Bukan mudah untuk kehilangan insan yang tersayang. Dari kecil membawa ke alam dewasa, pelbagai suka dan suka ditempuhi bersama.
Insan yang dulunya sihat namun secara tiba-tiba jatuh sakit. Lalu diberitakan mempunyai penyakit yang cukup digeruni. Kanser! menyebutnya saja sudah terselit rasa ngeri, apa lagi bagi mereka yang mengalaminya sendiri.
Namun, siapa kita untuk menolak takdir. Jika sudah ditentukan oleh Sang Pencipta, reda dan pasrah menerima ujian tersebut. Pasti ada hikmah disebaliknya.
Biar diduga dengan ujian cukup hebat ini, masih ada insan yang sudi dan tidak pernah meninggalkan dirinya biarpun sedar wanita istimewa dalam hidupnya tidak panjang umur.
Fatin dan suaminya diijabkabulkan beberapa jam sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir di atas pangkuan suaminya, Azzam.
Ikuti kisah seorang wanita bernama Fatin Nursyahirah yang mengidap kanser sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kisah ini dikongsikan oleh adiknya, Shukur Yusufmenerusi laman facebooknya.
Semoga roh allahyarhamah Fatin Nursyahirah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang yang beriman.
Al-Fatihah
CORETAN BUAT KAKAK
Ads
Kanser? Malas ambil pusing sebab tak kena batang hidung sendiri. Tahun 2017, di PPUM adikku yang kami panggil Kakak disahkan menghidap Kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) pada tahap ke-3!
Sekeluarga tergamam. Mama terus menangis. Abah kelu tak terkata. Seakan tidak percaya akan diuji sehebat ini. Tetapi Kakak yang kami sayangi nampak cukup kuat. Kami sekeluarga terus positif yang mengatakan Kakak boleh sembuh. Hidup bertukar 360 darjah. Segala aktiviti dan perhatian kami dikhususkan untuk Kakak.
September 2017, selesai pembedahan membuang kanser tersebut. Doktor memberi jaminan yang pembedahan berjaya dan insyaAllah kanser tidak akan menyerang lagi sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Cuma follow up seperti biasa. Leganya perasaan kami sekeluarga. Difikirkan berakhir disitu, tetapi tidak.
Disember 2017, Kakak diuji lagi. Kanser datang kali ini dengan lebih agresif. Doktor juga tidak dapat mengenalpasti mengapa kanser ini begitu cepat membesar. Kami sekeluarga terus memberi semangat. Terus yakin. Terus berusaha. Terus bertawakal. Hanya kami dapat memberikan kekuatan psikologi yang amat diperlukan Kakak.
Februari 2018, Mama dan Abah terus setia menunggu diluar bilik bedah. Pembedahan kedua yang memakan masa lebih 15 jam selesai jam 2 pagi. Usai solat Subuh, Mama, Abah dan saya dah terjegat di Cardiacthoracic Intensive Care Unit (CICU) menunggu ulasan doktor mengenai pembedahan tadi. Doktor memaklumkan bahawa pembedahan tidak 100% berjaya. Sel kanser tak dapat dikeluarkan sepenuhnya disebabkan keadaan sudah terlalu rumit dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Selesai mendengar ulasan doktor, kami keluar. Masing-masing diam membisu namun akhirnya kami sama-sama menangis. Tak kuat kami menahan air mata. Ya Allah! Sungguh hebat ujianMu kali ini…
Bermula daripada saat itu, kami sekeluarga mula menjadi doktor sendiri. Habis segala macam artikel berkaitan kanser kami baca. Habis segala petua kami cuba. Segala ceruk pelusuk negara kami teroka. Dengan hasrat mencari penawar buat Kakak tercinta. Kakak seperti biasa senyum tanpa luahkan sakit yang terseksa.
Hujung April 2018, kami sekeluarga bersetuju dengan saranan doktor untuk Kakak menjalani sesi radioterapi. Maka berulang-aliklah kami setiap hari membawa Kakak ke PPUM. Selesai 30 sesi pada awal Jun 2018, hasil scan terbaru yang dijalankan, doktor memaklumkan yang tumor kanser sudah mengecut. Alhamdulillah. Leganya hati kami.
Ads
Namun, tiba-tiba doktor berkata lagi dalam nada yang cukup lembut.. “Tapi…., kanser tu dah merebak ke kawasan yang lain”. Saya dan kakak terbungkam! Pada ketika itulah pertama kali saya melihat Kakak menangis teresak-esak. Saya sendiri menangis sambil cuba memberikan kata-kata positif buat adikku ini. Tidak lagi peduli pandangan orang disekitar ruang menunggu PPUM. Hanya kami merasai peritnya dugaan ini. Allah….
17 Jun 2018, Kakak dipinang seorang anak muda yang cukup ikhlas menerima Kakak seadanya. Keluarga pihak lelaki juga banyak membantu dalam proses mencari penawar buat Kakak daripada awal hingga sekarang. Mama dan Abah sangat bersyukur disebabkan keluarga pihak lelaki yang begitu bersungguh menerima Kakak walaupun dalam keadaan Kanser sekarang sudahpun di tahap 4.
Julai 2018. Kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Sekeluarga terkejut. Tidak kami sangka akan secepat ini. Kakak seperti biasa lebih banyak berdiam diri tentang sakitnya. Namun segala yang Kakak pinta, kami akan cuba usaha untuk jadikan kenyataan. Selang seminggu kemudian, kesihatan Kakak semakin merosot. Kakak mula sesak nafas. Kanser sudah menyerang paru-paru Kakak. Pihak hospital telah memberitahu tiada rawatan lagi untuk tahap ini. Yang ada hanyalah “Comfort Patient”. Fahamlah kami dengan maksud Doktor itu. Lantas Mama terus menangis. Abah cuba memendam rasa biarpun air mata sudah berlinang. Hanya Allah yang mengetahui perasaan kami…
Ogos 2018. Semangat baru buat Kakak. Azzam bersungguh untuk menerima Kakak sebagai isteri. Ikhlas hati Azzam hanya Allah yang tahu. Dalam keadaan Kakak seperti ini, tetap menerima Kakak seadanya. Keluarga Azzam juga begitu. Menyokong penuh hasrat Azzam. Telah menganggap Kakak seperti keluarga sendiri. Alhamdulillah. Allah hantarkan sebuah keluarga yang cukup bersih hatinya yang sedia menerima Kakak dan berusaha bersama-sama mencari penawar dan memberi semangat.
Pagi 3 Ogos 2018, Kakak dan Azzam selamat diijabkabulkan. Tiada majlis warna warni, tiada baju pengantin menambah seri. Tiada pelamin tanda raja sehari. Yang ada hanyalah pihak keluarga perempuan, pihak keluarga lelaki, tok kadi bersama saksi. Ketika akad sedang dilafaz, esakan tangisan keluarga menjadi muzik latar, menyaksikan penyatuan dua hati murni ini. Alhamdulillah. Allah permudahkan.
Semoga atas pernikahan ini, Allah kurniakan rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan dunia akhirat buat Kakak dan Azzam.
Ads
Namun, saat gembira itu tidak lama. Petangnya selepas solat Jumaat, Kakak terus dimasukkan ke hospital. Pernafasan Kakak semakin merosot. Mama terus menjadi peneman setia. Disamping Abah yang terus berusaha serta keluarga yang terus mendoakan kesembuhan Kakak.
Namun Allah lebih sayangkan Kakak dan Saat itu tiba juga.
Kakak pergi meninggalkan kami pada waktu Subuh 4 Ogos 2018. Alhamdulillah ditemani Mama, Abah, Suaminya, Mak Besah serta Saya.
Disaat ini, keluarga redha dengan ketentuan. Buat Azzam dan keluarganya, terima kasih atas segala pengorbanan serta kasih sayang yang diberikan untuk Kakak, serta menunaikan impian Kakak biarpun cuma untuk seketika. Alhamdulillah, Kakak nampak berseri masa hari pernikahannya. Hanya Allah yang dapat membalasnya budi baik Azzam dan keluarganya.
Semoga Kakak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Aamiin.
Kehilangan seseorang yang disayangi dalam hidup ini sememangnya meninggalkan luka yang mendalam di hati. Terutamanya orang itu adalah ahli keluarga kita sendiri, tidak boleh bayangkan hidup kita tanpa mereka sepanjang hayat ini.
Bila perginya seorang bapa, pemimpin untuk keluarga memberi impak pada anak-anak terutamanya bagi anak lelaki. Tiada lagi orang yang boleh dijadikan idola dalam hidupnya. Malah tiada lagi orang yang hendak mereka bermanja meminta itu ini seperti kanak-kanak yang lain.
Itulah yang dirasai oleh anak ini, gelagatnya bukan sahaja meruntun hati si ibu, tetapi bagi siapa yang melihatnya turut merasa sebak.
Menurut pemilik video, dia sebenarnya mahu memeriksa sama ada anak-anaknya sudah tidur atau belum apabila dia menyaksikan anak keduanya yang dipanggil Bang Ngah sedang menatap dan memeluk foto seseorang.
“Ingat nak check je anak-anak dah tidur ke belum. Tak sangka ini yang mama tengok. Sedih mama.”
Katanya lagi, foto tersebut adalah gambar arwah suaminya. Mungkin anaknya tidak dapat melelapkan mata, lalu mengeluarkan foto tersebut dari laci dan kemudian dihulurkan kepada adik kecil yang dipanggil Baby. Sambil menatap gambar Abahnya, dia turut dilihat seperti bercerita dengan Baby.
“Tengok gambar Abah sama-sama dengan Baby. Bagi Baby peluk gambar Abah.”
Anaknya dilihat cuba untuk tidur tetapi mungkin rasa rindu membuatkan dia sukar tidur. Kemudian Bang Ngah ambil semula foto Abah dari Baby untuk dicium dan dipeluk. Masih tak dapat tidur, Bang Ngah terus menatap foto Abahnya itu.
“Bang Ngah ni suka cerita kat Baby pasal Abah walaupun Baby tak sempat kenal sebab dia baru sebulan lebih masa tu. Sebab tu Baby selalu sebut pasal Abah walaupun tak sempat nak kenal, nak bermanja. Banyak benda dia tahu.”
Sambil melelapkan mata, tangan Bang Ngah masih erat memeluk foto Abah dan kemudian dia dilihat seperti sedang mengelap matanya.
“Still peluk gambar, tak tahu nak gambarkan betapa rindunya anak-anak dekat Abang.”
Tonton video ini;
@eldazaimansemoga terus kuat anak²ku.. 🥺nangislah kalau dengan cara tu dapat legakan hati..😢mama tau bang ngah kuat..anak² mama semua kuat..mama & arwah abah syg semua dunia akhirat..jangan sedih sebab nanti mama pun sedih 🥺😭♬ original sound – eldazaiman
Masih sukar untuk tidur, Bang Ngah dilihat berkata sesuatu kepada Baby dan kemudian menangis tetapi segera dilap kerana tak mahu adiknya itu nampak. Foto Abahnya ditatap lagi sebelum Bang Ngah dilihat mengelap air matanya.
“Mama dah tak tahan sedih dah masa tengok ni, Mama tahu banyak Abang Ngah pendam tapi tak cakap. Sungguh kadang-kadang Mama pun tak kuat sebenarnya. Jangan lupa selalu doakan Abah setiap kali habis solat. Mama dan abah sayang semua anak-anak dunia akhirat.”
Mengakhiri videonya, beliau mendoakan agar anak-anaknya dipertemukan dengan Abah mereka di ‘sana’ nanti. Difahamkan Allahyarham Zawawi bin Hj Mohd telah meninggal dunia pada Jun 2018 pada bulan Ramadan. Semoga ibu ini dan dan anak-anaknya terus diberikan kekuatan untuk menempuh ujian berat ini.
Ibu bapa pasti risau apabila melihat anak demam dalam tempoh yang lama dan tidak kebah-kebah meskipun sudah diberikan ubat.
Situsi begitu turut dialami oleh pelakon dan pengacara, Irma Hasmie apabila anak sulungnya terpaksa dikejarkan ke hospital setelah sesak nafas, demam dengan suhu yang tinggi dan mengalami sakit kepala.
Muat naik terbaru perkongsian di Instagram miliknya, Irma berkongsi detik cemasnya yang dilaluinya baru-baru ini.
Kini, anaknya kembali sihat setelah menjalani rawatan di sebuah hospital terkena di ibu kota.
“Kisah beberapa hari lepas, saya baru sempat nak share. Harap dapat kongsi manfaat pada semua yang membaca.
“Bismillahi Mashaallah. Mulanya, Irfhan sesak nafas tengah pagi (> < jam 3am ke 4am rush ke klinik 24jam amik neb) 2 kali neb back to back sebab 1st neb tu masih tak clear lagi. Waktu tu tak ada demam lagi, esoknya badan dia mula panas, macam biasa bila kita pantau suhu naik tinggi mesti akan bagi dia paracetamol.
“But panas juga, tak turun demamnya, saya dah mula risau la. Macam tak jadi apa je walaupun makan paracetamol tu every 4 to 6 hours la lebih kurang. Then dia dah tak aktif, mengadu sakit kepala sangat, letih melepek je.
“Saya bawa pergi klinik lagi, doc beri antibiotic pula. Masuk hari ke 3 masih demam, muntah-muntah, tambah pelik lagi padahal dah makan antibiotik kan. Dia memang dah lesu teruk la.
“Sampai tahap minum air kosong pun muntah juga. Apa lagi ubat. Pukul 12 am rush pergi hospital. Pergi kat emergency, masa ni Irfhan nak berdiri pun tak boleh, kaki dia lembik. Admitted.
“Apply GL, nak jadi hal staf kat Registration inform Irfhan punya insurance policy tak matang lagi baru sangat amik, baru 4 bulan.
“Saya cuak masa ni takut tak lepas, kata dia sepatutnya kena 6 bulan. Dia tengok saya terdiam, terus dia kata takpe dia cuba je submit. Kat report, DR tulis suspect : chest infection.
“Hari tu memang saya terpaksa la duk kacau je agen insuran saya, saya panggil dia Su. @suriarosli91. TQ tau Su bantu tenangkan saya yang kalut waktu tu. Su bagitau cuba jelah apply GL tu.
“Tak tahu la Su sedapkan hati kita supaya teruskan sabar. Kita doa. Pasrah. Nak pujuk hati tu gigih la juga, Astaghfirullah.
“Otak ni duk pikir je nak bawa ke mana la Irfhan masa tu. Amik ubat jer kat sini then balik rumah ke atau kena tunggu siang la kot cuba bawa HKL ke, tapi klinik pesakit luar buka pukul berapa tak tau juga. Tak boleh fikir masa tu, blur dan buntu sangat.
“Dah tu pula memang prosedur sekarang kena ada covid test untuk apply GL. Irfhan kena swab test la pulak tengah sakit-sakit tu. Kat emergency area tu dah masuk Drip, amik darah amik darah amik darah, 3 syringe. Amik neb lagi. Chest X-ray.
“Agak-agak berapa la kena charges bila GL tak lepas. Pengsan. Dah la tak tahu lagi sakit apa la anak saya ni kan. Memang la hati ni tak keruan. Gitu gini dah nak subuh.
DR SAHKAN ANAK HIDAP INFLUENZA A
Nurse datang nak inform Irfhan mengidap influenza A.”
“Allahu. Terkejut. Jujur, tak terpikir langsung virus ni. Saya rasa memang agak sukar nak kenalpasti bila anak terkena demam yang dijangkiti virus Influenza A.
“Tapi dalam masa sama, syukur sebab dah tahu sakit apa, dapat rawatan cepat-cepat, Alhamdulilah, Alhamdulillah, Alhamdulillah
IBU BAPA KENA HATI-HATI
Elak dari berlakunya komplikasi serius penyakit Influenza tu yang boleh ragut nyawa kalau lambat rawat, nauzubillah. Jadi yang membaca ni, boleh elak lebih baik elak dari terkena virus ni. Google la cara pencegahan ok.
Bila dah dijangkiti memang susah jaga. Tempoh jangkitan selalunya ambil masa 7-21 hari untuk sembuh. Tengok gambar ubat-ubat kena makan dan kena complete kan, ubat tu ada yang sampai 14 hari ye. 3 hari juga Irfhan kat hospital.
“Haha, apa kisah GL?? Alhamdulillah, approved. Syukur sangat. Tak rugi ye parents yang amik insurance untuk anak-anak. Memang penyelamat. Jangan tanya total bill berapa ok. AIA settlekan.
“Sekarang ni macam-macam ‘penyakit’ yang merisaukan ye. Yang pasti, mak ayah kena hati-hati, virus ni merupakan sebahagian daripada influenza bermusim dan sangat mudah berjangkit.
“Kita doa banyak-banyak untuk anak-anak keturunan kita. Hasbunallah wa ni’mal wakil ni’mal maula wa ni’mal nashir,” tulisnya lagi berkongsi.
Kentang antara bahan masakan yang selalu ada di dapur. Kegunaannya banyak, baik untuk sup mahupun dijadikan kudapan atau boleh juga dibuat inti karipap dan sebagainya lain. Ada ibu-ibu yang selalu membeli dalam kuantiti yang banyak untuk disimpan bagi kegunaan di lain masa.
Namun, masalah yang sering dihadapi oleh ibu-ibu adalah kentang yang lama dibiar tidak dimasak akan keluar tunas. Dek kerana sayang dan rugi jika dibuang begitu sahaja, ada antara ibu-ibu yang tetap memasak kentang tersebut. Tanpa anda ketahui kentang yang sudah bertunas sebenarnya boleh mendatangkan bahaya pada tubuh anda dan keluarga. Jom semak artikel ini!
Awas! Boleh Sebabkan Sakit Perut
Kentang yang sudah bertunas warnanya akan berubah menjadi kehijau-hijauan. Rasa kentang pun jadi pahit sedikit. Keadaan inilah memberi bahaya pada sistem pencernaan kita sehingga boleh menyebabkan sakit perut. Kerana kentang tersebut sudah beracun. Ia disebabkan adanya unsur kimia pada batang tunas kentang.
Rupanya bukan setakat kentang, lobak merah, bawang bombay dan sebagainya jika sudah mengeluarkan tunas, ia tidak lagi sesuai untuk dimakan.
Sakit Kepala Salah Satu Punca
Jika anda mengambil dalam jumlah yang sedikit, ia mungkin tak memberi kesan. Tapi jika makan dengan kadar yang banyak, ia berisiko bukan setakat mengganggu sistem pencernaan. Malah boleh menyebabkan mual, perut menjadi kejang, muntah dan sakit kepala.
Kentang Kulit Hijau Beracun
Kentang yang berkulit hijau ni biasanya kita jumpa pada kentang yang dah tersimpan lama sampai ia mengeluarkan tunas. Kentang jenis ini mengandungi solanin dan ada alkaliod jahat.
Dalam tanaman kentang sendiri ada solanin, iaitu bahan kimia yang memberikan rasa pahit. Dan ianya beracun. Solanin ini boleh ditemui pada daun batang dan sesetengahnya di bawah kulit ubi kentang itu sendiri. Sebab itulah anda perlu menanam saja bila kentang di dapur sudah bertunas.
Sudah Kehilangan Nutrisi
Semasa kentang bertunas, pati yang ada di dalam kentang akan diubah menjadi gula. Penyelidik mendapati sekiranya bahagian utama kentang masih kuat, ia masih mempunyai nutrisi yang baik. Sebaliknya jika keadaan kentang itu mengecut, ia tidak boleh dimakan. Nutrisinya hilang sama sekali.
Mengundang Risiko Kanser
Dalam kentang terdapat sejenis zat beracun dipanggil akrilamida. Dalam kajian yang dijalankan, akrilamida dalam makanan boleh menyebabkan kanser yang menyerang ginjal, endometrium dan ovari.
Sebab itu dilarang menyimpan kentang dalam peti ais. Sebaiknya simpan di kawasan yang gelap yang tidak terkena matahari. Ini untuk mengelakkan kentang daripada bertunas. Kentang yang sudah bertunas sudah tentu mempunyai akrilamida yang banyak.
6 Tip Pilih Kentang Terbaik
#Permukaan Kentang Biarlah Yang Licin
Permukaan kulit kentang yang licin dan tak beralun mempunyai rasa yang manis berbanding permukaan kulit kentang yang kasar.
#Kalau Berat.. Dah Betullah Tu
Kentang yang baik, ia perlulah berat. Mak-mak takkan jumpa lubang dekat permukaannya, tak merekah apatah lagi busuk pada sesetengah bahagian. Cari yang kulit tebal dan ada garisan warna coklat pada kulitnya.
#Warna Kentang Kena Kuning Muda
Jangan sesekali ambil kentang yang berwarna hijau. Ia sudah mengandungi racun sebenarnya. Nanti rasanya pahit dan boleh menyebabkan sakit perut.
#Jangan Pilih Yang Dah Bertunas
Dah taukan sebabnya, jadi bila nampak yang dah bertunas elakkan membeli. Melainkan anda mahu menanamnya di rumah untuk dijadikan ubi kentang.
#Saiz Kentang
Kalau anda hendak membuat kerepek, pilihlah kentang yang bersaiz besar. Jika mahu dijadikan kentang bakar, yang kecil sudah memadai. Malah rasanya lebih manis.
#Jangan Simpan Dalam Plastik
Seeloknya segera keluarkan kentang yang anda beli di pasaraya dari dalam plastik. Ini untuk mengelakkan daripada ia cepat busuk. Anda tak perlu mencucinya, sebaiknya simpan dalam bekas yang tidak terdedah dengan matahari.
sumber: Mingguan Wanita
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di