Tak terima tetamu 2-5 Julai, “Bagi peluang Umi & abah berehat”- Abang Nurly Shahirah. Kehadiran tetamu yang tidak putus-putus sejak pemergian Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman pada 9 Jun lalu membuatkan keluarganya memohon sedikit ruang untuk berehat.
Menerusi perkongsian seorang individu dikenali sebagai Ahmad Nazrul di Facebook, keluarga arwah memutuskan untuk tidak menerima sebarang kunjungan orang ramai selama empat hari, bermula 2 Julai hingga 5 Julai 2025.
“Untuk makluman, pihak keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah tidak akan menerima kunjungan sepanjang tempoh tersebut. Rumah keluarga arwah juga ditutup buat sementara waktu.
“Kami berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dan memahami situasi mereka. Terima kasih,” tulisnya dalam hantaran yang dimuat naik sekitar jam 8.34 malam, Sabtu.
Perkara itu turut mendapat perhatian abang kepada arwah, Najmuddin Azman, yang memuat naik semula kenyataan tersebut sambil memohon agar masyarakat memahami keadaan keluarganya ketika ini.
Ads
Menurut Najmuddin, ibu bapa mereka belum berpeluang berehat sepenuhnya sejak kejadian yang menimpa adiknya kira-kira tiga minggu lalu.
“KAMI HARAP ORANG RAMAI BERI RUANG UNTUK UMI DAN ABAH BEREHAT. SEJAK KEJADIAN ITU BERLAKU, MEREKA BELUM BETUL-BETUL DAPAT REHAT. INSYA-ALLAH, BILA ADA KELAPANGAN NANTI, BOLEHLAH DATANG MENZIARAH,” KATANYA.
Difahamkan, pada Sabtu petang, pihak keluarga turut memasang tali penghadang di kawasan pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah.
Langkah itu diambil susulan dakwaan terdapat individu yang melakukan perbuatan khurafat dan syirik, termasuk mengambil tanah kubur arwah untuk tujuan tidak sepatutnya.
Ads
Terdahulu, Allahyarhamah Nurly Shahirah merupakan antara 15 individu yang terkorban dalam tragedi kemalangan membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Tular Gambar Lelaki Tidur Di Atas Kubur Ibunya,”Ya Itu Memang Saya.” Baru-baru ini tular gambar seorang lelaki tidur di atas kubur. Berikutan itu seorang penghantar makanan, Abdul Azim Hasmandi, 28, mengaku itu dirinya.
Sebelum ini tular sekeping gambar di TikTok memaparkan lelaki itu sedang berehat dan baring bersebelahan pusara ibu tercinta. “Tidur di kubur arwah mak, ya itu memang saya,” akui Abdul Azim.
Pemuda itu berkata, dia tidak tahu-menahu tentang hantaran yang dimuat naik pengguna TikTok melainkan kawan-kawan sekerja memberitahunya.
Menurut anak kedua dari empat adik-beradik itu, pemergian ibunda tersayang, Norlia Mahmood, 62, sekitar Jun lalu masih meninggalkan kesan mendalam sehingga hari ini, membuatkannya sentiasa ingin menziarahi kubur demi melepaskan rindu.
“Arwah meninggal dunia kerana kemalangan motosikal pada pagi Jumaat sebab nak elak seorang pejalan kaki ketika pulang membeli barang basah untuk meniaga nasi lemak di Bandar Baru Bangi.
“Sebenarnya, ia salah satu cara untuk saya merasa dekat dengan umi selain sedekah Al-Fatihah dan baca Yasin sebab saya memang rapat dengan arwah. Kadang-kadang teringatlah pada dia.
“Banyak perkara tak dapat buat semasa dia hidup, jadi ini inisiatif saya sendiri seperti luang masa di kubur, bersihkan pusara, borak dan teman arwah. Sekurang-kurangnya rasa dekat walaupun berbeza alam,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum itu, sekeping gambar dimuat naik seorang pengguna TikTok, Su Ahmad menampakkan Abdul Azim tidur bersebelahan kubur ibunya hingga mengundang reaksi sayu warga maya.
Hantaran tersebut turut mendapat lebih 292,200 tanda suka, 13,000 perkongsian dan lebih empat juta tontonan setakat ini.
Ditanya mengenai penerimaan dan tanggapan dilemparkan terhadapnya, Abdul Azim berpandangan, adik-beradik yang lain terkejut apabila mengetahui dia sering berehat di kubur ibunya.
Bagaimanapun, jelasnya, dia sudah lama reda dengan ketentuan Ilahi sejak hari pertama arwah terbaring kaku di pinggir jalan sewaktu kemalangan, namun tidak dinafikan rindu yang paling berat adalah apabila kehilangan ibu.
“Adik-beradik dan ahli keluarga saya yang lain pun tak tahu saya selalu baring di kubur. Ada yang terkejut, ada juga yang marah. Tetapi, saya tak hirau kerana cara kita bersedih atau hadapi kehilangan berbeza-beza.
“Jadi, macam-macam cara untuk ‘tapis’ kesedihan itu. Kalau buat perkara lain, saya tak mampu. Nak tak nak kena reda sebab ini cara saya hilangkan kesedihan.
“Saya dah tak dapat bercakap, lihat depan mata atau dengar gelak tawa umi selepas ini,” ujarnya lagi.
Tular sebuah video menyentuh hati memaparkan seorang anak lelaki berusia 12 tahun dengan penuh kasih sayang menguruskan ibunya di wad hospital. Tingkah lakunya yang tenang dan tidak kekok menyentuh hati ramai, mengundang sebak dalam kalangan netizen
Pengorbanan kanak-kanak dikenali sebagai Iman yang baru berusia 12 tahun menjaga ibunya yang diserang strok membuatkan ramai kagum dan menitis air mata.
Muat naik video berdurasi 51 saat menerusi perkongsian di laman sosial TikTok @norasni31 telah meraih tontonan hingga 2.8 juta.
“Iman anak tunggal. Sepanjang aku kat sini dia seorang diri menjaga ibunya yang mengalami strok.
“Tidak duduk diam dia untuk memastikan keadaan ibu betul-betul selesa.
“Dialah yang akan tukarkan lampin ibunya dan lap badan yang merupakan ibu tunggal. Dia buat semuanya seorang diri tanpa bantuan sesiapa pun.
“Ibunya hanya ada Iman,” kongsinya.
Menurut wanita itu, Iman sebagai satu-satunya waris perlu ‘menghadam’ segala maklumat dan perkembangan kesihatan bondanya daripada pihak hospital.
“Doktor sendiri tidak tahu sama ada Iman faham atau tidak. Apa yang diterangkan dan apa yang perlu dibuat pada usia 12 tahun.
“Semoga Iman kuat dalam menjalankan tanggungjawab biarpun masih terlalu muda.
“Kita yang dewasa ini pun belum tentu dapat melakukan apa yang dilakukan Iman, sanggup berjaga siang dan malam.
“Semoga ALLAH permudahkan urusan kamu dik,” coret Norasni.
Meninjau diruangan komen, rata-rata meluahkan rasa sebak dan simpati.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Pernah tular gambar fotogenik bersama kerbau kesayangan, Syukor, ‘Mowgli Malaysia’ kembali tarik perhatian. Suatu ketika dahulu, pernah tular gambar ikonik seorang kanak-kanak bersama kerbau ternakannya. Gambar tersebut bukan sahaja mencuri tumpuan ramai, malah mencipta fenomena yang luar biasa.
Keunikan hubungan erat antara kanak-kanak dan haiwan peliharaannya berjaya menarik perhatian dunia dan diiktiraf dalam pelbagai pertandingan fotografi peringkat antarabangsa.
Gambar itu mula terkenal selepas dipilih untuk dipamerkan di Austrian Cultural Forum, Itali, sebagai sebahagian daripada himpunan gambar terbaik Alfred Fried Photography Award 2018.
Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja kepada jurugambar yang mengambil gambar tersebut, tetapi juga kepada kanak-kanak yang menjadi subjek utama dalam karya tersebut.
Tidak terhenti di situ, gambar tersebut turut memenangi Anugerah Istimewa dari Siena International Photo Awards dalam kategori Wajah dan Karektor Menarik. Anugerah ini mengiktiraf kekuatan emosi dan ekspresi wajah yang ditampilkan dalam gambar, memperlihatkan keistimewaan hubungan antara manusia dan haiwan.
Selain itu, kejayaan gambar ini diteruskan apabila ia dinobatkan sebagai pemenang Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori Manusia atau Jalanan (Street or People). Pencapaian ini mengukuhkan lagi status gambar tersebut sebagai karya yang tidak hanya indah dari segi visual, tetapi juga membawa makna mendalam tentang kehidupan dan keakraban manusia dengan alam sekitar.
Difahamkan, kanak-kanak yang berusia 14 tahun dalam gambar tersebut ialah Mohd Syukor Khamis, yang terkenal dengan hubungan erat bersama kerbau-kerbau ternakannya. Syukor, dengan wajahnya yang tenang dan penuh kasih sayang, telah berjaya menawan hati jutaan orang melalui gambar tersebut.
Hubungan uniknya dengan kerbau telah menjadi simbolik kepada keakraban manusia dengan haiwan, memperlihatkan nilai-nilai kasih sayang, kepercayaan, dan penjagaan.
Kejayaan gambar ini bukan sahaja mengangkat nama Syukor, tetapi juga membuka mata dunia kepada keindahan dan kekuatan hubungan antara manusia dan haiwan. Ia adalah peringatan tentang pentingnya memelihara dan menghargai alam sekitar, serta bagaimana hubungan ini boleh mencipta kenangan indah yang dirakam dalam gambar.
Gambar ikonik Mohd Syukor bersama kerbaunya akan terus dikenang sebagai lambang kasih sayang, keakraban, dan kejayaan yang mampu melangkaui sempadan budaya dan geografi.
Ia merupakan inspirasi kepada generasi muda dan masyarakat, bahawa kasih sayang kepada haiwan dan alam semulajadi mempunyai keindahan dan makna yang tidak ternilai harganya.
Baru-baru ini, Syukor kembali menjadi perhatian apabila GIATMARA Malaysia menerusi laman Facebook berkongsi gambar terkini ‘Mowgli Malaysia’ itu sebagai salah seorang pelajar di institut tersebut.
“Macam kenal? Mungkinkah dia? Raut wajah ini seperti insan dikenali yang pernah tular satu masa dahulu.
“Kini beliau telah berjaya menamatkan Kursus Teknologi Motosikal selama 6 bulan di GIATMARA Hulu Terengganu.
“Beliau telah beraksi di Ekspo TVET@KKDW dalam pertandingan servis motosikal yang diadakan di Melaka tempoh hari.
“Dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ sebelum ini, beliau kelihatan selesa bersama peliharaannya yang kelihatan begitu akrab dan bersahaja.
“Ya benar! Beliau adalah Syukor Khamis- ‘The Kampung Boy’ yang pernah tular bersama kerbau kesayangan sejak beliau masih kecil lagi,” tulis hantaran di laman Facebook.
Tambah GIATMARA, Syukor memilih bidang kemahiran motosikal kerana ingin meneruskan legasi keluarga yang memiliki bengkel motosikal sendiri.
Berikut hantaran di TikTok GiatMara:
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai warga maya yang kagum dengan perkembangan terkini Syukor.
Ramai yang tidak menyangka kanak-kanak yang pernah membintangi telemovie “Budok Kuba” itu kini telah dewasa.
Berikut antara komen-komen warga maya di laman Facebook GiatMara:
“Hebat anak bangsa. Beginilah yang selalu kita harapkan pada anak bangsa. Tak pandai akademik tak mengapa tapi bijak dalam bidang yang lain. Jauhi dadah.. Tahniah MARA. Terus terang. MARA Memang terbaik dan banyak membantu anak bangsa.”