baca perkongsian penuh daripadanya dan semoga turut menyuntik inspirasi untuk kita sama-sama membawa anak menunaikan umrah di waktu yang akan datang, insyaAllah.

Ini perkongsiannya.

Ada orang, ada pelbagai pendapat. Tak perlu bawa anak. Kita mahu beribadat. Bawa anak menyusahkan. Anak tidak tertaklif buat umrah lagi. Tapi, inilah pendapat aku (dan umminya) mengapa aku berhasrat bawa anak-anak aku dalam perjalanan umrah ini.

Abid Affan sudah selesai berkhatan pada usia 6 tahun (tahun lalu) dan Aisya sudah tidak lagi memakai lampin bayi waktu hujung usia 2 tahun lagi. Abid Affan sudah usai mengaji Muqaddam dan kini sudah sedang mengaji Al-Quran bersama umminya. Dan, pada usia 7 tahun, dia sudah dibimbing untuk tidak lagi meninggalkan solat. Jika di rumah samada kami berdua akan ke masjid atau dia akan solat bersama aku.

Tujuan membawa mereka, terutama anak lelaki aku
Bawa Anak Pergi Umrah. Ayah Ni Kongsi Sebabnya & Cukup Menyentuh Hati!

1. Memperkenalkan sirah Nabi

Sejarah Nabi yang mulai diperkenalkan waktu mereka pada awal persekolahan sampailah nanti mereka ke peringkat universiti, malah di Tingkatan 5 atau 6 sejarah Islam akan dipelajari lagi dan lagi. Inilah cara terbaik buat aku mengukuhkan lagi naratif sejarah Islam kepada anak lelaki aku.

Dia sudah tahu masjid Nabawi, dia sudah boleh membayangkan nabi duduk di tiang mana, malah tiang-tiang yang disebut ustaz Mutawif dia masih ingat dan mengeluarkan semula ingatan kepada aku. Terkejut aku kesemua tiang dia boleh 'recall' semula.

Dia bercerita tentang kewafatan nabi kepada adik perempuannya, saat Rasulullah tidak mampu lagi bangun dan meminta sahabat mengimamkan jemaah di masjid.

Ada banyak video yang aku ambil, dia duduk di lantai waktu ustaz menerangkan sirah sambil mendengar betul-betul apa yang diceritakan ustaz. Tentang pulangnya dalam ketakutan Nabi Muhammad daripada Gua Hira' mendapatkan isterinya, aku melihat dia begitu tekun mendengar cerita ustaz. Ditunjukkan ustaz dari mana asal rumah nabi dan gua, perjalanan bersama Abu Bakar, bersungguh dia mahu mengetahuinya.

Fikir aku, dia kadang tidak menumpu tetapi aku sering disalahkan oleh dirinya sendiri, yang membawa kepada point kedua – terujanya dia mahu mengetahui dan menguasai.

2. Dialog anak dan ayah tentang Sirah Nabi

" Ayah, kenapa kita perlu tawaf ayah? "
" Ayah, nabi dulu berperang bagaimana?"
" Macam ini kah dulu Siti Hajar berlari cari air kan ayah?"
" Jauh betul Nabi berhijrah dari Mekkah ke Madinah kan ayah?"

Akibat daripada semua soalan ini, ia mencetus cinta dan minat anak kepada sejarah Islam dan nabi. Dan, seorang ayah akan cuba menerangkan sebaik mungkin supaya anak lebih mengerti dan mentaukidkan dalam hati.

IKLAN

Jangan biarkan ia tenggelam dalam soalan. Ayah akan mencetuskan lagi minat anakanda untuk lebih mengetahui.

3. Pesan/nasihat halus buat anak-anak

Saat bermusafir dan kau sering dengan anak, saat menunggu azan, iqamat, saat menunggu segala kesusahan yang datang. Kau akan sering berpesan kepadanya.

" Sabar, banyakkan bersabar "
" Tolong isikan air zamzam dalam botol, nanti berikan kepada ummi"
" Orang yang sabar akan sentiasa menang"
" Tolong pakaikan kasut Aisya"
" Tolong siapkan adik "

Itu antara pesan rutin hari-hari di sana. Tetapi, yang lebih dahsyat ialah aku akan sentiasa berpesan di telinganya tentang solat, tentang hidup berbuat baik dan lain-lain. Peluang yang terbuka luas, saat dia beriba atas ribaan aku, aku sentiasa sangat berpesan itu dan ini

" Jangan tinggal solat walau sekali, nanti Allah murka "
" Murka tu apa, ayah?"
" Murka itu marah"

" Berdoa untuk ayah tau. Berdoa untuk ummi"
" Berdoa untuk siapa lagi?"
" Berdoa untuk kawan boleh tak ayah?"
" Masya-Allah, boleh "

Kala dia mengantuk. Kala dia gembira. Kala dia merungut. Inilah masa terbaik untuk berpesan yang baik-baik di telinganya.

Bawa Anak Pergi Umrah. Ayah Ni Kongsi Sebabnya & Cukup Menyentuh Hati!

4. Menjadikan anak seorang yang passionate, cekal dan kuat

Tahan dugaan. Kapal terbang tertangguh dua jam. Tidur di Jeddah. Kesejukan berselimut. Sentiasa berjalan. Berjalan dan berjalan lagi. Semua tempat perlu berjalan.

IKLAN

Sentiasa mahu membantu ayah dan ummi. Tolong itu dan ini. Tolong mengangkat barang.

Menjentik rasa empati dan simpati dengan menyediakan wang kecil sedekah untuk pekerja di Masjid Haram dan Nabawi, dengan membawa makanan kucing.

Dan, sentiasa menunjukkan orang yang lebih mulia tetapi berhati baik daripada kita, dan menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.

Bawa Anak Pergi Umrah. Ayah Ni Kongsi Sebabnya & Cukup Menyentuh Hati!

5. Meninggalkan legasi kenangan buat anakanda

Ini sangat penting. Jika ayah dan ummi sudah tiada lagi. Saat dia membesar, dia tahu dia sudah pergi Mekkah dan Madinah bersama ayah dan umminya. Dia tahu dia mempunyai kenangan itu.

Ayah berharap, saat itu dia tahu mengapa ayahnya membawa dirinya ke sana, tidak lain tidak bukan, supaya dia menjadi orang Islam yang kukuh pegangannya, dia akan dapat mengimbau semula (jika tidak mampu seratus peratus) kenangan di Bukit Uhud, Masjid Quba, di Kaabah, Masjid Nabawi waktu kecil dahulu, dia akan dapat mengulang semula kenangan ini dan mengaitkan nanti dengan buku-buku sejarah, di dalam kelas ketika belajar sejarah Islam betapa hebatnya perjuangan nabi.

Dia akan berfikir, aku dibawa ummi dan ayah supaya dapat menjadi orang Islam yang tahu sejarah, dan menjadi orang Islam yang diredaiNya.

Dan, saat dia dewasa tumbuh sihat dan mekar, dia akan datang semula untuk Umrah dan Haji akan dia mengenangkan kenangan bersama ayah dan umminya, akan dia doakan yang terbaik untuk ummi dan ayah yang telah tiada lagi.

Akan dia sempurnakan ibadahnya kerana dia pernah sampai dahulu.

IKLAN

+++

Pada santapan makan malam di padang pasir, dengan tidak semena-mena anak aku berkata kepada kumpulan jemaah lelaki yang sedang makan dengan gembiranya

" Kalau kita makan ayam yang banyak ni, kita tidak perlu TAMAK, tetapi dalam buat umrah kita perlu bersikap TAMAK "

" Tamak nak buat baik, nak dapat pahala banyak-banyak."

Kata-kata Abid Affan disambut dengan kejutan oleh yang dewasa. Aku pun terkejut dia boleh berkata begitu.

"Masya-Allah, Masya-Allah"

" Pakcik doakan abang jadi orang islam yang hebat." kata mereka.

Bukan berlebih-lebih dalam memuji anak. Dia kadang-kadang dengan anginnya sendiri. Anak – anak tetap akan bermain dan ada nakalnya sendiri. Tetap akan ditegur oleh ayahnya.

Namun, mendengar kata-katanya itu, aku percaya aku telah membuat keputusan yang betul dengan membawa anak-anak ayah ke sini.

Untuk ketauhidan diri, seperti Luqman berpesan tentang keesaan Tuhan. Menghamparkan ibrah untuk anak. Peluang yang jarang diperoleh untuk hidup seorang ayah dan anak.

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.

Aku mohon supaya Allah reda dengan perjalanan umrah kami sekeluarga.

Bawa Anak Pergi Umrah. Ayah Ni Kongsi Sebabnya & Cukup Menyentuh Hati!

– Kenangan mendukung Abid setelah selesai Saie adalah kenangan yang mengharukan. Air mata mengalir mengenangkan bagaimana Siti Hajar berlari 7 kali, mencari air untuk anaknya Ismail. Aku menangis kerana dia tidak mengadu pun letih bersaie pun sedangkan ayah rasa begitu penat dan letih. Tapi dia tertidur sementara menunggu jemaah berkumpul setelah selesai ibadah umrah. Ayah yang sudah lama tidak mendukung Abid kerana sudah besar, tapi pada hari itu dia begitu nyenyak dan lena. Rasa bahagia, sedih , gembira dan terharu yang tak pernah mampu nak digambarkan. Aku berdoa jadilah anak-anakku yang soleh dan solehah. Hanya itulah sahaja doa kami berdua.Aamin –

sumber : Shahidan Shuib

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI