
Emas dan wanita begitu sinonim sebagai barang hiasan yang mesti ada sekurang-kurangnya sebentuk cincin.
Malah ada wanita yang suka menjadikan emas sebagai barang perhiasan diri. Bukan itu sahaja, barang kemas menjadi awasan ketika menghadapi kesukaran hidup.
Ada sumai terpaksa menyuruh isteri mengadaikan barang kemas di pajak kedai untuk kegunaan kecemasan.
Namun, ada suami buat-buat lupa untuk menebus kembali barang kemas milik isterinya.
Sebagaimana perkongsian ini menjadi ingatan bersama untuk kekal bahagia.
Resit-resit lama dan kotak-kotak yang sudah kosong tidak berisi. Ini adalah gambaran biasa yang sentiasa dibuat-buat tak nampak sedangkan ini sangat memberi kesan kepada si isteri.
Sayu hati isteri melihatkan kotak yang dahulunya diisi dengan kegembiraan, kini kosong sudah sekian lama tanpa diketahui bilakah ianya akan kembali. Malah ada yang tidak mungkin akan ada semula.
Jangan ambil mudah barang kemas isteri di pajak gadai. Itu hutang suami kepada isteri. Jadikan ia nombor 1 di dalam keutamaan hutang yang perlu dibayar.
Walaupun itu adalah pemberian suami atau sesiapa sahaja pun, ianya bukan satu alasan untuk meletakkan ia sebagai satu “tanggungjawab”. Ianya masih lagi harta kepunyaan mutlak isteri. Ianya masih lagi satu hutang apabila digunakan untuk membantu suami.
MASIH BERHUTANG DENGAN ISTERI
Jangan sesekali mengutamakan orang lain jika masih lagi berhutang dengan isteri. Tanya soalan-soalan ini dahulu.
1. Kawan nak pinjam duit? Hutang isteri dah selesai ke belum?
2. Adik beradik nak pinjam duit? Hutang isteri dah bayar belum?
3. Nak beli telefon baru, sport rim dan sebagainya? Hutang isteri dah bayar belum?
4. Nak belanja ahli keluarga ke sana sini? Hutang isteri tu dah bayar ke belum?
Kenapa isteri harus terus diketepikan? Sedangkan dia yang pertama ada apabila suami dalam kesusahan?
Apabila kita tengok sewaktu PKPB bermula, betapa ramainya orang beratur di Ar Rahnu dan pajak gadai yang lain, ia sepatutnya mendatangkan keinsafan dalam diri.
Adakah emas yang diserahkan di kaunter Ar Rahnu itu milik suami? Hampir pasti kepunyaan isterinya. Apakah maksudnya ini? Maksudnya, keluarga itu di dalam kesusahan dan isteri sedang menghulurkan bantuan. Ada yang hanya tunggu di rumah atau di dalam kereta kerana tidak sanggup bersedih.
Saya sendiri yang sudah berkali-kali ke sana, tetap rasa hati ini bagai disiat-siat kerana telah menyusahkan dan membuatkan isteri sedih. Walaupun dia tunjuk yang dia kuat, saya tahu hatinya sedang menangis waktu dia serahkan barang kemasnya untuk digadai dan dijual.
Kita kurang faham sebenarnya ikatan antara wanita dan emas. Kerana ia adalah satu naluri. Apa yang kita boleh buat ialah dengan tidak memperlekehkan perasaan mereka dan cuba memahami kepentingan emas itu buat mereka.
Di dalam Ar Rahnu ialah satu tempat di mana ianya dipenuhi dengan keheningan yang menyesakkan. Dapat kita rasakan sendiri “harapan”, “kesedihan” dan “kekecewaan” walaupun tidak ada orang yang bercakap pada waktu itu. Suasana itu sangat memberi keinsafan. Ramai yang sedang menunggu giliran tertunduk kepalanya tidak mampu diangkat tinggi kerana ditekan perasaan-perasaan itu.
Kepada sesiapa yang pernah masuk Ar Rahnu, mesti tahu perasaan dalam tu. Sunyi sepi. Hanya kedengaran orang di kaunter bercakap-cakap. Riak wajah masing-masing sugul. Jika ada senyum pun, kita boleh tahu senyuman itu sekadar memujuk hati.
Bayarlah hutang isteri seberapa segera yang boleh. Berhenti tolak kewajipan itu ke tepi. Hargai orang yang membantu di saat kita memerlukan.
Sumber: Akhtar Syamir.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Jadi ‘Mata’ Dan ‘Telinga’, Cara Ibu Ini Didik Anak Hingga Berjaya. Sangat Berinspirasi!

Namanya tidak pernah tercicir dari senarai 10 pelajar terbaik di sekolah. Usaha gigihnya yang sentiasa mengulang kaji pelajaran dan tidak suka membuang masa antara faktor yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR tahun lepas.
Muhammad Zaki Mahdi bin Chamam, muncul sebagai anak Melayu pertama yang memperoleh 8A di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).
“Zaki merupakan seorang yang sensitif dan boleh dikatakan manja. Selagi kerja rumah atau hasrat dia tidak saya turut selagi itu dia tidak akan berhenti berusaha. Dalam erti kata lain dia seorang yang konsisten dan tahu apa yang dia nak.
Dia juga lebih suka habiskan masa dengan membaca buku cerita pada waktu lapang. Sekiranya kami ke Ampang Point, kedai buku Popular sudah menjadi keutamaan untuk dia singgah. Selain itu, di rumah dia ada jadual belajar sendiri yang memang dia akan ikut sepenuhnya.
“Malah, dia rajin buat peta minda dengan pen warna-warni. Zaki juga gemar membaca buku cerita. Untuk memperbaiki bahasa Mandarin saya bawa dia ke kedai buku Popular dan belikan buku cerita yang dia pilih sendiri. Setiap buku cerita yang dibeli pasti Zaki akan meminta saya balut terlebih dahulu.
“Seminggu 3 kali mereka akan ikuti kelas bimbingan untuk mata pelajaran UPSR. Saya menyediakan mereka dengan pelbagai jenis kamus sebagai bahan rujukan. Saya juga beli kan buku latih tubi sebagai persediaan dan saya akan tetapkan masa seperti peperiksaan sebenar agar mereka terbiasa untuk menyiapkan soalan dalam masa yang ditetapkan. Selain dari itu saya juga menyediakan whiteboard untuk mereka gunakan sebagai alat bantuan agar dapat ajar satu sama lain,”jelas Nurhidayu ibu kepada si kembar Muhammad Aqil Mahdi dan Muhammad Zaki Mahdi ketika ditemu bual oleh Majalah Keluarga baru-baru ini.
Kembar tidak bermakna minat dan pemikiran sama. Namun satu kelebihannya mereka punya hati dan perasaan yang sama. Saling menyayangi dan tidak wujud perasaan iri hati jauh sekali cemburu biarpun salah seorang daripada mereka lebih berjaya.
“Waktu mengambil keputusan UPSR baru-baru ini, saya dari awal sudah tahu keputusan mereka kerana menerima melalui SMS. Sebagai ibu, saya rasa gembira dan terharu sehingga menitis air mata. Cuma saya kena bijak main peranan supaya tidak ada yang terasa hati. Walaupun abang tidak mendapat A dalam Bahasa Mandarin, tetapi dia seolah olah dapat menjangka yang adiknya pasti mendapat keputusan lebih baik dan dia turut rasa bangga atas pencapaian adiknya. Keputusan Zaki mendapat 8A’s juga semuanya atas izin Allah SWT. Saya selalu mengingatkan Aqil dan Zaki, UPSR hanya permulaan, mereka perlu tempuh ujian yang lebih besar lagi selepas ini. Justeru, sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan anak-anak saya akan mendapat keputusan yang cemerlang juga di PT3 dan SPM.
“Bab layanan tidak timbul soal berat sebelah kerana sejak dahulu lagi saya berusaha sedaya upaya untuk memberi layanan sama rata baik abang mahupun adik. Soal gaduh itu perkara biasa nama pun adik- beradik kan. Oleh kerana mereka belajar di SJKC, setiap Sabtu dan Ahad pagi mereka akan belajar agama dan mengaji Al-Quran di Azraq Center. Selepas itu kami akan melakukan aktiviti bersama seperti bermain badminton di Sport Planet, roller blade di Taman Cabaran Putrajaya, berenang di rumah. Aktiviti seperti ini setiap minggu saya akan ganti-ganti agar mereka tidak bosan.
“Pada hujung minggu juga saya akan bawa Aqil Zaki untuk berjumpa atok dan nyang mereka di Kota Warisan Sepang. Bila di rumah atok pasti Tok Wan akan masakan kari ayam lauk kegemaran Aqil Zaki. Di sana mereka juga akan meluangkan masa bermain bersama sepupu,” ujar Nurhidayu Kamaludin sambil memberitahu anaknya gemar makan bijirin dengan susu sebelum pergi sekolah dan setiap hujung minggu dia akan bawa anak-anak ke bakery untuk memilih roti kegemaran mereka sebagai bekal sekolah.
Memegang jawatan sebagai Regional Sales Manager, GeoTeric di salah sebuah syarikat oil & gas services, Nurhidayu bagaimanapun tidak mahu kerjaya menyebabkan masanya dengan anak-anak terbatas. Bahkan, setiap kali menjelang peperiksaan baik dia mahupun suami, Chamam Zulkarnen yang bertugas sebagai Freelance Konsultant Geophysicist sentiasa menadah telinga dan membuka mata untuk anak-anak andai diperlukan.
“Satu yang penting apabila menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan adalah menyediakan pelbagai kamus supaya mereka dapat banyak manfaat daripadanya. Saya dan suami tiada pengetahuan dengan Bahasa Mandarin, jadi kami kena banyak guna kamus untuk membantu mereka. Sebab itu saya belikan pelbagai kamus kerana dapat memahami banyak perkataan baru.
“Dua minggu sebelum UPSR, ibu saya iaitu nenek kepada Aqil dan Zaki yang telah pun bersara merupakan seorang guru bahasa Melayu, turut membantu mereka mengulang kaji dalam subjek bahasa Melayu. Sehari sebelum peperiksaan, saya mengingatkan mereka untuk menelefon nenek dan atok agar mendoakan kejayaan buat mereka.
“Ketika hari peperiksaan UPSR saya memberi mereka motivasi dengan menghantar mereka ke sekolah dan teman mereka ulang kaji di dewan sekolah sehingga lah loceng berbunyi. Saya cuma berpesan, lakukan yang terbaik dan berserah pada Allah. Sekiranya panik ingat pada Allah dan berdoa lah.
“Kami tidak pernah bertanya bagaimana kertas soalan peperiksaan pada hari tersebut sehingga lah semua kertas UPSR telah selesai sepenuhnya. Yang sudah selesai tidak perlu dibicarakan. Fokus pada kertas yang seterusnya,” ujar Nurhidayu lagi sambil memberitahu anak-anaknya juga seperti kanak-kanak lain yang berminat main game dan mereka hanya boleh berbuat demikian pada hujung minggu selepas selesai kerja sekolah dan membasuh kasut.
Ditanya mengenai pemakanan untuk anak-anaknya, akui Nurhidayu selain bijirin dan susu, menu sayur antara yang wajib ada di meja makan baik siang mahupun malam.
“Sejak dari kecil mereka suka makan sayur. Sayur kegemaran mereka seperti bayam, kacang panjang, sawi dan kangkung. Susu pula minuman pilihan selepas makan malam dan sarapan mereka. Setiap minggu saya akan masak tempe dan tauhu goreng buat mereka. Selain dari itu Zaki juga suka sangat makan telur mata separuh masak. Alhamdulillah mereka pengemar sayur tetapi kurang gemar makan daging dan tidak makan seafood. Nasi goreng cina dan nasi goreng telur menjadi pilihan bila makan di luar.
“Saya jadikan waktu makan dan hujung minggu sebagai waktu bersama-sama keluarga. Oleh itu pada waktu makan malam saya akan sentiasa bertanya kegiatan dan kejadian yang berlaku seharian di sekolah. Masakan spegetti bolognise yang saya masak merupakan makanan kegemaran Zaki. Oleh itu hujung minggu saya akan hidangkan untuk mereka.
“Buah yang mereka makan hanya Buah Naga yang berwarna merah. Buah ni dari kecil mereka makan sampai lah sekarang. Kalau buah lain mereka akan makan kalau dipaksa. Kalau bab makan mereka banyak persamaan tetapi hobi sedikit berbeza, Aqil suka membaca komik dan aktiviti lasak manakala Zaki pula suka membaca buku terutama novel selain melukis.
Ditanya sama ada akan terus belajar di SJKC selepas ini, Zaki hanya menggelengkan kepala kerana dia kini sudah ada impian lain iaitu ingin menyambung pengajian di Sekolah Aminuddin Baki bersama abangnya, Aqil jika ada rezeki dan terpilih.
“Sebagai ibu, saya tidak akan memaksa mereka untuk sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya akur dengan pilihan mereka untuk tidak sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya sendiri telah melihat bagaimana mereka luangkan masa mengulangkaji dan cuba memahami mata pelajaran yang tidak mampu saya ajar sendiri.
“Saya cuma boleh support mereka dengan membayar kelas tambahan. Kami hanya dapat mengajar mereka subjek Bahasa Melayu dan English sahaja. Matematik dan Sains semua nya dalam bahasa Mandarin.
‘Satu lagi, saya dan suami elakkan gajet pada anak-anak. Cuma apabila mereka capai kejayaan dalam UPSR jadi saya belikan hadiah telefon kerana itu yang mereka inginkan. Cuma jika mereka mahu belajar bahasa Mandarin, saya berikan telefon saya kerana ada apps di dalamnya yang boleh membantu mereka. Malah, kami tahu siapa kawan mereka dan dengan siapa mereka bergaul. Saya suka mereka bawa kawan ke rumah, saya akan memasak dan mereka akan makan bersama.
“Alhamdullillah mereka hargai pengorbanan yang kami lalukan buat mereka. Terima kasih Zaki dan Aqil telah berusaha dan juga membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya berpesan kepada mereka agar lakukan yang terbaik untuk PT3 dan SPM agar terus mengharumkan nama bangsa Melayu,”ujar Nurhidayu lagi.
Tip belajar dari Zaki
- Selepas balik sekolah pastikan di rumah luangkan masa untuk membaca buku dan buat ulang kaji sambil menyiapkan kerja sekolah.
- Buat nota ketika cikgu tengah ajar agar boleh baca pada minggu peperiksaan.
- Kalau tidak faham terus bertanya pada guru atau kawan supaya tidak ketinggalan.
- Banyakkan buat latihan.
- Banyakkan membaca kamus berbeza-beza dalam dwi bahasa untuk mendapat pengetahuan dan perkataan baru.
- Buat peta minda dan nota kaki untuk lebih mudah memahami.
Sumber: Majalah Keluarga Jan-Feb 2018
“Cegah Sebelum Merawat” Ustazah Fatimah Syarha Pesan Ibu Hamil Urus Emosi Diri, Elak Penyakit Depresi

Kehamilan bukan sahaja menyebabkan bakal ibu mengalami perubahan fizikal tetapi juga turut terkesan pada emosi mereka. Kenapa agaknya bila mengandung, kebanyakan ibu hamil akan mengalami perubahan emosi yang kadangkala sukar untuk difahami?
Itulah cabaran yang perlu dilalui oleh ibu waktu hamil. Bagaimana nak urus emosi yang bercampur aduk pelbagai rasa ketika hamil?
Penceramah bebas yang juga ibu kepada enam cahaya mata, Ustazah Fatimah Syarha berkongsi ilmu kepada para peserta webinar Aku Tak Serik Bersalin yang kebanyakannnya sedang hamil anak pertama.
Menurut Ustazah emosi yang gembira dan teruja bila tahu diri hamil boleh berubah tiba-tiba menjadi emosi lain yang negatif seperti sedih, risau, bimbang, takut dan bermacam lagi perasaan.
Justeru sebagai umat Islam dan hamba Allah yang mensyukuri atas kurniaan rezeki dariNya, ibu hamil perlu melakukan beberapa perkara untuk elakkan daripada emosi diri mengganggu fikiran.
1. Bersyukur
Ucap alhamdulillah tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana memberikan anugerah terhebat kehadiran zuriat dalam rahim ibu.
Siapa yang Allah bagi nikmat kepadanya berupa ahli keluarga, anak, harta dan dia ucapkan MashaAllah Lahawalawalaquwatai’llahbillahhila’zim maka dia akan dapati tiada bencana ke atas ahli keluarga, anak, harta kecuali maut.
2. Terima tiap sesuatu yang hebat akan ada cabaran
Situasi emosi jadi tidak stabil masa mengandung ini normal akibat perubahan horomon dalam badan. Pakar perubatan kata perubahan emosi biasa berlaku sepanjang 10 minggu pertama kehamilan bila masuk trimester kedua makin berkurangan.
3. Berjuang tangkis fikiran negatif
Semasa hamil juga akan banyak pemikiran negatif akan menguji ibu hamil. Contohnya aysik fikirkan fizikal anak dalam kandungan normal ke tak, cacat ke dan sebagainya.
Fikiran negatif datang serang, benda yang tak boleh kawal pun fikir, bila biarkan boleh rosakkan ibu. Untuk menangkis fikiran negatif ibu kena selalu baca Auzubillahiminaisyaitonirajim
Ibu kena buat pengurusan mental sendiri dahulu. Masukkan input-input positif contohnya zikir pagi petang yang Nabi SAW selalu amal untuk jaga mental, emosi & pemikiran.
Sentiasa minta perlindungan dr Allah SWT yang ada dalam al-matsurat sebagai amalan bacaan setiap pagi.
“Fikiran negatif tadi tak nak dia bertukar jadi lebih teruk maka cegah sebelum merawat dengan hunuskan senjata kita.
Masalah stress boleh menjadi overthinking sebelum melarat kepada anxiety dan akhirnya jika tidak dirawat boleh menjadi penyakit depression
Penyakit depression berlaku disebabkan tak diuruskan emosi yang tak stabil.
Stress kerap sangat tak elok. Ibu tak perlu stress pada benda yang tak blh dikawal.
Ibu kena disiplinkan minda, berhenti berfikir benda yang tak sepatutunya. Put your limit
Pesan Ustazah Fatimah, setiap malam maafkan diri kita, maafkan semua orang, maafkan suami, ibu bapa, anak-anak, majikan, pekerja dan berbuat baik dengan semua orang, sayang semua orang. Jangan cipta musuh.
Jangan biarkan stress itu berpanjangan dan terasa macam berat sangat terutama datang daripada cabaran-cabaran luar seperti urusan kerja, anak-anak, keluarga, kawan-kawan dan sebagainya.
Sentiasa minta perlindungan dari Allah dengan membaca doa
Allahumainni a’uzubika minnal hami wal hazani minnnal ajzi wal kasal
Maksudnya : Ya Allah aku berlindung kepadamu daripada hami (anxiety, overthinking perkara-perkara yang tak berlaku lagi) dan hazan (kesedihan yang berlaku sekarang)
minnnal ajzi wal kasal (mintak perlindugan Allah dari sikap malas)
4. Peka pada perubahan emosi diri kita
Perubahan emosid normal cuma kita takut ia menjejaskan aktiviti harian jadi tak normal sebab itu ibu kena cepat perasan perubahan diri ada tak tekanan perasaan yang melampau.
Cabaran ini semua orang boleh hadapi tak kira siapa. Tengok diri ada tak tanda-tanda kecelaruan emosi?
Adakah kita ni jenis letih berlebihan? Berbaring sepanjang hari ketika mengandung?
Selera makan makin kurang atau terlalu berlebihan?
Tengok pada corak tidur. Adakah air mata asyik keluar dan fikirkan tentang masalah je sepanjang masa?
Adakah kita kerap termenung, sedih sepanjang hari? Sehingga tak dapat jalankan rutin harian.
Adakah kita mudah marah, mudah rasa bersalah, mudah putus asa?
Itu tanda kecelaruan emosi
5. Berusaha beri hak pada diri sendiri
Bila ada perubahan emosi pastikan waktu tidur cukup, makan teratur, buat senaman berjalan kaki atau buat aktiviti yang menggembirakan kita. Kita kena beri hak pada diri sendiri.
6. Dapatkan sokongan sosial
Bila ada tanda-tanda kemurungan dan sudah berusaha DIY rawat diri sendiri tetapi tak mampu jadi ibu kena dapatkan rawatan daripada mereka yang pakar.
Ibu perlukan sokongan sosial. Perlu jumpa doktor
Ibu hamil jangan takut dengan kata-kata orang lain.
Kalau dirawat awal, InsyaAllah boleh sembuh.
Ini penting kerana emosi ibu waktu mengandung boleh mempengaruhi emosi anak yang lahir.
Pengaruhi Tumbesaran Anak
Menurut Ustazah Fatimah setiap anak ada variasi keunikan perangai dan tingkah laku mereka. Menurut kajian yang diterbitkan oleh Development & Psychology Pathology, pengalaman membabitkan 438 ibu dan bapa yang pertama kali.
Kemudian mereka kaji lagi selepas 14 bulan anak lahir untuk melihat apa berlaku.
Para penyelidik mendapati kesejahteraan pre-natal ibu pertama kali ada kaitan dengan tingkah laku kanak-kanak semasa umur dua tahun.
“Jika ibu ada masalah, kanak-kanak itu lebih mudah ada perasaan marah, hasad dengki.
Bila ibu dan bapa kurang bahagia atau ada konflik, kanak-kanak usia dua tahun ini lebih mudah menunjukkan masalah emosi, mudah takut, menangis, nak dekat dengan ibu, tak mudah nak sesuaikan dengan situsi baru masa post natal awal.
Ada kajian di United Kingdom mendapati wanita murung waktu hamil berpotensi 1.5 kali ganda akan ada anak yang cenderung ke arah kemurungan semasa remaja walaupun ada risiko genetik dan faktor lain-lain yang mempengaruhi,” jelas Ustazah Fatimah.
Ternyata kesan fisiologi ibu hamil boleh mempengaruhi perkembangan otak bayi.
Bertuahnya Jemaah Haji Tahun Ni, Hari Wukuf Dijangka 8 Julai 2022 Bersamaan Jumaat!

Ramai yang mengatakan beruntungnya jemaah haji tahun ini kerana dijangkakan hari wukuf adalah jatuh pada hari Jumaat dan itu bermakna jemaah haji tahun ini cukup bertuah kerana ianya merupakan Haji Akhbar (hari Haji yang paling agung)
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang terpenting bagi menentukan sahnya ibadah haji. Tanpa wukuf, ibadah haji akan menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW yang ditanya mengenai ibadah haji bersabda, haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).
Ulama bersepakat ibadah wukuf di Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula daripada waktu gelincir matahari (Zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (Subuh) pada hari kesepuluhnya.
Dalam pada itu, dimaklumkan, ibadah wukuf tahun ini akan jatuh pada hari Jumaat bersamaan 8 Julai 2022.
Apa keistimewaan wukuf jika jatuh hari Jumaat?
Ramai mengatakannya raya haji tahun ini ialah Haji Akbar. Apa dimaksudnya dengan Haji Akbar? Ini penjelasan Mufti mengenainya.
Ibn al-Qayyim telah menyenaraikan beberapa kebaikan yang terdapat pada hari wuquf yang jatuh pada hari Jumaat. Antaranya ialah:
1- Bertemunya dua hari (Arafah dan Jumaat) yang merupakan sebaik-baik hari.
2- Hari yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
3- Bersamaan dengan hari wuquf Rasulullah saw ketika mengerjakan haji wada’.
4- Pertemuan besar manusia di Arafah pada hari wuquf, ditambah pula pertemuan pada hari Jumaat untuk khutbah dan solat Jumaat.
5- Kedua-dua hari tersebut merupakan hari ‘raya’.
6- Ketaatan dan amalan soleh yang dibuat pada hari Jumaat mempunyai nilaian dan kelebihannya yang tersendiri.
7- Bersamaan dengan Hari Perhimpunan Agung di akhirat kelak. Rasulullah saw juga telah menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat
Apakah yang dimaksudkan dengan Haji Akbar?
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan berkaitan maksud sebenar Haji Akbar. Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menamakan satu hari dengan nama hari Haji Akbar (hari Haji yang paling agung). Hari yang agung ini disebut di dalam firman-Nya:
- Firman Allah SWT:
وَأَذَانٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ
Maksudnya: “Dan inilah perisytiharan dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Haji yang terbesar”. [al-Taubah:3]
وَأَذَان) إعْلَام (مِنْ اللَّه وَرَسُوله إلَى النَّاس يَوْم الْحَجّ الْأَكْبَر) يَوْم النَّحْر (أَنَّ) أَيْ بِأَنَّ (اللَّه بَرِيء مِنْ الْمُشْرِكِينَ) وَعُهُودهمْ (وَرَسُوله) بَرِيء أَيْضًا وَقَدْ بَعَثَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِيًّا مِن السَّنَة وَهِيَ سَنَة تِسْع فَأَذَّنَ يَوْمَ النَّحْرِ بِمِنَى بِهَذِهِ الْآيَات أَنْ لاَ يَحُجَّ بَعْدَ العَامِ مُشْرِكٌ وَلاَ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ رَوَاهُ الْبُخَارِيّ
Maksudnya: “Inilah adalah satu pengumuman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar iaitu hari Raya Korban bahawa sesungguhnya Allah berlepas diri daripada orang-orang musyrik dan perjanjian-perjanjian mereka. Begitu juga dengan Rasul-Nya. Sehubungan dengan ayat ini, Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadith bahawa pada tahun itu juga iaitu tahun kesembilan Hijrah, Nabi SAW telah mengutus Ali RA untuk mengumumkan berkenaan ayat-ayat ini pada hari Raya Korban di Mina. Kandungannya adalah selepas daripada tahun ini, orang musyrik tidak boleh lagi melakukan haji dan tawaf di Baitullah. Dalam masa yang sama, tidak boleh juga melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang”. [Lihat: Tafsir al-Jalalayn, 240]
Makna Haji Akbar
Di dalam tafsir al-Thabari, imam al-Thabari telah mendatangkan beberapa pendapat bersama dengan riwayat-riwayat atau athar-athar samada daripada Nabi SAW, sahabat RA dan juga para tabi’in yang menyokong pendapat tersebut dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Di sini kami ringkaskan dengan memilih beberapa pendapat seperti yang berikut:
Pertama: Haji Akbar adalah hari Arafah.
- Daripada Ikrimah berkata:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، يَوْمُ عَرَفَة
Maksudnya: Ibn Abbas RA mengatakan: “Haji Akbar adalah hari Arafah”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 116/14]
Kedua: Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah).
- Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ، فَقَالَ: أَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمُ النَّحْرِ، قَالَ: هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu Baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”. [Riwayat Abu Daud, (1945)][Sanadnya adalah sahih menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth]
Ketiga: Haji Akbar adalah hari-hari haji keseluruhannya.
- Daripada Ibn Abi Najih, bahawa Mujahid berkata:
عَنْ مُجَاهِد: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، حِيْنَ الحَجّ، أَيَّامُهُ كُلّهَا
Maksudnya: “Hari Haji Akbar adalah ketika waktu haji serta kesemua harinya”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]
Selain itu juga, Imam al-Nawawi berkata dalam menentukan makna Haji Akbar ini ketika beliau mensyarahkan hadith pada bab “tidak akan melakukan haji bagi orang yang musyrik dan tidak akan boleh melakukan tawaf dalam keadaan telanjang, beliau berkata:
“Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan apa yang dikehendaki dengan makna Hari Haji Akbar. Dikatakan ia adalah Hari Arafah. Telah berkata Malik, al-Syafie dan jumhur bahawa ia adalah hari al-Nahr. Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan daripada al-Syafie bahawa ia adalah hari Arafah. Ini adalah khilaf yang ma’ruf (diketahui) oleh mazhab al-Syafie. Telah berkata ulama’ bahawa dikatakan Haji Akbar itu adalah untuk menjauhkan atau membezakan dengan Haji Ashghar iaitu umrah. Manakala, hujah bagi sesiapa yang berpegang dengan Haji Akbar ini adalah Hari Arafah adalah dengan hadith yang masyhur iaitu “Haji itu Arafah”. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 116/9]
Pendapat Yang Dipilih
Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, pendapat pertama dan kedua adalah pendapat yang masyhur dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Setelah melihat pandangan para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Akbar adalah Hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah atau hari Raya Korban sepertimana pendapat yang kedua.
Selain itu juga, ini adalah pendapat Imam al-Thabari setelah beliau menceritakan pendapat-pendapat berkaitan masalah ini. Imam al-Thabari berkata:
“Pendapat yang utama dan sahih disisi kami adalah sesiapa yang mengatakan bahawa Hari Haji Akbar adalah Hari al-Nahr (10 Zulhijjah) disebabkan zahirnya (jelasnya) khabar-khabar daripada sekumpulan sahabat-sahabat Nabi SAW bahawa Ali RA telah mengumumkan apa yang diperintahkan kepadanya oleh Rasulullah SAW kepada kaum Musyrikin, lalu beliau membaca kepada mereka surah “براءة (al-Taubah)” pada hari al-Nahr. Selain itu juga, berkenaan dengan khabar-khabar yang telah kami sebutkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda SAW telah bersabda pada hari al-Nahr: “Adakah kamu semua tahu, hari apakah ini?”. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Ini adalah Hari Haji Akbar”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]
Tambahan pula, Syeikh al-Mubarakfuri memberi peringatan serta menyanggah pemahaman sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ini adalah apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat. Disebabkan itu, ia dinamakan Haji Akbar. Beliau berkata:
قَدْ اشْتَهَرَ بَيْنَ الْعَوَّامِ أَنَّ يَوْمَ عَرَفَةَ إِذَا وَافَقَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ كَانَ الْحَجُّ حَجًّا أَكْبَرَ وَلَا أَصْلَ لَهُ
Maksudnya: “telah tersebar dan masyhur dalam kalangan orang awam bahawa apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat maka ia adalah Haji Akbar. Kenyataan atau pemahaman ini adalah tidak mempunyai asal sama sekali”. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 27/4]
Perbezaan Haji Akbar (الحج الأكبر) dan Haji Ashghar (الحج الأصغر)
Soalan: Apakah perbezaan di antara Haji Akbar dan Haji Ashghar
Jawapan: Adapun makna Haji Ashghar yang dilihat oleh jumhur adalah umrah. Adapaun Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa perkara ini telah menjadi perselisihan dalam menentukan makna Haji Ashghar. Jumhur mengatakan makna Haji Ashghar adalah umrah dan dikatakan juga bahawa Haji Ashghar itu adalah hari Arafah. Manakala Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah) kerana padanya (hari 10 Zulhijjah) disempurnakan manasik-manasik (perbuatan-perbuatan) haji yang lain. [Lihat: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 321/8]
Tambahan pula, Imam al-Thabari mengatakan bahawa sebab yang betul ia dinamakan dengan Haji Akbar adalah kerana Haji Akbar adalah haji dan haji lebih besar daripada umrah dengan penambahan amalan-amalan yang ada padanya. Disebabkan itu ia dinamakan Haji Akbar disebabkan amalan pada waktu haji lebih banyak berbanding amalan pada waktu umrah. Adapun Haji Ashghar (kecil) adalah umrah kerana amalan padanya lebih sedikit berbanding amalan ketika menunaikan haji. Oleh sebab itu, ia dinamakan dengan Haji Ashghar disebabkan kurangnya amalan pada waktu umrah berbanding amalan pada waktu haji. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 130/14]
Berdasarkan pendapat di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Ashghar adalah umrah dan bukannya hari Arafah berdasarkan pendapat jumhur.
Penutup
Kesimpulannya, Haji Akbar adalah hari Nahr (يوم النحر) iaitu hari Raya Korban yang disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Ini kerana, pada hari tersebut akan dilaksanakan manasik-manasik haji seperti tawaf, bersa’ie (antara safa dan marwah) ,melontar, berkorban, bercukur dan lain-lain perkara lagi. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kesempatan dan peluang untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Amin.
Sumber :Pejabat Mufti Wilayah
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club