
Ibu Allahyarham Syamsul Haris, pelatih PALAPES UTM tuntut gali semula kubur anak demi kebenaran. Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, menggesa agar kubur anaknya dibuka semula untuk menjalankan bedah siasat kali kedua.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata tuntutan itu dibuat kerana beliau ragu dengan maklumat yang diterima bahawa punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan.
Beliau mendakwa, anaknya mungkin telah dipukul, dibelasah dan didera sehingga meninggal dunia semasa menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor, pada 28 Julai lalu.
“Laporan awal bedah siasat pada 29 Julai lalu di Hospital Sultan Ismail hanya menyatakan keputusan ‘pending laboratory investigation’ yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
“Saya tidak puas hati dengan hasil laporan itu kerana sewaktu melihat jenazah di unit forensik terdapat kesan kecederaan di bawah mata, pendarahan luar biasa dari hidung dan mata, luka di mulut dan kesan lebam teruk di leher yang ditutup kapas tebal, malah ketika jenazah dimandi dan dikafan, darah masih keluar,” katanya.
Ummu Haiman turut memaklumkan bahawa beliau sudah melantik peguam dan menghubungi Menteri Pengajian Tinggi berhubung perkara ini. Katanya, beliau dimaklumkan sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyiasat kes tersebut, namun sehingga kini masih belum ada perkembangan hasil siasatan.
Menurutnya lagi, Allahyarham yang merupakan pelajar jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) di UTM Skudai menjadi satu-satunya harapan keluarga selepas pemergian bapanya pada Disember lalu.
“Saya hilang dua insan kesayangan tidak sampai setahun, walaupun anak saya tidak akan kembali, saya mahu kebenaran ditegakkan supaya kes seperti ini tidak berulang kepada anak orang lain,” tambahnya.
Sebelum ini, Ummu Haiman pernah menuntut siasatan segera dijalankan bagi merungkai punca sebenar kematian anaknya ketika mengikuti latihan Palapes UTM di Pulada, Ulu Tiram, Johor, kerana sebab kematian masih belum jelas.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Ibu Tunggal Desak Siasat Kematian Anak, Disyaki Dipukul Hingga Maut Selepas Jalani Latihan Palapes
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my