GM Klang Lanjutkan Waktu Operasi, Melangkah Ke Era Baharu
GM Klang mencipta sejarah baharu apabila secara rasmi mengumumkan pelanjutan waktu operasinya kepada 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, menandakan transformasi penting pusat borong terbesar negara itu ke arah menjadi hab komuniti dan gaya hidup yang hidup siang dan malam.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Abd. Hamid Bin Hussain, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), dan disaksikan oleh YBrs. Puan Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, serta YBhg. Dato’ Lim Seng Kok, Pengarah Urusan GM Klang. Acara ini turut menjadi tanda penghargaan kepada jutaan pelanggan yang telah menyokong GM Klang sejak mula beroperasi pada tahun 2009.
Lonjakan Strategik Melalui MoU Baharu
Dalam fasa transformasi ini, majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara GM Klang dan enam rakan strategik baharu dalam bidang sukan, rekreasi dan gaya hidup. Upacara ini turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Haji Abd. Hamid Bin Hussain, YBrs. Puan Chua Yee Ling, dan YBhg. Dato’ Lim Seng Kok.
Menandatangani bagi pihak GM Klang ialah Encik Foo Loke Ping, Ketua Pegawai Operasi GM Klang. Antara pihak yang terlibat dalam kerjasama strategik ini ialah D2 Arena (Futsal), Kfitness Gym (Gimnasium), JAQS Padel & Pickle PLT (Pickleball dan Paddleball), Doremart (Pasar Raya), 33 Food Court (Medan Selera) dan Positif@Klang (Kendera Saji).
Enam entiti ini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem perniagaan GM Klang, selain memperluas tawaran gaya hidup di kawasan tersebut. Menurut Encik Foo, pemeteraian MoU ini adalah langkah penting untuk menjadikan GM Klang lebih daripada sekadar pusat borong, tetapi juga sebagai hab gaya hidup moden yang menarik pelbagai golongan pengunjung — daripada pemborong, peruncit hingga ke keluarga dan masyarakat sekitar.
“Kerjasama ini bukan sekadar membuka peluang perniagaan baharu, tetapi turut memperkukuh konsep B2B2C (Business-to-Business-to-Consumer) di GM Klang, di mana kesemuanya berinteraksi dalam satu persekitaran lengkap, progresif dan menarik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi setempat,” ujarnya.
Ceritera Selangor: Memupuk Budaya Dan Pelancongan
Sempena pelancaran waktu operasi baharu ini, GM Klang dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Tourism Selangor dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah menganjurkan acara “Ceritera Selangor”, iaitu persembahan budaya yang memperlihatkan keindahan dan kepelbagaian warisan Negeri Selangor.
Ads
Inisiatif ini bukan hanya bersifat hiburan, tetapi turut menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025, selaras dengan peranan GM Klang sebagai Duta Pelancongan Bandar Klang. Persembahan selama dua jam itu menampilkan pelbagai tarian tradisional, persembahan Mahmeri, Cempuling dan elemen budaya lain yang menonjolkan keunikan negeri bersejarah itu.
Waktu Baharu, Pengalaman Baharu
Menurut YBhg. Dato’ Lim Seng Kok, Pengarah Urusan GM Klang, pelanjutan waktu operasi ini bukan sekadar perubahan jadual, tetapi sebahagian daripada transformasi besar dalam cara GM Klang menambah nilai kepada pelanggan.
“Kami bukan sekadar melanjutkan waktu operasi, tetapi menambah nilai pengalaman. Ia merupakan tindak balas kepada kehendak pengunjung dan peniaga yang mahukan pengalaman yang lebih fleksibel, selesa dan holistik. Dengan pembangunan pesat di sekitar Bandar Botanik, termasuk projek LRT3, ini adalah masa terbaik untuk membawa GM Klang ke fasa baharu sebagai destinasi borong dan pelancongan gaya hidup yang lebih relevan dengan keperluan masa kini,” katanya.
Ads
Beliau turut menambah bahawa kejayaan GM Klang meraih Anugerah Emas di bawah program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) baru-baru ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan serta pengalaman pelanggan.
“Dengan kelebihan lokasi strategik serta sokongan komuniti yang berterusan, kami yakin GM Klang akan terus berkembang sebagai hab komuniti dan gaya hidup pilihan, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat serantau,” ujar Dato’ Lim.
Aktiviti Sepanjang Tahun: Menarik Dan Menghiburkan
Untuk menyemarakkan kempen waktu operasi baharu ini, GM Klang turut memperkenalkan siri aktiviti menarik sepanjang tahun, antaranya:
Night Crazy Deals – promosi eksklusif bermula jam 7 malam setiap hari.
Monthly Lucky Night Draw: Shop & Win – cabutan bertuah bulanan dengan hadiah menarik seperti motosikal, mesin basuh dan pengering, serta TV pintar 55”.
Rioooh Malam Sabtu – acara mingguan bertema yang menawarkan hiburan dan pengalaman unik setiap hujung minggu.
Inisiatif ini memperlihatkan komitmen GM Klang untuk kekal segar, relevan dan progresif dalam menyokong agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ads
Dataran GM Klang – Ruang Komuniti Baharu
Pelancaran waktu operasi baharu ini turut menandakan pengenalan Dataran GM Klang, iaitu ruang acara utama yang diwujudkan bagi menggalakkan pelbagai aktiviti komuniti, budaya, hiburan dan keusahawanan.
Dataran ini direka berkonsepkan ruang terbuka yang mesra pengunjung dan bakal menjadi nadi aktiviti masyarakat setempat, sekali gus memperkukuh peranan GM Klang sebagai hab komuniti dan destinasi gaya hidup utama di Klang.
Kadang-kadang, bila anak tertinggal duit belanja atau bekal, ibu bapa cenderung panik dan terus cari jalan mudah mesej cikgu suruh pinjamkan duit atau belikan makanan.
Niatnya mungkin untuk memastikan anak tidak lapar, tapi tanpa sedar, kita sedang membentuk satu tabiat yang kurang baik. Anak jadi terlalu bergantung dan tak belajar dari kesilapan sendiri.
Perkongsian dari FB Dr. Kamilin Jamilin ini mengajak kita sebagai ibu bapa untuk berfikir semula tentang cara kita mendidik anak-anak supaya lebih bertanggungjawab dan berdikari dalam menguruskan kehidupan seharian mereka.
gambar sekadar hiasan
Ini pandangan saya sebagai salah seorang ayah. Saya pun ada anak-anak yang tahun ni baru masuk darjah 1, abang dia darjah 4 dan yang sulung sudah tingkatan 3.
Kalau anak-anak tertinggal duit ke, bekal ke, jangan susahkan cikgu, atau mesej cikgu untuk pinjamkan dulu duit atau minta cikgu belikan makanan ke itu ini, melainkan memang kes-kes kecemasan macam anak ada gastrik ke dan seumpama.
Yang pertama, kita kena hormat cikgu sebagai guru yang mendidik anak-anak kita. Hormat kerjaya mereka dan hormat masa mereka. Mereka bukan pekerja kita atau khadam kita.
Mereka pun ada banyak tugas; mendidik, mengajar, tugasan pejabat dan macam-macam lagi. Bayangkan kalau ada 10 ibu bapa yang mesej cikgu suruh cikgu buat itu ini untuk anak-anak mereka.
Kedua, ajar anak-anak kita untuk perbaiki kesilapan dan uruskan diri sendiri.
Kalau mereka tertinggal duit atau bekal, ajar mereka akibatnya mereka akan berlapar, esok jangan tinggal lagi.
Kalau tertinggal buku atau tak buat kerja rumah, kena tanggung sendiri kalau cikgu denda, lain kali jangan buat lagi.
Kalau hilangkan barang kawan, bagi mereka tugas sapu sampah ke kemas rumah ke misalnya dan upah untuk gantikan balik, belajar untuk bertanggungjawab. Jangan ‘simply’ bagi duit yang buat mereka ambil mudah dan lepas tangan.
Kalau bergaduh kena rotan, biar mereka rasa sakit sebagai pengajaran.
Jangan sentiasa bersikap memenangkan anak kita. “Aku kenal anak aku!”, “Anak aku baik la kat rumah, aku tau siapa dia!”. Itu bukan sikap yang bagus. Itu narsisistik dan akan membentuk anak kita menjadi sedemikian rupa juga.
Jangan terlalu manjakan anak-anak dengan kesempurnaan. Ajar anak-anak untuk berdikari. Masalah hanya menjadi masalah kalau kita tak pandai selesaikan masalah. Suatu hari nanti kita semua akan buat silap, akan tersadung jatuh.
Itu lumrah kehidupan. Belajar untuk bangkit 1001 kali dan selesaikan masalah sendiri. Ibu bapa bukan penyelesai masalah, tapi sekadar pembimbing dan penunjuk jalan untuk terus melangkah.
.
Anak-anak yang berjaya di masa depan adalah anak-anak yang mampu untuk membina diri mereka sendiri hasil kekuatan yang terbina daripada pengalaman jatuh bangun dan salah silap.
Ketika mereka kecil, kita sangka kita mampu untuk memilih atau buat segalanya untuk mereka, tapi apabila mereka semakin meningkat remaja dan dewasa, akhirnya mereka akan ada pilihan mereka sendiri dan pikul tanggungjawab sendiri.
Ketika itu, kita nak mereka tahu untuk buat pilihan yang sewajarnya dan bersedia menghadapi implikasi tindakan mereka…Sebab kita takkan selamanya berada di sisi mereka.
Sumber: FB Dr. Kamilin Jamilin
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Guru ibarat ibu bapa kedua kita yang berusaha mendidik dan menjaga kita agar menjadi insan yang berguna. Dalam diam, banyak pengorbanan yang telah mereka lakukan demi menjadikan setiap anak muridnya berjaya.
Oleh yang demikian, pengorbanan dan jasa mereka tidak harus kita lupakan kerana ilmu yang dicurahkan itulah yang menjadikan kita dapat berdiri di kaki sendiri sekarang.
Pemergian pasangan guru yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Kilometer 274, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kemaman mengundang rasa sayu orang ramai.
Menurut laporan Harian Metro, Arbain Baharudin, 47, dan isterinya Rosmayati Bakar, 48 meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga anak mereka yang cedera dirawat di Hospital Kemaman.
Menerusi laman Facebook, beberapa kenalan terutama individu yang pernah menjadi anak didik pasangan tersebut memuat naik posting meluahkan rasa sedih atas pemergian kedua-dua mangsa.
Rata-rata mengucapkan takziah dan menitipkan al-Fatihah selain mengimbau semula kenangan sewaktu hayat suami isteri berkenaan.
Sebak.. hilang kata-kata
Kami bersaksi, mereka guru-guru yang baik
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila MPV Toyota Estima dipandu Arbain terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya lalu terbalik.
Difahamkan, pasangan guru yang bertugas di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang itu tercampak lima hingga 10 meter dari kenderaan mereka dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Kubur Zara Qairina akan digali semula ikut peruntukan undang-undang. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan proses menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dalam masa terdekat bagi tujuan bedah siasat. Tindakan ini dibuat mengikut peruntukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
Kubur Zara Qairina Akan Digali Semula Ikut Peruntukan Undang-undang
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, memaklumkan langkah tersebut diambil selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti serta menilai laporan siasatan kes berkenaan. Penilaian itu mendapati prosedur ini penting untuk mendapatkan maklumat serta bukti tambahan bagi melengkapkan siasatan.
“Aturan bagi proses menggali semula kubur dan bedah siasat jenazah akan dilakukan segera berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
“Prosedur ini adalah langkah penting untuk memastikan semua bukti dapat dikumpulkan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan, PDRM kekal komited menegakkan keadilan dan menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang, berpandukan fakta serta keterangan yang dikumpulkan.
“Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada AGC dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Sebelum ini, AGC turut mengesahkan keperluan menggali semula kubur remaja berusia 13 tahun itu bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. Keputusan tersebut dibuat selepas laporan siasatan awal PDRM dikaji sepenuhnya oleh jabatan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, keluarga mangsa membuat laporan polis tambahan pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang, termasuk permohonan agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan inkues diadakan. Ia berikutan tiada bedah siasat dilakukan selepas beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, kata peguam keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri.
Pada 6 Ogos lalu, AGC mengembalikan laporan siasatan awal kepada polis bagi melengkapkan siasatan kes kematian pelajar itu.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai sebelum meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).