
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 11 bulan dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkap sebuah rumah flat di tingkat lima, Bandar Uda Utama, Johor Bahru.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Selasa lalu itu nyata meruntun hati ramai, apatah lagi membabitkan anak kecil yang masih belum mengerti bahaya di sekelilingnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha, mangsa ditemui terbaring di kawasan tempat letak kenderaan di bawah flat berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap ruang tamu menggunakan sofa yang berada berhampiran tingkap tersebut.
“Tingkap tersebut didapati terbuka sedikit dan tidak berkunci ketika kejadian berlaku. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala dan leher serta dipercayai mengalami pendarahan dalaman.
“Mangsa kini masih menerima rawatan di hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan kediaman, terutama yang melibatkan kanak-kanak kecil. Tingkap, balkoni dan ruang berisiko perlu dipastikan berada dalam keadaan selamat serta berkunci.
Bagi ibu ayah yang tinggal di rumah bertingkat, elakkan meletakkan sofa, kerusi, meja atau rak berhampiran tingkap. Perabot seperti ini boleh menjadi tempat anak memanjat tanpa disedari, lebih-lebih lagi pada usia mereka yang sedang aktif meneroka persekitaran.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan melalui hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.
Semoga anak kecil ini diberi kekuatan dan kesembuhan. Kejadian ini menjadi peringatan buat semua ibu ayah agar sentiasa memeriksa semula keselamatan rumah, kerana malang tidak berbau dan semuanya boleh berlaku dalam sekelip mata.
Sumber : Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




