Cuaca panas dan kering dijangka berterusan hingga pertengahan, akhir bulan depan – METMalaysia. Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara kini akan berterusan sehingga pertengahan atau penghujung bulan hadapan.
Cuaca Panas & Kering Dijangka Berterusan Hingga Pertengahan, Akhir Bulan Depan – METMalaysia
Menurut Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, cuaca seperti ini merupakan satu fenomena biasa yang berlaku di luar tempoh peralihan monsun, khususnya di penghujung Monsun Timur Laut dan sepanjang Monsun Barat Daya.
“Ketika ini, negara berada dalam tempoh peralihan monsun yang dijangka akan berterusan sehingga pertengahan atau akhir bulan hadapan,” jelas beliau.
Tambah beliau, fasa peralihan monsun ini lazimnya membawa keadaan cuaca yang panas ketika waktu tengah hari, manakala kelembapan meningkat pada waktu petang hingga awal malam di kebanyakan kawasan.
Ads
Beliau turut menjelaskan bahawa corak tiupan angin yang tidak menentu dan sering berubah arah menjadi punca utama kepada ketidakstabilan cuaca yang dialami kebelakangan ini.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan agar sentiasa mengambil maklum mengenai perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat terkini serta amaran cuaca melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca dan juga saluran media sosial agensi tersebut.
Kasih seorang ibu tidak pernah terputus walau dipisahkan oleh alam. Kisah ibu meninggal 6 jam sebelum nikah ini menjadi bukti kekuatan sebuah keluarga dalam menerima ujian paling berat di hari paling bermakna.
Tarikh 8 Februari yang sepatutnya menjadi detik paling indah dalam hidup seorang wanita bertukar menjadi saat penuh duka apabila ibu tercinta dijemput Ilahi hanya enam jam sebelum majlis perkahwinannya berlangsung di Ampang.
Wanita berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Wanie berdepan ujian besar apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 3 pagi pada hari sama majlis akad nikah yang telah lama dirancang. Kehilangan itu bukan sahaja meruntun hati seorang anak, malah menguji ketabahan seluruh ahli keluarga.
Menurut Wanie, ibunya yang berusia 70 tahun sebelum ini menghidap kanser pankreas tahap empat. Walaupun diuji dengan penyakit serius, arwah tetap menyimpan satu hasrat terakhir, iaitu mahu melihat anak bongsunya melangkah ke alam perkahwinan.
“Emak memang teringin sangat tengok saya bernikah. Itu hajat terakhirnya,” luah Wanie ketika berkongsi kisah ibu meninggal 6 jam sebelum nikah ini kepada Kosmo! Online.
Atas dasar itu, meskipun hati dilanda kesedihan yang sukar digambarkan, Wanie membuat keputusan untuk meneruskan akad nikah di hadapan jenazah ibunya. Keputusan tersebut dibuat dengan penuh reda demi menunaikan impian terakhir insan yang paling disayangi.
Wanie memaklumkan bahawa perancangan asal perkahwinannya dijadualkan pada Disember, namun terpaksa diawalkan selepas mengetahui tahap kesihatan ibunya semakin merosot pada penghujung tahun lalu.
“Saya memang berharap emak sempat hadir dan menyaksikan pernikahan saya. Tak sangka pula emak pergi pada hari yang sama,” katanya dengan nada tenang walaupun jelas menanggung kesedihan mendalam.
Keputusan meneruskan akad nikah itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hasil perbincangan serta persetujuan keluarga terdekat demi menjaga adab, agama dan amanah seorang anak.
Wanie turut berkongsi bahawa ibunya sebelum ini berada dalam keadaan sihat sehinggalah satu insiden terjatuh pada Oktober tahun lalu membawa kepada pemeriksaan kesihatan lanjut.
“Pada awalnya doktor tidak mengesan apa-apa yang serius. Namun selepas pemeriksaan menyeluruh, emak disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat dan dimaklumkan jangka hayatnya tidak panjang,” katanya.
Sebagai anak bongsu daripada enam beradik, Wanie dan keluarga telah melakukan pelbagai ikhtiar serta rawatan terbaik.
“Semua usaha sudah dibuat. Bila ajalnya sampai, memang kita tak mampu berbuat apa-apa selain reda,” ujarnya penuh pasrah.
Rakaman majlis akad nikah pasangan ini kemudiannya tular di media sosial khususnya di aplikasi TikTok, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang terharu dan mendoakan kebahagiaan pasangan ini, namun tidak kurang juga yang melontarkan kecaman serta mempersoalkan keputusan meneruskan majlis ketika suasana berkabung.
Namun bagi Wanie, kecaman tersebut tidak menggugat pendiriannya.
“Apa yang saya buat ini semata-mata untuk tunaikan permintaan terakhir emak,” katanya ringkas.
Bagi seorang anak, kehilangan ibu adalah luka yang sukar sembuh. Namun dalam kisah ibu meninggal 6 jam sebelum nikah ini, reda menjadi sumber kekuatan.
Majlis yang sepatutnya diraikan dengan senyuman dan gelak tawa bertukar menjadi suasana penuh keinsafan, doa dan air mata.
Kisah ini menjadi peringatan tentang erti kasih seorang ibu, kepentingan menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada serta makna sebenar reda dalam kehidupan berkeluarga.
Pernikahan ini bukan sekadar penyatuan dua insan, tetapi juga simbol ketaatan seorang anak kepada ibu walaupun jasadnya telah pergi. Sesungguhnya, kasih seorang ibu tidak pernah terhenti, ia terus hidup dalam doa, kenangan dan setiap langkah anak yang ditinggalkan.
Cikgu bukan Islam ajar tulisan Jawi buat ramai warga maya kagum. Seorang guru Kristian, Loren Fren, telah menarik perhatian warga maya apabila videonya mengajar tulisan Jawi menjadi tular di media sosial.
Menerusi laman Facebook peribadinya, Loren, seorang guru sekolah rendah di Sabah, telah berkongsi video tersebut.
“Saya jarang-jarang mengajar tulisan Jawi, jadi saya buat video untuk kenang-kenangan. Habis topik Jawi tahun ini, sambung tahun depan pula…” tulisnya di ruangan kapsyen.
Loren turut menghasilkan nota Jawi sendiri sebagai bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Tulisan Jawi Loren yang kemas dan tersusun rapi berjaya mencuri perhatian warga maya. Ramai yang memuji usaha guru wanita itu.
Ramai juga yang kagum melihat kesungguhan Loren dalam menguasai tulisan Jawi, yang sering dikaitkan dengan budaya Melayu-Islam.
Menurut Loren, tulisan Jawi mula diperkenalkan dalam subjek Bahasa Melayu untuk murid Tahun 4 sejak tahun 2020, dan ia akan terus diajar hingga murid Tahun 6.
Langkah ini bertujuan memperkaya pemahaman murid terhadap aspek seni, warisan dan sejarah Melayu.
Bagaimanapun, sebagai seorang guru, Loren mengakui bahawa dirinya juga masih dalam proses pembelajaran.
Usaha Loren ini jelas membuktikan bahawa tulisan Jawi bukan hanya sekadar sebahagian daripada kurikulum sekolah.
Tulisan jawi juga merupakan warisan seni dan budaya yang perlu dihargai oleh setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira agama.
Kisah Loren ini turut mendapat perhatian daripada bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Beliau mengucapkan tahniah atas usaha dan dedikasi Loren dalam menyebarkan ilmu, serta menghormati dan mencintai budaya tempatan.
Apa yang dilakukan oleh Loren adalah contoh terbaik tentang semangat perpaduan dan toleransi di Malaysia. Sebagai seorang pendidik, Loren membuktikan bahawa pendidikan berperanan besar dalam menyatukan rakyat, dan bukan memisahkan mereka.
Bas ekspres bawa pelajar UMPSA rempuh belakang treler LPT 1. Sebuah bas ekspres yang membawa seramai 28 penumpang termasuk 20 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terlibat dalam satu insiden mencemaskan apabila kenderaan itu melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) menghala ke Timur, awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas milik LA Holidays Travel and Tours Sdn. Bhd. yang sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Terminal Sentral Kuantan.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, hasil siasatan awal mendapati bas yang dipandu oleh lelaki berumur 38 tahun itu telah melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Nissan MK262 yang sedang berada di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
“Ketika insiden berlaku, lori berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dilanggar dari arah belakang oleh bas yang membawa penumpang termasuk pelajar universiti tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan melibatkan semua individu terlibat termasuk pemandu dan kelindan lori, serta pemandu bas itu sendiri. Kesemua penumpang telah dipindahkan ke bas gantian untuk meneruskan perjalanan ke destinasi mereka di Kuantan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan ketika berada di lorong yang sama dengan treler tersebut.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA, Haykal, memaklumkan bahawa semua 20 pelajar UMPSA yang menaiki bas berkenaan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pelajar tiba di kawasan Masjid UMPSA, Kampus Gambang sekitar jam 3.56 pagi dan disambut oleh pasukan MPP yang turut membantu memastikan setiap pelajar dihantar pulang ke kolej kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.