
Bila dua insan berpisah, mungkin ramai fikir yang paling terluka ialah pasangan itu. Hakikatnya, ada jiwa lain yang kadang-kadang lebih terasa parah iaitu anak-anak. Kehidupan mereka berubah sekelip mata. Rumah yang dulu jadi tempat bermanja, kini terbahagi dua. Apabila salah seorang ibu atau ayah mula membina keluarga baru, ada hati yang diam-diam menangis.

Anak Rasa Diri Mereka Tiada ‘Nilai’
Ramai anak mengaku mereka rasa macam ‘tersisih’ bila ibu atau ayah mula tumpu pada pasangan baru. Lagi-lagi bila hadir pula adik-adik tiri atau adik baru. Hati anak mula tanya, “Adakah ayah masih sayang aku? Adakah mak dah lupakan aku?” Walaupun jarang diucap, soalan-soalan tu membunuh perlahan-lahan keyakinan dan kasih yang mereka simpan.

Anak-anak yang jadi ‘mangsa senyap’ perkahwinan semula boleh alami kemurungan, masalah tingkah laku, malah rasa tak dihargai. Mereka perlukan ruang untuk meluahkan, bukan sekadar diminta faham.
Bagaimana Nak Sembuhkan Luka Ini?
Sebagai ibu bapa, komunikasi adalah kunci. Jangan biarkan anak membuat andaian tentang kedudukan mereka dalam hati kita. Ucapkan, peluk, dan tunjuk bahawa kasih kita sebagai ibu ayah pada mereka tak akan pernah berkurang walau bagaimana pun hidup berubah.
Libatkan mereka dalam hidup baru, dengar suara mereka, dan jangan paksa mereka ‘cepat menerima’. Anak perlukan masa. Yang paling penting, jangan jadikan mereka seolah-olah tetamu tak diundang dalam rumah sendiri.
Emosi Anak Terganggu, Alami Masalah Komunikasi
Bukan sekadar cerita dari mulut ke mulut, kajian juga membuktikan betapa besarnya impak emosi anak bila ibu atau ayah berkahwin semula.
Menurut American Academy of Child & Adolescent Psychiatry (AACAP), ramai anak hasil keluarga bercerai menunjukkan tanda kebimbangan, mudah marah, dan rasa rendah diri. Bila ibu atau ayah mula membina keluarga baru, perasaan “diganti” atau “tak penting” semakin kuat.

Satu lagi kajian oleh Journal of Family Psychology mendapati hampir 20% kanak-kanak dalam keluarga tiri mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan hubungan baru, dan kesannya boleh berlarutan hingga remaja. Mereka bukan saja hilang keyakinan, malah cenderung menjauhkan diri daripada ibu atau ayah kandung kerana rasa dikhianati.
Di Malaysia pula, pakar kaunseling kekeluargaan pernah menegaskan bahawa anak-anak yang terperangkap dalam konflik penceraian dan perkahwinan semula mudah alami masalah tingkah laku terutama bila tiada ruang komunikasi yang baik dengan ibu atau ayah.
Mereka Masih Anak Kita
Perkahwinan semula bukanlah dosa. Ia jalan baharu untuk bahagia. Tapi ingat, bahagia itu akan lebih indah kalau anak-anak juga dapat merasa. Kerana dalam apa jua keadaan, mereka tetap darah daging yang kita janji akan jaga seumur hidup.
Kisah Dalam Drama, Realiti Kehidupan
Perasaan-perasaan inilah yang cuba dibawa dalam drama menyentuh hati, Rumah Tanpa Luka arahan Nur Ain Sharif. Dibintangi barisan pelakon hebat seperti Shukri Yahaya, Erysha Emyra, Nadhir Nasar, Naura Arissa, Ziela Jalil, Raja Azmi, Zaefrul Nordin, Hafreez Adam, Yuna Rahim, Aziz M. Osman, Rasya Sofea, Hanan Adraa dan ramai lagi, drama ini mengangkat kisah kasih sayang dan pengorbanan yang sering kita terlepas pandang.

Mengisahkan Kalsom, seorang gadis yang rela mengorbankan segalanya demi menjaga adiknya, Rose Ameena yang lahir dengan Down Syndrome. Hidup Rose penuh cabaran, bukan sahaja kerana keadaannya tetapi juga sering dianggap pembawa malang oleh ibu bapa sendiri hingga rumah tangga mereka runtuh. Lebih menyayat hati, abang tiri mereka sanggup menghalau keluar hanya kerana dendam lama.
Namun dalam segala kepayahan, muncul Qiuzi yang memberi sinar harapan baru. Persoalannya, mampukah Kalsom dan Rose akhirnya mengecap bahagia selepas semua derita yang dilalui?

Jangan lepaskan peluang untuk menonton Rumah Tanpa Luka, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria atau strim secara eksklusif di aplikasi Sooka.Sebuah kisah yang bukan sekadar drama, tetapi cermin kepada realiti tentang luka yang diwarisi, pengorbanan yang tak terbalas, dan harapan yang sentiasa ada walau hidup penuh luka.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




















