DNA tidak akan musnah walaupun mayat sudah lama dikebumikan. Pakar forensik. Proses bedah siasat melibatkan pemeriksaan terperinci terhadap mayat bagi mengenal pasti punca kematian seseorang mangsa.
DNA Tidak Akan Musnah Walaupun Mayat Sudah Lama Dikebumikan: Pakar Forensik
Menurut bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah, Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan, pemeriksaan awal merangkumi pemeriksaan luaran termasuk keadaan pakaian si mati, bagi tujuan pendokumentasian kecederaan.
Bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan.
Beliau menegaskan, maklumat hasil pemeriksaan tersebut amat penting dalam aspek perundangan, khususnya jika kes dibawa ke mahkamah. Proses ini juga akan menilai keadaan keseluruhan tubuh, perubahan luaran berkaitan penyakit atau kematian, serta tanda-tanda kecederaan.
“Jumlah DNA atau bukti diperoleh pada mayat membolehkan individu atau kelompok terbabit dengan kematian mangsa dihadapkan ke mahkamah.
“Menerusi prosedur ini unsur bukan semula jadi yang mungkin mendorong kematian mangsa mampu dikesan kerana DNA tidak akan musnah biarpun mayat sudah lama dikebumikan.
“Ketika bedah siasat ke atas mayat Altantuya Shaariibuu hampir 20 tahun lalu, saya berjaya mengenal pasti punca kematian mendiang menerusi cebisan tulang ditemui di lokasi kejadian,” katanya.
Ads
Tambahnya, pembedahan dalaman tidak diperlukan jika pemeriksaan luaran sudah memadai untuk menentukan punca kematian tanpa keraguan. Namun, sekiranya maklumat itu tidak mencukupi, pemeriksaan dalaman termasuk membuka tempurung kepala, rongga dada, abdomen, pelvis dan anggota badan lain akan dilakukan.
Proses ini diikuti dengan pengambilan spesimen seperti cecair badan untuk ujian toksikologi, pemeriksaan radiologi, analisis kuman, kajian tisu, dan fotografi forensik.
Sementara itu, pakar forensik DNA Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Zafarina Zainuddin berkata, sekiranya jasad telah reput, sisa tisu manusia masih boleh digunakan untuk mengesan punca kematian.
Pakar forensik DNA dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Zafarina Zainuddin.
“Mungkin agak sukar untuk kenal pasti sama ada DNA pihak ketiga pada jasad Zara Qairina dipindahkan secara paksa atau sebaliknya, jika kematian berlaku akibat pergelutan dengan rakan seasrama.
Ads
“Mangsa dan pelaku mungkin menjalani aktiviti bersama yang membolehkan pemindahan DNA terjadi, sebelum kematian Zara Qairina berlaku dan ini perlu dibuktikan melalui siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau menambah, pemeriksaan ke atas rambut mangsa juga berupaya mengesan sama ada terdapat bahan asing dimasukkan ke dalam tubuh sehingga menyebabkan kematian.
“Kesan dadah bertahan bagi tempoh yang lama pada rambut manusia, selain kesan patah pada tulang yang boleh menentukan sama ada mayat mati akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Kesan patah pada tulang mayat juga boleh kenal pasti cara mangsa jatuh, selain tidak menolak kemungkinan pemeriksaan dilakukan ke atas spesimen tanah kubur bagi tujuan sama,” katanya.
Pelajar lelaki berusia 14 tahun yang ditahan susulan kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama dipercayai bertindak demikian selepas perasaannya terhadap mangsa tidak berbalas.
Menurut seorang saksi kejadian, suspek dikatakan meluahkan isi hatinya kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun itu pada malam sebelum insiden berlaku. Namun, mangsa dilaporkan menolak perasaan tersebut kerana tidak mempunyai rasa yang sama terhadapnya.
Motif Kes Tikaman Pelajar Bandar Utama Dikaitkan Dengan Cinta Tidak Berbalas
“Dia memegang pisau dan menahan mangsa sebagai tebusan dalam tandas. Kemudian dia mula menikamnya berulang kali,” kata pelajar itu yang enggan namanya disiarkan kepada New Straits Times.
Saksi berkenaan turut menjelaskan bahawa suspek dipercayai mengejar mangsa hingga ke tandas perempuan sebelum melakukan serangan menggunakan beberapa objek tajam.
Ketika kejadian, rakan-rakan mangsa yang berada berdekatan segera berlari mendapatkan bantuan guru disiplin untuk menyelamatkan mangsa daripada serangan tersebut.
Kekecohan Dalam Sekolah Selepas Serangan Berlaku
“Guru itu bergegas ke tandas dan cuba menendang pintu. Selepas beberapa kali cubaan, pintu berjaya dipecahkan, tetapi suspek melarikan diri dan mula mengejar pelajar lain dengan pisau,” katanya.
Situasi menjadi huru-hara apabila remaja lelaki berkenaan meluru masuk ke beberapa kelas Tingkatan Satu sambil menggenggam senjata yang berlumuran darah.
“Dia masuk ke kelas dan semua orang mula menjerit serta berlari keluar. Bajunya penuh dengan darah,” kata saksi itu lagi.
Tindakan Pantas Guru Dan Abang Suspek Gagalkan Serangan
Kekecohan akhirnya dapat dikawal selepas abang suspek bersama beberapa guru bertindak menahannya serta merampas senjata yang digunakan.
“Abang suspek bergelut dengannya sebelum dapat merampas pisau itu. Guru-guru cuba menenangkannya,” jelas saksi berkenaan yang turut melihat kejadian tersebut.
Motif Cinta Tidak Berbalas Jadi Tumpuan Siasatan
Menurut pelajar itu lagi, tindakan suspek dipercayai berpunca daripada rasa marah selepas cintanya ditolak.
“Kami diberitahu dia meluahkan perasaan kepada mangsa malam sebelumnya dan marah apabila ditolak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
“Saya tidak dapat mendedahkan lebih lanjut kerana siasatan masih dijalankan, termasuk mengenal pasti motif sebenar serangan itu.
“Saya akan memberikan maklumat lanjut selepas kami memperoleh hasil siasatan yang kukuh,” katanya.
Kesedaran Tentang Emosi Remaja Dan Pencegahan Keganasan
Kejadian motif kes tikaman pelajar Bandar Utama ini membuka mata masyarakat tentang kepentingan pendidikan emosi dalam kalangan remaja. Pihak sekolah dan ibu bapa disarankan memperkukuh sokongan psikologi bagi membantu pelajar menguruskan tekanan dan perasaan dengan cara yang sihat.
Engku Emran terharu Aleesya cemerlang IGCSE -“Tahniah 7A anak ayah, 11 tahun teman ulang kaji dan kelas tambahan.” Bekas suami kepada pelakon terkenal Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin, meluahkan rasa syukur atas pencapaian cemerlang anak tunggal mereka, Engku Aleesya.
Engku Emran Terharu Aleesya Cemerlang IGCSE -“Tahniah 7A Anak Ayah, 11 Tahun Teman Ulang Kaji & Kelas Tambahan”
Menerusi perkongsian di Instagram, ahli korporat itu menyifatkan keputusan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) puterinya sebagai hadiah paling indah dalam hidup seorang bapa.
Aleesya berjaya memperoleh gred A+ dalam subjek First English Language, Matematik dan Fizik, manakala subjek Biologi, Sosiologi, Bahasa Malaysia serta Psikologi masing-masing mendapat gred A.
Walaupun rumah tangga Emran dan Erra berakhir pada 2014, komitmen terhadap pendidikan anak perempuan mereka tidak pernah terabai. Malah, sejak 11 tahun persekolahan Aleesya, Emran tidak pernah terlepas menyaksikan setiap perkembangan dan momen penting dalam hidupnya.
“Ini adalah hantaran penghargaan buat satu-satunya anak ayah, Aleesya. Terima kasih kerana membuatkan hati ayah dipenuhi dengan rasa bangga dan bahagia yang tak terucap.
“Selama 11 tahun tempoh persekolahanmu, ayah telah mencurahkan sebahagian besar daripada hidup ini demi memastikan kamu cemerlang dalam pelajaran.
“Ayah tidak pernah terlepas satu pun acara sekolah yang kamu sertai. Ayah hadir di setiap sesi pertemuan ibu bapa dan guru, bersorak memberi semangat dalam setiap larian yang kamu sertai. Semuanya atas nama kasih sayang dan tanggungjawab seorang ayah,” kongsinya.
Selain sokongan material, Emran turut meluangkan banyak masa bersama Aleesya, termasuk menemani anaknya mengulang kaji pelajaran serta menghantar ke kelas tambahan.
“Malam-malam panjang yang kita luangkan bersama mengulang kaji pelajaran, jam-jam yang terasa tak berpenghujung terperangkap dalam kesesakan jalan raya untuk ke kelas tambahanmu. Ya, semua itu juga kerana kasih sayang dan tanggungjawab seorang ayah.
“Hari ini, kamu telah membalas semuanya. Kamu telah membuktikan bahawa segala pengorbanan selama ini tidak sia-sia. Terima kasih, Aleesya. Terima kasih kerana menjadikan hari ini sebagai hari paling indah dalam hidup ayah.
“Apabila kamu punya anak sendiri kelak, ayah berharap kamu juga akan sanggup berkorban demi pendidikan mereka seperti mana ayah telah lakukan untukmu.
“Tahniah atas 7A, anak ayah! Alhamdulillah. Kekal merendah diri, dan sentiasa berpijak di bumi yang nyata,” titip Emran.
Untuk rekod, Erra Fazira dan Engku Emran mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah pada Februari 2014.
Enam beranak yang hilang sejak Sabtu ditemukan lemas, kereta tenggelam di Sungai Korok. Misteri kehilangan terjawab, enam beranak ditemukan lemas. Enam beranak yang hilang sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia di dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, hari ini.
Enam Beranak Yang Hilang Sejak Sabtu Ditemukan Lemas, Kereta Tenggelam Di Sungai Korok
Mangsa terdiri daripada suami isteri bersama empat orang anak mereka yang berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun. Operasi mengangkat mayat dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra.
Suasana di lokasi kejadian bertukar hiba apabila ahli keluarga yang berada di situ tidak dapat menahan tangisan sebaik sahaja jasad mangsa dibawa keluar satu demi satu.
Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri bersama empat anak mereka termasuk seorang bayi berusia enam bulan dilaporkan hilang selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman dekat sini sejak pagi Sabtu.
Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun disedari apabila mereka tidak pulang ke rumah di Jerlun dan gagal dihubungi.
Adik kepada Mohd Azim, Nur Adliah Shuhada berkata. abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya seperti kebiasaan pada Jumaat.
“Saya sangka mereka sudah pulang ke Jerlun seperti biasa kerana abang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan biasanya keluar awal pagi manakala kakak ipar pula berniaga.
“Tapi bila ibu mentua abang hubungi saya dan maklumkan mereka tidak sampai ke rumah, saya mula rasa tak sedap hati,” katanya pada Ahad.
Nur Adliah Shuhada berusia 20-an berkata, anak sulung pasangan itu yang berusia 12 tahun tidak ikut serta dan tinggal bersama nenek di Jerlun.
“Malam sebelum kejadian, kami berbual seperti biasa. Abang dan kakak ipar tak pernah cerita mereka ada masalah.
“Saya cuba hubungi telefon mereka berkali-kali tapi tak dapat sampai sekarang,” ujarnya.
Tambahnya, pada pagi Sabtu dia menerima maklumat mengenai penemuan sebuah kereta Proton Saga versi lama dalam Sungai Korok, namun nombor pendaftaran tidak sepadan dengan kenderaan milik abangnya.
Susulan itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jitra dan usaha mencari sedang giat dijalankan termasuk menyemak laluan biasa yang sering digunakan keluarga berkenaan.
“Saya risaukan anak-anak abang, terutama yang bongsu baru enam bulan. Tiga lagi masih bersekolah. Kami juga sebarkan maklumat kehilangan ini di Facebook,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri bersama empat anak mereka.