Alhamdulillah saya berjaya membawa kesemua ahli keluarga iaitu abah, mama dan dua orang adik perempuan melancong ke Jepun pada Januari 2019 yang lalu.
Hakikatnya, impian untuk membawa seisi keluarga sentiasa ada sewaktu menguruskan percutian orang lain di Jepun. Siapa sangka, selepas 3 tahun berkecimpung dalam bidang pelancongan di sini, akhirnya saya berjaya juga membawa keluarga saya.
Kalau diukur pada kemampuan kewangan, jujur saya katakan sampai bila-bila pun saya tak mampu untuk bawa keluarga berjalan ke luar negara. Apa tidaknya, dianggarkan RM 36,000 kos yang perlu dibelanjakan kalau dilihat secara kasar. Itu pun, memandangkan saya mempunyai Mpv sendiri di Tokyo, jadi sedikit sebanyak dapat juga kurangkan kos untuk transportation.
Nilai yang cukup besar sebenarnya, namun wang bukanlah ukurannya. Saya yakin, Allah akan limpahkan lagi rezeki bagi setiap insan yang membahagiakan dan mengembirakan hati ibu bapa dan ahli keluarga, rezeki itu luas!
Pun begitu, bagi meringankan lagi jumlah kos yang dibelanjakan sepanjang 7 hari 6 malam kami di sana, saya dan adik perempuan telah berpakat untuk menampung separuh seorang. Dan kami juga tidak membenarkan abah dan mama membawa wang untuk berbelanja di sini. Semuanya ditanggung oleh kami berdua.Alhamdulillah semuanya lebih daripada cukup.
Kali Pertama Kenal perkataan ‘Salji’
Keterujaan bermain salji memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Malah adik bongsu saya iaitu Wan Nur Alami, 23 yang juga merupakan pemegang kad OKU, kelihatan terpaku melihat indahnya salji yang memutih.
Ads
Ketika dan saat itulah dia sebenarnya baru mengenali tentang perkataan salji. Kegembiraan yang dipancarkan di wajahnya cukup membuatkan saya terlalu gembira. Saya layankan sahaja reaksi keterujaan adik bongsu ketika itu, dan siapa sangka abah juga meluahkan rasa seronoknya dengan berguling-guling di atas salji.
Ads
Sungguh, situasi ini cukup istimewa saya rasakan dan akan saya kenang sampai bila-bila. Apa yang pasti, bila saya melihat wajah mereka, terutamanya abah dan mama ketawa kegembiraan, cukup membuatkan saya juga bahagia dan gembira.
Lebih bermakna lagi percutian kali ini, kami sekeluarga sempat juga menyambut hari lahir mama di dalam taman tema Disneyland. Suatu pengalaman dan peluang keemasan yang cukup terindah.
Kongsi Tip
Ads
Benar, Jepun adalah negara pertama yang kami sekeluarga melancong bersama-sama. Kesihatan abah baik-baik sahaja sepanjang berada di sana. Walaupun umurnya mencecah 76 tahun, namun masih cergas berjalan.
Jika berniat untuk membawa ibu dan ayah yang berusia, disarankan sila buat persediaan dengan sebaik mungkin. Antaranya :
1. Kalau boleh, keluarkan lah modal sedikit untuk bagi keselesaan pada orang tua kita yang warga emas. Elakkan atau kurangkan penggunaan public transport kerana jarak berjalan yang banyak dan juga bilangan anak tangga yang terpaksa tempuhi.
2. Jika datang pada musim sejuk, pastikan pakaian secukupnya. Sekurang-kurangnya 4 lapisan dari therma layer, baju biasa, baju sejuk/knitwear dan jaket tebal. Jaket satu lapis yang nipis tidak sesuai untuk dipakai satu lapis sahaja.
3. Perbanyakkan makanan dari Malaysia kerana kebanyakan warga emas tidak boleh makan makanan yang pelik di luar negara. Sediakan makanan kebiasaan mereka. Beras jepun adalah seperti beras pulut jadi tidak semua orang boleh makan. Tambahan Jepun bukan negara muslim, jadi tidak semua tempat ada makanan halal.
Nur Fazelah, 37 ,atau yang lebih dikenali sebagai Zizi Kirana merupakan seorang penyanyi hiphop dan rap yang dahulunya terkenal dengan identitinya yang cukup seksi. Namun setelah mendirikan rumahtangga bersama suaminya Yusuf Bahrin, beliau telah berhijrah dengan memakai pakaian yang menutup aurat.
Beliau mengakui sejak mendirikan rumahtangga, suaminya banyak mengubahnya ke arah yang lebih baik dan menasihati untuk sentiasa mencari keredhaan Allah. Katanya, suaminya masih membenarkan ia untuk menyanyi kerana itu adalah kerjaya beliau. malah terus memberi galakan kepada Zizi untuk menyanyi dengan cara sendiri.
Penyanyi lagu ‘Pijak’ pernah mengeluarkan kenyataan dalam temubual Melodi Tv3 bahawa dia akan memadam gambar-gambar seksinya di media sosialnya agar tidak menjadi tatapan umum
“Saya akan padam gambar seksi saya slow-slow lepasni, so lepasni tak payah dah cari gambar seksi saya, cari orang lain pulak kalau nak tengok orang seksi” katanya sambil ketawa
Kini Zizi lebih selesa untuk bepakaian longgar dan dia mengakui bahawa pakaian longgar lebih selesa dan selamat, malah sedikitpun tidak membuatkan wanita itu ketinggalan zaman.
Ramai mengakui bahawa kecantikan Zizi lebih terserlah dengan pemakaian yang menutup aurat memang sesuai dengan dirinya. Apatah lagi Zizi dahulunya pernah menjadi seorang guru agama yang boleh mnegaji dan bertarannum. MashaAllah kalau dengar suara dia memang terpesona bagi yang mendengarkan Ziziz mengalunkan ayat suci Al quran atau mengalunkan selawat
Perubahan ini sedikit sebanyak mengubah hidup Zizi dan membuatkan ia lebih bahagia apabila bersama suami tercinta yang cukup penyayang dan menjaganya bagai menatang minyak yang penuh.
Semoga Zizi terus istiqomah dan bahagia selalu bersama suami tercinta
Kisah ini menarik untuk dikongsikan untuk dijadikan tauladan tentang hubungan kita dengan alam. Ia berkaitan tindakan seorang ibu yang akan memastikan ada sepasu air di laman rumahnya.
Jika diikut logik akal, tiada manfaatnya perbuatan tersebut dan sukar juga untuk memahami tujuan perbuatan tersebut.
Memahami lanjut tentang kisah ini, ikuti perkongsian penuh daripada Hishamudin Isam ini.
Ada sesuatu yang menarik tentang emak yang ingin saya kongsikan. Sewaktu beliau masih kuat dan sihat, apabila tiba musim panas, mak akan pastikan ada bekas air diletak di halaman rumah.
Saya tertanya apa gunanya bekas air tersebut. Jawapan mak cukup ringkas.
“Tak rugi bermesra dengan alam. Pasti ada doa mereka untuk kita”.
Serius saya tidak faham, dan tidak pernah mahu faham. Biasanya, jika emak tidak perasan, saya akan terbalikkan bekas air tersebut.
Takut nyamuk membiak. Selang sehari dua, saya tengok, bekas tersebut akan terisi air kembali.
Hujung tahun lepas, saya balik kampung. Sampai sahaja di rumah, saya perhatikan ada bekas air betul betul di depan rumah, bersebelahan pokok pokok bunga emak yang sentiasa cantik dan terjaga rapi.
Akhirnya saya mula faham apa yang emak maksudkan setelah melihatnya sendiri, dan membuka mata hati saya untuk memahami.
Rupanya bekas air tersebut sengaja emak letak, tempat burung, kucing atau apa sahaja serangga mandi atau melepas dahaga.
Patutlah apa sahaja yang emak tanam biasanya menjadi dan membuahkan hasil.
Mungkin burung, kucing atau serangga itulah yang turut sama mendoakan kebaikan buat emak dan tanamannya.
Wajah penuh keibuan ini nyata sangat mesra dengan siapa sahaja biar pertama kali bersua muka.
Penulis menelusuri isi hati insan bernama Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali mengenai kehidupannya yang pernah bergelar Wanita Pertama ke-4 apabila suami kesayangannya, Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri.
Dan kini sekali lagi, beliau menyandang gelaran tersebut bila mana suami kesayangannya sekali lagi dilantik sebagai orang nombor satu negara sekali gus bergelar PM ke-7.
Jujur mengakui tidak pernah menyiapkan diri sebagai isteri perdana menteri, sebaliknya jawatan doktor yang disandangnya banyak membantunya.
“Cabaran sentiasa ada tetapi tidak banyak sebab saya sudah biasa berkecimpung dengan masyarakat. Meskipun mereka masyarakat yang berpenyakit tetapi saya mudah mesra dengan mereka dan sebagai isteri pemimpin itu yang penting sekali.
“Bermesra dan bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung dapat menjaga watak atau karakter kita supaya bukan sahaja bagi gambaran yang baik tetapi secara tidak langsung menjaga nama baik suami. Jika kita buat sesuatu nanti orang akan menyebut itulah isteri kepada orang itu ini. Gambaran sebegini sudah menjadi perkara biasa yang sering berlaku dalam masyarakat.
Risiko tidak diterima oleh masyarakat memang buruk terutama bagi isteri kepada pemimpin. Alhamdulillah sepanjang suami saya menjadi pemimpin, yang buruk itu tiada, apatah lagi yang boleh menjejaskan suami. Baik ketika suami bergelar menteri sehinggalah menjadi orang nombor satu Negara.
“Bukan kerana saya sudah siapkan diri untuk itu tetapi jawatan doktor yang saya sandang itu banyak membantu. Masyarakat sangat hormat pada doktor kerana kita membuat kebaikan. Keduanya, bagaimana kita berusaha dengan masyarakat dengan berhubung rapat dengan mereka. Kalau kita tidak tegur, sombong dan wajah itu akan menunjukkan penampilan kita. Justeru, sebagai doktor sudah bersiap sedia bagaimana mahu kerjasama dengan masyarakat.
“Tidak kira suami menjadi pemimpin atau tidak, tetapi status isteri yang disandang itu, kita kena bersiap sedia dalam segala hal,”ulas Tun Hasmah sambil memberitahu tanggungjawab isteri pemimpin kena sentiasa berada di belakang suami dan memberi sokongan sepenuhnya dalam apa jua yang dilakukan kerana itulah tugas utama seorang isteri.
Sentiasa di belakang suami
Jujur mengakui bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri pemimpin, namun berkat sokongan suami dan keluarga, beliau berjaya mengharunginya.
“Bergelar isteri pemimpin dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai doktor, bukan perkara yang mudah. Apatah lagi, saya perlu berhadapan dengan masyarakat yang mempunyai masalah kesihatan. Bagaimana cara kita yakinkan untuk membantu mengubati penyakit mereka itu yang penting. Alhamdulillah, saya melalui perjalanan sebagai doktor dan isteri pemimpin negara dengan baik.
“Sebagai ibu pula, lebih-lebih lagi apabila kita sebagai pegawai kerajaan. Kena bijak atur masa sebagai isteri, ibu dan tidak lupa wanita berkerjaya. Soal masa tidak timbul kerana tidak ada banyak masalah. Waktu dulu nak cari pengasuh mudah. Dulu ada ipar duai di rumah yang boleh diharap untuk bantu jaga anak-anak. Begitu juga dengan pembantu rumah yang tua dan berumur yang memang boleh diharap untuk menjaga anak-anak. Memang mudah dan tidak perlu peningkan kepala seperti sekarang.
“Kami dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina , Mirzan, Melinda, Mokhzani , Mukhriz , Mazhar dan Maizura. Yang sulung, Marina ada pemikiran sendiri dan sedikit mengikut jejak langkah ayahnya. Berdikari dan tegas dalam pendirian. Yang kedua, Mirzan lebih minat pada kewangan dan pandai uruskan bidang tersebut. Yang ketiga, Melinda pula sepenuh masa suri rumah yang menjaga anak-anak sepenuh masa. Dia sangat low profile.
“Yang keempat, Mokhzani pula bijak dalam pengurusan dan kini bekerja dalam industri minyak dan gas. Dia ada karakter seorang pengurus yang cekap baik dalam kerjaya mahupun rumah tangga. Mukhriz pula lebih menjurus kepada saya. Tetapi bab tanggungjawab dia banyak ikut jejak langkah ayahnya. Dia lembut tetapi tegas. Yang keenam Mazhar dan yang ketujuh, Maizura masih bujang dan ada cita-cita sendiri.
“Cuma, sekarang ini memandangkan yang lain ada yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, tinggal yang bongsu lebih rapat memandangkan dia masih bujang dan kebetulan tinggal bersama kami. Sebagai ibu saya sentiasa galakkan anak-anak dan demikian juga untuk yang bongsu ini. Saya bantu dan galakkan supaya dia tidak rasa ketinggalan dalam keluarga.
Saya ada tiga anak lelaki dan masing-masing ada karenah tersendiri. Kalau ikutkan anak yang paling nakal Mokhzani waktu kecil dahulu. Tetapi dia yang paling prihatin dalam banyak hal dan sangat melayan andai ada tetamu datang ke rumah. Mirzan pula pernah sekali dapat surat daripada ayahnya kerana malas belajar, selepas itu barulah dia berubah.
“Waktu kecil juga, jika ada yang membuat salah dan ayahnya mahu jatuhkan hukuman, semua anak-anak akan dipanggil supaya mereka dengar apa kesalahan dan denda yang dikenakan,” jelas Tun sambil memberitahu, dia tidak mengamalkan pilih kasih terhadap anak-anak sebaliknya bersedia bila-bila masa untuk mereka datang bercerita masalah atau sebagainya.
Kena banyak sabar
Status dan pangkat yang disandang bagaimana pun bukanlah tiket untuk anak-anaknya bermewah dan hidup seperti di dalam sangkar emas. Sebaliknya, Tun menegaskan kepada anak-anak supaya kena usaha sendiri jika mahukan sesuatu.
“Apa jua kemudahan tidak akan datang bergolek jika tidak berusaha. Ini nilai-nilai mulia yang harus diajar pada anak-anak. Yang utama, hormat kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja yang memberikan sesuatu kepada kita. Jadi kita kena balas dengan ucapan terima kasih. Kedua, kerja keras manakala yang ketiga amanah dan keempat jangan boros dan kena tahu uruskan wang ringgit dengan bijak.
“Selain itu kena juga praktik kan dalam diri anak-anak amal bakti dan kebajikan supaya dalam diri terbit rasa kesedaran dan keinsafan selain bersyukur dengan apa yang kita peroleh dan lagi satu kena banyak bersabar.
“Saya berkahwin lambat. Waktu itu, umur 29 tahun tu kira lambat tetapi Alhamdulillah kami dikurniakan anak dan dapat membesarkan mereka dengan baik. Lebih membahagiakan apabila dikurniakan anak-anak yang cerdik dan cemerlang dalam pelajaran. Saya dan suami sudah sepakat, apabila anak-anak lulus dengan cemerlang, kami akan hadir di konvokesyen mereka dan itu kami praktik kan pada semua anak-anak.
“Zaman dulu tidak sama seperti sekarang. Dulu waktu anak-anak tengah periksa, saya tidak terbang kerana ingin berada bersama mereka supaya mereka tidak risau. Seperti menantu-menantu lakukan kini bagi anak-anak mereka.
“Kalau nak dibandingkan ibu dahulu dengan kini jauh bezanya. Saya faham situasi ibu sekarang kerana era sudah bertukar, kalau zaman saya dulu tiada internet, sosial media dan sebagainya. Anak-anak dulu tekun dengan apa yang ibu cakap. Malah minat mereka juga simple tetapi sekarang sudah bertukar ditambah pula kini zaman informasi. Tidak perlu penat mencari, segalanya boleh diperoleh hanya di hujung jari sahaja. Ibu bapa sekarang profesional dan masa untuk anak-anak terbatas
“Tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kita. Walaupun sibuk wajib ambil berat pada anak-anak. Tiada alasan sibuk dengan kerja jika sayangkan masa depan anak-anak. Sungguhpun sekarang zaman informasi, elakkan membiarkan anak-anak terperuk atau terkurung dalam bilik dan melayani komputer.
“Kalau nak tengok televisyen kena di ruang tamu atau bilik keluarga. Ini bagi mengelakkan anak-anak bersendirian di dalam bilik tanpa bergaul dengan ahli keluarga yang lain,” cerita Tun lagi sambil mengakui momen paling indah dalam hidupnya adalah sewaktu melahirkan anak-anak dengan selamat dan membesar dengan baik serta berjaya dalam bidang yang diceburi.
Suka muzik
Seperti mana wanita biasa lain, beliau juga mempunyai minat tersendiri terutama dalam bidang muzik selain suka membaca, menulis dan menonton.
“Kalau dulu saya suka bermain piano dan sebagainya. Saya suka muzik dan kebetulan dalam keluarga ada yang berdarah muzik. Sebab itu saya jatuh cinta dengan bidang ini. Kadangkala waktu reunion keluarga, kami akan berkumpul dan waktu masing-masing akan tunjukkan kebolehan masing-masing. Tetapi sekarang mata saya sudah tidak nampak jadi kuranglah nak main piano dah tak nampak ‘taugeh’ di kertas,” seloroh Tun lagi.
Sumber: Majalah Keluarga Edisi Khas Hari Ibu Mei 2017
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Aaron Aziz mengakui berdepan rasa sunyi apabila anak-anak semakin dewasa dan melanjutkan pengajian di luar negara. Luahan menyentuh hati ini dekat dengan pengalaman ramai ibu bapa.