Perancangn kita sebagai hamba itu adalah usaha namun perancangan Allah itulah takdirnya.
Buat follower Keluarga, sila guna kod promo KELGSP5 untuk pembelian British Polo Yuna Handbag Set dengan harga lebih murah hanya di GO SHOP
Baru-baru ini tular di Tiktok menerusi video yang dikongsikan oleh @JajaED yang berhasrat untuk mengucapkan terima kasih kepada ‘rider’ yang membantunya memberi laluan sewaktu dalam perjalanan ke hospital
Namun rasa sebak dan sedih menyelubungi hatinya apabila dia mendapat tahu rider Food Panda yang pernah menolongnya itu telah meninggal dunia akibat dilanggar oleh pemandu yang disyaki mabuk di Segamat, Johor.
Menerusi perkongsian video itu, wanita tersebut memaklumkan dia mencari penghantar makanan tersebut kerana pernah membantunya pada 20 September lalu.
Walau bagaimanapun, wanita itu terkejut apabila dimaklumkan lelaki tersebut maut selepas terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.
Ads
“Saya baru berniat hendak mencarinya. Dia membantu saya pada pukul 5, 20 September lalu. Saya sakit hendak bersalin, dia bantu membuka jalan untuk laluan kami.
“Ya Allah, mengigil saya apabila mendapat tahu dia adalah individu yang sama (membantu),” katanya.
Melihat di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna turut berkongsi rasa sedih dan terharu dengan kebaikan yang pernah dilakukan oleh rider tersebut.
“Semoga kebaikan arwah menjadi inspirasi kepada kita. Semoga beliau juga ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” doa antara yang dititipkan di ruangan komen.
“Subhanallah, meremang bulu roma apabila baca kebaikan yang arwah buat sebelum meninggal dunia. Semoga arwah tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat syurga Allah,” ujar yang lain lagi.
“Semoga bantuan yg arwah bg pd akk nk bersalin ni menjadi salah satu asbab dia di tarik ke syurga,” komen yang lain pula.
Difahamkan, ‘rider’ dikenali sebagai Rudi Hermawan Sumarno itu meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Muar-Segamat pada Khamis lalu.
Kadangkala kita tidak menduga bagaimana ujian yang datang kepada kita. Anak yang sakit, juga mak ayah yang terlantar sakit merupakan ujian buat kita dalam
menghadapi sejauh mana kita bersabar dan bertindak dengan insan terbaik buat orang-orang yang tersayang.
Menjaga mak ayah yang sakit sememangnya satu tugas yang besar namun inilah tanggungjawab yang wajar kita galas dengan sebaiknya. Bukan mengelak daripada
memikul tanggungjawab ini.
Namun bila saatnya diuji dengan mak ayah yang sakit kita panik dan tidak tahu untuk bertindak. Ada baiknya kita tambah ilmu dengan perkongsian Dalin Ali,
yang berkongsi diblog peribadinya mengenai tip menjaga mak ayah yang diserang strok. Jom ikuti tip yang dikongsikannya.
” Lewat tahun 2002, keluarga saya diuji Allah swt dengan ibu saya yang terkena penyakit strok dan sekali lagi diserang pada Julai 2015. Dua kali dilanda
strok Mak masih mendapat belas Ilahi untuk kembali sembuh pada setiap kalinya meskipun tidak 100% pulih.
Pengalaman kami sekeluarga menjaga Mak yang strok ini telah mengajar kami banyak perkara. Tentang kasih-sayang, tentang sabar dan juga tentang redha.
Kadang-kadang Allah swt mendidik hati kita dengan cara yang sangat istimewa. Dan strok adalah salah-satu di antaranya.
Usaha untuk mengubati penyakit strok adakalanya bukan hanya terletak pada ubat-ubatan, barisan doktor atau hospital sahaja. Ia mungkin lebih daripada itu.
Apa kata ikuti 5 tip buat anak-anak yang menjaga ibu atau bapa yang strok ini cebisan dari pengalaman kami menjaga Mak yang strok sebanyak dua kali.
1. Buat Si Dia Tersenyum
Janganlah serius sangat. Kadang-kadang kerana tekanan kerja, kita bertukar menjadi orang lain (seperti Incredible Hulk). Menjaga ibu atau bapa yang strok
memerlukan banyak tenaga, sama seperti waktu mereka membesarkan kita dahulu. Bermula seawal pagi dengan membersihkan, menyediakan makanan, menjadi nurse (memberi ubat) dan menemani mereka sehinggalah ke tengah malam nanti.
Tidak kira betapa letihnya kita dengan urusan seharian, bertukar menjadi anak yang ceria sewaktu menjaga mereka. Senyum waktu pujuk mereka untuk mandi,
makan, ambil ubatan dan bersenam. Kadangkala mereka enggan buat sesuatu kerana terlalu letih dan tidak mahu menyusahkan kita. Ceritakan kisah lucu waktu
kita membesar dan buat mereka ketawa.
Kita mungkin boleh beli supplemen mahal atau bayar hospital terbaik tetapi kita tidak mampu membeli senyuman ibubapa kita. Senyuman ini akan hilang satu
hari nanti jadi lihat live depan mata sewaktu mereka masih ada di dunia ini.
2. Bantu Solat
Perasan tak waktu selepas solat kita akan merasa sangat tenang. Kita ada tempat bergantung harap dan bercerita 24 jam sehari. Begitu juga dengan ibu bapa
kita yang kurang sihat. Mereka kadangkala rasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat menguruskan diri sendiri lagi. Kalau dahulu mereka yang mengajar kita
untuk berdiri, rukuk dan sujud, kini sudah tiba masanya untuk kita membantu mereka pula.
Mulakan langkah dengan bantu mereka mengambil wudhuk satu-persatu. Ingatkan langkah solat yang mereka mungkin terlupa (kerana strok memberi kesan kepada ingatan) dan duduk di tepi sehingga selesai. Tidak kira di rumah atau hospital, terdapat banyak cara Islam memudahkan urusan solat ini antaranya solat secara duduk, baring atau melalui kerdipan mata sahaja. Solat dapat memberikan ketenangan hati dan rasa redha kepada ibu bapa kita yang sakit.
Melihat ibu bapa kita bersolat sambil berbaring adakalanya menimbulkan rasa sayu juga. Satu hari nanti sama ada kita atau dia yang akan disolatkan begitu,
tidak tahu siapa yang akan pergi dahulu.
3. Sedekah
Mak selalu kata kalau kita memberi kita akan rasa gembira. Beri kucing yang datang ke rumah makan sehingga kenyang atau tolong orang tua melintas jalan.
Kalau orang tidak ucap terima kasih pun tidak mengapa. Kita memberi supaya Allah sentiasa sayangkan kita. Malah sepanjang hidup Mak dan Ayah pun mereka
sentiasa memberi kepada kita. Memberi pelajaran, kasih-sayang, berkorban masa dan wang ringgit untuk lihat kita bahagia.
Kini waktu mereka sakit semuanya sudah terbatas. Kita sebagai anak boleh membantu dengan mula memberi untuk mereka. Kita mungkin suka memasak, jadi masak dan sedekahkan atas nama Mak Ayah kita. Pandai mengajar boleh beri tuisyen percuma untuk anak-anak dari keluarga yang memerlukan. Bukan hanya wang ringgit boleh diberikan, tetapi kemahiran atau kepakaran kita yang boleh digunakan terus oleh orang lain.
Buat satu rutin khas untuk bersedekah atas nama ibu bapa kita. Sedekah ini memberikan ketenangan hati dan juga sebagai usaha untuk mengubati penyakit
strok yang dihidapi juga.
“Ubatilah orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah”.
Hadis Riwayat Baihaqi
Tidak banyak yang dapat kita beri kepada kedua ibu bapa kita sepanjang hayat mereka. Sedekah adalah salah satu hadiah buat mereka yang hasilnya akan
dituai sehingga ke akhirat kelak.
4. Sabar Dan Solat
Walau bagaimana kuat pun kita mencuba, pesakit strok tetap mempunyai kelemahan mereka yang tersendiri. Mereka cepat terasa hati, mudah menjadi marah dan berasakan kita tidak menyayangi mereka lagi. Adakalanya badan yang letih membuatkan hati kita menjadi jauh juga. Kita memang hanya manusia biasa.
Ingat tak kecil-kecil dahulu kita pernah berguling-guling inginkan permainan kesukaan kita? Atau waktu remaja kita pernah melebihkan kawan-kawan
berbanding ibu bapa kita sendiri? Tetapi doa Mak dan Ayah tidak pernah putus buat kita. Mereka sabar dan sentiasa mendoakan kita. Di mana kita berdiri
pada hari ini adalah berkat kesabaran ibu bapa kita dahulu.
Jika hati mula menjauh, mengadulah pada Dia. Menangislah selepas solat tetapi jangan pernah tinggalkan Mak Ayah kita.
Mereka tidak pernah tinggalkan kita waktu kita berguling-guling dahulu. Rasa sakit akibat strok yang dialami mereka hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya.
Kita cuma perlu bersabar dan minta pertolongan dari Dia.
5. Doakan Mereka
Kita mungkin sudah berusaha segala-galanya. Menyediakan rawatan dan jagaan terbaik untuk ibu bapa kita yang terkena strok. Tetapi kuasa menyembuhkan tetap
urusan Ilahi.
Mak atau Ayah akan selamanya menyembunyikan kesusahan dan kesakitan yang mereka alami kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak. Selain dari menjaga mereka
dengan sepenuh hati jangan lupa doakan ibu bapa kita setiap hari juga.
Cetak dan baca doa-doa yang tercatat di dalam Al-Quran ini dengan rasa rendah hati dan penuh keikhlasan mudah-mudahan urusan ibu bapa kita akan sentiasa
dipermudahkan.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “”Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.
Surah Al-Isra’ : Ayat 24
Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku, dan siapa pun yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan.
Surah Nuh : Ayat 28
Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada orang tuaku, dan agar aku dapat
berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai ke anak cucuku.
Surah Al-Ahqaf : Ayat 15
Adakalanya dalam hidup ini, kita akan melalui situasi yang kita sendiri tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya. Bukan mudah untuk melihat insan yang
paling kita sayangi seperti Mak dan Ayah dilanda penyakit seperti strok yang membawa pergi senyuman dan sebahagian kekuatan dirinya. Kita juga mungkin
berperang dengan diri sendiri, kerjaya dan pelbagai keperluan dunia yang menunggu kehadiran kita.
Apabila merasa buntu kembalilah kepada Dia. Di situ kita akan bertemu jawapannya.
Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-
tambah, dan menyusuinya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.
Surah Luqman: Ayat 14
Mengejar dunia, kita sendiri tidak pasti apa penghujung cerita kita. Mungkin gembira, mungkin juga duka. Tetapi mengejar redha Mak dan Ayah, membolehkan
kita mendapat redha Ilahi.
Adakalanya Dia mengingatkan kita dengan cara yang sangat istimewa.
Strok ini seperti satu peringatan bahawa satu hari nanti kita mungkin akan rindu mendengar Mak dan Ayah memanggil nama kita hanya untuk sekali lagi.
Kegagalan itu adalah permulaan kepada sebuah kejayaan. Mungkin ada yang setuju atau sebaliknya. Namun andai dilihat pada nama-nama besar di dunia ini, ramai antara mereka sebelum mencapai kejayaan tersebut, pernah lalui banyak kegagalan dalam hidup. Antaranya perjalanan hidup yang dilalui oleh William Henry Gates III, atau yang lebih dikenal Bill Gates adalah CEO Microsoft. Ia juga merupakan seorang yang dermawan melalui kegiatannya di Yayasan Bill & Melinda Gates. Ia adalah pertama dalam orang terkaya di dunia versi majalah Forbes selama 13 tahun (1995 hingga 2007). Siapa sangka dia sebelumnya pernah dibuang dari Harvard dan bekerja sebagai Office Boy. Kesukaran dan rintangan yang dilalui, akhirnya menjadikan diri mereka orang yang luar biasa hebat.
Dan ini satu lagi kisah menarik perjalanan seorang anak Melayu yang juga pernah gagal dalam pelajaran. Namun siapa sanga kini insan ini berjaya mencipta kejayaan di dalam bidang pendidikan. Jom ikuti perkongsian hidupnya, semoga dapat menyuntik inspirasi buat anak-anak kita untuk terus memajukan diri dan diharapkan tidak pernah kenal erti putus asa dalam mencari ilmu.
THE STORY OF MY LIFE.
Alhamdullilah, telah genap tempoh 2 tahun semenjak kisah latar belakang akademikku menjadi viral di media-media sosial. Posting asal tu kini telah mendapat lebih daripada 38k likes dan 42k shares.
Masih lagi ku teringat, ketika hendak berkongsikan nukilanku itu, jam telah menunjukkan pukul 3.30 pagi pada 18 haribulan November 2016. Ketika itu, saya baru sahaja selesai menyemak satu tesis Sarjana, yang mana saya akan menjadi pemeriksa dalaman bagi calon tersebut.
Kebetulan pula, tarikh tersebut adalah sehari selepas tarikh keputusan peperiksaan UPSR 2016 telah diumumkan. Ketika melayari FB, saya mendapati sebilangan pengguna FB berkongsi tentang keputusan UPSR yang mana, bilangan calon yang memperolehi keseluruhan bilangan A bagi semua subjek adalah sangat berkurangan berbanding dengan keputusan UPSR pada tahun sebelum itu.
Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk berkongsikan kisah latarbelakang akademikku yang tidak cemerlang, malah pernah dibuang universiti, tetapi dengan azam dan semangat yang tidak pernah berputus asa boleh mencapai keputusan yang cemerlang, Insya-Allah…
Saya rasa terpanggil untuk berkongsikan kisah pengalaman belajar saya terdahulu. Ramai dikalangan pelajar saya sendiri di universiti ini menyangkakan bahawa saya adalah seorang yang cemerlang sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi realitinya adalah tidak.
Buat permulaan, keputusan UPSR saya adalah baik, di mana saya memperolehi 2A dan 2C. Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada diri saya. Untuk keputusan PMR, saya hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekaligus meranapkan impian saya untuk memasuki aliran Sains.
Dengan berat hatinya, saya meneruskan belajar di aliran Perakaunan. Tetapi nasib menyebelahi saya tidak lama selepas itu, di mana pihak sekolah membuka peluang kepada pelajar aliran lain yang ingin bertukar ke aliran Sains. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pelajar aliran Sains di sekolah saya. Setelah berjumpa dengan Guru Besar untuk menyatakan hasrat saya untuk bertukar aliran, beliau pada mulanya tidak bersetuju untuk saya mengikuti aliran Sains disebabkan oleh faktor keputusan PMR yang tidak memberangsangkan. Saya bersungguh-sungguh berjanji kepadanya untuk belajar sebaik mungkin dan akhirnya beliau bersetuju untuk membenarkan saya memasuki aliran Sains.
Sebaik mengikuti aliran Sains, saya telah merasakan bahawa saya telah membuat satu keputusan yang silap, di mana subjek-subjek Sains Tulen yang saya ambil adalah terlalu sukar untuk saya ikuti. Ditambah pula dengan subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai ‘killer subject’ oleh semua pelajar aliran Sains. Setiap kali peperiksaan tahunan, saya akan mendapat antara keputusan yang tercorot di dalam kelas dan ini mengundang perasaan risau kepada cikgu tingkatan saya (untuk subjek Matematik Tambahan, sekalipun tak pernah lulus).
Akhirnya, apabila keputusan SPM sebenar telah diumumkan, keputusan yang diperolehi adalah sangat teruk (tiada satu A pun yang telah saya perolehi jika mengikut kepada sistem penggredan SPM terkini). Cikgu tingkatan yang menyerahkan slip keputusan tersebut menyatakan bahawa saya memang tiada masa hadapan yang cerah disebabkan oleh sikap saya yang tidak mahu berubah langsung dan di dalam hati saya mengakui akan pendapatnya.
Selepas itu, saya cuba untuk mohon sambung belajar di pelbagai institusi, malangnya semua telah ditolak. Maka bermulalah episod saya sebagai seorang operator pengeluaran di kilang Denso di Bangi. Selepas 6 bulan, saya telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi Guardian, Kajang.
Tidak lama selepas itu, saya mendapat maklumat bahawa bagi sesiapa yang tidak cemerlang semasa SPM, boleh menyambung belajar di peringkat Pra-Sains di UiTM. Kursus Pra-Sains ini akan menggilap kembali pengetahuan subjek-subjek Sains Tulen sebelum diterima masuk ke program Diploma UiTM. Jika berjaya memperolehi CGPA 3.00 dan ke atas bagi semester pertama kursus Pra-Sains, layak untuk mengikuti program-program Diploma di UiTM. Tetapi jika CGPA kurang dari 3.00, maka terpaksa mengikuti semester kedua kursus Pra-Sains.
Alhamdullilah, saya telah diterima masuk ke program ini di UiTM Jengka, Pahang. Malangnya, CGPA bagi semester pertama saya adalah 1.92 dan saya telah mendapat keputusan Gagal dan Diberhentikan. Apabila membaca keputusan tersebut, terus rasa dunia saya gelap gelita. Maka, saya kembali membuat kerja sambilan selepas itu.
Ibubapa pun berasa sangat kecewa dan berputus asa dengan saya. Tetapi selang seminggu selepas itu, ibu saya telah mendapat satu panggilan dari pihak UiTM Jengka yang memaklumkan bahawa mereka ingin membenarkan saya untuk mengikuti pengajian semetser kedua Kursus Pra-Sains, memandangkan CGPA saya adalah kurang sedikit sahaja di bawah 2.00 Mendengar berita ini, saya telah berjanji di hadapan ibubapa saya untuk benar-benar berubah dan tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang lepas.
Oleh itu, saya telah mengikuti semester kedua tersebut dan Alhamdullilah saya telah memperolehi GPA 3.25 Banyak perubahan yang telah saya lakukan, seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai ‘study group’.
Semenjak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan mengekalkan momentum tersebut. Saya sambung pula pengajian di peringkat Diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis.
Selepas itu, saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan telah berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut (pinjaman PTPTN tak perlu bayar balik).
Kemudian mengikuti Masters di dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, UK dan setelah menjadi antara 2 pelajar terbaik bagi program tersebut, terus ditawarkan tempat untuk pengajian PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh universiti yang sama. Alhamdullilah, telah menamatkan pengajian PhD di dalam tempoh 4 tahun dan tesis telah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.
Jadi, tidak mustahil jika kita tidak berjaya pada masa kini, kita tidak boleh berjaya di kemudian hari. Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa. Insya-Allah kalau saya boleh berjaya, anda semua pun pasti boleh melakukannya. Saya berpegang teguh dengan maksud Al-Quran, Surah ar-R’ad (ayat 11) yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka”. Alhamdullilah, sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu di atas segala nikmat yang telah Kau berikan kepadaku selama ini, Amin. Akhir kata, jangan pernah mempersiakan peluang yang telah diberikan kepada kita, mungkin kita tidak akan merasai peluang kedua.
Coretan jujur penulis yang suatu ketika dahulu pernah tidak diberikan apa-apa harapan oleh sesiapapun.
Ikhlas,
Prof. Madya Dr. Midhat Nabil (AMIChemE)
p/s: Terima kasih tak terhingga kepada UiTM kerana menjadikan saya sebagaimana hari ini dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kerana tempatku mencari rezeki, Syukur…
Dalam setiap rumahtangga pasti ada pasang surutnya. Setiap isteri mahu melihat suaminya bahagia bersamanya selalu. Terdapat 10 tanda suami anda bahagia bersama anda.
1. Sentiasa berhubung
Apabila suami pergi kerja mahupun ada urusan pekerjaan, dia akan menghubungi isterinya setiap hari dan memberitahu betapa rindunya dia pada anda. Dia juga selalu membuat laporan seperti menghantar Whatsapp kepada isterinya. Contohnya, dia memberi tahu bahawa dia sudah sampai ke tempat kerja.
2. Selalu sebut “I LOVE YOU”
Dia akan memberi tahu yang dia cintakan anda dan akan mengulanginya setiap hari bahawa dia amat sayang kepada anda.
3. Ringan Tulang
Dia juga suka membantu dan menguruskan hal dalam rumah kerana dia mahu meringankan beban anda. Dia akan mengemas dengan sukarela dan menguruskan hal rumah supaya anda berasa selesa. Selain itu, dia juga akan turut mendidik anak-anak untuk membuat perkara yang sama. Kerana dia sedar bahawa mendidik anak bukan hanya terletak pada isteri semata-mata.
4. Selalu Puji Isteri
Dia suka memberi pujian pada anda, dia suka memberi perhatian kepada anda dan segala benda yang anda lakukan dia akan memberi pujian. Dia juga tidak akan jemu melihat anda tidak kira apa jua perubahan yang berlaku kepada anda. Dia tidak akan menghamburkan kata-kata yang boleh mengguris hati anda.
5. Menjadi Penenang
Dia akan selalu ada bersama anda dan memeluk erat saat anda menangis dan mempunyai masalah. Apabila anda berasa kecewa, sakit hati dan sedih, dia akan ada untuk menenangkan anda. Dan dia juga akan berusaha memahami apa yang anda lalu.
6. Perkongsian Dari Hati Ke Hati
Ini adalah tanda suami bahagia yang sangat jelas. Dia akan berkongsi segalanya dengan anda. Cerita sedih mahupun cerita gembira. Apabila dia terbuka untuk berkongsi masalahnya mahupun mengenai perancangannya, dia mengharapkan anda mendengar dan memberi sokongan. Kerana dia tahu anda satu-satunya orang yang memahaminya .
7. Selalu Peluk Dan Cium
Apabila dia pulang bekerja, dia akan menghadiahkan anda pelukan dan ciuman kasih sayang. Dengan itu anda boleh tafsirkan perbuatannya itu bahawa dia sangat gembira apabila pulang ke rumah dan bertemu dengan anda.
8. Tidak Malu Panggil “Sayang” Di Depan Orang Ramai
Tanda suami anda bersikap natural pada bila-bila masa. Suami yang panggil nama manja isteri tanpa rasa malu, itulah lelaki sebenar.
9. Tidak Malu Pegang Tangan Isteri Depan Orang
Kadang-kala kita nampak ada pasangan yang sudah tua tetapi masih berpegang tangan. Ramai yang inginkan saat seperti itu kerana saat itu adalah yang paling manis.
10. Selalu Ajak Solat Berjemaah
Bila suami tidak ke masjid atau surau, dia akan mengajak isteri solat berjemaah bersamanya. Oleh kerana dia sayangkan isterinya dia mahukan isterinya mendapat pahala bersama-sama. Dan jika mempunyai anak, dia akan ajak anak-anaknya solat berjemaah bagi mengeratkan lagi silaturrahim bersama keluarga.
Akhir sekali, kepada para lelaki ataupun suami hargailah isteri anda dan berilah kebahagiaan dan kasih sayang yang cukup untuk mereka. Dan untuk isteri pula, terimalah baik dan buruk suami anda. Dan hormatilah mereka sebagai suami. Barulah rumahtangga bahagia.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.