
Tular satu rakaman video menyayat hati memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun didakwa dipaksa duduk di luar bahagian belakang rumah sebelum dipukul seorang wanita dipercayai pengasuhnya.
Kejadian yang mengundang rasa sebak dan marah ramai itu akhirnya membawa kepada penahanan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun di kediamannya di Sendayan, Seremban, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian penderaan membabitkan kanak-kanak lelaki itu kira-kira jam 8 malam.

Katanya, ibu bapa mangsa menyedari kejadian berkenaan selepas melihat rakaman video berdurasi satu minit 15 saat yang tular di media sosial. Lebih memilukan, mereka kemudiannya mengenal pasti kanak-kanak dalam video tersebut sebagai anak mereka sendiri.
“Kejadian disedari ibu bapa mangsa selepas melihat rakaman video berdurasi seminit 15 saat yang tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengasuh Ditahan Selepas Video Penderaan Kanak-Kanak Tular
Hasil siasatan awal mendapati, mangsa telah dihantar oleh ibu bapanya untuk diasuh di rumah suspek yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka sejak kira-kira tujuh bulan lalu.
Rakaman video berkenaan memaparkan seorang wanita bertindak memukul kanak-kanak itu di bahagian belakang sebuah rumah.
Susulan kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut.
Polis kemudian menahan suspek pada jam 9.45 malam di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Kes Disiasat Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001
Datuk Alzafny berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Seremban pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam masa sama, Polis Diraja Malaysia memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kamarul Ariffin Kamaruzaman di talian 06-6033222.
Ibu Bapa Perlu Peka Tanda Anak Menjadi Mangsa Penderaan
Kejadian ini menjadi peringatan besar buat semua ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak perlu sentiasa diberi perhatian, terutama apabila mereka berada di bawah jagaan orang lain.
Anak kecil mungkin belum mampu bercerita dengan jelas apa yang berlaku kepada mereka. Namun perubahan emosi seperti tiba-tiba menjadi pendiam, takut, kerap menangis, enggan dihantar ke rumah pengasuh atau kelihatan murung boleh menjadi petanda ada sesuatu yang tidak kena.
Selain itu, ibu bapa juga disarankan untuk sentiasa memantau keadaan fizikal anak selepas pulang daripada rumah pengasuh. Sebarang kesan lebam, kecederaan atau perubahan tingkah laku yang luar biasa tidak boleh dipandang ringan.
Komunikasi yang baik antara ibu bapa dan pengasuh juga penting bagi memastikan kebajikan kanak-kanak sentiasa terjaga. Dalam era media sosial hari ini, banyak kes hanya terbongkar selepas rakaman video tersebar, namun langkah pencegahan awal jauh lebih penting.
Semoga siasatan berjalan dengan telus dan kanak-kanak ini diberikan rawatan serta sokongan emosi yang sewajarnya selepas melalui pengalaman yang cukup memilukan.
BACA LAGI : Kanak-Kanak 2 Tahun Kritikal Terjatuh Dari Tingkat Lima Flat, Dipercayai Panjat Tingkap Guna Sofa
Sumber : Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




