Himpunan solidariti buat Zara Qairina dapat sokongan padu, bergema laungan tuntut keadilan. Ribuan orang membanjiri kawasan himpunan di Sandakan pada malam Jumaat bagi menunjukkan solidariti terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Himpunan Solidariti Buat Zara Qairina Dapat Sokongan Padu, Bergema Laungan Tuntut Keadilan
Acara yang dijadualkan bermula sekitar jam 7 malam dan berakhir pada 9 malam itu pada awalnya berlangsung dengan teratur. Namun, suasana menjadi semakin sesak apabila jumlah kehadiran terus meningkat apabila ramai hadir untuk menyatakan sokongan dan solidariti terhadap pelajar Tingkatan Satu berkenaan.
SEPANJANG HIMPUNAN, PESERTA DILIHAT MELAUNGKAN SLOGAN MENUNTUT KEADILAN DAN MENGGESA PIHAK BERKUASA MENGAMBIL LANGKAH TEGAS TERHADAP INDIVIDU YANG DIDAKWA TERLIBAT DALAM INSIDEN BULI SEHINGGA MERAGUT NYAWA ALLAHYARHAM.
Selain di Sandakan, perhimpunan serupa turut diadakan secara serentak di beberapa lokasi lain seperti di Lahad Datu dan Tawau, dengan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Ads
Pihak penganjur menegaskan bahawa himpunan ini diadakan secara aman sambil menyeru masyarakat untuk terus bersatu menyuarakan keadilan buat adik Zara Qairina.
Juruterbang wanita rugi hampir RM200K, terpedaya pakej haji palsu. Seorang juruterbang wanita dilaporkan mengalami kerugian melebihi RM190,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan membabitkan tawaran palsu pakej haji oleh individu tidak dikenali.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an telah berhubung dengan seorang individu daripada sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji sekitar 14 Januari lalu.
“Mangsa berminat dengan tawaran itu dan telah melakukan beberapa kali transaksi pindahan wang berjumlah RM194,970 ke akaun bank syarikat tersebut sebagai bayaran penuh untuk pakej berkenaan,” katanya ketika dihubungi media.
Bagaimanapun, ujar beliau, pada 15 Mac, wanita berkenaan mula menyedari dirinya ditipu selepas mendapati syarikat pelancongan terbabit telah menghentikan operasi.
“Mangsa turut gagal menunaikan ibadah haji seperti yang dijanjikan dalam pakej tersebut. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” jelas Abdul Malik.
Tambah beliau, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan serta menangkap suspek.
“Polis menasihatkan orang awam agar berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej menunaikan haji atau umrah yang tidak berlesen.
“Lakukan semakan terlebih dahulu dengan pihak Tabung Haji dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.
Nak berjaya dalam pelajaran? Ini nasihat Tun Dr Mahathir buat anak muda. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menitipkan nasihat bermakna buat generasi muda yang ingin cemerlang dalam akademik dan kehidupan, jangan cepat putus asa jika tercicir dalam pelajaran. Sebaliknya, terus berusaha dan ulang kaji pelajaran berkali-kali.
Dalam episod khas Podcast Dr M sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-100, beliau berkongsi pengalaman sewaktu menuntut ilmu, termasuk kisah ketika bergelar pelajar perubatan. Menurutnya, walaupun pernah ketinggalan dalam pelajaran berbanding rakan sekelas yang lain, beliau tetap gigih mengejar dan memperbaiki diri.
Tambah Dr Mahathir, proses membaca berulang kali menjadikan pemahaman terhadap pelajaran lebih mendalam dan mudah diingati, terutama ketika menjawab soalan dalam peperiksaan.
Beliau juga percaya, apa jua kemahiran boleh dikuasai jika dilakukan secara berterusan. Perkara ini turut dibandingkan dengan situasi mengenali seseorang, kita tidak hafal wajah mereka, tetapi kerana sering bertemu, wajah itu melekat dalam ingatan.
“Macam kita kerap jumpa kawan. Kita kenal muka dia bukan sebab kita hafal, tapi sebab selalu tengok. Ilmu pun macam tu. Kita akan nampak bila selalu baca,” jelas beliau.
Dr Mahathir turut berkongsi bahawa minat terhadap membaca menjadikannya lebih gemar meneroka pelbagai jenis bahan bacaan, termasuk di luar skop pelajaran.
“Kalau ada buku lain yang saya rasa menarik, saya baca juga. Lagi banyak kita baca, lagi banyak yang kita tahu,” katanya.
Menurutnya lagi, ulang kaji bukanlah sesuatu yang boleh dibuat sekali lalu. Ia memerlukan usaha yang konsisten. Sama seperti hubungan sosial, seseorang hanya akan diingati bila kerap bertemu.
“Kalau kita hanya jumpa orang tu sekali, mungkin kita tak ingat pun. Tapi kalau kita jumpa dia hari-hari, sampai bunyi batuk dia pun kita kenal,” ujarnya sambil tersenyum.
Dalam perbandingan lain, beliau menyentuh hobinya mengukir kayu. Katanya, hasil ukiran pada awalnya mungkin tidak cantik, namun selepas latihan yang berterusan, hasilnya akan semakin baik.
Kesimpulannya, kejayaan dalam pelajaran bukan semata-mata bergantung pada kebolehan semula jadi, tetapi datang daripada kesungguhan untuk belajar dan mengulang pelajaran. Nasihat Dr Mahathir ini membuktikan bahawa disiplin dan usaha yang konsisten adalah kunci utama untuk mencapai kecemerlangan.
Naluri ibu mangsa dikelar suami – “Sudah sebulan makcik dapat rasakan Ecah akan pergi.” Itu luahan Fatimah Seman, 63, ibu kepada ‘Ecah’ atau Iecah Junus, 34, yang maut selepas dikelar suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, Isnin lalu.
Menurut maklumat awal, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika mangsa pulang dari tempat kerja. Berlaku pertengkaran antara pasangan itu sebelum suaminya bertindak ganas sehingga menyebabkan kematian isteri. Mayat mangsa kemudiannya disorok di dalam rumah dan ditutup dengan selimut.
Suspek yang berusia 33 tahun kemudiannya bertindak lebih jauh apabila pada pagi Selasa, dia dipercayai cuba membakar rumah ibu mentuanya yang terletak di Kampung Pengkalan Kota Durian Chondong, kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian pertama.
Mujur tindakan itu dapat dihentikan oleh ahli keluarga yang sempat tersedar ketika cubaan membakar dilakukan. Beberapa kenderaan termasuk sebuah kereta dan motosikal telah dibakar, namun api berjaya dipadam sebelum merebak ke rumah.
Fatimah meluahkan bahawa beliau telah lama mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku kepada anaknya. Malah, dalam tempoh sebulan sebelum kejadian, beliau ada menyuarakan kerisauan tersebut kepada suaminya.
Fatimah Seman, 63, ibu kepada ‘Ecah’ atau Lecah Junus, 34, yang maut selepas dikelar suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, di sini, Isnin lalu.
Fatimah turut mendedahkan bahawa menantunya sering melarang arwah anaknya daripada berjumpa ahli keluarga dan sanak saudara.
“Dia memang tak benarkan arwah jumpa kami. Tapi anak saya tetap berusaha untuk berjumpa. Kali terakhir saya jumpa dia adalah sehari sebelum kejadian, waktu dia datang hantar beras dari Thailand,” katanya.
Tambahnya lagi, malam sebelum kejadian cubaan membakar rumah, beliau sempat memberitahu suami bahawa hatinya berasa tidak sedap, seolah-olah menantunya akan datang ‘menghantar sesuatu’. Ternyata firasat itu menjadi kenyataan apabila suspek muncul untuk membakar rumah mereka.
Rakan baik arwah, yang dikenali sebagai Qilah, turut berkongsi kesedihan atas kehilangan sahabat sejak zaman persekolahan mereka di SMK Tun Sri Lanang, Felda Sri Jaya Bukit Serampang.
Menurut Qilah, mangsa adalah seorang yang pemurah dan suka membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan, termasuk orang asing di jalanan. Qilah mendedahkan bahawa mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun 2023 dan pernah mengalami kehilangan anak sulung pada Februari tahun lalu akibat kelahiran pramatang.
“Saya masih terkejut. Arwah nampak gembira dan tenang semasa kenduri keluarga sebelum Ramadan. Saya tak sangka itu kali terakhir saya melihatnya,” ujarnya sebak.
Media melaporkan suspek berjaya ditahan pihak polis sebaik pulang ke rumahnya di Bukit Gambir pada pagi Selasa. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib mengesahkan tangkapan tersebut, dan suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 Jun bagi membantu siasatan lanjut.
Tragedi ini bukan sahaja meninggalkan luka yang dalam kepada keluarga mangsa, tetapi turut mengejutkan komuniti setempat yang mengenali arwah sebagai seorang wanita penyayang dan baik hati.
Isu bawa anak naik stroller di tempat sesak mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila ada yang mengecam tindakan ibu bapa, namun ramai tampil mempertahankan mereka.