Siapa pernah goreng ikan keli? Kalau pernah mesti ada pengalaan ‘berperang’ dengan ikan di kuali yang meletup-letup minyaknya. Silap-silap boleh terkena pada kulit dan mengundang sakit dan berparut pula.

 

Atas sebab ini, biasanya tudung periuk akan dijadikan perisai bagi menyelamatkan diri daripada terkena percikan minyak panas. Begitu sukar nampaknya usaha seorang ibu dalam menyediakan hidangan ini untuk keluarganya yang tercinta.


 

Sebenarnya ada cara lebih mudah dan selamat boleh dilakukan oleh anda bagi memastikan ikan keli di kuali tidak meletup lagi. Ayuh semak beberapa petua ini yang boleh dicuba.

 1. Tepung gandum 

Sama ada lumurkan tepung gandum bersama dengan garam dan kunyit sebelum digoreng atau taburkan tepung gandum ke dalam kuali ketika menggoreng ikan. Kedua-dua cara ini berkesan untuk menghentikan ‘letupan’ ikan keli yang digoreng.

IKLAN

Selain daripada itu, dikatakan mencuci ikan dengan tepung gandum juga dapat menghilangkan rasa hanyir dan memberi rasa isi ikan yang lebih enak ketika dimakan.

 2. Asam keping 

Penggunaan asam keping juga dikatakan mampu menghentikan kesan ikan keli yang digoreng daripada meletup. Caranya semasa ikan digoreng, masukkan dua atau tiga keping asam ke dalam kuali.

IKLAN

Kemudian tutup dengan tudung periuk dan biarkan sehingga masak. Kaedah ini bukan sahaja selamat malah ikan yang dimasak lebih garing dan enak rasanya.

 3. Garam kasar 

Orang tua-tua ada juga berpesan untuk gunakan garam kasar untuk tujuan ini. Caranya cukup mudah, hanya masukkan beberapa biji garam kasar ke dalam minyak yang panas sebelum menggoreng ikan. Elok juga untuk dicuba mungkin helah ini berjaya mengatasi kesukaran saat menggoreng ikan keli.