Allahuakbar sungguh meruntun jiwa dua beradik lemas semasa cuma mengambil bola dalam parit.
Menurut Laporan Sinar Harian, Polis mengesahkan dua beradik meninggal dunia akibat lemas di Kampung Melaka, Bagan Tengkorak, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 9.51 malam.
Menurut beliau, polis telah membuat siasatan awal dan dipercayai kedua-duanya sedang bermain di kawasan parit dan kemudiannya terjatuh.
“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang dan pegawai perubatan mengesahkan mereka telah meninggal dunia. Punca kematian akibat mati lemas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ads
Sumber memaklumkan, kedua-dua kanak-kanak lelaki itu berusia 7 dan 9 tahun itu dipercayai mengikut bapa mereka menghadiri gotong-royong kenduri kahwin di sebuah rumah kenalannya di kampung berkenaan.
Menurut laporan sinar, kejadian dipercayai berlaku semasa mereka bermain bola sebelum bola itu terjatuh dalam parit.
Ads
“Salah seorang daripada mereka turun ke dalam parit bagi mengambil bola yang terjatuh, namun tiba-tiba lemas.
“Seorang lagi mangsa yang terkejut dengan kejadian itu kemudiannya terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan, namun kedua-dua mereka lemas,” kata sumber itu.
Ads
Difahamkan, dua beradik itu menetap di Kampung Tali Air 1 Sungai Burong dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.
Sehubungan itu, katanya, polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Sub Inspektor Che Abdul Hamid di talian 03-32698222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber: Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Remaja pulang dari kelas tambahan maut kemalangan jalan raya. Seorang pelajar tingkatan Lima maut dalam perjalanan pulang ke rumah apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Parit Mahang, Jeram, semalam.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 2.15 petang itu mengorbankan remaja lelaki berusia 17 tahun di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, hasil siasatan awal mendapati sebuah lori yang dipandu oleh lelaki berumur 26 tahun datang dari jalan utama menghala ke Jalan Parit Mahang, manakala mangsa pula menunggang motosikal dari arah sebaliknya untuk pulang ke rumah di Ijok.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan sebelum insiden, pelajar tersebut baru sahaja menghadiri kelas tambahan di sekolah dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk meletakkan barangan. Dia kemudiannya dalam perjalanan ke Kampung Parit Mahang untuk menghantar seorang rakan sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat. Sementara itu, pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau tampil ke balai polis berhampiran.
Enam beranak yang hilang sejak Sabtu ditemukan lemas, kereta tenggelam di Sungai Korok. Misteri kehilangan terjawab, enam beranak ditemukan lemas. Enam beranak yang hilang sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia di dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, hari ini.
Mangsa terdiri daripada suami isteri bersama empat orang anak mereka yang berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun. Operasi mengangkat mayat dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra.
Suasana di lokasi kejadian bertukar hiba apabila ahli keluarga yang berada di situ tidak dapat menahan tangisan sebaik sahaja jasad mangsa dibawa keluar satu demi satu.
Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri bersama empat anak mereka termasuk seorang bayi berusia enam bulan dilaporkan hilang selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman dekat sini sejak pagi Sabtu.
Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun disedari apabila mereka tidak pulang ke rumah di Jerlun dan gagal dihubungi.
Adik kepada Mohd Azim, Nur Adliah Shuhada berkata. abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya seperti kebiasaan pada Jumaat.
“Saya sangka mereka sudah pulang ke Jerlun seperti biasa kerana abang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan biasanya keluar awal pagi manakala kakak ipar pula berniaga.
“Tapi bila ibu mentua abang hubungi saya dan maklumkan mereka tidak sampai ke rumah, saya mula rasa tak sedap hati,” katanya pada Ahad.
Nur Adliah Shuhada berusia 20-an berkata, anak sulung pasangan itu yang berusia 12 tahun tidak ikut serta dan tinggal bersama nenek di Jerlun.
“Malam sebelum kejadian, kami berbual seperti biasa. Abang dan kakak ipar tak pernah cerita mereka ada masalah.
“Saya cuba hubungi telefon mereka berkali-kali tapi tak dapat sampai sekarang,” ujarnya.
Tambahnya, pada pagi Sabtu dia menerima maklumat mengenai penemuan sebuah kereta Proton Saga versi lama dalam Sungai Korok, namun nombor pendaftaran tidak sepadan dengan kenderaan milik abangnya.
Susulan itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jitra dan usaha mencari sedang giat dijalankan termasuk menyemak laluan biasa yang sering digunakan keluarga berkenaan.
“Saya risaukan anak-anak abang, terutama yang bongsu baru enam bulan. Tiga lagi masih bersekolah. Kami juga sebarkan maklumat kehilangan ini di Facebook,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri bersama empat anak mereka.
Ibu tunggal dipukul, diugut bekas kekasih, rugi lebih RM300,000. Seorang wanita yang juga anak ahli perniagaan bergelar Datuk mendakwa menjadi mangsa pukul selain diugut bekas teman lelaki kerana gagal memberikan wang.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jihan, 39, mendakwa turut kerugian lebih RM300,000 akibat diperdaya lelaki itu.
Ibu tunggal seorang anak itu mendakwa mengenali lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa di Langkawi sejak 2020 melalui media sosial.
Katanya, pada mulanya lelaki itu langsung tidak menunjuk belangnya malah menunjukkan sifat romantis dan penyayang selain berjanji untuk berkahwin dengannya.
“Dia beritahu saya yang dia dalam proses untuk berpisah dengan isterinya walaupun sudah mempunyai seorang anak namun semuanya tipu belaka.
“Disebabkan dia berjanji untuk berkahwin dengan saya, apa saja yang dia mahu saya tunaikan sehinggalah saya sanggup membelikan sebuah kereta mewah jenis BMW, sebuah motosikal, jam tangan berjenama bernilai RM6,000, cermin mata bernilai RM2,000 selain wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya setiap bulan.
“Saya mula mengikut kehendaknya dengan memberi apa saja termasuk wang sejak itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Jihan, dia juga sering bertemu dengan bekas kekasihnya itu di Langkawi kerana lelaki itu bertugas di sana malah turut membelikan jet ski untuk lelaki itu menjalankan perniagaan di sana.
Katanya, lelaki itu mula menunjukkan sikap panas baran apabila dia tidak memberikan wang kepadanya sejak tahun lalu.
“Saya pernah dimaki hamun oleh lelaki berkenaan malah pada 10 Oktober 2023 pada jam 3.13 petang dia turut mencekik saya sehingga meninggalkan kesan merah, lebam di bahagian mata akibat ditumbuk serta dihantuk kepala.
“Saya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Langkawi akibat kecederaan yang dialami.
“Bukan itu saja malah bekas kekasih turut mengugut dengan pelbagai ugutan termasuk mahu mengaibkan diri saya kepada keluarga jika saya tidak menurut kehendaknya serta pernah juga mengacu pisau ketika kami bergaduh tahun lalu,” katanya.
Jihan berkata, lelaki itu yang bekerja di Langkawi juga sering mencari kesilapan dalam perhubungan mereka dan terus menghantar WhatsApp ugutan kepadanya.
Katanya, keadaan itu menjadikan dia trauma dan terpaksa menyekat nombor telefon lelaki terbabit bagi mengelakkan terus menerima ugutan.
“Namun, disebabkan tidak tahan selain risaukan keselamatan diri, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi Rabu lalu untuk memaklumkan kejadian yang menimpa saya.
“Saya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadapnya di atas apa yang berlaku,” katanya yang terpaksa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.
Menurutnya dia kini terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling melalui rakannya selain bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan kerana trauma dengan apa yang berlaku sehingga mengalami tekanan perasaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada wanita terbabit.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.