
Insiden Bella Astillah ditarik pada bahagian leher sebelum dicium seorang wanita ketika menghadiri Kenduri Rakyat di Muar, Johor baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi warganet.
Susulan kejadian itu, menantu wanita berkenaan tampil memohon maaf bagi pihak keluarga atas keterujaan ibu mentuanya ketika bertemu selebriti tersebut.

“Kami Sekeluarga Ingin Memohon Maaf…”
Menerusi panggilan telefon ke Era FM, menantu wanita itu menghubungi Bella selepas usaha menghantar mesej menerusi Instagram tidak mendapat respons.
“Dia adalah mak mentua saya. Kami sekeluarga ingin memohon maaf di atas keterujaan emak.
“Saya betul-betul minta maaf sebab itu di luar jangkaan, orang tua kan. Jadi, kami pun tak expect benda ni semua berlaku.
“Sebenarnya kami sudah cuba hantar mesej di Instagram tetapi tiada respons. Jadi, saya terlihat Bella di Era FM. Terus saya hubungi Bella,” katanya.
Bella Terima Permohonan Maaf Dengan Baik
Sementara itu, Bella menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka, malah menjelaskan dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Eh, tak apa, tak apa. Saya sendiri tuan punya badan okay. Tiada apa-apa masalah mahupun kecederaan.
“Terima kasih kerana sudi menghubungi, saya juga minta maaf. Sampaikan salamlah pada ibu mentua. Semoga kita dapat berjumpa nanti,” katanya.
Terdahulu, Bella dan suaminya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman diraikan dalam Kenduri Rakyat di Muar yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu.
Pasangan yang dikenali sebagai BASS itu turut dijadualkan mengadakan majlis di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.
Walaupun keterujaan peminat adalah tanda kasih sayang, kejadian ini menjadi peringatan agar sentiasa menjaga batas dan menghormati ruang peribadi orang lain.
BACA LAGI : Bella Astillah Dedah Pernah Jumpa Pakar Psikiatri, Lalui Fasa Paling Sukar
SUMBER : Instagram Era FM


