
Hati seorang ibu mana yang tidak sebak apabila mendengar anak-anak dipuji bukan sahaja kerana cemerlang dalam pelajaran, malah turut memiliki sahsiah diri yang baik.
Begitulah perasaan yang dilalui Nurul Shuhada Mat Shukri apabila dua cahaya matanya, Humairah dan Umar, menunjukkan pencapaian membanggakan ketika sesi perjumpaan ibu bapa dan guru baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi itu meluahkan rasa syukur apabila dimaklumkan bahawa kedua-dua anaknya mencapai keputusan yang sangat cemerlang dalam pelajaran.

Humairah dan Umar Cemerlang Dalam Pelajaran
Lebih membuatkan hatinya tersentuh, para guru turut memberikan maklum balas positif mengenai keperibadian Humairah dan Umar yang disifatkan mempunyai budi bahasa serta ilmu yang baik.
“Hari ini saya ke perjumpaan ibu bapa dan guru dan kedua-dua guru memberitahu Umar dan Humairah mencapai keputusan yang sangat cemerlang.
“Mereka memberitahu saya bahawa saya telah menjalankan tugas yang sangat baik dalam membesarkan mereka, malah mereka mempunyai budi bahasa dan ilmu yang sangat baik,” kongsinya.
Pengorbanan Shuhada Sebagai Ibu Membuahkan Hasil
Malah, Shuhada mengakui dirinya kini mampu menarik nafas lega dan memberi penghargaan kepada diri sendiri atas tanggungjawab yang telah digalas selama ini.
“Akhirnya saya boleh menepuk bahu sendiri dan berkata dengan bangga, ‘syabas Shu’,” luahnya.
Perkongsian itu turut menyentuh hati ramai, khususnya golongan ibu yang memahami betapa besarnya tanggungjawab membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, disiplin dan perhatian.
Kejayaan Humairah dan Umar bukan sekadar menjadi kebanggaan buat Shuhada, malah menjadi bukti bahawa status ibu tunggal bukan penghalang untuk mendidik anak-anak menjadi insan berjaya.

Ramai pengikut di media sosial turut meninggalkan komen positif dan ucapan tahniah kepada Shuhada. Mereka menyifatkan kejayaan anak-anak tersebut sebagai hasil didikan yang konsisten serta pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Untuk rekod, Hafidz Roshdi dan Shuhada pernah mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 di Perlis, namun sah bercerai pada 24 Februari 2023 selepas tujuh tahun hidup bersama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.
Sementara itu, Hafidz mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan wanita pilihannya, Athira Yuhada pada Disember 2023 dan kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Tahniah buat Shuhada. Semoga Humairah dan Umar terus membesar sebagai anak yang berilmu, berbudi bahasa dan menjadi kebanggaan keluarga. Semoga mereka terus mencapai kejayaan dalam pelajaran serta kehidupan pada masa hadapan.
BACA LAGI : Mahu Capai Impian Bersama Anak-Anak, Nurul Shuhada Kini Menetap Di Australia!
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




