
Dividen KWSP 2025 dijangka diumum 28 Februari, kadar berpotensi cecah 6.5% sekali gus menjadi khabar yang paling dinantikan jutaan pencarum di seluruh negara. Setiap tahun, pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sekadar angka peratusan, tetapi memberi kesan besar kepada perancangan kewangan keluarga.
Menerusi jemputan media yang dikeluarkan KWSP, satu sesi taklimat khas pengumuman dividen 2025 akan berlangsung pada 28 Februari 2026. Ini mengesahkan bahawa keputusan rasmi dividen KWSP 2025 bakal diketahui Sabtu ini.

Unjuran Kadar Dividen KWSP 2025
Menurut laporan sebelum ini, kadar dividen KWSP 2025 bagi Simpanan Konvensional diunjurkan sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus. Bagi Simpanan Shariah pula, kadar dijangka berada antara 5.5 hingga 6.0 peratus.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman berkata, unjuran ini selari dengan prestasi kukuh pendapatan pelaburan KWSP bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025. Namun begitu, kadar akhir masih bergantung kepada strategi realisasi keuntungan serta keperluan rizab jangka panjang dana persaraan tersebut.

Dalam masa sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan kadar dividen KWSP 2025 berpotensi berada pada paras lebih tinggi iaitu sekitar 6.3 hingga 6.5 peratus, berdasarkan peningkatan prestasi pelaburan semasa.
Prestasi Pelaburan Sokong Dividen KWSP 2025
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion, meningkat berbanding RM57.57 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi suku ketiga sahaja menunjukkan lonjakan ketara apabila mencatatkan RM25.07 bilion, naik 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024. Peningkatan ini memberi ruang kepada pembayaran dividen KWSP 2025 yang lebih kompetitif.

Prestasi pelaburan yang konsisten ini penting kerana ia menjadi asas kepada pengagihan keuntungan tahunan kepada pencarum. KWSP menguruskan portfolio pelaburan merangkumi ekuiti, instrumen pendapatan tetap, hartanah serta pelaburan luar negara bagi memastikan pulangan stabil dalam jangka panjang.
Sebagai rekod, bagi tahun kewangan 2024, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.30 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah. Ramai pemerhati pasaran melihat prestasi semasa berpotensi membolehkan dividen KWSP 2025 sekurang-kurangnya mengekalkan momentum tersebut.
Apa Maknanya Jika Dividen KWSP 2025 Cecah 6.5%?
Bagi pencarum, setiap peratus dividen memberi impak besar kepada jumlah simpanan persaraan. Sebagai contoh, jika simpanan berjumlah RM100,000 dan kadar dividen KWSP 2025 diumumkan 6.5 peratus, pulangan yang diterima adalah sekitar RM6,500 untuk setahun dan jumlah ini akan terus berkembang melalui konsep pengkompaunan.
Lebih tinggi kadar dividen, lebih cepat simpanan berkembang tanpa perlu menambah caruman tambahan. Ini memberi kesan langsung kepada sasaran persaraan, terutama bagi mereka yang menghampiri umur persaraan wajib.
Bagi ibu bapa dan ketua keluarga, dividen KWSP 2025 bukan sekadar simpanan hari tua. Ia adalah jaminan kestabilan kewangan, perlindungan masa depan dan persediaan agar tidak membebankan anak-anak apabila bersara kelak.
Menjelang pengumuman rasmi Sabtu ini, pastinya tumpuan terarah sama ada dividen KWSP 2025 mampu menandingi atau mengatasi kadar 6.30 peratus tahun lalu. Apa pun keputusannya nanti, semoga ia membawa kelegaan dan khabar gembira buat seluruh rakyat Malaysia yang setia mencarum demi masa depan yang lebih terjamin.
Sumber: Berita Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




