
Kalau anda sedang mengamalkan gaya hidup lebih sihat, briskwalk atau berjalan kaki pantas merupakan antara aktiviti paling mudah untuk dimulakan. Ia tidak memerlukan peralatan mahal, keahlian gim atau lokasi khusus. Sebaliknya, anda hanya memerlukan sepasang kasut yang selesa dan sedikit masa mengikut kesesuaian rutin harian.
Namun begitu, ramai masih tertanya-tanya sama ada berjalan pada waktu pagi lebih baik berbanding waktu petang. Adakah salah satu daripadanya memberikan manfaat yang lebih besar kepada kesihatan jantung, kawalan berat badan dan kecergasan tubuh?
Menurut pakar kesihatan, jawapannya bergantung kepada rutin, keadaan tubuh dan gaya hidup setiap individu. Yang paling penting ialah menjadikan briskwalk sebagai amalan yang dilakukan secara konsisten.

Briskwalk Pada Waktu Pagi Beri Permulaan Hari Yang Lebih Baik
Pakar kardiologi, Dr. Jay Gelbman menjelaskan bahawa berjalan pada waktu pagi membantu seseorang memulakan hari dengan lebih positif, segar dan bertenaga.
Pendedahan kepada cahaya matahari pagi turut membantu mengawal ritma sirkadian tubuh atau jam biologi yang berfungsi mengawal waktu tidur dan bangun. Apabila ritma ini lebih stabil, seseorang berpotensi menikmati tidur yang lebih berkualiti pada waktu malam.
Selain itu, Dr. Andrei Darabant menjelaskan ramai individu lebih mudah mengekalkan rutin senaman apabila melakukannya sebelum memulakan tugasan harian. Ini kerana mereka belum dibebani komitmen kerja, urusan keluarga atau aktiviti lain yang sering menyebabkan senaman tertangguh.
Kelebihan Briskwalk Pada Waktu Pagi
- Memberikan tenaga untuk memulakan hari.
- Membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood.
- Lebih mudah membentuk rutin senaman yang konsisten.
- Cuaca biasanya lebih nyaman dan kurang panas.
- Meningkatkan fokus serta produktiviti sepanjang hari.
Bagi mereka yang sering sibuk sepanjang hari, berjalan pada awal pagi boleh menjadi pilihan paling praktikal kerana risiko membatalkan senaman lebih rendah.
Briskwalk Waktu Petang Turut Memberikan Banyak Manfaat
Bagi individu yang lebih aktif pada waktu petang, berjalan selepas tamat waktu kerja juga menawarkan pelbagai kelebihan.
Menurut Dr. Gelbman, ada individu yang mencapai tahap tenaga tertinggi pada sebelah petang atau malam. Oleh itu, mereka mungkin mampu berjalan lebih lama dan mengekalkan intensiti yang lebih baik berbanding waktu pagi.
Dr. Darabant turut menjelaskan bahawa berjalan selepas seharian duduk di pejabat membantu mengaktifkan semula otot, mengurangkan tekanan mental serta memberikan masa untuk berehat daripada kesibukan harian.
Malah, berjalan selepas makan malam juga boleh membantu mengawal paras gula dalam darah. Aktiviti fizikal ringan selepas makan didapati lebih berkesan dalam mengurangkan lonjakan gula darah berbanding terus duduk atau berbaring.
Kelebihan Briskwalk Pada Waktu Petang
- Membantu mengurangkan stres selepas bekerja.
- Meningkatkan kawalan gula dalam darah selepas makan.
- Badan biasanya lebih fleksibel dan otot lebih bersedia untuk bergerak.
- Sesuai untuk mereka yang sukar bangun awal pagi.
- Membantu membakar kalori selepas aktiviti harian.
Bagaimanapun, individu yang mudah mengalami gangguan tidur selepas bersenam disarankan melakukan aktiviti ini lebih awal pada waktu petang atau mengurangkan intensiti berjalan.
Briskwalk Pagi Atau Petang, Mana Lebih Baik?
Menurut Dr. Darabant, tiada satu waktu yang boleh dianggap paling sesuai untuk semua orang. Pilihan terbaik bergantung kepada jadual harian, tahap tenaga dan kemampuan seseorang untuk kekal konsisten.
Beliau menegaskan bahawa kekerapan berjalan, tempoh, kelajuan dan disiplin melakukannya dalam jangka panjang jauh lebih penting daripada memilih sama ada waktu pagi atau petang.
Dr. Gelbman turut bersetuju bahawa setiap langkah yang diambil, tanpa mengira masa, tetap memberikan manfaat kepada kesihatan jantung, membantu meningkatkan kecergasan serta mengurangkan risiko pelbagai penyakit kronik.
Kesimpulannya, kedua-dua waktu mempunyai kelebihan masing-masing. Apa yang paling penting ialah memilih masa yang paling mudah untuk anda kekalkan sebagai rutin harian.
Tip Mendapatkan Manfaat Maksimum Daripada Briskwalk
Bagi memastikan anda memperoleh manfaat terbaik daripada aktiviti berjalan kaki pantas ini, pakar mencadangkan beberapa amalan berikut:
- Berjalan sekurang-kurangnya 30 minit sehari pada kebanyakan hari dalam seminggu.
- Lakukan secara konsisten setiap minggu.
- Tingkatkan tempoh, jarak atau kelajuan secara berperingkat.
- Kekalkan intensiti sederhana, iaitu masih boleh berbual tetapi pernafasan menjadi sedikit laju.
- Gunakan kasut yang selesa dan sesuai bagi mengurangkan risiko kecederaan.
- Lakukan pemanasan dan regangan ringan sebelum serta selepas berjalan.
- Pastikan tubuh mendapat air yang mencukupi terutama jika berjalan ketika cuaca panas.
Walaupun kelihatan sebagai aktiviti yang mudah, briskwalk mampu memberikan kesan besar terhadap kesihatan jantung, kawalan berat badan, kecergasan fizikal dan kesejahteraan mental apabila diamalkan secara konsisten.
Mulakan dengan tempoh yang singkat sekiranya anda baru bermula. Sedikit demi sedikit, tingkatkan tempoh dan kelajuan mengikut kemampuan sendiri. Yang penting, terus bergerak kerana setiap langkah yang diambil merupakan pelaburan untuk kesihatan jangka panjang.
BACA LAGI : Serangan Jantung Boleh Berlaku Walau Sihat, Pakar Beri Amaran
Sumber : laporan Prevention
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




