
Eyra Hazali mencuri perhatian apabila berkongsi kisah lucu mengenai suaminya, Haziq Nadzli, yang dikatakan sering menerima mesej peribadi daripada wanita di media sosial. Kalau dah namanya suami “goalkeeper negara”, bukan setakat bola di padang saja yang perlu ditepis, DM di media sosial pun nampaknya kena jaga sekali!
Itulah yang dikongsikan pelakon ini mengenai suaminya yang dikatakan sering menerima mesej peribadi daripada wanita, termasuk daripada “peminat” di luar kawasan.
Menurut Eyra Hazali, dia sendiri tidak menafikan ramai wanita di luar sana cantik-cantik belaka. Namun, apa yang mencuit hati, ada juga yang berani “shoot shot” menerusi DM suaminya.
Malah, ada yang terus mengajak Haziq berjumpa apabila mengetahui suaminya berada di lokasi tertentu.
“Orang Sarawak cantik-cantik! Bukan setakat cantik, masuk DM suami kita lagi… siap ajak jumpa,” katanya berseloroh.
Namun, apa yang membuatkan Eyra Hazali lebih tenang adalah sikap Haziq sendiri. Ujarnya, suaminya bukan jenis lelaki yang melayan mesej-mesej sebegitu.
Lebih melegakan hati seorang isteri, Haziq turut berkongsi kata laluan akaun media sosial dengannya. Jadi, setiap notifikasi yang masuk juga boleh diketahui Eyra.
Pendek kata, tiada apa yang mahu disorokkan antara mereka suami isteri.
Dalam nada berseloroh, Eyra turut mendedahkan tangan Haziq juga bukan biasa-biasa kerana rajin menekan butang ‘block’. Katanya, jika dilihat senarai akaun yang telah disekat, memang ramai juga wanita yang pernah cuba nasib mendekati suaminya.
Bagi Eyra, selagi perkara itu tidak melampaui batas dan suaminya tidak melayan, dia memilih untuk tidak membesarkan isu tersebut.
Walaupun begitu, Eyra mengakui ada juga rasa “gatal tangan” mahu membalas mesej berkenaan. Namun, apabila melihat suaminya sendiri tidak melayan, dia juga memilih untuk tidak melayan perkara tersebut.
“Tapi suami kita pun tak layan, buat apa kita nak layan,” katanya santai.
Dalam masa sama, Eyra turut berseloroh bahawa dia sendiri tidak berasa insecure dengan situasi itu.
Eyra Hazali juga sempat berkongsi pandangannya mengapa lelaki berstatus suami orang sering menjadi perhatian. Katanya, ramai wanita tertarik apabila melihat lelaki yang berjaya serta cara mereka melayan isteri dan anak-anak.
Pendek kata, aura seorang lelaki yang sayangkan keluarga itu barangkali menjadi daya tarikan tersendiri.
Apa pun, Eyra sempat menitipkan ‘amaran manja’ kepada mana-mana wanita yang cuba mendekati suaminya.
“Pada wanita yang nak try Haziq, ingatlah saya Eyra Hazali tahu. Saya cantik tahu, anak saya comel… elok sangat!” katanya sambil ketawa.
Alahai, lain macam sungguh cara Eyra menjaga kawasan! Dalam berseloroh, tetap nampak keyakinan seorang isteri yang percaya kepada suaminya.
Apa yang penting, sikap Haziq yang tidak melayan DM sebegitu wajar dipuji. Dalam rumah tangga, kepercayaan dan keterbukaan antara suami isteri sangat penting.
Bila pasangan sendiri tahu menjaga batas, perkara luar tidak mudah menggugat keharmonian keluarga.
Benarlah, bukan semua perkara perlu dibalas. Kadang-kadang, cara paling tenang untuk menjaga bahagia rumah tangga ialah tidak melayan, terus tekan butang sekat dan fokus kepada keluarga sendiri.
Kisah Eyra Hazali ini juga menjadi peringatan bahawa hubungan yang sihat bukan hanya bergantung pada rasa cinta, tetapi juga pada kejujuran, batas pergaulan dan rasa hormat terhadap pasangan.
BACA LAGI : Eyra Hazali Bawa Hayder & Endra Potong Rambut, Muka Terus Nampak Sama Betul!