Satu lagi pencapaian membanggakan anak Malaysia apabila Dr Riswadi Azmi dilantik sebagai Penyelidik Tamu di King Abdulaziz Foundation for Research and Archives (DARAH), Riyadh, Arab Saudi.
Lebih istimewa, anak jati Terengganu itu mencipta sejarah apabila menjadi penyelidik pertama dari Asia Tenggara yang menerima pelantikan tersebut.
Kejayaan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan buat dirinya, malah turut mengharumkan nama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Malaysia di pentas antarabangsa.
DR Riswadi (kanan) sembah maklum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkaitan Manuskrip al-Quran Diraja Terengganu.
Dr Riswadi Azmi merupakan pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan UMT dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Ihsan UMT. Bidang kepakaran beliau tertumpu kepada kajian manuskrip al-Quran, khususnya Manuskrip al-Quran Diraja Terengganu.
Dr Riswadi Azmi: “Tanggungjawab Besar Untuk Jaga Nama Negara”
Bagi Dr Riswadi, pelantikan itu hadir bersama rasa syukur dan tanggungjawab yang besar.
Menurutnya, kepercayaan yang diberikan bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah untuk membawa nama negara serta menghasilkan kajian yang benar-benar memberi manfaat.
“Saya bersyukur, tetapi pada masa sama menyedari besarnya tanggungjawab yang perlu digalas untuk menjaga nama negara dan menghasilkan kajian yang berimpak.”
Beliau turut melihat pelantikan tersebut sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap UMT dan Malaysia dalam bidang penyelidikan warisan Islam.
“Saya membawa amanah untuk mempamerkan kepada dunia warisan keilmuan yang ditinggalkan oleh para sarjana terdahulu dalam membina peradaban Islam di rantau ini.”
Profesor Madya Dr Riswadi Azmi, sedang melakukan kerja berkaitan penyelidikan manuskrip. FOTO UMT
Teliti 54 Manuskrip al-Quran
Sepanjang tiga bulan berada di DARAH, Dr Riswadi diberikan akses kepada pelbagai bahan nadir dan bernilai tinggi yang tersimpan di institusi berkenaan.
Beliau turut berpeluang menjalankan penyelidikan bersama penyelidik dari Australia dan Jerman.
Ads
Fokus utama kajiannya adalah terhadap 54 manuskrip al-Quran dalam koleksi DARAH, khususnya daripada aspek iluminasi, kaligrafi, kodikologi dan teks.
Kajian itu kemudiannya dibandingkan dengan tradisi penyalinan al-Quran di Asia Tenggara, terutama Manuskrip al-Quran Diraja Terengganu.
“Kajian ini turut membabitkan perbandingan manuskrip berkenaan dengan tradisi penyalinan al-Quran di Asia Tenggara khususnya Manuskrip al-Quran Diraja Terengganu bagi meneliti hubungan dan pengaruh antara tradisi penyalinan al-Quran di dunia Arab dengan perkembangannya di rantau ini.”
Bagi Dr Riswadi Azmi, peluang menjalankan kajian di institusi yang menyimpan ratusan ribu bahan berkaitan sejarah Arab Saudi, dunia Arab dan dunia Islam itu cukup berharga.
Selain memperkaya penyelidikan, pengalaman tersebut juga membuka ruang untuk beliau membina jaringan dengan penyelidik antarabangsa.
Beliau berharap ilmu dan hasil kajian yang diperoleh di Riyadh nanti dapat dibawa pulang dan dimanfaatkan untuk kepentingan negara, khususnya dalam usaha memahami serta memelihara warisan keilmuan tempatan.
Lebih 50 Penerbitan Ilmiah
Sebelum ini, Dr Riswadi turut memainkan peranan penting dalam pencalonan Manuskrip al-Quran Diraja Terengganu sebagai Warisan Kebangsaan.
Ads
Beliau juga mengetuai Jawatankuasa Saintifik bagi usaha pengiktirafan manuskrip berkenaan di bawah Program Memory of the World UNESCO.
Selain itu, beliau pernah mengetuai penyelidikan Warkah Diraja Terengganu serta koleksi foto bersejarah yang merakamkan hubungan kesultanan Melayu dengan Siam dalam koleksi Arkib Negara Thailand.
Sehingga kini, Dr Riswadi sudah menghasilkan lebih 50 penerbitan ilmiah.
Kepakaran beliau turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi pelantikan sebagai penasihat dan ahli editorial jurnal ilmiah di Brunei dan Indonesia, selain menjadi ahli persatuan akademik di Amerika Syarikat, Australia dan Britain.
Dr Riswadi Azmi: “Anak Malaysia Mampu Berdiri Setanding Sarjana Antarabangsa”
Bagi Dr Riswadi, kemerdekaan banyak membentuk perjalanan hidup dan kerjayanya.
Ads
Katanya, kebebasan yang dinikmati rakyat Malaysia membuka ruang kepada generasi hari ini untuk mendapatkan pendidikan, membina kepakaran dan berkembang tanpa perlu meninggalkan budaya serta identiti sendiri.
“Kemerdekaan memberikan keyakinan kepada saya anak Malaysia mampu kembang ilmu dan berdiri setanding sarjana antarabangsa tanpa perlu meninggalkan jati diri serta akar bangsa.”
Menurut beliau, kemerdekaan yang sebenar bukan hanya bermaksud bebas daripada penjajahan.
Ia juga tentang kebebasan minda untuk menilai baik dan buruk, mempertahankan identiti serta tidak sekadar mengikut arus majoriti.
Katanya, sarjana terdahulu sudah membuktikan bahawa minda yang merdeka mampu melahirkan ilmu bernilai, mengekalkan jati diri serta meninggalkan khazanah yang boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.
Kejayaan Dr Riswadi Azmi menjadi satu lagi bukti bahawa anak Malaysia mampu melangkah jauh apabila ilmu, usaha dan jati diri berjalan seiring.
Dari Terengganu ke Riyadh, beliau bukan sekadar membawa nama sendiri, tetapi turut membawa bersama warisan, sejarah dan identiti Malaysia untuk dikenali di pentas dunia.
Banyak sebenarnya kebaikan yang dapat dipelajari daripada perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh ini apabila mendedahkan beberapa jadual waktu sekolah rendah di beberapa negara termasuk jadual waktu anak-anak kita di Malaysia.
Terbukti bagai langit dengan bumi jaraknya.
Sungguh, tidak keterlaluan kiranya bila kita mengatakan bahawa kini sudah tiba masanya bilangan subjek dan sukatan pelajaran untuk anak-anak kita dikurangkan atau dijajarkan semula demi melahirkan generasi yang lebih kreatif, inovasi dan berdaya maju seperti anak-anak di Finland umpamanya.
Mungkin kita hairan kenapa boleh Finland dengan hanya 5 jam pelajaran sehari, tanpa kerja sekolah dan ujian boleh meraih taraf negara dengan pendidikan terbaik di dunia.
Malah jadual hariannya juga tidak terus menerus belajar tanpa henti, anak-anak dapat waktu rehat secukupnya 15 minit sebelum menyambung pembelajaran untuk 45 minit seterusnya. Begitulah antara istimewanya jadual waktu yang dipraktikkan di Finland.
Jadi jom kita semak jadual waktu di negara-negara lain pula sepertimana yang dikongsikan oleh Cikgu Fadli ini untuk info bersama.
Perbezaan subjek dan jadual waktu 5 negara
1. Finland. Setiap 45 minit belajar, 15 minit rehat.
2. Jadual waktu di Jepun
Komen salah seorang warganet menjelaskan ini jadual tahun 3. Bermula jam 8.25 dengan perhimpunan selama 20min, kelas bermula 8.50, tamat jam 3.20 petang.
3. Jadual waktu di France
4. Jadual waktu di Abu Dhabi
5. Jadual waktu negara kita. Selepas dua jam belajar baru rehat sekali. Lepas tu sambung belajar terus menerus selama 3 jam lagi.
Jelas dapat dilihat perbezaan jumlah subjek yang murid-murid belajar. Terlalu banyak subjek yang anak-anak kita belajar saban minggu.
Gambar jadual waktu ini dikongsi oleh kawan-kawan yang menetap diluar negara. Ada kawan-kawan menetap di UK, US, Australia dan lain-lain? Boleh share jadual pembelajaran anak-anak kalian tak?
Apa yang kita nak kejar sebenarnya dengan sumbat pelbagai subjek sedari anak usia 7 tahun?
Ia hanya membunuh minat anak-anak untuk ke sekolah, membunuh minat mereka untuk belajar.
Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang seronok untuk anak-anak. Namun menjadi igauan ngeri bagi mereka. Bak kata pepatah, ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan kehadiran zuriat bagi melengkapi rumah tangga mereka. Namun bukan semua wanita terus hamil usia berkahwin. Sebaliknya ada pasangan yang terpaksa menanti bertahun-tahun lamanya.
Demikian juga dengan Penyanyi dari kumpila X-Factor dan juga pelakon ini. Berita kehamilan isterinya Zaidatul Norfazlin Zakaria atau Lyn satu anugerah yang terindah dalam rumah tangga mereka
“Inilah anugerah yang paling dinanti-nantikan oleh saya dan isteri selepas tujuh tahun berkahwin. Setiap pasangan yang sudah berkahwin sudah pasti menantikan saat dikurniakan rezeki zuriat. Begitu juga dengan saya dan isteri,”ujar Danny lagi.
Danny atau nama sebenarnya Mohd Khardanie Anwa, 38, berkata dia berasa bersyukur atas kurniaan Allah kali kedua selepas isterinya pernah mengalami keguguran pada dua tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur pada Allah. Kehamilan kali ini saya anggap seperti anugerah Allah yang sudah lama dinanti-nantikan.
“Sebenarnya, isteri saya pernah hamil dua tahun lalu namun mengalami keguguran ketika usia kandungan memasuki tiga minggu,” katanya.
Dia sebelum itu berkongsi berita gembira isterinya sedang hamil lima bulan dan bakal menimang anak lelaki menerusi laman sosialnya.
Menurut Danny, dia dan isteri tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan zuriat dengan sentiasa membuat pemeriksaan doktor.
“Saya dan isteri juga tidak pernah berputus asa dan kami sentiasa mencuba dan mencari jalan untuk dikurniakan zuriat.
“Sejak isteri keguguran, kami selalu juga buat pemeriksaan. Doktor pun selalu memberi kata positif dan memberitahu yang kami berdua tak ada masalah.
“Cuma, disebabkan tiada rezeki lagi sepanjang tujuh tahun kami berkahwin. Saya percaya Allah akan beri rezeki apabila kita sudah bersedia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Danny tidak mahu tergesa-gesa membuat persiapan kerana keutamaannya adalah bayi dan isterinya.
Namun, Danny bakal memasuki kelas penjagaan anak memandangkan dia tidak mempunyai pengalaman dalam menjaga bayi kecil.
“Buat masa sekarang, saya tak ada buat persiapan sangat. Bagi saya, apa yang penting adalah kesihatan bayi dan isteri saya.
“Tak kisah pasal persediaan itu, janji bayi saya lahir cukup sifat dan sempurna. Tetapi, saya akan mula masuk kelas penjagaan anak tidak lama lagi,” katanya.
Tular di media sosial khususnya TikTok kisah seorang remaja berusia 17 tahun, Muhammad Zufar Azman, yang mengusahakan jualan air tembikai segar dengan konsep cukup unik iaitu “bayar seikhlas hati”.
Kisahnya bukan sahaja mencuri perhatian kerana pendekatan jualan yang berbeza, malah menyentuh hati ramai apabila mengetahui usaha kecil itu dilakukan oleh seorang remaja disleksia yang sedang belajar berdikari demi masa depannya.
Bagi sesetengah orang, berniaga mungkin kelihatan mudah. Namun buat Zufar, ia adalah satu proses pembelajaran yang besar kerana dia berdepan kesukaran dalam membaca, mengenal nombor dan mengira dengan tepat.
Menurut perkongsian keluarga, konsep tanpa harga tetap itu diperkenalkan sebagai langkah lebih praktikal dan selamat buat Zufar. Ini bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam urusan jual beli, termasuk ketika menerima bayaran atau memberi baki wang kepada pelanggan.
Walaupun nampak ringkas, usaha ini sebenarnya cukup besar maknanya buat Zufar. Dari situ, dia belajar berkomunikasi dengan orang ramai, membina keyakinan diri dan memahami nilai usaha dalam mencari rezeki.
Kakaknya, Haziqah Azman, menjelaskan bahawa gerai air tembikai tersebut diusahakan secara bersama sejak awal tahun dengan bantuan adik-beradik lain. Gerai kecil itu beroperasi di tepi jalan kawasan kediaman mereka.
Bagi keluarga ini, perniagaan tersebut bukan semata-mata untuk meraih keuntungan. Sebaliknya, ia adalah satu latihan hidup buat Zufar yang kini hampir menamatkan alam persekolahan.
“Adik saya tidak dapat mengira dengan baik, jadi kami bimbang jika dia terdedah kepada situasi yang boleh dimanipulasi. Sebab itu kami gunakan konsep bayaran ikhlas supaya lebih selamat dan mudah,” jelasnya.
Kata-kata itu jelas menggambarkan keprihatinan keluarga terhadap masa depan Zufar. Mereka tidak hanya melihat kekurangan yang ada, sebaliknya berusaha mencari jalan agar dia tetap diberi ruang untuk belajar, mencuba dan membina kehidupan sendiri.
Difahamkan, jualan harian air tembikai tersebut boleh mencecah sekitar 50 cawan sehari dan meningkat sehingga 100 cawan pada waktu tertentu seperti musim persekolahan serta bulan Ramadan.
Namun begitu, jumlah jualan tetap bergantung kepada keadaan cuaca dan kehadiran pelanggan. Ada hari jualan memberangsangkan, ada juga hari yang perlahan terutama ketika hujan.
Apa yang lebih menyentuh hati, walaupun ada pelanggan yang membayar serendah 10 sen atau 50 sen, keluarga Zufar tetap menerima dengan hati terbuka tanpa sebarang rungutan. Bagi mereka, setiap bayaran adalah rezeki. Lebih daripada itu, pengalaman berniaga inilah yang menjadi hadiah paling bermakna buat Zufar kerana dia dapat belajar tentang kehidupan sebenar.
Malah, ketika jualan kurang mendapat sambutan, keluarga ini memilih untuk melakukan kebaikan dengan mengagihkan minuman secara percuma di masjid sebagai satu bentuk sedekah.
Di sebalik semangatnya berniaga, Zufar turut berdepan cabaran kesihatan. Dia kini menerima pemantauan kesihatan berikutan masalah kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Selain itu, Zufar juga perlu bergantung kepada rawatan dan ubat-ubatan secara berkala. Namun, segala cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar berdikari.
Apa yang membuatkan ramai sebak, Zufar pernah menyatakan hasratnya yang cukup sederhana tetapi penuh makna, iaitu mahu menjaga ibu dan ayahnya terlebih dahulu sebelum memikirkan masa depan diri sendiri.
Sejak kisah Zufar tular, ramai netizen tampil memberikan sokongan. Ada yang datang membeli air tembikai, ada juga yang menghulurkan sumbangan berbentuk infak bagi membantu kelangsungan perniagaan kecil tersebut.
Rata-rata masyarakat turut menyatakan rasa kagum terhadap semangat juang remaja ini yang tetap berusaha mencari rezeki secara jujur walaupun berdepan kekangan pembelajaran.
Di ruangan komen media sosial, ramai menitipkan doa agar urusan Zufar dan keluarganya terus dipermudahkan. Tidak kurang juga yang berharap lebih banyak pihak tampil memberi sokongan kepada usaha murni remaja ini.
Kisah Muhammad Zufar Azman membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk berusaha. Dengan kasih sayang keluarga dan sokongan masyarakat, segelas air tembikai yang dijual seikhlas hati mampu membawa mesej besar tentang cinta, ketabahan dan rezeki yang penuh keberkatan.