
Ditanya mengenai bagaimana Zarina mengenal pasti kembarnya menghidap Autisme, menurut Zarina anak kembarnya lahir pada usia lapan bulan dan dan terpaksa menggunakan incubator selama sebulan. ketika mereka dilahirkan, tiada perbezaan yang dapat dikesan kecuali kedua-dua anak kembarnya dilahirkan tidak cukup bulan iaitu pada usia 8 bulan . Masa itu tidak ada apa-apa kelainan pada mereka.
“Saya hanya mengesan perubahan ketara dalam diri mereka ketika berusia tiga tahun apabila mereka lambat bercakap. Dan Azril lebih banyak mengantukkan kepalanya ke dinding dan tidak bercakap. Saya membawa mereka menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan doktor mengesahkan anak-anak saya menghidap autisme. Pada ketika itu, saya agak terkejut dan sukar menerima hakikat tetapi lama-kelamaan saya pasrah dan redha bahawa Allah meminjamkan saya bukan seorang, tetapi dua orang anak syurga yang perlu saya berikan perhatian khusus,” sambung Zarina yang pernah berhadapan situasi takut untuk hamil lagi, bimbang dikurniakan anak istimewa lagi.
Kini, usia Azrai dan Azril telah mencecah 20 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, si ibu tidak pernah putus mencurahkan sepenuh perhatian dan dorongan untuk kedua anaknya agar mampu berdikari dan meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya banyak meluangkan masa bersama mereka dan melihat sendiri perkembangan diri mereka dari sehari ke sehari. Semasa mereka masih kecil, telah banyak sekolah atau pusat penjagaan kanak-kanak Autisme yang saya hantar dan pelbagai cabaran pernah saya lalui dalam membesarkan mereka.
Pernah satu ketika, mereka terpengaruh dengan sifat tantrum pelajar lain di sekolah sehingga menjadikan keadaan dua kali ganda daripada biasa. Pernah saya terpaksa memberikan Azril ubat-ubatan untuk menenangkan dirinya sebelum ke sekolah kerana bimbang jika dia membuat sesuatu yang tidak dapat dikawal ketika di sekolah. Azril menghidap autisme kronik berbanding abangnya, Azrai hanya mild autism. Jadi dia boleh bertindak sehingga mencederakan diri sendiri jika dia merasa kemahuannya tidak dapat dipenuhi.

Tambah Zarina, kasih sayang dan perhatian terhadap dua lagi anaknya tetap sama walaupun jika dilihat dari segi perhatian si kembar lebih memerlukannya. Namun sokongan keluarga dan suami, Datuk Seri Dr Abdul Raihan Wan Jaafar amat penting dalam memastikan keempat-empat puteranya itu mendapat sentuhan kasih sayang dari sebuah keluarga.
Kesedaran masyarakat terhadap anak-anak istimewa ini perlu dipertingkatkan untuk memastikan tidak wujud sebarang masalah yang boleh memberi kesan jangka panjang. Bagaimana untuk mendidik dan mendedahkan anak-anak autisme ini dengan dunia luar, anda boleh dapatkan majalah Keluarga bilangan 248 yang sudah ada di pasaran.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Saya Tidak Mengidamkan Jawatan Perdana Menteri-Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasminya menjadi Perdana Menteri kelapan apabila
mengangkat sumpah dalam satu istiadat di Istana Negara semalam dan sebentar tadi, beliau telah berucap dalam satu ucapan khas secara langsung dengan tajuk “Rayuan Kepada Rakyat Malaysia.
Ikuti dan fahami intipati ucapan tersebut.
UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN –
PERDANA MENTERI MALAYSIA
“RAYUAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA”
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Wahai saudaraku rakyat Malaysia yang dihormati,
Hampir seminggu negara kita menghadapi kemelut politik yang membimbangkan. Kemelut ini berlaku apabila mantan Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Ini menyebabkan jawatan Perdana Menteri kosong dan perlu diisi.
Menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri baharu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Selaras dengan peruntukan ini, Duli Maha Mulia Tuanku telah berkenan melantik saya sebagai Perdana Menteri. Ini adalah kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Ketua Negara yang menjalankan fungsi baginda selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Saya sedar bahawa pelantikan saya bukanlah melalui pilihanraya. Sebaliknya, saya dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.
Setelah melalui kemelut politik yang melanda negara kita sejak seminggu yang lalu, saya tahu saudara-saudari tentunya mahu negara kita kembali berada di landasan yang betul. Saudara-saudari pastinya tidak mahu negara kita diheret ke dalam kemelut politik yang lebih besar
Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya hormati,
Saya tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan sesiapa. Saya cuma ingin memberikan sedikit penjelasan mengenai perkara yang sebenarnya berlaku supaya keikhlasan saya tidak dipersoalkan.
Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Di peringkat awal, saya dan semua ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu telah memberikan sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tetapi malangnya beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Perkara ini telah dijelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada 28 Februari 2020.
Oleh yang demikian, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil keputusan yang bijaksana dengan menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ketika itulah nama saya sebagai calon Perdana Menteri telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada parti BERSATU dan ketua-ketua parti yang lain. Menurut mereka saya mempunyai sokongan majoriti.
Saya mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan.
Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri?
Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan Pilihanraya umum perlu diadakan.
Saya sedar saudara dan saudari sudah letih dan la’ih dengan kemelut politik yang berlaku.
Dalam keadaan ini, saya sebagai pemimpin mesti mencari jalan penyelesaian. Saya tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan.
Kerana itu saya telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan meminta beliau menyokong saya. Dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang tokoh parti, beliau telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada saya sekiranya saya mendapat sokongan majoriti. Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020.
Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya sebagai Perdana Menteri.
Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat.
Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut.
Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.
Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik. Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan.
Saya juga faham bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat. Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga.
Saya juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling diperlukan oleh saudara dan saudari ialah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan. Ini juga akan menjadi keutamaan saya.
Dalam menghadapi wabak corona virus pada masa ini, sama-samalah kita jaga kesihatan.
Saya juga sedar saudara dan saudari juga mahukan pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak. Bidang pendidikan amat dekat dengan jiwa saya. Dengan pengalaman selama 6 tahun menjadi Menteri Pendidikan, saya berjanji akan berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara. Saya akan pastikan anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju. Usaha ini telah pun saya mulakan dahulu. InsyaAllah ianya akan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.
Saya tahu bahawa saudara dan saudari mahukan sebuah negara yang stabil, aman dan makmur. Sebuah negara yang menawarkan kehidupan yang lebih baik untuk kita semua.
Kerajaan pimpinan saya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
Marilah bersama-sama saya untuk bina semula negara kita dan kembalikan kegemilangannya.
Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.
Samada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana Menteri saudara.
Saya merayu agar saudara dan saudari memberikan sokongan padu kepada saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini.
Berilah saya peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalaman saya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.
Saya tawarkan jiwa dan raga saya untuk negara
Berikan saya sedikit masa untuk menetapkan garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu ini yang insyaAllah akan saya jelaskan kepada rakyat dalam masa terdekat.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara dan saudari yang telah menghadapi kemelut yang melanda negara dengan sabar dan tenang.
Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara kita.
Bersatu teguh, bercerai roboh.
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Ayuh, bersatulah kita demi tanah air tercinta.
Bismillahi tawakkaltu alaLLah
Faiza azamta fa tawakkal alaLLah
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
sumber : Muhyiddin Yassin
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
“Alhamdulillah, Belum Lagi Makan Pasir….” Norsalina Bangga Kerjaya Suami Sebagai Badut

“Alhamdulillah, belum lagi makan pasir….” Norsalina bangga kerjaya suami sebagai badut. Norsalina Abdul Aziz berniat untuk riak, jauh sekali mendabik dada dengan rezeki yang dikurniakan Allah buat dia dan keluarganya.
“Saya hanya mahu orang tidak pandang rendah kerjaya sebagai badut,” Norsalina. Norsalina Abdul Aziz, 36 isteri kepada Muhammad Ar-Rabi Ab Ghani, 37, yang terlibat dalam perkhidmatan badut secara sepenuh masa amat berbangga dengan kerjaya suaminya.
Malah menurut wanita berasal dari Negeri Sembilan itu, berkat kerjaya tersebut suaminya mampu menyediakan keperluan dan kesenangan kepada mereka sekeluarga.

Menerusi hantaran di laman TikTok, Norsalina memuat naik video mengenai perjalanan kerjaya suaminya sebagai ‘penceria’ acara sehingga mampu memberi kemewahan antaranya bercuti ke luar negara, berpeluang mengerjakan umrah, membeli sebuah rumah dan emas perhiasan.
“Sebenarnya semua ini tak dirancang, saya pun tak tahu video itu boleh tular. Niat saya hanya berkongsi pada mereka yang melihat supaya jangan sesekali memandang rendah pekerjaan seseorang.
@acik_amat
“Rezeki bukan hanya datang dari pekerjaan kita, tetapi dari Allah. DIA berkuasa untuk beri rezeki selagi mana kita usaha dan yakin,” katanya.

Menyingkap kisah hidup mereka, Norsalina memaklumkan, keluarga tidak menolak pilihannya ketika di awal perkahwinan, bahkan menerima pekerjaan Muhammad Ar-Rabi sebagai badut.
Ibu Norsalina menyifatkan bakal suaminya seorang lelaki yang berani menggalas tanggungjawab untuk menampung kehidupan.
Walaupun pernah dihakimi oleh masyarakat sekeliling, pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata itu hanya memekakkan telinga dan menepis persepsi dengan menjalani kehidupan serba cukup.

“Alhamdulillah, belum lagi makan pasir (kerana) suami buat kerja ini. Ada yang kata badut tak menjamin masa depan, sedangkan dengan kerja inilah suami dapat bawa kami sekeluarga bercuti luar negara.
“Saya terima banyak respon, ada juga yang terinspirasi dengan perkongsian kisah hidup kami.
“Ada juga yang kata saya riak bila berkongsi (kemewahan), namun niat saya hanya mahu masyarakat lihat kerjaya badut juga mampu menjamin masa depan,” ujarnya.

“Saya tak malu, malah bangga suami seorang badut sebab itu saya sendiri tawar diri untuk promosikan dia.”

“Masa tahun 2010, sejak dari sebelum kahwin suami membuat kerja sambilan sebagai badut, tetapi dia bekerja di bawah orang.
“Semasa itu suami ada kerja tetap sebagai ‘dispatch’ (penghantar barang) dan bila ada waktu cuti dia akan menjadi badut untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Selepas kahwin, saya lihat bakat suami boleh diketengahkan dan dia juga pandai menghiburkan orang lain terutama kanak-kanak. Dari situ saya ambil tugas buat promosi untuk iklankan perkhidmatan suami dan jalankan bisnes sendiri,” katanya.
Dia dan keluarga tidak pernah berasa malu dengan kerjaya suaminya sebagai badut kerana menganggap usaha itu sebagai komitmen suami menampung keperluan hidup mereka.

Menurut Noraslina, setiap tahun dia akan menjahit satu pakaian baharu untuk menambah kostum badut suaminya sambil menyusun jadual kerja lelaki itu.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, selain menyediakan perkhidmatan badut, dia dan suami turut menjalankan beberapa perniagaan lain antaranya ‘face painting’ dan ‘sand art’.
Bercerita lanjut, Norsalina memberitahu hasil perkhidmatan badut suaminya ini mampu meraih pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan, bagaimanapun ia bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Kami ambil tempahan seperti majlis hari jadi, kenduri akikah, fun run dan beberapa bentuk majlis santai yang lain.
“Kami tak jalankan secara terbuka di kawasan rekreasi seperti mana yang dilakukan tukang badut yang lain,” ujarnya.
Jelas Norsalina, kini permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan badut bagi memeriahkan majlis bersama kanak-kanak semakin bertambah dan membuka rezeki luas buat keluarga kecil mereka.
Sumber: Sinar Harian, Kosmo online TikTok acik_amat
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
“Pernah Menangis Dalam Kereta Macam Orang Gila Lepas Hantar Suami Naik Bas.” Guru Ini Kongsi Peritnya Pernah PJJ.

Masalah kemurungan dalam kalangan guru disifatkan cukup serius ketika ini terutamanya membabitkan mereka yang bertugas di bandar besar.
Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan kes seorang guru wanita berusia 36 tahun yang mengalami kemurungan ditemui mati dalam keadaan terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah pasar raya kerana tidak dapat menerima beban kerja yang banyak.
Demikian juga kes ibu beranak 6 yang juga seorang guru mempunyai masalah kemurungan ditemui mati lemas.
Itu bukanlah kes yang pertama, bahkan sebelum ini ada kes cubaan bunuh diri oleh guru.
Mengapakah ini berlaku. Adakah disebabkan oleh bebanan kerja semata-mata atau ada faktor lain?
Seorang wanita bernama Wanney Kie dalam perkongsiannya di laman facebook memberitahu tekanan kerja dan kehidupan rumah tangga akibat perkahwinan jarak jauh (PJJ).
Dia yang bertugas sebagai guru terpaksa berjauhan dengan suami kerana permohonannya untuk bertukar tidak mendapat kelulusan biarpun lebih 6 kali mengisi permohonan tersebut.

Pernah saya menangis dalam kereta macam orang gila lepas hantar suami naik bas.
Waktu kami PJJ. Selalu! Kadang2 ank saya tengok saya menangis, dia pun turut menangis..meraung.
Bila dia meraung, saay terus berhenti menangis..sebab fokus pujuk dia. Kadang kami nangis sama2.

Pernah saya menangis ketakutan bila ada orang yang tak dikenali ekori kereta saya. Sampai satu masa saya tengok orang yang tak dikenali (jiran) senyum pun saya takut!
Pernah saya menangis sebab tertekan. Dengan tugasan di sekolah. Saya guru baru..tahun pertama mengajar, macam2 yang saya tak tau dan tekanan tu tak mampu nak cerita..itu belum lagi time dengar Nazir nak datang memantau.
Kadang2 saya menangis di talian mengadu kat suami smpai sakit kepala! Last2 tertidur
Pernah dulu rasa sangat penat! Bila terpaksa ulang alik ke kampung (time anak di kampung) dengan angkat stok susu untuk anak bawak naik bas.
Jiwa tak tenang takut susu rosak. Itu belum lagi kalau mak bagitau anak tak sihat. Allah!
Pernah saya balik kampung hari rabu lepas sekolah terus cari tiket bas sebab anak masuk hospital. Sekolah khamis jumaat?? Saya dah tak kisah orang atas nak cop saya apa.
Janji saya dapat tengok anak saya.
Sampai satu masa saya rasa saya sangat sedih, tertekan sebab suami dan anak duk jauh. Saya buat keputusan bawa anak ke sini.
Pernah saya menangis sambil dukung anak, panjat tangga rumah tingkat 4 setiap hari dengan bawak beg laptop dan barang2 anak..itu belum lagi tambah kalau beli barang dapur.
Saya tambah lagi, bab parking. Kadang2 bab parking boleh buat stress skala 7. Kita duduk menyewa rumah flat..jangan mimpi nak ada lot parking sendiri. Yang pernah duduk kawasan flat Kl, tau la macam mana azabnya nak dapat parking.
Balik sekolah dekat pukul 7. Sah2 la tempat parking semua dah penuh. Selalu sangat sampai sejam pusing2 cari parking. Kadang2 dah pukul 8 baru naik atas rumah. Boleh bayang tak stres tu macam mana. Time menangis dalam kereta tu takyah cite la.
Memang air mata saje lah..time2 macam ni memang kita akan terbayang “kalau suami ada bersama aku kan best..”
Lepas anak datang tinggal dengan saya, suami pulak berulang alik datang ke sini. Dua minggu sekali.
Bila kau PJJ, memang kau kene hadap soalan “eh, minggu ni suami datang ke?” “Eh..minggu lepas suami ko tak datang kan?” Dan sebab itu la bila orang tanya memang saya akan jawab suami saya datang tiap2 minggu! Sebab saya rasa tertekan! Dengan macam2 mulut orang.
Sedang org tak tahu kewangan keluarga kita
Itu belum lagi tekanan saat kau sakit, tapi kau masih kena buat segalanya sendiri. tapi saya bertuah sebab jumpa keluarga pengasuh yang baik dan layan macam keluarga sendiri..
Saya masih ingat, saat saya mengandungkan anak saya..berjauhan dari suami dan hanya menyewa bilik berkongsi dengan orang-orang yang saya tak kenali.
Setiap hari adalah tekanan bagi saya. Saya melalui fasa kehamilan tanpa suami di sisi. Kesakitan dan kepayahan saya lalui..hanya ditemani adik dan orang-orang yang tidak saya kenali.
Kalau nak tulis semua, saya rasa pengalaman saya tak seberapa berbanding kawan2 yang PJJ dengan suami dan anak..sebab ada yang lebih lama daripada saya.
Tapi kalau bagi duit beribu pun saya tak sangup. Sebab TEKANAN tu sangat besar.
Sungguh saya terkesan bila baca kes guru ditemui meninggal di tepi pantai. Ya. Dia ada masalah kemurungan.
Guru yang masih muda, punyai anak 6 org yang masih kecil dan tinggal berjauhan daripada suami.
Allahu..
Saya doakan semoga kawan2 saya yang PJJ akan dapat tinggal bersama secepat mungkin.
Mohon orang atasan, bila melibatkan kes kakitangan yang PJJ ni, mintaklah budi bicara tinggi sikit. Dengar masalah mereka..ringankan beban mereka.
Jangan pula hari yang sepatut cuti, hari yang sepatut mereka pulang jumpa keluarga, diberi pula tugas..kalau tak buat atau tak datang, kena tindakan. Jangan lah macam tu..
Saya sendiri rasanya lebih 6 kali isi egtukar. Tp tak berjaya. Sebab memang hebat lah kalau kau dapat masuk ke kelantan. Tapi nasib saya agak baik. Suami saya bukan seorang guru. Jadi sistem pertukaran tu berbeza dengan guru.
Saya ingat lagi perbualan saya dengan suami di talian selepas keputusan egtukar keluar. Keputusan seperti biasa.. itu kali terakhir saya mengisi egtukar..dan saya bgtau dia.
“SAYA TAK KISAH DUDUK DI MANA-MANA PUN ASAL AWAK ADA DENGAN SAYA”
Dan Rezeki suami saya di tukarkan ke sini. Allahu..
Ini antara pengalaman yang masih saya ingat..kalau nak senarai semua rasanya memang takkan mampu..

Sumber: Wanney Kie
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




