Kanak-kanak dilarang sertai musim haji 2025. Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan peraturan baru bagi musim haji 2025 dengan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk menyertai jemaah haji ke tanah suci, lapor Azernews.
Kanak-kanak Dilarang Sertai Musim Haji 2025
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, bahawa langkah ini bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko berbahaya akibat kesesakan yang luar biasa setiap tahun semasa musim haji.
“Kami mengambil langkah ini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta mengurangkan sebarang bahaya yang mungkin berlaku semasa perjalanan haji,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan rasmi baru-baru ini.
Sebagai tambahan kepada langkah ini, kementerian itu juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jemaah haji.
Ini termasuk kempen kesedaran mengenai keselamatan mandiri, pengenalan sistem pintar yang direka untuk membimbing dan mengawal pergerakan jemaah haji ke kawasan ibadah dan pemodenan khemah serta laluan untuk meningkatkan keselesaan bagi memudahkan pelaksanaan ibadah haji.
Selain itu, kementerian turut mengumumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada jemaah yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama pada tahun 2025 ini.
Ads
Sebelum ini, Arab Saudi juga telah mengumumkan perubahan penting kepada dasar visa haji. Bermula 1 Februari, jemaah dari 14 negara hanya akan layak untuk mendapatkan visa masuk tunggal. Perubahan ini bertujuan untuk mengurangkan amalan menunaikan Haji tanpa kebenaran yang sah.
Seniwati Fauziah Ahmad Daud berkongsi berita duka tentang pemergian adik lelakinya, Fazal Ahmad Daud, yang meninggal dunia akibat komplikasi batu karang dalam hempedu.
Menurut Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taiping, Perak, sekitar jam 7 pagi tadi.
Tambahnya lagi, arwah telah lama menderita penyakit tersebut namun memilih untuk menyimpannya sebagai rahsia daripada pengetahuan adik-beradik lain.
“Allahyarham sudah menjalani pembedahan tetapi keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Saya kehilangan adik lelaki saya hari ini. Saya memohon ampun maaf bagi pihak arwah Fazal Ahmad Daud, jika ada salah silap selama di atas muka bumi Allah.
“Jika ada hutang piutang boleh hubungi kami. Kepada sesiapa nak ziarah boleh ke rumah kami. Insya-Allah kami akan uruskan pengebumian arwah adik hari ini,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediaman Fauziah di Taman Melawati sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Melawati, Hulu Kelang.
Fauziah, yang juga seorang aktres dan guru lakonan berusia 62 tahun, turut memohon agar orang ramai mendoakan segala kebaikan untuk Allahyarham.
“Sebagai kakak saya mohon ampun dan maaf. Dia anak, adik, abang, suami dan ayah yang baik.”
“Fazal, Kak Ogy sayang sangat kepada Fazal, Fazal berehat ya di negeri abadi. Jangan risaukan kami. Kak Ogy akan sentiasa merindui Fazal tau.
Allahyarham Fazal merupakan pelakon kanak-kanak dan pernah membintangi filem Hati Batu di sisi Ogy.
Sekadar info, selain Fazal, Ogy memiliki seorang lagi adik yang juga pelakon Fazlina, 49.
Mereka adalah anak kepada seniman Datuk Ahmad Daud dan primadona filem Melayu, seniwati Datin Saadiah.
Guru wanita menjerit, ibu terkejut tengok menantu k*lar leher guna pisau dapur. Tindakan pantas seorang ibu berjaya menyelamatkan anak perempuannya daripada cubaan dibunuh oleh menantu sendiri. Si ibu sekali gus berjaya mengelakkan tragedi berdarah di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, insiden berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila ibu mangsa terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum naik untuk memeriksa keadaan.
“Setibanya di bilik, wanita itu terkejut melihat menantunya yang juga seorang guru sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya menggunakan pisau dapur.
“Bagaimanapun, ibu mangsa sempat bertindak pantas menarik anaknya keluar dari bilik dan menyelamatkannya daripada terus diserang,” katanya
Selepas gagal membunuh isterinya, suspek bertindak mengelar leher dan pergelangan tangannya sendiri menggunakan senjata sama. Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher namun berada dalam keadaan stabil, manakala suspek cedera parah dan kini dirawat di zon merah sebuah hospital, namun masih sedar.
Katanya, maklumat daripada saksi mendapati pasangan itu tidak mempunyai masalah kesihatan, perselisihan faham, masalah kewangan sebelum ini atau hubungan pihak ketiga.
“Semalam, mereka masih baik, kejadian mungkin berlaku semasa bangun tidur dan ada sedikit pergelutan tapi kita masih lagi dalam siasatan.
“Pasangan ini tinggal bersama keluarga isteri dan tidak mempunyai rekod pergaduhan dan kedua-duanya mendapat pendidikan Bahasa Mandarin Second Language di sebuah universiti di Beijing di China.
“Saya nampak ramai orang depan rumah dan sangka mereka (keluarga itu) buat kenduri.
“Namun kami hanya tahu ada kejadian apabila nampak deretan kereta polis di depan rumah,” kata jiran yang enggan dikenali.
Menurut jiran berkenaan, dia sudah lama tidak melihat pasangan guru itu membawa anak mereka berjalan-jalan di hadapan rumah.
Katanya, penduduk melihat mereka sebagai pasangan yang bahagia dan terpelajar dalam kalangan penduduk di kejiranan berikutan penyambung pengajian di sebuah universiti di Beijing, China.
“Mereka selalu berjalan kaki di waktu petang sambil bawa anak namun sejak kebelakangan ini sudah tak nampak.
“Keluarga itu sangat baik dan selalu buat makan-makan (kenduri) serta jemput jiran, jadi kami sangka hari ini mereka buat jamuan.
“Sehinggalah saya nampak banyak kereta polis, barulah tahu ada sesuatu berlaku di rumah itu,” katanya.
Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri berusia 30 dan 28 tahun itu, masing-masing bekerja sebagai guru, telah berkahwin selama enam tahun dan mempunyai seorang anak.
“Hasil keterangan saksi mendapati pasangan ini hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang masalah kewangan, kemurungan atau konflik rumah tangga. Malah, komunikasi mereka malam sebelumnya juga dalam keadaan baik tanpa sebarang petanda luar biasa.
“Pasangan itu tinggal bersama keluarga isteri. Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian,” katanya.
Yuran tadika, taska naik hingga 25 peratus tahun depan, ibu ayah rancanglah bajet dengan bijak. Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan.
Kenaikan itu adalah susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.
PERSATUAN TADIKA ISLAM MALAYSIA (PERTIM) DAN PERSATUAN PENDIDIK INSTITUSI PENDIDIKAN NEGERI JOHOR, YANG MENAUNGI PENGUSAHA TADIKA, SELAIN PERSATUAN PENGASUHAN DAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK BERDAFTAR MALAYSIA YANG MENAUNGI PENGUSAHA TASKA MENGESAHKAN KENAIKAN YURAN PERKHIDMATAN DITAWARKAN KIRA-KIRA 4,500 AHLI MEREKA SUSULAN KENAIKAN KOS OPERASI.
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang, berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi bukan saja membabitkan gaji pekerja terutama guru, malah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan dan bahan bantu mengajar, selain kadar sewa serta bil utiliti.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya kepada BH.
PADA PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2025 JUMAAT LALU, KERAJAAN BERSETUJU MENAIKKAN KADAR GAJI MINIMUM KEPADA RM1,700 SEBULAN DARIPADA RM1,500 KINI BERKUAT KUASA 1 FEBRUARI TAHUN DEPAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Zaharah berkata, kenaikan bahan mentah untuk makanan murid jagaan ahlinya naik lebih 60 peratus sejak tahun lalu, menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.
Katanya, kenaikan yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.
“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Naib Bendahari Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norazlina Adom, berkata yuran baharu taska seluruh negara akan naik antara 13 hingga 20 peratus mulai tahun depan, susulan pengumuman gaji minimum baharu.
Katanya, kira-kira 3,000 taska di seluruh negara termasuk 250 di Johor akan mengenakan yuran baharu itu mulai Januari depan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Negeri Johor berkata, pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan itu sangat dialu-alukan susulan bebanan kerja kakitangan taska yang berat dalam memastikan keselamatan bayi serta kanak-kanak jagaan mereka sentiasa terjaga sepanjang masa.
“Sehubungan itu, saya memohon kerajaan menyediakan sama ada geran gaji kepada pengusaha taska swasta atau pun insentif kepada ibu bapa yang menghantar anak kepada taska berdaftar, kerana kenaikan yuran yang membebankan mereka ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.
“Ia bagi mengelak ibu bapa memilih taska tidak berdaftar, sekali gus merisikokan keselamatan anak mereka kerana ketiadaan latihan dan kemahiran kakitangan taska kategori ini seperti diwajibkan ke atas taska berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah dijangka susulan pengumuman gaji minimum baharu mulai Februari depan.
Katanya, peningkatan kos operasi perkhidmatan dan barangan sudah pasti dipindahkan kepada pengguna yang akan merasai bebanan peningkatan kos sara hidup.
“FOMCA berpandangan kerajaan perlu melakukan intervensi bagi menetapkan harga siling perkhidmatan dan barangan tertentu supaya pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga yang keterlaluan dan tidak wajar.
“Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna pasti mencari alternatif perkhidmatan lebih murah dan dalam isu kenaikan yuran tadika dan taska, kerajaan disaran memperluas dan memperbanyakkan penawaran pra-sekolah selain taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di seluruh negara, supaya keluarga tidak mampu menggunakan perkhidmatan tadika dan TASKA mempunyai alternatif lain untuk anak mereka,” katanya.
Bella Astillah dan Syed Saddiq berkongsi detik bermakna apabila menerima nasihat rumah tangga Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah menjelang alam perkahwinan mereka.