
Inisiatif Hari Guru KPM tahun ini membawa berita gembira buat seluruh warga pendidik apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan 12 inisiatif baharu bagi memperkasa peranan guru di seluruh negara.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 yang bertemakan Guru Bitara Nadi Negara dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu.
Inisiatif yang diumumkan ini meliputi pelbagai aspek penting termasuk latihan profesional, kemudahan digital, penambahbaikan fasiliti, kebajikan guru serta sokongan kepada murid dan sekolah.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah bantuan sebanyak RM1,000 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn kepada guru yang anaknya memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan SPM 2025.
Bantuan itu pastinya menjadi satu penghargaan istimewa buat keluarga guru yang selama ini bukan sahaja mendidik anak bangsa, malah turut memainkan peranan besar membimbing anak sendiri untuk mencapai kecemerlangan akademik.
12 Inisiatif Hari Guru KPM Diumumkan Sempena Hari Guru
Pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan diperkenalkan bagi membantu guru menjalankan tugas dengan lebih baik, selain memastikan sistem pendidikan negara terus diperkukuh.
1. Kursus Google Certified Educator Diteruskan Secara Percuma
KPM meneruskan kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap Satu dan Tahap Dua secara percuma kepada semua guru.
Inisiatif ini bertujuan menyokong pembangunan profesional pendidik dalam aspek literasi digital. Kos yang ditanggung kerajaan ialah RM40 bagi GCE Tahap Satu dan RM100 bagi GCE Tahap Dua.
2. Hadiah Latihan Persekutuan Khas Untuk Guru Sekolah Terintang
KPM turut menawarkan Hadiah Latihan Persekutuan khas kepada guru yang berkhidmat di sekolah terintang seperti sekolah dalam hospital, sekolah terapung dan sekolah pedalaman di kawasan P1, P2 serta P3.
Guru yang terpilih berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Peluang ini diharap dapat membantu meningkatkan akses pendidikan khususnya di kawasan yang memerlukan sokongan lebih menyeluruh.
3. Biasiswa Perguruan Persekutuan Untuk Pemimpin Sekolah
Guru besar, pengetua dan penolong kanan kini berpeluang menyambung pengajian di peringkat sarjana menerusi Biasiswa Perguruan Persekutuan yang diperluaskan kepada pemimpin sekolah.
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan ilmu kepimpinan, malah membantu memperkukuh pengurusan sekolah dengan lebih berkesan.

4. NODE Untuk Sekolah Tanpa Internet
Bagi memastikan pembelajaran digital tetap dapat diteruskan walaupun tanpa capaian internet, KPM memperkenalkan Network Offline Digital Environment (NODE).
Menerusi tajaan Yayasan Guru Tun Hussein Onn, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi memperkukuh pelaksanaan program ini di sekolah kawasan pedalaman dan pulau di bawah program sekolah terintang.
5. RM169 Juta Untuk Peranti Sekolah
KPM turut menyediakan peruntukan sebanyak RM169 juta bagi membekalkan peranti kepada sekolah.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kokurikulum dan pembelajaran berasaskan teknologi, sekali gus membantu guru serta murid menyesuaikan diri dengan keperluan pendidikan semasa.
6. RM100 Juta Naik Taraf Bilik Guru
Keselesaan guru turut diberi perhatian apabila KPM menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi penyelenggaraan dan menaik taraf bilik guru di seluruh negara.
Bilik guru yang lebih selesa pastinya mampu membantu mewujudkan suasana kerja yang lebih baik buat warga pendidik.
7. RM50 Juta Selenggara Kuarters Guru
Selain bilik guru, KPM turut memberi fokus kepada kebajikan guru melalui peruntukan RM50 juta bagi penyelenggaraan kuarters kediaman guru.
Langkah ini amat bermakna terutama buat guru yang bertugas jauh dari keluarga dan bergantung kepada kemudahan kuarters sebagai tempat tinggal.
8. Sistem Perekodan Kokurikulum Manual Dimansuhkan
KPM turut memansuhkan sistem perekodan kokurikulum secara manual.
Sekolah kini diberi autonomi untuk menguruskan perekodan kokurikulum mengikut kesesuaian masing-masing sebelum dimasukkan ke dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
9. RM10.5 Juta Untuk Bahan Bacaan Prasekolah
Sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan kepada semua 10,515 kelas prasekolah di seluruh negara menerusi Pemerkasaan Budaya Membaca Prasekolah atau Program PAKAT.
Inisiatif ini bertujuan memupuk budaya membaca sejak usia awal, sekali gus membantu perkembangan bahasa dan minat belajar dalam kalangan kanak-kanak.
10. RM122.4 Juta Untuk Program STEM, TVET Dan Kokurikulum
KPM turut menyalurkan RM122.4 juta bagi fasa pertama pelaksanaan program STEM, TVET dan kokurikulum di sekolah.
Dengan sokongan ini, guru diharap dapat mengendalikan program kokurikulum dengan lebih tersusun dan berkesan bermula tahun depan.
11. Bantuan RM1,000 Untuk Guru Yang Anak Cemerlang SPM
Antara inisiatif paling menarik perhatian ialah bantuan sebanyak RM1,000 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn kepada guru yang anaknya memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan SPM 2025.
Bantuan ini menjadi tanda penghargaan buat keluarga guru yang turut berkorban masa dan tenaga demi memastikan kecemerlangan anak-anak.
12. Diskaun 50 Peratus Sewaan Kantin Sekolah
KPM turut mengumumkan diskaun 50 peratus bayaran sewaan kantin sekolah selama enam bulan pertama.
Langkah ini diharap dapat membantu pengusaha kantin mengekalkan harga makanan yang berpatutan, selain memastikan makanan yang dijual kepada warga sekolah kekal berkualiti.
Inisiatif Hari Guru KPM Jadi Suntikan Semangat Buat Pendidik
Secara keseluruhannya, 12 inisiatif yang diumumkan ini membuktikan usaha berterusan KPM dalam memperkasa peranan guru, menjaga kebajikan pendidik dan meningkatkan mutu pendidikan negara.
Semoga segala usaha ini menjadi suntikan semangat buat seluruh warga guru untuk terus mendidik dengan penuh ikhlas, sabar dan kasih sayang.
Selamat Hari Guru buat semua insan bergelar pendidik.
BACA LAGI : Sempena Hari Guru, Ibu Ni Dah Siap Tanam Kesom Untuk Hadiahkan Pada Cikgu Anaknya! Unik Sangat.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




