Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kehilangan tonggak keluarga yang selama ini mencari rezeki menyebabkan lima beradik hilang tempat bergantung. Ayah yang disayangi meninggal dunia baru-baru ini akibat penyakit lelah.

Lebih malang lagi, ibu mereka tidak mampu menguruskan lima beradik ini. Wanita ini hanya mampu terbaring di atas tilam ekoran terlibat dalam kemalangan sejak setahun lalu yang mengakibatkan wanita itu lumpuh seluruh badan.

Kini, anak sulung Nafrah Qistina Razali, 12, terpaksa menggalas tanggung jawab sebagai ketua keluarga tersebut. Pelajar Sekolah Kebangsaan Belimbing, terpaksa bergilir dengan adiknya menjaga ibunya, Rahimah Omar, 42, yang terlantar di atas katil.

Bergilir Ponteng Sekolah Demi Jaga Ibu Yang Lumpuh Lepas Kematian Ayah. Tabahnya Lima Beradik Ini!

 

IKLAN

Menurut Nafrah, dia akan bergilir menjaga ibunya dengan adik keduanya, Muhammad Habbi Al Muhaimin Razali, 10.

“Ada ketika saya tidak sekolah selama seminggu, lagi pun ibu perlukan perhatian khusus kerana tidak boleh makan dan minum seperti biasa dan hanya bergantung kepada susu khas sebagai penambah tenaga.

“Ibu juga perlu dipakaikan lampin pakai buang kerana dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri,”katanya kepada Sinar Harian.

IKLAN

Setakat ini keluarga malang ini ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu bantuan untuk salah seorang adik dari adik kembarnya Nuaiqalisa Razali, 5 dan ibunya yang sakit.

“Namun perbelanjaan kami tidak mencukupi kerana rumah yang kami diami ini merupakan rumah yang disewa.

“Harga sewa rumah RM300 dan kami buntu memikirkannya kerana sumber pendapatan tetap keluarga tiada selepas ayah yang bekerja sebagai pemandu lori sebelum ini, meninggal dunia,” katanya.

IKLAN

Menurut Nafrah, kini dia hanya menggunakan wang JKM untuk menampung perbelanjaan makan dan minum mereka sekeluarga termasuk bayar sewa rumah, bekalan susu dan lampin pakai buang ibu mereka di samping untuk belanja dapur.

Terdahulu, Nafrah dan keluarga dikunjungi Mantan Setiausaha Dun Bukit Panau, Mohd Alias Yusof dan mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Mohd Rozimi Mohd Zain.

Alias berkata, pihaknya amat bersimpati terhadap nasib keluarga berkenaan dan akan berusaha mendapatkan bantuan susulan demi kelangsungan hidup keluarga itu.

Sumber: gpsbestari

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI