“Biasa dia kongsi gambar larian pagi tapi dua, tiga hari ni kongsi gambar keluarga” – Ibu Koperal Akmal. “Selepas ini tiada lagi suara Abang Long yang selalu bertanya khabar umi dan ayah… mak cik akan rindu sangat suara dan kenangan bersamanya.”
“Biasa Dia Kongsi Gambar Larian Pagi Tapi Dua, Tiga Hari Ni Kongsi Gambar Keluarga” – Ibu Koperal Akmal
Demikian luahan sayu Ruzita Razali, 59, ibu kepada Koperal Muhamad Akmal Muhamad, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas tragik di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik berdekatan Sungai Lampam, Teluk Intan pada pagi Selasa lalu.
Menurut Ruzita, anak sulungnya itu sangat rapat dengan keluarga dan kerap melakukan panggilan video untuk berkongsi perkembangan harian, terutamanya berkaitan penugasannya sebagai anggota polis.
Pasukan istiadat kemudiannya menyerahkan Jalur Gemilang kepada ayah Allahyarham, Muhamad sebagai simbol penghargaan atas pengorbanannya ketika berkhidmat dalam PDRM.
“Selang sehari mesti dia akan buat ‘video call’… pagi tanya umi buat apa, petang pula mesti cari ayah. Tapi kini, suara itu dah tak akan kedengaran lagi,” ujarnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Mubarak Telok Pial, Kuala Kurau, pada Rabu.
Ruzita menambah, perbualan terakhir bersama anaknya berlaku pada petang Isnin, sehari sebelum kejadian. Ketika itu Allahyarham kelihatan ceria seperti biasa.
Menurutnya, sebelum menyertai pasukan polis, anaknya pernah bertugas di Jabatan Veterinar namun mengambil keputusan untuk menyertai PDRM kerana minat yang mendalam serta keinginan mengikuti jejak langkah bapanya.
“Mak cik berat hati juga masa tu, tapi dia kata itu cita-cita dia sejak kecil. Akhirnya mak cik izinkan. Dia memang suka aktiviti mencabar, dan bila balik kampung, mesti dia akan keluar berjoging setiap pagi selepas solat Subuh,” cerita Ruzita.
Ads
Mengenang perwatakan arwah, Ruzita menyifatkan anaknya sebagai seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Kali terakhir mereka bertemu ialah semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, dan ketika itu arwah sudah pun merancang untuk pulang semula menyambut Aidiladha bersama keluarga.
“Dia ada tanya mak cik, tahun ni buat korban tak? Katanya dia nak balik, sebab sebelum ini tak pernah cuti masa Raya Haji. Dia rindu nak jumpa adik-adik,” katanya sebak.
Tambahnya lagi, walaupun kepergian anaknya begitu menyayat hati, beliau reda kerana faham dengan tuntutan tugas sebagai seorang anggota polis.
Kira-kira 100 orang hadir solat jenazah allahyarham yang diadakan di Masjid Ar-Mubarak, Kampung Telok Pial, Kuala Kurau pada Rabu.
Sementara itu, adik kepada arwah, Muhammad Hafizuddin Muhamad, 32, memberitahu bahawa beberapa hari sebelum kejadian, dia menyedari perubahan sikap abang sulungnya itu.
“Kebiasaannya dia kongsi gambar larian pagi di WhatsApp, tapi dua tiga hari ni dia mula kongsi gambar keluarga… macam dia rindu sangat, itu yang saya rasa pelik,” katanya.
Jenazah Koperal Muhamad Akmal telah disemadikan dengan penuh istiadat polis di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Mubarak, Kampung Telok Pial. Jenazah tiba di rumah mertuanya sekitar jam 6.15 pagi dan dikebumikan sejam kemudian, diiringi kira-kira 100 hadirin termasuk ahli keluarga serta penduduk kampung.
Ads
Sebelum itu, solat jenazah dilangsungkan di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, untuk penghormatan terakhir sebagai anggota pasukan keselamatan.
Suasana di tanah perkuburan bertukar hiba apabila sanak saudara tidak dapat menahan kesedihan saat jenazah dikebumikan. Jalur Gemilang kemudiannya diserahkan oleh pasukan istiadat kepada bapa Allahyarham, Muhamad Razali, 63, sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat bakti anaknya kepada negara.
Koperal Muhamad Akmal merupakan antara sembilan anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan membabitkan trak pasukan dengan sebuah lori membawa batu kerikil sekitar jam 8.30 pagi Selasa lalu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak, seorang lelaki berusia enam tahun dan seorang perempuan berumur dua tahun.
Pada usia baru empat tahun, Jeimithra Vasagam telah mencipta rekod luar biasa yang sukar ditandingi. Dalam masa hanya 1 minit dan 35 saat, anak kecil ini berjaya mengenal pasti kesemua 118 elemen dalam jadual berkala—satu pencapaian yang mengagumkan dan jarang berlaku untuk kanak-kanak seusianya.
Sebelum ini, Jeimithra telah memegang rekod mengenal pasti bendera negara dengan pantas, dan kini dia memilih cabaran jadual berkala sebagai langkah seterusnya. Dengan hanya enam minggu latihan, kebolehan luar biasa ini terus menyerlahkan kehebatan daya ingatannya yang luar biasa.
Memetik laporan Harian Metro, pencapaian anak kecil itu membolehkannya memperoleh lima pengiktirafan termasuk daripada Malaysia Book of Records, India Book of Records, Worldwide Book of Records, India Book of Records serta Asia Book of Records
Usaha Seorang Ibu
Ibunya, Dr Mathi Vathani berkata, pencapaian Jeimithra itu bukanlah secara kebetulan, memandangkan beliau sudah merangka gabungan sempurna antara murid, keseronokan dan pembelajaran untuk anak perempuannya itu.
Jeimithra Vasagam dengan bangganya menunjukkan sijil dan pingat yang diterimanya atas kejayaan mengenal pasti kesemua 118 elemen dalam jadual berkala unsur kimia (periodic table) dalam tempoh hanya satu minit dan 35 saat.
“Dia belajar jadual berkala ini sejurus sebelum tidur yang juga masa paling aktif. Saya hanya memastikan dia belajar lima elemen setiap hari. Jika perkataan itu sukar, saya mengajarnya tiga atau dua elemen setiap hari.”
“Pada masa lain, dia menghabiskan masanya di tadika, apabila dia kembali, dia akan berehat, bermain, mempunyai setengah jam untuk latihan piano, belajar selama lima hingga sepuluh minit di meja berkala ini dan tidur awal,” kata ibu berusia 30 tahun itu.
Vathani berkata, perkara penting ditekankan kepada anak-anaknya ialah waktu tidur yang awal, dengan kebiasaannya mereka akan tidur pada jam 9 malam.
“Buat mereka tidur awal kerana ia perkara yang selalu ditekankan pakar pediatrik saya. Semakin mereka tidur awal, semakin meningkat daya ingatan mereka.
Beliau menjelaskan bahawa pencapaian luar biasa anak perempuannya itu diraih tanpa bergantung pada gajet, kerana beliau sendiri sangat tegas dalam mengehadkan penggunaannya.
“Pertama sekali, gajet memberi kesan buruk kepada mata mereka, dan itu adalah perkara yang sangat penting. Kedua, saya perhatikan banyak ibu bapa dan anak-anak masing-masing sibuk dengan telefon mereka, hingga mereka kehilangan peluang untuk meneroka dunia seperti yang kita lakukan semasa kecil.
“Skrin menghalang kreativiti dan penerokaan dunia sebenar. Sebaliknya, kami mengisi masanya dengan aktiviti luar seperti bermain, selain menonton kartun klasik seperti Scooby-Doo dan Tom & Jerry.
“Kami mahu dia memberi tumpuan kepada pembelajaran, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu dia terlepas saat-saat berharga zaman kanak-kanak yang penuh keseronokan seperti kami dahulu,” katanya.
Tambahnya, beliau juga menitikberatkan aspek pemakanan dalam membantu anaknya membina daya fokus yang tinggi. Anak perempuannya diberikan makanan kaya dengan protein dan kalsium untuk menyokong tumbesaran dan kecerdasan otak.
Beliau turut mengelakkan sepenuhnya makanan manis dan diproses, memastikan Jeimithra tidak mengambil gula-gula atau coklat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan anaknya menjadi terlalu hiperaktif dan membantu mengekalkan tahap fokus yang optimum.
Di luar pencapaian akademik yang membanggakan, Jeimithra juga menunjukkan minat terhadap muzik, terutamanya bermain piano. Ibunya percaya aktiviti ini membantu merangsang kedua-dua belah otaknya dan meningkatkan kebolehan kognitifnya secara menyeluruh.
Selain itu, Vathani mendedahkan mereka kini memperkenalkan Jeimithra kepada permainan catur dengan menunjukkan video orang bermain catur sebagai langkah awal.
“Saya tidak mahu dia rasa terasing, jadi saya fikir catur adalah pilihan yang baik untuk meningkatkan daya ingatannya. Kami juga merancang untuk melibatkannya dalam pertandingan catur pada tahun depan,” katanya.
Apabila ditanya tentang cita-citanya, Jeimithra dengan penuh keyakinan menjawab bahawa dia bercita-cita untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat besar pada masa hadapan.
Ada ibu yang mengalami ‘burnout’ apabila setiap hari perlu menghantar dan mengambil anak dari sekolah mengikut jadual yang ketat.
Rutin yang berulang ini, ditambah dengan tanggungjawab lain di rumah, boleh menyebabkan keletihan fizikal dan emosi. Menjadi ibu dan suri rumah bukanlah tugas yang mudah seperti disangka, malah ia memerlukan kesabaran serta tenaga yang berterusan.
Namun, menurut perkongsian Ashikin Hashim di Facebook, keletihan yang dirasakan itu hanya bersifat sementara, kerana suatu hari nanti anda pasti akan merindui momen-momen ini.
PENAT HANTAR & AMBIL ANAK SEKOLAH. IBU, BACA INI UNTUK SEMANGAT!
Gambar sekadar hiasan
“Penat sebenarnya hantar dan ambil anak sekolah. Belum lagi anak buat hal. Semoga kelelahan ini berbalas kebaikan daripada Allah SWT buat semua ibu bapa.
“Saya pernah cakap dengan anak-anak, saya ada masa lebih kurang 11 tahun je peluang untuk hantar dan amik anak-anak sekolah. (Dari darjah 1 sehingga tingkatan 5).
“Saya akan cari sekolah agama yang dekat dengan rumah sebab tak nak hantar anak ke asrama atas alasan saya sendiri. 2 orang sudah lepas fasa 11 tahun dihantar dan diambil. Tinggal lagi 2 orang lagi. InshaAllah saya akan nikmati momen ini,” luahnya.
Dalam coretannya lagi, buat ibu-ibu yang mempunyai anak lelaki, mereka pastinya ada keinginan untuk berdikari kerana tidak ingin menyusahkan ibu bapa.
“Mereka akan minta untuk belajar motor/kereta. Mereka akan minta untuk pergi sekolah sendiri. Percayalah waktu itu hati kita akan meronta. Berbelah bahagi. Antara ingin melepaskan atau bagaimana,” katanya.
Kenapa saya suka hantar anak pergi sekolah?
1. Saya akan ambil peluang berbual dengan anak-anak semasa dalam kereta. Sebab saya rasa masa ni anak akan fokus mendengar.
2. Waktu inilah saya akan menasihati tentang sesuatu isu.
3. Sementara tunggu anak keluar dari sekolah, dapat ambil peluang membaca al-Quran. Anak-anak nampak dan tahu rutin kita.
4. Sambil memandu, lebih memilih untuk berzikir atau memasang Al Quran daripada memilih mendengar lagu.
Dia turut menjelaskan bahawa keputusan untuk hantar anak sekokah dan ambil sendiri kerana anak akan lebih letih kerana perlu menunggu giliran sampai ke rumah masing-masing.
“Pernah cuba naik van tapi anak-anak tak suka dan kesian sebab mereka terpaksa pusing uncle hantar rumah orang lain dulu. Lebih penat. Jadi saya ambil keputusan untuk hantar dan ambil. Lebih banyak masa dengan mereka alhamdulillah. Saya bekerja sendiri jadi tak sukar bagi saya,” ujarnya.
Kepada mak-mak yang bekerja dan terpaksa guna khidmat van, jangan rasa sedih. Kita semua sama-sama berjuang. Walau kasut kita berbeza tapi kita tetap nak yang terbaik untuk anak-anak kita.
Ibu Allahyarham Syamsul Haris, pelatih PALAPES UTM tuntut gali semula kubur anak demi kebenaran. Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, menggesa agar kubur anaknya dibuka semula untuk menjalankan bedah siasat kali kedua.
Ibu Allahyarham Syamsul Haris, Pelatih PALAPES UTM Tuntut Gali Semula Kubur Anak Demi Kebenaran
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata tuntutan itu dibuat kerana beliau ragu dengan maklumat yang diterima bahawa punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan.
Beliau mendakwa, anaknya mungkin telah dipukul, dibelasah dan didera sehingga meninggal dunia semasa menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor, pada 28 Julai lalu.
“Laporan awal bedah siasat pada 29 Julai lalu di Hospital Sultan Ismail hanya menyatakan keputusan ‘pending laboratory investigation’ yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
“Saya tidak puas hati dengan hasil laporan itu kerana sewaktu melihat jenazah di unit forensik terdapat kesan kecederaan di bawah mata, pendarahan luar biasa dari hidung dan mata, luka di mulut dan kesan lebam teruk di leher yang ditutup kapas tebal, malah ketika jenazah dimandi dan dikafan, darah masih keluar,” katanya.
Ummu Haiman turut memaklumkan bahawa beliau sudah melantik peguam dan menghubungi Menteri Pengajian Tinggi berhubung perkara ini. Katanya, beliau dimaklumkan sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyiasat kes tersebut, namun sehingga kini masih belum ada perkembangan hasil siasatan.
Menurutnya lagi, Allahyarham yang merupakan pelajar jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) di UTM Skudai menjadi satu-satunya harapan keluarga selepas pemergian bapanya pada Disember lalu.
“Saya hilang dua insan kesayangan tidak sampai setahun, walaupun anak saya tidak akan kembali, saya mahu kebenaran ditegakkan supaya kes seperti ini tidak berulang kepada anak orang lain,” tambahnya.
Sebelum ini, Ummu Haiman pernah menuntut siasatan segera dijalankan bagi merungkai punca sebenar kematian anaknya ketika mengikuti latihan Palapes UTM di Pulada, Ulu Tiram, Johor, kerana sebab kematian masih belum jelas.
GM Klang melangkah ke era baharu dengan pelanjutan waktu operasi 10 pagi hingga 10 malam, menjadikannya lebih daripada pusat borong – kini sebagai hab komuniti dan gaya hidup moden yang hidup siang dan malam di Klang.