Sesungguhnya anak dyslexia amat istimewa.Mereka hakikatnya adalah seorang anak pandai.
Biarpun perkongsian agak lama, namun info yang disampaikan di laman facebook Dr Rozanizam Zakaria amat berguna. Ikuti perkongsiannya.
NAMA SAYA AINA, SAYA BUKAN BUDAK TAK PANDAI..SAYA CUMA ADA DYSLEXIA: 7 perkara tentang dyslexia.
Nama saya Aina, saya lapan tahun. Dulu saya minat sekolah, saya suka cikgu ajar melukis, buat aktiviti di padang dan belajar mengira. Tapi saya tak pandai membaca. Semua orang boleh baca dengan laju, tapi saya selalu susah nak baca. Kawan-kawan selalu gelakkan saya. Cikgu selalu tegur sebab saya tulis terbalik. Saya rasa saya tulis betul, tapi asyik dapat pangkah.
Saya tak boleh beri tumpuan sebab banyak sangat yang cikgu tulis di papan hitam saya tak dapat ikut. Saya tak sempat salin, jadi saya tak tahu apa kerja sekolah. Ada budak kata saya bodoh, sebab tu saya duduk kelas belakang. Bila kena baca di depan kelas, saya jadi takut. Saya rasa nak muntah, nak pitam atau mungkin rasa nak pengsan. Saya tak tahu apa yang saya rasa.
Ads
Saya takut dan tak mahu pergi sekolah. Saya menangis dalam bilik dan tutup pintu. Mula-mula mak pujuk, lepas tu mak marah. Ayah pun paksa tapi saya tak mahu pergi sebab saya takut. Cikgu datang sekolah pujuk, tapi saya takut dan saya malu. Kawan-kawan mesti kata saya budak malas sekolah.
Sebulan lepas tu, mak bawa saya jumpa doktor. Doktor buat ujian IQ, dia minta saya main puzzle, lukis-lukis, tiru bentuk dan jawab soalan. Doktor beritahu mak IQ saya ‘normal’. Doktor suruh saya tulis dan baca. Masa tu baru saya tahu, saya ada DYSLEXIA. Baru saya tahu, saya bukan budak tak pandai….saya cuma ada DYSLEXIA
1. Dyslexia bukan bermakna anak tersebut tidak pandai, malas, payah diajar atau lembab. Kanak-kanak dyslexia mengalami masalah berkaitan keupayaan membaca, mengenal huruf, mengeja, menyebut suku kata, mengingat semula perkataan yang rumit dan mengingati memahami susunan ayat atau kata.
2.Ia disebabkan gangguan pada saraf otak yang secara khusus berfungsi dalam penguasaan kemahiran tersebut. Berbeza dengan kanak-kanak yang mengalami intellectual disability, kanak-kanak dyslexia biasanya mempunyai IQ yang normal, bahkan mempunyai kecenderungan dan bakat semulajadi yang istimewa dalam bidang lain seperti seni, kemahiran dan sebagainya. 10% kanak-kanak sekolah mempunyai gejala dyslexia.
3. Bukan semua kanak-kanak dyslexia mempunyai gejala yang sama. Antara gejala awal yang biasa dikesan adalah menulis huruf terbalik, tertukar suku kata, tertinggal huruf, tertinggal perkataan, tidak minat dalam tugasan memerlukan membaca dan menulis, sukar mengenal waktu dan tertukar maksud perkataan.
Ads
4. Pengesanan awal penting bagi membolehkan penilaian dibuat dan penyesuaian dibuat terhadap kaedah mengajar dan belajar bagi kanak-kanak ini.
5. Bagi yang mengalami kesukaran mengikuti pembelajaran arus perdana, mereka perlu dirujuk ke kelas khas dysleksia yang termasuk dalam program pendidikan khas integrasi yang disediakan kementerian.
6. Mengajar kanak-kanak dyslexia memerlukan kreativiti. Mereka mudah hilang fokus. Maka pengajaran perlu menggunakan pendekatan pelbagai pendekatan – seni, aktiviti, warna, bentuk, games, puzzle dan sebagainya.
7. Dyslexia tidak sepatutnya menghalang mereka berjaya seperti kanak-kanak lain. Dengan pengajaran yang bersesuaian, apabila mereka dapat menguasai konsep asas membaca dan menulis, mereka biasanya boleh mengikuti proses pembelajaran seperti kanak-kanak lain.
#psychoinfodrrz
#drnizamstips
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Ibu kanak-kanak dua beradik termakan keropok ada racun tikus rayu doakan anak kembali sembuh. Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun berada dalam keadaan kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi Labu Besar, Kulim, Kedah.
Ibu Kanak-kanak Dua Beradik Termakan Keropok Ada Racun Tikus Rayu Doakan Anak Kembali Sembuh
Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun tujuan bagi perangkap monyet.
“Saya rayu orang ramai titipkan doa buat dua beradik ini semoga segera sembuh dan pulih seperti sedia kala.
“Terima kasih dan semoga ada doa dalam kalangan kalian yang dikabulkan Allah SWT.”
Begitu rayuan Nurain Hasnorizal, 25, mengenai perkembangan dua anaknya yang kini kritikal dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat termakan keropok yang mengandungi racun tikus.
Dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah itu, Muhammad Luth Syauqi Abdul Rahman dan Muhammad Akil Syauqi masing-masing berusia dua dan tiga tahun masih tidak sedarkan diri dan di bawah pemantauan doktor.
Katanya, doktor tidak dapat beri harapan terhadap pemulihan anak sulungnya tetapi mereka akan cuba yang terbaik.
“Doktor mengatakan pada masa ini, mereka tidak dapat lakukan rawatan pada buah pinggang Muhammad Akil Syauqi berikutan keadaannya yang tidak stabil.
“Tekanan darahnya juga rendah dan jika rawatan dibuat, keadaan buah pinggangnya bertambah ‘teruk’,’ katanya.
Mengenai perkembangan Muhammad Luth Syauqi pula, Nurain berkata, anak keduanya itu masih dalam keadaan koma.
“Dia sudah menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) hari ini dan masih koma.
“Pada masa ini fikiran saya masih buntu, namun saya mohon supaya orang ramai supaya mendoakan kesembuhan kedua-duanya,” katanya yang juga operator kilang.
Nurain berkata, ketika kejadian dia menyedari anaknya masuk ke dalam rumah dan tidak lama kemudian, anak bongsunya diserang sawan.
Katanya, dia turut memeriksa keadaan anak sulungnya yang dalam keadaan serupa selain mulut berbuih.
“Saya lihat ada plastik makanan ringan dan yakin mereka sudah termakan keropok dicampur racun tikus itu yang sering digunakan penduduk berhampiran bagi memerangkap monyet.
“Berikutan keadaan kritikal, mereka dipindahkan dari Hospital Kulim (HK) ke HPP,” katanya.
Turut kelihatan di perkarangan HPP adalah sanak saudara mangsa yang menemani Nuraini.
Jika difikir-fikirkan, pokok apakah yang biasanya jadi pilihan sebuah keluarga untuk di tanam di laman rumah. Ya, lain tidak bukan antara pokok yang menjadi pilihan ramai untuk ditanam adalah seperti pokok pelam, kedondong, jambu air dan sebagainya.
Umumnya, tujuan kita menanam sebatang dua pokok buah-buahan ini dengan tujuan mengharapkan suatu hari nanti hasilnya boleh dimakan bersama-sama anak-anak dan seisi keluarga.
Namun sering kali juga kita berdepan kekecewaan, bila mana pokok yang ditanam bertahun-tahun lamanya namun belum pernah pokok tersebut berbuah. Untuk itu, apa kata kali ini anda sediakan sendiri baja untuk pastikan pokok berbuah lebat yang boleh dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan dari dapur sendiri. Ianya jimat dan selamat!
Hal ini dikongsikan oleh Seri Kundasang di FB dan semoga ianya memberi manfaat.
Tips Cara Buat Baja Organik Cecair Baja Buah. SENANG
Hi gais . SK nak kongsi cara buat baja organik cecair yang sangat mudah. Kita boleh gunakan bahan dari dapur sebagai bahan utama baja cecair yang baik untuk buah ni ya..
Bahan bahannya ialah:
Gula merah (1 kg) (dicairkan dengan 200 mL air)
Kisar (A)
Kulit pisang (700g)
Kulit udang (belum dimasak) (200g)
Kulit telur (100g)
Alat:
1. Bekas besar
2. Botol plastik 1.5 L
Cara-cara:
1. Campurkan segala bahan di dalam bekas dan gaul rata
2. Setelah itu masukkan ke dalam botol 1.5 L.
3. Tutup dengan kain kasar agar tiada serangga masuk. Penggunaan kain agar berlaku proses pengudaraan untuk mikrob bekerja.
4. Peram selama 15 – 20 hari. ( seminggu pun bole guna sudah)
5. Setelah itu, tapis cecair hasil peraman.
Cara Buat Baja Organik Cecair Baja Buah
Penggunaan:
1. Campurkan baja cecair bersama air dengan nisbah 1:20 (baja cecair: air). Contohnya 10 mL baja dengan 200 mL air.
2. Sembur pada daun pokok untuk kesan maksimum. Tidak kisah waktu semburan. Jika hujan selepas itu, boleh lakukan semburan kembali.
Kelebihan baja buah ini kepada tumbuhan:
1. Kulit pisang membekalkan kalium (K) sesuai untuk pembuahan
2. Kulit udang membekalkan unsur surih (TE) sesuai untuk tumbesaran
3. Kulit telur membekalkan kalsium (Ca), fosforus (P) sesuai untuk pertumbuhan batang dan buah pokok.
Namanya tidak pernah tercicir dari senarai 10 pelajar terbaik di sekolah. Usaha gigihnya yang sentiasa mengulang kaji pelajaran dan tidak suka membuang masa antara faktor yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR tahun lepas.
Muhammad Zaki Mahdi bin Chamam, muncul sebagai anak Melayu pertama yang memperoleh 8A di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).
“Zaki merupakan seorang yang sensitif dan boleh dikatakan manja. Selagi kerja rumah atau hasrat dia tidak saya turut selagi itu dia tidak akan berhenti berusaha. Dalam erti kata lain dia seorang yang konsisten dan tahu apa yang dia nak.
Dia juga lebih suka habiskan masa dengan membaca buku cerita pada waktu lapang. Sekiranya kami ke Ampang Point, kedai buku Popular sudah menjadi keutamaan untuk dia singgah. Selain itu, di rumah dia ada jadual belajar sendiri yang memang dia akan ikut sepenuhnya.
“Malah, dia rajin buat peta minda dengan pen warna-warni. Zaki juga gemar membaca buku cerita. Untuk memperbaiki bahasa Mandarin saya bawa dia ke kedai buku Popular dan belikan buku cerita yang dia pilih sendiri. Setiap buku cerita yang dibeli pasti Zaki akan meminta saya balut terlebih dahulu.
“Seminggu 3 kali mereka akan ikuti kelas bimbingan untuk mata pelajaran UPSR. Saya menyediakan mereka dengan pelbagai jenis kamus sebagai bahan rujukan. Saya juga beli kan buku latih tubi sebagai persediaan dan saya akan tetapkan masa seperti peperiksaan sebenar agar mereka terbiasa untuk menyiapkan soalan dalam masa yang ditetapkan. Selain dari itu saya juga menyediakan whiteboard untuk mereka gunakan sebagai alat bantuan agar dapat ajar satu sama lain,”jelas Nurhidayu ibu kepada si kembar Muhammad Aqil Mahdi dan Muhammad Zaki Mahdi ketika ditemu bual oleh Majalah Keluarga baru-baru ini.
Kembar tidak bermakna minat dan pemikiran sama. Namun satu kelebihannya mereka punya hati dan perasaan yang sama. Saling menyayangi dan tidak wujud perasaan iri hati jauh sekali cemburu biarpun salah seorang daripada mereka lebih berjaya.
“Waktu mengambil keputusan UPSR baru-baru ini, saya dari awal sudah tahu keputusan mereka kerana menerima melalui SMS. Sebagai ibu, saya rasa gembira dan terharu sehingga menitis air mata. Cuma saya kena bijak main peranan supaya tidak ada yang terasa hati. Walaupun abang tidak mendapat A dalam Bahasa Mandarin, tetapi dia seolah olah dapat menjangka yang adiknya pasti mendapat keputusan lebih baik dan dia turut rasa bangga atas pencapaian adiknya. Keputusan Zaki mendapat 8A’s juga semuanya atas izin Allah SWT. Saya selalu mengingatkan Aqil dan Zaki, UPSR hanya permulaan, mereka perlu tempuh ujian yang lebih besar lagi selepas ini. Justeru, sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan anak-anak saya akan mendapat keputusan yang cemerlang juga di PT3 dan SPM.
“Bab layanan tidak timbul soal berat sebelah kerana sejak dahulu lagi saya berusaha sedaya upaya untuk memberi layanan sama rata baik abang mahupun adik. Soal gaduh itu perkara biasa nama pun adik- beradik kan. Oleh kerana mereka belajar di SJKC, setiap Sabtu dan Ahad pagi mereka akan belajar agama dan mengaji Al-Quran di Azraq Center. Selepas itu kami akan melakukan aktiviti bersama seperti bermain badminton di Sport Planet, roller blade di Taman Cabaran Putrajaya, berenang di rumah. Aktiviti seperti ini setiap minggu saya akan ganti-ganti agar mereka tidak bosan.
“Pada hujung minggu juga saya akan bawa Aqil Zaki untuk berjumpa atok dan nyang mereka di Kota Warisan Sepang. Bila di rumah atok pasti Tok Wan akan masakan kari ayam lauk kegemaran Aqil Zaki. Di sana mereka juga akan meluangkan masa bermain bersama sepupu,” ujar Nurhidayu Kamaludin sambil memberitahu anaknya gemar makan bijirin dengan susu sebelum pergi sekolah dan setiap hujung minggu dia akan bawa anak-anak ke bakery untuk memilih roti kegemaran mereka sebagai bekal sekolah.
Memegang jawatan sebagai Regional Sales Manager, GeoTeric di salah sebuah syarikat oil & gas services, Nurhidayu bagaimanapun tidak mahu kerjaya menyebabkan masanya dengan anak-anak terbatas. Bahkan, setiap kali menjelang peperiksaan baik dia mahupun suami, Chamam Zulkarnen yang bertugas sebagai Freelance Konsultant Geophysicist sentiasa menadah telinga dan membuka mata untuk anak-anak andai diperlukan.
“Satu yang penting apabila menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan adalah menyediakan pelbagai kamus supaya mereka dapat banyak manfaat daripadanya. Saya dan suami tiada pengetahuan dengan Bahasa Mandarin, jadi kami kena banyak guna kamus untuk membantu mereka. Sebab itu saya belikan pelbagai kamus kerana dapat memahami banyak perkataan baru.
“Dua minggu sebelum UPSR, ibu saya iaitu nenek kepada Aqil dan Zaki yang telah pun bersara merupakan seorang guru bahasa Melayu, turut membantu mereka mengulang kaji dalam subjek bahasa Melayu. Sehari sebelum peperiksaan, saya mengingatkan mereka untuk menelefon nenek dan atok agar mendoakan kejayaan buat mereka.
“Ketika hari peperiksaan UPSR saya memberi mereka motivasi dengan menghantar mereka ke sekolah dan teman mereka ulang kaji di dewan sekolah sehingga lah loceng berbunyi. Saya cuma berpesan, lakukan yang terbaik dan berserah pada Allah. Sekiranya panik ingat pada Allah dan berdoa lah.
“Kami tidak pernah bertanya bagaimana kertas soalan peperiksaan pada hari tersebut sehingga lah semua kertas UPSR telah selesai sepenuhnya. Yang sudah selesai tidak perlu dibicarakan. Fokus pada kertas yang seterusnya,” ujar Nurhidayu lagi sambil memberitahu anak-anaknya juga seperti kanak-kanak lain yang berminat main game dan mereka hanya boleh berbuat demikian pada hujung minggu selepas selesai kerja sekolah dan membasuh kasut.
Ditanya mengenai pemakanan untuk anak-anaknya, akui Nurhidayu selain bijirin dan susu, menu sayur antara yang wajib ada di meja makan baik siang mahupun malam.
“Sejak dari kecil mereka suka makan sayur. Sayur kegemaran mereka seperti bayam, kacang panjang, sawi dan kangkung. Susu pula minuman pilihan selepas makan malam dan sarapan mereka. Setiap minggu saya akan masak tempe dan tauhu goreng buat mereka. Selain dari itu Zaki juga suka sangat makan telur mata separuh masak. Alhamdulillah mereka pengemar sayur tetapi kurang gemar makan daging dan tidak makan seafood. Nasi goreng cina dan nasi goreng telur menjadi pilihan bila makan di luar.
“Saya jadikan waktu makan dan hujung minggu sebagai waktu bersama-sama keluarga. Oleh itu pada waktu makan malam saya akan sentiasa bertanya kegiatan dan kejadian yang berlaku seharian di sekolah. Masakan spegetti bolognise yang saya masak merupakan makanan kegemaran Zaki. Oleh itu hujung minggu saya akan hidangkan untuk mereka.
“Buah yang mereka makan hanya Buah Naga yang berwarna merah. Buah ni dari kecil mereka makan sampai lah sekarang. Kalau buah lain mereka akan makan kalau dipaksa. Kalau bab makan mereka banyak persamaan tetapi hobi sedikit berbeza, Aqil suka membaca komik dan aktiviti lasak manakala Zaki pula suka membaca buku terutama novel selain melukis.
Ditanya sama ada akan terus belajar di SJKC selepas ini, Zaki hanya menggelengkan kepala kerana dia kini sudah ada impian lain iaitu ingin menyambung pengajian di Sekolah Aminuddin Baki bersama abangnya, Aqil jika ada rezeki dan terpilih.
“Sebagai ibu, saya tidak akan memaksa mereka untuk sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya akur dengan pilihan mereka untuk tidak sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya sendiri telah melihat bagaimana mereka luangkan masa mengulangkaji dan cuba memahami mata pelajaran yang tidak mampu saya ajar sendiri.
“Saya cuma boleh support mereka dengan membayar kelas tambahan. Kami hanya dapat mengajar mereka subjek Bahasa Melayu dan English sahaja. Matematik dan Sains semua nya dalam bahasa Mandarin.
‘Satu lagi, saya dan suami elakkan gajet pada anak-anak. Cuma apabila mereka capai kejayaan dalam UPSR jadi saya belikan hadiah telefon kerana itu yang mereka inginkan. Cuma jika mereka mahu belajar bahasa Mandarin, saya berikan telefon saya kerana ada apps di dalamnya yang boleh membantu mereka. Malah, kami tahu siapa kawan mereka dan dengan siapa mereka bergaul. Saya suka mereka bawa kawan ke rumah, saya akan memasak dan mereka akan makan bersama.
“Alhamdullillah mereka hargai pengorbanan yang kami lalukan buat mereka. Terima kasih Zaki dan Aqil telah berusaha dan juga membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya berpesan kepada mereka agar lakukan yang terbaik untuk PT3 dan SPM agar terus mengharumkan nama bangsa Melayu,”ujar Nurhidayu lagi.
Tip belajar dari Zaki
Selepas balik sekolah pastikan di rumah luangkan masa untuk membaca buku dan buat ulang kaji sambil menyiapkan kerja sekolah.
Buat nota ketika cikgu tengah ajar agar boleh baca pada minggu peperiksaan.
Kalau tidak faham terus bertanya pada guru atau kawan supaya tidak ketinggalan.
Banyakkan buat latihan.
Banyakkan membaca kamus berbeza-beza dalam dwi bahasa untuk mendapat pengetahuan dan perkataan baru.
Buat peta minda dan nota kaki untuk lebih mudah memahami.
Sumber: Majalah Keluarga Jan-Feb 2018
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Bacaan surah Al-Fatihah oleh anak usahawan Neelofa dan PU Riz, Muhammad Bilal dipuji wargamaya malah memuji cara didikan pasangan ini dalam mendidik anak mereka.