Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira.

Nak tahu lebih lanjut mengenai dyslexia ini ikuti penjelasan lengkap Jurulatih Pembangunan Diri,  Minhaj Suhaimi  moga menjadi manfaat bersama.


Info Penting! 20 Perkara Tentang Kanak-Kanak Disleksia. Salah Satunya Mempunyai Tahap Kepintaran Tinggi

DISLEKSIA merupakan satu perkataan yang amat dibimbangi oleh kebanyakan ibu bapa apabila dikaitkan dengan anak. Mereka mengetahui bahawa anak mereka akan menghadapi kesukaran-kesukaran sepanjang persekolahan dan dalam kehidupan. Tiada ubat yang boleh ‘menyembuhkan’ disleksia kerana ia bukan suatu penyakit. Neurobiologi otak disleksia kekal sepanjang hayat, sama seperti ADHD dan autisme.

Berikut adalah 20 Perkara Tentang Kanak-Kanak/Individu Disleksia:

1. CARA MEREKA MEMBACA BERBEZA
Cara otak disleksia memahami bahasa tidak sama seperti otak normal. Otak kita perlu menterjemah simbol-simbol yang dilihat di dalam buku (contoh) kepada bunyi. Kemudian, bunyi-bunyi tersebut digabungkan menjadi perkataan-perkataan yang mempunyai makna. Bahagian-bahagian otak disleksia yang terlibat dalam proses tersebut tidak berkembang sepenuhnya. Jadi, bahagian-bahagian otak yang lain perlu digunakan untuk membantu proses tersebut. Program pembacaan khas yang berdasarkan kajian dan melibatkan sensori serta buku-buku audio boleh membantu meningkatkan keupayaan membaca kanak-kanak disleksia.

2. LEBIH BANYAK MEMBACA TIDAK DAPAT MENGATASI DISLEKSIA
Mereka yang tidak faham tentang disleksia (termasuk sesetengah guru) berpendapat sekiranya ibu bapa lebih banyak membaca kepada anak-anak dan sekiranya kanak-kanak dipaksa membaca lebih banyak di awal usia, disleksia akan dapat diatasi. Tetapi hakikatnya ialah ia tidak membantu kanak-kanak disleksia untuk membaca dengan lebih baik walaupun aktiviti pembacaan tersebut mempunyai banyak kelebihan (contohnya dapat meningkatkan pengetahuan, pendedahan, rangsangan imaginasi). Memaksa mereka untuk lebih banyak membaca secara tradisional hanya menimbulkan kekecewaan, perasaan marah dan isu tingkah laku. Paksaan sedemikian sama seperti memaksa individu dewasa pergi ke tempat kerja setiap hari tetapi tidak dapat melaksanakan tugasan kerana tidak pernah diberi latihan kemahiran untuk melaksanakan tugasan tersebut. Berapa lamakah individu tersebut mampu bertahan?

Info Penting! 20 Perkara Tentang Kanak-Kanak Disleksia. Salah Satunya Mempunyai Tahap Kepintaran Tinggi

3. MEREKA BUKAN PEMALAS
Kanak-kanak disleksia yang tidak didiagnos selalu dilabel sebagai pemalas di sekolah dan di rumah. Walaubagaimanapun, adalah diingatkan bahawa:
• Mereka mungkin tidak mendengar keseluruhan arahan-arahan yang diberi dalam satu masa yang sama. Semasa arahan kedua dan ketiga diberikan, otak mereka masih lagi memproses arahan yang pertama.
• Di sekolah, semasa aktiviti pembacaan di dalam kelas, mereka masih menyahkod ayat pertama sedangkan rakan-rakan yang lain telah sampai ke ayat yang ke-5 atau ke-6.
• Mereka mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan latihan dan ujian. Motivasi dan tumpuan mereka dalam menyiapkan sesuatu tugasan terganggu apabila keletihan (otak). Mereka perlukan masa-masa rehat.

IKLAN

4. MEREKA MEMERLUKAN TUNJUK AJAR KHAS (TUTORING)
Sekiranya kanak-kanak disleksia mendapat tunjuk ajar khas yang efektif dan berterusan, otak mereka akan mengalami perubahan (dipanggil “neuroplasticity”) dan laluan-laluan saraf otak akan berhubung semula (“rewires”) bagi meningkatkan kemahiran membaca. Tunjuk ajar dalam membaca, menulis dan menjawab ujian mesti diteruskan bagi membantu murid/pelajar disleksia menghadapi penulisan esei/karangan, kerja kursus dan ujian/peperiksaan seragam. Dengan bantuan dan kepakaran seseorang tutor, murid/pelajar disleksia boleh menjawab sebarang soalan peperiksaan dengan baik.

5. MEREKA TIDAK ‘MELIHAT’ DUNIA INI SECARA TERBALIK
Ya, kanak-kanak disleksia kerap menulis huruf dan perkataan terbalik, tetapi itu adalah disebabkan perkataan dan huruf yang dicetak/dipaparkan kelihatan berbeza kepada mereka. Individu disleksia biasanya melihat sesuatu perkara secara holistik (menyeluruh), berbanding secara terperinci. Mereka juga mempunyai kebolehan melihat apa yang ‘tidak kena’ pada tempatnya. Carol Grieder, ahli biologi molekul yang mempunyai disleksia memenangi Nobel Prize dalam bidang perubatan pada tahun 2009 kerana beliau menemui sesuatu yang sepatutnya tiada dalam molekul DNA semasa meneliti menerusi mikroskop. Apa yang beliau temui ialah enzim yang baru dan amat penting dalam kajian kanser dan penuaan. Dalam kes ini, otak disleksia beliau merupakan ‘hadiah’ yang indah kepada dunia.

6. MEREKA MEMERLUKAN “BACAAN PENDENGARAN/AUDIO”
Terma ini biasa digunakan oleh aktivis disleksia yang merujuk kepada buku audio. Kebaikan yang ketara melalui penggunaan buku audio ialah murid/pelajar disleksia dapat menyaingi rakan-rakan sekelas dalam memahami keseluruhan isi kandungan sesebuah buku. Mereka juga boleh membuat kajian dan ulasan buku. Kebaikan yang lain ialah dapat meningkatkan perbendaharaan kata dan kebolehan ‘mendengar’ tatabahasa yang bagus.

7. MEREKA MEMERLUKAN AKOMODASI DI SEKOLAH
Antara kemudahan-kemudahan yang sangat membantu ialah tambahan masa untuk menyiapkan tugasan dan semasa menduduki ujian/peperiksaan, pengubahsuaian tugasan yang mengikut kemampuan mereka dan khidmat pembaca soalan (atau yang terbaik ialah ujian/peperiksaan secara lisan).

8. MEREKA BOLEH TIDAK TERURUS
Kegagalan individu disleksia untuk menumpukan perhatian secara terperinci telah menyebabkan ketidak terurus di sekolah dan rumah. Bilik mereka di rumah mungkin sangat berselerak dan membersihkannya adalah agak mencabar. Semasa usia kanak-kanak, ibu bapa boleh mendidik mereka mengemas bilik dengan menunjukkan langkah demi langkah. Apabila meningkat usia, mereka biasanya menghadapi kesulitan dalam menyusun dan mengurus masa. Mereka mungkin memerlukan alat bantuan seperti penggera masa di telefon bimbit, carta/jadual bergambar dan sebagainya.

9. MEREKA RASA TIDAK PANDAI
Kanak-kanak disleksia menyedari bahawa rakan-rakan sekelas mereka dapat membaca dengan lebih baik, dapat menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan dan tak mengambil masa yang panjang untuk mempelajari sesuatu perkara. Lama-kelamaan, ini akan memberi kesan negatif kepada keyakinan diri dan menyebabkan mereka menarik diri atau menjadi pasif. Para guru perlu memanfaatkan kekuatan dan minat mereka, serta menonjolkan mereka di dalam kelas. Ibu bapa pula hendaklah mempromosikan kekuatan dan bakat anak mereka dengan aktiviti-aktiviti luar selain akademik. Bidang seni, muzik, sukan, rekacipta, binaan dan sains adalah kekuatan tipikal bagi individu disleksia. Memperoleh kejayaan dan penghargaan/pengiktirafan terhadap kejayaan yang dicapai adalah sangat penting bagi kebahagiaan dan produktiviti individu disleksia.

IKLAN

10. MEREKA PERLU BERSOSIAL
Apabila perasaan negatif menguasai diri, mereka akan mula berhenti melibatkan diri dalam aktiviti sosial atau mencari rakan baru. Adalah amat penting ibu bapa kepada kanak-kanak disleksia mengambil langkah yang proaktif terhadap sosialisasi. Ini termasuklah menyertai kumpulan sokongan atau kelab tertentu, di mana terdapat banyak peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti tertentu, atau menyertai aktiviti bersukan. Mereka yang lebih dewasa perlu digalakkan untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyokong dan mengukuhkan kekuatan atau bakat mereka. Bagi remaja dewasa, membuat kerja “part-time” adalah sesuatu yang sangat bagus.

11. MEREKA BOLEH MEMPUNYAI TAHAP KEPINTARAN YANG TINGGI
Tidak salah para guru dan ibu bapa berkongsi berita-berita baik dengan kanak-kanak disleksia tentang IQ/kepintaran mereka. Para guru dan ibu bapa hendaklah sentiasa memberi inspirasi kepada mereka tentang kejayaan individu-individu disleksia seperti Thomas Edison, Alexander Graham Bell, Henry Ford, Jay Leno, Whoopi Goldberg, Tom Cruise, Muhammad Ali, Steve Jobs, Tommy Hilfiger, Picasso and Richard Branson. Pendek kata, tiada satu bidang pun yang individu disleksia tidak boleh berjaya.

12. MEREKA PERLUKAN TEKNOLOGI
Di negara-negara maju, terdapat banyak aplikasi dan perisian yang disyorkan oleh ahli-ahli professional dalam bidang psiko-pendidikan dan perubatan. Di antaranya ialah aplikasi yang dapat menukarkan teks kepada audio, program pemprosesan perkataan arahan-suara dan permainan yang membina kemahiran fonetik. Amatlah besar manfaatnya jika pihak KPM/sekolah dapat memahami keperluan & kepentingan teknologi-teknologi ini dan menyediakannya untuk membantu murid/kanak-kanak disleksia.

13. MEREKA KELETIHAN DENGAN BUTIRAN BACAAN YANG PADAT
Ini merujuk kepada bacaan dan helaian kerja matematik yang kelihatan ‘serabut’. Membesarkan cetakan/paparan dan menggunakan font yang sesuai sangat membantu murid disleksia dalam memproses maklumat yang dibaca. Mereka juga memerlukan masa rehat yang lebih kerap. Berbanding murid-murid normal yang boleh memberi tumpuan kepada aktiviti yang melibatkan pembacaan dan penulisan serta dapat menyiapkan tugasan dengan banyak dalam masa 20-30 minit, murid disleksia akan menyiapkan tugasan kurang daripada mereka dan perlukan rehat selepas 10 minit memberi tumpuan. Lebih daripada itu, mereka biasanya akan mengadu sakit kepala atau pening.

14. MEREKA MELIHAT PERKARA YANG ORANG LAIN TIDAK NAMPAK
Kanak-kanak disleksia akan menyatakan bahawa perkataan-perkataan di helaian yang dilihatnya bergerak-gerak, kelihatan terang dan gelap silih berganti atau kelihatan melompat-lompat. Mudah bagi kita berfikir bahawa mereka mereka-reka cerita tetapi sebenarnya tidak. Adalah penting untuk membenarkan apa yang mereka lihat itu memang ‘benar’ bagi mereka. (tanda sokongan/kebersamaan/empati/inklusi)

IKLAN

15. MEREKA MERUPAKAN “VISUAL THINKER”
Individu disleksia belajar melalui gambar dan pengalaman “hands-on”. Ini adalah salah satu sebab mengapa ramai individu disleksia dapat bekerja dengan baik dalam makmal sains. Mereka juga boleh mengingati dalam bentuk gambar. Sekiranya sesuatu konsep diterangkan secara visual, mereka akan mengingati paparan visual tersebut. Apa yang mereka baca kurang diingati, kecuali terdapat deria-deria lain yang terlibat semasa mereka membaca.

Info Penting! 20 Perkara Tentang Kanak-Kanak Disleksia. Salah Satunya Mempunyai Tahap Kepintaran Tinggi

16. DERIA PENDENGARAN MEREKA LUAR BIASA
Barangkali disebabkan keupayaan mereka menggunakan mata dengan baik untuk belajar, deria pendengaran telah menjadi bertambah peka, sama seperti deria pendengaran orang yang buta. Walaubagaimanapun, mereka selalunya sukar untuk menapis semua bunyi di sekeliling mereka dan ini memberi kesan yang amat besar terhadap keupayaan mereka untuk memberi tumpuan. Penggunaan headphone semasa mereka sedang belajar dapat membantu mereka untuk fokus dengan lebih baik.

17. MEREKA TIDAK BOLEH DISAMAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN
Kanak-kanak disleksia adalah individu-individu yang tersendiri. Kelemahan-kelemahan mereka datang dalam berbagai bentuk. Ada kanak-kanak disleksia yang menunjukkan simptom-simptom ADHD jenis inattentif atau lebih dikenali sebagai ADD, sedangkan kanak-kanak disleksia lain tiada. Ada yang sangat sukar meluahkan idea (fikiran) dalam bentuk kata-kata, manakala ada yang petah berkata-kata. Ada di antara mereka yang mempunyai keupayaan intelektual yang sederhana, namun ada pula yang sangat pintar atau “gifted”. Ada yang bertingkah laku keterlaluan, tetapi ada juga yang sangat pendiam. Oleh itu, adalah tidak adil untuk menganggap semua kanak-kanak disleksia/ADHD/autisme sama sahaja.

18. MEREKA TERTEKAN DENGAN KELEMAHAN MEREKA
Anda rasa tertekan dengan kelemahan mereka? Mereka lagi tertekan! Ibu bapa dan sesiapa yang bekerja dengan kanak-kanak disleksia harus mempunyai rasa empati. Cuba letakkan diri anda di tempat mereka dan melihat disleksia dari kaca mata mereka yang hidup dengannya. Kanak-kanak ini memerlukan sokongan dan dorongan, bukan kata-kata yang melemahkan/menjatuhkan semangat mereka.

19. OTAK DISLEKSIA KEKAL SEPANJANG HAYAT
Walaupun otak disleksia kekal sepanjang hayat, dengan intervensi tertentu dan toleransi yang baik daripada pihak guru, individu disleksia boleh membina kaedah/strategi tersendiri untuk mengurus kelemahan mereka, memperoleh kelulusan dalam bidang tertentu dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.

20. MEREKA BOLEH MENAMBAH NILAI KEPADA SESEBUAH ORGANISASI
Disebabkan mereka cenderung menjadi kreatif dan merupakan “visual thinker”, mereka selalu dapat melihat jalan penyelesaian yang orang lain tidak dapat lihat. Dalam kes-kes sedemikian, mempunyai otak disleksia adalah satu kelebihan.

Kita semua mempunyai kekuatan, kelebihan, kelemahan dan kekurangan yang tersendiri. Kanak-kanak disleksia juga tidak terkecuali. Namun malangnya, proses pembelajaran kita sangat bergantung kepada pembacaan yang mana secara terang-terangan merupakan satu kelemahan kepada mereka. Di zaman teknologi yang progresif ini, segalanya berubah dengan pantas. Kita sudah sampai ke satu titik di mana kita boleh mempelbagaikan kaedah pembelajaran dan meraikan kelainan neurobiologi otak seperti disleksia.

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI