Sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab terhadap anak-anaknya, pasti walau apa pun yang terjadi hal nafkah akan dilunaskan sebaik mungkin. Ini kerana seorang ayah itu  tahu bahawa menafkahi anak-anak adalah wajib ke atasnya.

Namun tidak dinafikan ada juga segelincir yang culas menunaikan tanggungjawab. Lebih-lebih lagi andai sudah berpisah dengan pasangan dan hak penjagaan anak pula di bawah bekas isteri.

Lagi mengundang geram, bila seorang lelaki tersebut berkahwin lain boleh pula dia menanggung nafkah untuk anak-anak tirinya. Sedangkan anak kandung dibiarkan begitu sahaja tanpa nafkah!

Hal ini hakikatnya cukup menyedihkan bagi pihak bekas isteri dan anak-anak. Lantas untuk memberi penerangan lebih detail berkenaan nafkah anak kandung dan anak tiri, Peguam Syarie, Farah Diyana tampil berkongsi faktanya di media sosial.

Dahulukan Nafkah Anak Kandung & Nafkah Anak Tiri Tak Wajib Pun. Ramai Tak Sedar Fakta Ni!

NAFKAH ANAK KANDUNG VS ANAK TIRI

Nafkah terhadap anak adalah menjadi kewajipan terhadap bapa kandungnya. Meskipun anak tersebut berada di bawah jagaan ibu atau yang lain.

Jika seorang lelaki telah berkahwin baru dengan janda atau balu yang mempunyai anak, tidak menjadi kewajipan untuk seorang lelaki itu menanggung nafkah anak-anak tersebut. Tanggungjawab menanggung nafkah anak-anak tiri adalah kepada bapa kandungnya.

Seksyen 73. Kewajipan menanggung nafkah anak, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pulau Pinang 2004 memperuntukkan bahawa:

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Bapa Kandung Meninggal

Bagaimana jika bapa kandung kepada anak tiri tersebut cuai dan culas dalam menyediakan nafkah anak atau telah meninggal dunia?

Jika begitu keadaannya, kewajipan menanggung nafkah anak tersebut adalah kepada keluarga bapanya.

IKLAN

Bagaimana jika nafkah kepada anak-anak kandung telah sempurna?

Nafkah anak adalah meliputi:-

– makanan

– pakaian

– tempat tinggal

– perubatan

– pendidikan

Adakah kelima-lima nafkah tersebut dipenuhi atau sekadar memberikan RM200 kemudian pandai-pandai lah si isteri / bekas isteri untuk mencukupkan keperluan lain? Sedangkan kita mempunyai lebihan pendapatan. Jika begitu, belum sempurna nafkah tersebut.

Jika kelima-lima tersebut telah pun disempurnakan untuk isteri dan anak kandung, lebihan harta tersebut boleh diagihkan kepada orang di bawah tanggungan yang lain iaitu:-

IKLAN

– Bapa

– Ibu

– Cucu

– Datuk

– Saudara terdekat

– Ahli keluarga berikutnya

Jika sempurna semuanya dan ada lebihan pendapatan, baru lah boleh diserah atau dihadiahkan kepada yang layak.

Datuk, bapa saudara dan ahli keluarga bapa yang lain mestilah cakna jika ada cucu, anak saudara yang tidak diberikan haknya atau kematian bapa. Ambil kembali tanggungjawab masing-masing.

Anak yang diberikan Allah adalah amanah untuk diri kita dan kewajipan menanggung nafkah ialah suatu perkara yang akan disoal Allah di akhirat kelak. Sama-sama kita perbaiki mana-mana bahagian yang kurang.

IKLAN

Wallahualam..

Peguam Syarie Farah Diyana.

ARTIKEL MENARIK : Adunan Tak Naik? Wanita Ni Kongsikan Sebabnya Pada Yis!

 

 

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI