
Bila ibu bapa semakin berusia, sebagai anak pasti ada rasa risau apabila melihat mereka masih mahu melakukan banyak perkara sendiri.
Sebenarnya, keinginan untuk terus berdikari itu perkara yang baik, selagi kesihatan dan keadaan mereka masih mengizinkan.
Menurut perkongsian Hello Doktor, sama ada warga emas mahu terus tinggal sendiri, bersama keluarga atau di pusat jagaan bergantung kepada keadaan kesihatan, kewangan dan sokongan yang mereka ada.
Sebagai anak, kita tak semestinya perlu ambil alih semua perkara. Apa yang penting ialah pastikan mak ayah kekal selamat, sihat dan masih rasa dihargai.
1. Jaga Kesihatan Mereka
Pastikan mereka makan dengan baik, cukup rehat dan buat aktiviti ringan seperti berjalan kaki jika mampu.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga penting supaya sebarang masalah kesihatan dapat dikesan lebih awal.
2. Bantu Urus Kewangan
Anak-anak boleh bantu semak bil, perbelanjaan bulanan atau urusan bank jika diperlukan.
Tapi jangan terus ambil alih semuanya. Biar mak ayah masih rasa mereka mampu urus hidup sendiri.
3. Pastikan Rumah Selamat
Periksa kawasan yang licin, pencahayaan yang kurang baik atau barang yang boleh menyebabkan mereka tersadung.
Jika perlu, pasang pemegang di bilik air dan susun rumah supaya lebih mudah untuk mereka bergerak.
4. Jangan Biarkan Mereka Terlalu Lama Sendirian
Luangkan masa untuk telefon, video call atau singgah berjumpa jika tinggal berdekatan.
Kadang-kadang mereka bukan perlukan bantuan besar pun. Cukup sekadar ada orang untuk teman berbual.
5. Bincang Tentang Penjagaan Lebih Awal
Tanya mak ayah apa yang mereka mahu jika suatu hari nanti mereka perlukan lebih banyak bantuan.
Ada yang selesa tinggal bersama anak, ada juga yang lebih suka tinggal sendiri selagi mampu.
Yang penting, keputusan itu dibuat bersama dan bukan mereka rasa dipaksa.
Berdikari Bukan Bermaksud Anak Lepas Tangan
Bila mak ayah mahu terus berdikari, itu bukan bermakna kita perlu biarkan mereka buat semuanya sendiri.
Sebaliknya, tugas anak adalah berada dekat bila mereka perlukan bantuan.
Selagi mak ayah masih sihat, selamat dan bahagia, beri mereka ruang untuk terus menjalani hidup dengan cara yang mereka selesa.
Kadang-kadang, bentuk kasih sayang yang paling baik bukanlah mengawal semuanya, tetapi sentiasa ada bila mereka memerlukan kita.
BACA LAGI: 11 Bantuan Warga Emas Malaysia Yang Ramai Tak Tahu, Anak Perlu Semak Untuk Mak Ayah
Sumber: Hello Doktor
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

